Dua atau tiga minggu lepas, semasa dalam perjalanan ke sebuah seminar, den terdengar syarahan ini di radio IKIM.fm.
Syarahan ini berkaitan topik lain, tapi den tertarik dengan ungkapan pensyarah mengenai masjid-masjid yang terdapat di Madinah.
Antara masjid-masjid ini disebut Sab’a Masajid (Tujuh Masjid, yang kini tinggal lima) yang ada kaitan dengan satu peperangan besar di Madinah pada kira-kira tahun 5 Hijrah, yakni peperangan al-Ahzab (Battle of the Confederates) ataupun nama lainnya, peperangan al-Khandaq (Battle of the Trench). Di dalam al-Qur’an al-Karim terdapat Surah 33 (al-Ahzab) sempena peperangan ini.
Masjid-masjid ini asalnya ialah pos sentri orang Islam semasa mereka dikepung (sieged) oleh tentera musuh. Pos-pos sentri ini dijadikan masjid oleh pemerintah Uthmaniyah dan mengambil nama para Sahabat yang berkawal di lokasi-lokasi itu, dan juga tempat: Masjid Abu Bakr, Masjid ‘Umar, Masjid ‘Ali, Masjid Salman al-Farsi, Masjid Fatima, Masjid Sa’d dan Masjid al-Fath.
Den memang belajar mengenai peperangan Khandaq semasa di bangku sekolah tapi pada masa itu den tak dapat tangkap beberapa aspek dan pengajaran penting dari episod sejarah awal Islam ini.
Den tak perlulah bercakap banyak mengenai pendapat den yang umat Islam sekarang menghadapi situasi yang hampir sama para Sahabat semasa peperangan Ahzab ini.
Selepas membaca semula dan mengkaji sedikit mendalam lagi episod peperangan Khandaq atau Ahzab ini, den telah cuba mencari lokasi dan gambar pos-pos sentri pahlawan awal Islam.
Inilah hasilnya.

Imej 1: Peta Madinah
Peta Madinah (Imej 1) ialah peta satelit. Kawasan yang terlibat semasa peperangan Khandaq di dalam lingkungan titik-titik hijau. Dilaporkan pada zaman Rasulullah (saw) saiz kawasan yang diduduki orang Islam tidak berapa besar dan kawasan perkampungan Madinah zaman itu boleh dimuatkan ke dalam Masjid Nabawi sekarang.
Ambil perhatian kedudukan:
‘D’ yang menunjukkan kawasan Bukit Uhud. Kawasan ini digelar Jabal ar-Rumah (Archer’s Mount) mengambil ingat kedudukan pasukan pemanah Islam semasa Uhud.
‘H’ dan ‘I’ ialah kawasan Gunung Sala’ dan medan pertempuran Ahzab. Rasulullah (saw) mendirikan khemah Baginda — diperbuat kulit merah — di kaki gunung ini. Penunggang kuda Quraysh telah bolos setelah menyeberangi parit dan sampai di sini pada satu ketika. Mereka berjaya diusir oleh pejuang Islam. Di sini juga terdapat pos yang digelar Masjid al-Fath.

Imej 2: Pelan Madinah (The Plan of Al-Madina)
‘The Plan of Al-Madina’ (Imej 2) pula memberi petunjuk beberapa tempat yang digunakan oleh para Sahabat untuk berkawal semasa peperangan Ahzab/Khandaq. Antara lain ia menunjukkan pos-pos (masjid) Sayidina Abu Bakr, Umar dan Ali. Mereka berkawal di sebelah Barat Madinah.

Ringkasan peperangan Ahzab atau Khandaq:
Peperangan Khandaq berlaku selepas peperangan Uhud. Peperangan Uhud tidak membawa sebarang keputusan muktamad. Dari banyak laporan, mahupun orang Islam mendapat tamparan hebat dan kalah, Quraysh tidak dapat menghapuskan masyarakat Islam yang bertahan di Madinah. Selepas peperangan Uhud, Rasulullah (saw) telah menyingkir satu kumpulan Yahudi yang telah belot, yakni melanggar perjanjian, dari Madinah.
Kaum Yahudi yang tersingkir, Bani Nadir, yang diketuai oleh Huyayy ibn Akhtab, telah menghasut Quraysh supaya berperang sekali lagi dengan orang Islam Madinah. Sementara itu, satu lagi kaum Yahudi asal Madinah, Bani Qurayzah, yang tinggal di selatan Madinah, bersedia untuk melupakan perjanjian perdamaian mereka dengan orang Islam dam melakukan peperangan dari dalam Madinah. Mereka melakukan ini kerana beberapa sebab: takut akan kedudukan mereka di Madinah tergugat, dan ingin membalas dendam penguhukuman dan pengusiran saudara-saudara mereka dari Madinah.
Tentera Ahzab (Bersekutu) terdiri dari:
- Quraysh dengan 6000 orang
- Ghatafan 1500 orang
- Bani Fazarah seribu penunggang unta
- Bani Asad dan Sa’d (dari Bani Ghatafan) beberapa orang pejuang
Dikatakan Bani Ghatafan keseluruhannya menambahkan kekuatan tentera Bersekutu/Gabungan sehingga mencecah dua ribu orang.
Kekuatan tentera Jahiliyah mencecah sepuluh ribu orang dan mereka telah mara ke Madinah dari dua arah, yakni dari arah selatan (Makkah, Quraysh) dan timur (Najd, Ghatafan). Kekuatan tentera ini dikatakan tiga kali ganda tentera yang telah mengalahkan tentera Islam di Uhud. Pasukan berkuda (kavalri) Jahiliyah diketuai oleh Khalid al-Walid dan Ikrimah ibn Abu Jahal, dua pendekar Arab yang perkasa dan masyur. Bala tentera musuh Islam ini merupakan ketumbukan yang paling besar dan yang paling canggih dan lengkap peralatan yang pernah terdapat di semenanjung Arab.
Sudah tentunya orang Islam di Madinah berasa cemas apabila mengetahui bahawa bala tentera musuh yang besar sedang di dalam perjalanan ke Madinah. Seperti yang dikatakan, mereka dikalahkan oleh tentera Jahiliyah yang kekuatannya hanya tiga ribu orang semasa peperangan Uhud.
Seperti yang Baginda lakukan semasa Uhud, Rasulullah (saw) telah mengumpulkan para Sahabat dan meminta pendapat tentang cara yang paling baik untuk mempertahankan Madinah. Seorang Sahabat, Salman al-Farsi, telah mencadangkan agar orang Islam menggali parit di beberapa kawasan Madinah, khususnya di Utara dan Barat. Ada kemungkinan Salman al-Farsi mengetahui taktik peperangan ini yang pernah digunakan oleh bala tentera Farsi pada zaman purba. Taktik ini lazim digunakan untuk mempertahankan diri dari tentera berkuda.
Rasulullah (saw) bersetuju dengan cadangan ini dan memerintahkan parit digali. Pada zaman Rasulullah (saw) kawasan Timur dan Selatan Madinah dilindungi kawasan aliran lahar, tumbuhan dan kawasan tinggi seperti kawasan pergunungan. Kawasan-kawasan ini sukar ditembusi penyerang. Kawasan terbuka yang membolehkan tentera Jahiliyah merapati Madinah terletak di sebelah Utara dan Barat.
Orang Islam telah menyiapkan parit dalam masa enam hari. Penduduk-penduduk yang tinggal di pinggir bandar dipindahkan ke dalam kawasan Madinah dan rumah yang mereka kosongkan telah digunakan sebagai benteng pertahanan. Sementara itu Rasulullah (saw) juga memerintahkan supaya buah tamar dan tumbuhan lain dipetik atau dituai awal. Ini untuk memastikan orang Islam cukup bekalan makanan dan sekaligus memastikan pihak musuh tidak. Kebijaksanaan Rasulullah (saw) untuk memastikan musuh tidak mendapat bekalan makanan ini merupakan langkah penting di dalam peperangan pengepungan (siege warfare).

Imej 3: Kedudukan Parit
‘Kedudukan Parit’ (Imej 3) menunjukkan lokasi parit yang telah digali pada Utara dan Barat Madinah.
Kawasan pergunungan ‘Ayr (Imej 4, bulatan putih) melindungi jalan masuk (approaches) dari arah Barat Daya. Kedudukan Banu Qurayzah mungkin berhampiran petanda ‘F’ di dalam imej satelit (lihat Imej 3 dan 4).

Bala tentera Ahzab telah menuju ke kawasan Uhud (‘D’ dalam Imej 1 dan 4) dengan harapan untuk bertempur dengan tentera Islam di situ, dan seterusnya menghancurkan masyarakat Islam Madinah. Malah, Abu Sufyan telah mencabar orang Islam untuk bertemu di sana selepas peperangan Uhud dahulu.

Imej 4: Kedudukan 'Ayr, Barat Daya Madinah, dan kedudukan Banu Qurayzah
Malangnya Abu Sufyan tidak menepati janjinya dan sekarang beliau berazam untuk menghancurkan tentera Islam untuk selama-lamanya untuk menebus perasaan malu kerana tidak tampil pada masa yang dijanjikan. Orang Jahiliyah kecewa apabila sampai di kawasan Uhud kerana tentera Islam tiada kelihatan. Sebaliknya mereka berhadapan dengan pejuang Islam hanya selepas mara ke Selatan (dari Uhud) ke arah Madinah. Masalahnya, terdapat parit (yang diperkukuhkan dengan pembinaan pertahanan, pemanah dan batu yang digunakan sebagai misil) di antara mereka dengan tentera Islam itu.
Oleh kerana orang Arab tidak biasa menggunakan taktik yang digunakan orang Islam — parit idea orang Farsi — maka tentera Quraysh di bawah pimpinan Abu Sufyan terbuntu. Mereka biasanya bertempur depan sama depan di dalam kawasan lapang; malah mereka memegang kod kepahlawanan di mana mereka bertempur satu lawan satu, dan parit ini merupakan taktik baru dan menjadi hambatan kepada mereka.
Namun, orang Arab, mahupun mereka yang jahil dan kejam, mempunyai beberapa ciri terpuji. Salah satu dari ciri-ciri tersebut ialah rasa maruah yang tinggi. Oleh hal yang demikian, empat orang pejuang Quraysh telah mencuba, dan akhirnya berjaya, melintasi parit di Utara Madinah sehingga sampai di kawasan berbukit Sala’ (‘I’ dan ‘H’), di mana mereka bertemu dengan anggota pertahanan Islam yang termasuk Sayidina Ali bin Abi Talib (ra) yang telah datang untuk memintas mereka. Seorang Quraysh, Amr ibn Abd Wudd, pendekar termasyhur, telah berdepan dengan pasukan pertahanan ini dan telah mengejek dan mencabar orang Islam untuk bertempur, satu lawan satu. Tiada Sahabat yang berada di sana sanggup melakukannya kecuali Sayidina Ali (ra), yang tampil menyahut cabaran Amr. Sebelum bertempur, Sayidina Ali (ra) dikatakan telah menjemput beliau untuk menjadi orang Islam. Amr enggan berbuat demikian. Malah, Amr juga enggan bertempur dengan Sayidina Ali (ra) kerana pada pandangan beliau, Sayidina Ali (ra) hanya seorang belia dan Amr tidak mahu membunuhnya. Namun, Sayidina Ali (ra) telah menjawab yang beliau (Sayidina Ali) ingin membunuh Amr. Maka mereka telah bertempur dan Sayidina Ali (ra) telah berjaya membunuh Amr, seorang pendekar terulung Quraysh.
Selepas kejadian ini dilaporkan bahawa pihak Jahiliyah mengasak kedudukan orang Islam bertubi-tubi sehinggalah buat pertama kalinya Rasulullah (saw) dan para Sahabat tidak sempat menunaikan solat. Dilaporkan mereka menunaikan solat zuhr dan asar selepas turun matahari.
Pihak Quraysh dan sekutunya menyedari bahawa mereka tidak ada cara untuk membolosi parit dan sistem pertahanan Islam — mereka terpaksa berkampung di kawasan Madinah dan menjalankan peperangan pengepungan.
Peperangan pengepungan merupakan satu taktik peperangan yang lazimnya sukar dilaksanakan. Ianya bertujuan untuk mengalahkan musuh sama ada melalui peperangan pelumpuhan (war of attrition) dan/atau serangan. Penyerang memerlukan sistem bekalan yang baik, peralatan yang sesuai dan, paling penting, semangat (morale) yang tinggi. Pengepungan boleh mengambil masa yang panjang dan selagi pihak yang bertahan mempunyai bekalan (makanan, minuman, pesenjataan) yang mencukupi, boleh meleret sehingga berbulan-bulan lamanya.
Sudah dikatakan bahawa Quraysh dan sekutu mereka tidak biasa menjalankan peperangan sedemikian. Walaupun tentera Islam telah menggunakan taktik pengepungan semasa pengusiran Bani Qaynuqa dan Bani Nadir dari Madinah, orang Arab zaman Rasulullah (saw) lebih biasa berperang di kawasan terbuka di mana isu peperangan boleh ditentukan dengan kombat dalam masa sehari atau dua.
Di dalam peperangan Ahzab, pihak Bersekutu bersemuka dengan sistem pertahanan perparitan dan terpaksa menjalankan kepungan untuk hampir sebulan di dalam musim sejuk.
Semasa kepungan ini, orang Islam bergantung kepada Bani Qurayzah (Yahudi) untuk bekalan makanan dan persenjataan. Bani Qurayzah terikat dengan perjanjian perdamaian dengan orang Islam Madinah. Mereka ini merupakan kaum yang cekap dengan kerja logam dan pandai membuat senjata. Di dalam usaha untuk melemahkan pertahanan orang Islam, ketua Yahudi, Huyayy dari Bani Nadir, telah berjumpa Ka’b ibn Asad, ketua Qurayzah, untuk meminta Quzayrah mengkhianati perjanjian mereka dengan orang Islam — Ka’b sendiri telah memeterai perjanjian dengan Rasulullah (saw) — yakni Perjanjian Madinah atau Sahifah Madinah.
Huyayy telah berjaya dengan misinya. Bani Qurayzah telah mengkhianati perjanjian mereka — dilaporkan Huyayy dan Ka’b telah mengoyakkan perjanjian bertulis itu — sekaligus menunjukkan permusuhan berkekalan kaum Yahudi terhadap Islam. Pengkhianatan ini juga mempelawa balasan yang berat ke atas Bani Qurayzah selepas peperangan Khandaq: kesemua lelaki (dan seorang wanita yang telah membunuh seorang Islam) kaum itu telah dihukum bunuh oleh Sa’d ibn Mu’adh, ketua Aws yang terdahulu merupakan sekutu rapat kaum Qurayzah, kecuali empat orang — tiga yang memeluk Islam dan seorang yang telah membantah pengkhianatan Perjanjian Madinah.
Banyak penulisan, lazimnya dihasilkan Orientalis, telah mengguna insiden ini — dilaporkan seramai 700 orang Qurayzah telah dipenggal kepala mereka di Madinah — sebagai contoh betapa ganasnya orang Islam (dan Rasul) terhadap musuh mereka. Namun, sebenarnya, pertama, Rasulullah (saw) telah membenarkan Sa’d ibn Mu’adh, yang merupakan orang yang berkawan baik dengan Bani Qurayzah, untuk menentukan hukuman. Ramai dari kalangan orang Aws yang telah meminta Sa’d supaya tidak menjatuhkan hukum yang terlalu berat terhadap Qurayzah. Kedua, hukuman mati yang dijatuhkan Sa’d merupakan hukuman yang menepati undang-undang Yahudi terhadap penduduk bandar yang dikepung. [lihat Notakaki 1]
Di dalam keadaan getir dan sukar, tentera Islam terpaksa membuka barisan hadapan kedua (second front) dan menghantar sekumpulan kavalri untuk meronda dan berjaga-jaga di bandar Madinah itu sendiri kerana khuatir pihak munafik dan pengkhianat Yahudi akan mengapa-apakan kaum Muslimat dan kanak-kanak yang berlindung di kediaman mereka di sana. Ini juga bermakna mereka yang berkawal di barisan hadapan kekuranagn anggota dan terpaksa berkawal lebih. Keadaan yang sememangnya sukar ini dijadikan lebih rumit dengan kekurangan makanan dan cuaca yang sejuk.
Tidak banyak penulisan yang menggambarkan betapa sukarnya bagi orang Islam untuk menghadapi ancaman dari tentera Ahzab dan ancaman dalaman (munafik dan Yahudi) ini. Bilangan dan kelengkapan perang orang Islam jauh lebih kurang dari musuh. Mereka perlu sentiasa berjaga-jaga siang dan malam untuk memastikan sistem pertahanan tidak dibolosi. Tentera Jahiliyah hanya memerlukan tempat bertapak (foothold) di mana-manapun di dalam sistem pertahanan ini untuk membolehkan mereka menyerbu masuk terus ke dalam kawasan bandar Madinah. Bilangan mereka yang besar, terutama pasukan kavalri, akan memastikan Madinah akan dapat dikerumuni oleh mereka dan orang Islam dapat ditewaskan dengan mudah.
Keadaan getir dan cemas yang dialami orang Islam boleh dibayangkan dengan keratan ayat suci al-Qur’an (Surah al-Ahzab, 33:10) ini:
(Iaitu) ketika tentera musuh datang menyerang kamu dari sebelah atas dan dari sebelah bawah (tempat pertahanan) kamu dan pada ketika pandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan (adakah mendapat pertolongan atau tidak)
Inilah cabaran yang dihadapi oleh orang Islam Madinah semasa peperangan Khandaq: ramai penulis yang menyatakan dari segi ‘survival’ atau kewujudan Islam, pentingnya peperangan Khandaq sama dengan peperangan Badr — kekalahan akan menyebabkan terhapusnya Islam. Akan tetapi, berlainan dengan Badr, peperangan Khandaq berlarutan, dan orang Islam berhadapan dengan hampir kesemua kaum dan suku yang signifikan dari daerah-daerah Hijaz dan Nejd — hampir kesemua kawasan — semenanjung Arab.
Lama kelamaan keadaan yang membawa tekanan fizikal dan mental menjadikan kedua-dua pihak berasa keletihan yang amat. Di pihak tentera Ahzab, orang Badwi mula meninggalkan medan untuk pulang ke halaman. Di pihak orang Islam pula, semangat, mahupun bukan iman, bertambah kurang. Sesuatu perlu dilakukan untuk mematahkan kepungan yang mereka hadapi hampir sebulan lamanya.
Rasulullah (saw) membuat perancangan strategik yang bijak. Baginda tahu bahawa tentera Ahzab sebenarnya tidak bersatu di dalam tujuan perang (War Aim) mereka. Pihak Quraysh mahu membalas dendam ke atas kesemua ‘kesalahan’ yang telah dilakukan oleh Rasulullah (saw) dan orang Islam terhadap budaya dan cara hidup mereka. Quraysh tersinggung di atas kecelakaan yang telah diajukan kepada agama dan tuhan-tuhan palsu mereka; Bani Ghatafan lebih melihat pada keuntungan dan rampasan perang yang bakal diperoleh oleh mereka sekiranya Madinah dapat ditundukkan; Yahudi, pemula peperangan ini, pula tidak akan berpuas hati sehingga Islam dihapuskan dari bumi Arabia.
Berlandaskan pengetahuan perbezaan asas ini, Baginda bertindak untuk memecah belah pihak musuh. Baginda berunding dengan Bani Ghatafan agar mereka berundur dengan menggunakan hasil tumbuhan sebagai imbuhan, yakni mereka akan diberi satu pertiga hasil kutipan buah tamar sekiranya mereka berundur. Walaupun rundingan ini tidak berhasil dengan persetujuan, ianya berjaya menimbulkan keraguan akan kebergunaan kehadiran mereka di Madinah di dalam hati Bani Ghatafan.
Dengan Quraysh dan Qurayzah pula, Baginda menggunakan pendekatan berlainan. Baginda mengetahui bahawa motivasi kumpulan-kumpulan ini berlainan dari Ghatafan. Penglibatan Quraysh dan Qurayzah didorong lebih oleh ideologi berbanding keuntungan material yang menjadi pendorong utama Bani Ghatafan. Di dalam hal ini, kehadiran dan penglibatan Nu’aym ibn Mas’ud sangat penting. Nu’aym merupakan seorang ahli Bani Ghatafan yang telah memeluk Islam; namun keislamannya tidak diketahui umum. Nu’aym dikenali oleh Qurayzah dan Quraysh. Pelan muslihat (deception plan) Baginda Rasulullah (saw) dilaksanakan oleh Nu’aym yang telah pergi ke Bani Qurayzah. Di sana Nu’aym telah menanam keraguan di kalangan Yahudi akan keikhlasan Quraysh untuk berjuang bersama-sama Qurayzah sekiranya mereka (Qurayzah) menyerang orang Islam dari dalam Madinah. Qurayzah risau yang sekiranya pertempuran tidak menyebelahi mereka, mereka akan mendapat nasib yang sama seperti Bani Qaynuqa dan Bani Nadir yang telah dihalau dari Madinah; Quraysh dan Ghatafan boleh dan akan pulang ke halaman mereka di Makkah dan Nejd sementara Qurayzah pula akan berpindah randah dan tiada tempat berteduh serta hilang semua harta mereka kepada pihak orang Islam. Nu’aym menasihatkan Qurayzah meminta pihak Arab Jahiliyah (Quraysh dan Ghatafan) memberi tebusan — adat yang bukan luar biasa zaman itu — untuk memastikan pembelotan mereka tidak berlaku.
Selepas helahnya dengan Qurayzah, Nu’aym pergi pula kepada Quraysh (beliau dikenali Abu Sufyan). Di kalangan Quraysh pula, Nu’aym menimbulkan keraguan mengenai keikhlasan Qurayzah untuk berjuang berhabis-habisan bersama Quraysh. Malah Nu’aym berkata yang Bani Qurayzah akan meminta tebusan dari Quraysh dan berkemungkinan akan menyerahkan tebusan Quraysh kepada orang Islam. Nu’aym mengulangi helah ini di kalangan kaumnya, Bani Ghatafan. Perlu diingat azam Ghatafan telah dilemahkan oleh tawaran imbuhan material sebelum ini.
Helah psikologi ini menimbulkan banyak soalan di dalam hati ketiga-tiga sekutu itu sehinggalah mereka meragui dan saling mengsyaki satu sama lain. Dengan penggunaan taktik ini terhadap ketiga-tiga kumpulan musuh, Rasulullah (saw) telah berjaya melumpuhkan semangat (morale) mereka, dan semangat tinggi perlu untuk menjayakan kepungan.
Di dalam keadan yang cemas, sukar, bahaya dan getir ini Rasulullah (saw) juga telah membaca du’a Qunut Nazilah untuk memohon pertolongan Allah swt untuk menentang musuh-musuh Islam.
Cuaca, seperti dinotakan awal tadi, tidak baik dan, pada satu malam, hampir sebulan Madinah dikepung, datanglah angin kencang serta ribut hujan bersama kilat yang memancar. Angin ribut ini telah menyebabkan tercabutnya khemah-khemah musuh Islam dan mereka menghadapi situasi yang amat susah dengan kesejukan merumitkan lagi kelaparan dan kepenatan, serta semangat yang rendah.
Ini juga dilaporkan di dalam al-Qur’an (33:9)
Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah ni’mat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut serta angkatan tentera (daripada malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. (Ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan
Seketika sebelum fajar, Abu Sufyan, sebagai ketua ekspedisi, mengambil keputusan untuk memberhentikan pengepungan dan berundur. Ini disaksikan sendiri oleh Hudhayfah ibn Yaman yang telah diperintah oleh Rasulullah (saw) untuk mengintip kem musuh (satu tanda beratnya kesan peperangan berpanjangan ini terhadap orang Islam ialah apabila Rasulullah (saw) meminta sukarela untuk mengintip kem Quraysh dengan menjanjikan syurga, tiada yang tampil sehinggalah Baginda memerintah Hudhayfah untuk melakukannya. Walaupun tidak menawarkan dirinya, apabila dipilih Hudhayfah tidak menolak kerana menghormati Rasulullah (saw) ).
Apabila fajar menyinsing, Bilal melaungkan azan dan selepas solat subuh, orang Islam telah disambut dengan pandangan yang menakjubkan: tanah lapang di sebelah jauh parit yang semalamnya dipenuhi musuh kelihatan sepi dan kosong. AllahuAkbar
_______
Notakaki 1.
Perjanjian Lama (Old Testament, Pentateuch, kitab Yahudi): Deuteronomy (Ulangan) 20:12-14 berbunyi:
20:12 Tetapi apabila kota itu tidak mau berdamai dengan engkau, melainkan mengadakan pertempuran melawan engkau, maka haruslah engkau mengepungnya;
20:13 dan setelah TUHAN, Allahmu, menyerahkannya ke dalam tanganmu, maka haruslah engkau membunuh seluruh penduduknya yang laki-laki dengan mata pedang.
20:14 Hanya perempuan, anak-anak, hewan dan segala yang ada di kota itu, yakni seluruh jarahan itu, boleh kaurampas bagimu sendiri, dan jarahan yang dari musuhmu ini, yang diberikan kepadamu oleh TUHAN, Allahmu, boleh kaupergunakan.
Sumber: Bible (Alkitab) — Indonesian (Terjemahan Baru).
http://bibledbdata.org/onlinebibles/indonesian_tb/05_020.htm
[Pengisytiharan Kod Lanun:
- Terjemahan Surah al-Ahzab dipetik dari al-Qur’an Mushaf Malaysia dan Terjemahan terbitan Yayasan Restu 2005.
- Gambar-gambar beberapa dari Masjid Tujuh di Madinah.
- Anda boleh lawati Madinah melalui peta maya Google.]
Changelog: 2009-02-16. Tambahan Notakaki 1 dan pembetulan kecil paragraf pelan muslihat Rasulullah (saw).