Translate

Monday, February 2, 2026

Naik gaji, orang kerajaan jadi buruan

 

Image

Oleh NOOR HASLIZA NUSI, MOHD AZLI ADLAN, LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR dan DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

PETALING JAYA – Pelarasan gaji baharu fasa kedua yang dinikmati golongan penjawat awam baru-baru ini menjadikan mereka sebagai sasaran utama pihak bank termasuk syarikat kewangan yang menawarkan pelbagai pakej pinjaman. 

Tidak hanya tawaran bagi membuat pinjaman baharu dan kad kredit, ada juga penjawat awam yang ‘dikejar’ agensi pelaburan dan insurans dengan tawaran masing-masing.

 Situasi itu menyebabkan ramai penjawat awam tidak senang duduk dan berasa rimas apabila mereka menerima pelbagai mesej dan panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali sejak awal tahun.

Pelarasan gaji Fasa 2 sebanyak tujuh peratus mula dinikmati penjawat awam dalam gaji pada 22 Januari lalu selepas mereka turut memperoleh kenaikan gaji baharu Fasa 1 sebanyak lapan peratus yang diberikan pada Disember 2024.

Menerusi pelarasan di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu, setiap penjawat awam dari kategori pelaksana dan pengurusan serta profesional menikmati kenaikan gaji sehingga RM1,300 bergantung kepada gred. 

Di George Town, rata-rata penjawat awam di negeri ini mendakwa menerima puluhan panggilan telefon dan mesej pesanan khidmat ringkas (SMS) daripada pihak bank sejak dua minggu lalu.

 Seorang anggota keselamatan, Ramzi Ahmad, 48, berkata, dia menerima tawaran berbentuk pinjaman baharu selain pinjaman bertindih atas pinjaman lama yang ditawarkan oleh sebuah bank. 

Menurut bapa kepada enam anak itu, tawaran menarik yang diberikan itu membuatkan dia perlu lebih berhati-hati terutama memikirkan risiko yang bakal dihadapi di kemudian hari. 

“Memang saya ada membuat pinjaman peribadi dan pinjaman pembelian kereta dengan sebuah bank. Kali ini, mereka (bank yang sama) menawarkan pinjaman baharu atau overlap untuk satukan semua pinjaman tersebut bagi membantu mengurangkan komitmen bulanan. 

“Saya risau, takut (pinjaman baharu) tersasar daripada matlamat asal. Bimbang juga berdepan masalah jika lanjut tempoh pinjaman termasuk masih perlu membiaya pinjaman bank walaupun sudah pencen kelak.

 “Kalau boleh memang mahu elak tanggung bebanan hutang, tetapi terpaksa lakukan jika keadaan kewangan ketika ini tidak mengizinkan,” katanya kepada Kosmo!. 

Seorang lagi penjawat awam, yang mahu dikenali sebagai Puan Lina, 49, memberitahu, dia juga sering menerima panggilan telefon daripada pihak bank yang menawarkan pinjaman dan kad kredit.

“Mereka menawarkan pelbagai inisiatif bagi pinjaman kad kredit termasuk ganjaran tunai (cashback), mata bonus serta diskaun promosi.

 “Dengar agak menarik dan banyak manfaat tetapi bagi saya, cukuplah sekadar memegang hanya satu kad kredit dan satu kad debit. Penggunaan dua kad yang serentak membolehkan pengurusan kewangan yang lebih fleksibel,” katanya. 

Di Kuala Terengganu, seorang penjawat awam, Siti Jamilah Hanim Jamil, 42, berkata, dia mula rasa tidak selesa apabila kerap dihubungi individu yang mengaku pegawai bank dengan tawaran pinjaman peribadi. 

“Mereka pujuk saya agar mohon pinjaman peribadi baharu bagi menyatukan hutang-hutang sedia ada. 

“Panggilan itu semakin kerap sejak minggu lalu sewaktu penjawat awam seperti saya baru menerima kenaikan gaji baharu,” katanya. 

Siti Jamilah Hanim berkata, dia sebolehnya tidak mahu menambah hutang baharu sedangkan gaji diterimanya itu sepatutnya disalurkan kepada perkara lebih penting demi masa depan keluarga terutama anakanaknya. 

Kamaruddin Abdul Karim, 50, pula berkata, selain pihak bank, ada juga pihak mengaku dari syarikat insurans dan takaful yang menghubunginya baru-baru ini. 

“Tidak cukup panggilan telefon, saya juga menerima tawaran skim takaful dan insurans menerusi emel, sistem kiriman ringkas (SMS) dan aplikasi WhatsApp.

 “Bagaimana boleh dapat butiran email dan nombor telefon saya. Mereka seakan tahu saya baru dapat kenaikan gaji,” katanya. 

Di Melaka, ramai penjawat awam di negeri ini turut menerima panggilan daripada ejen perunding kewangan yang menawarkan pinjaman peribadi serta pakej lain. 

Seorang tenaga pengajar di sebuah kolej milik kerajaan, Azwar Kamaruzaman, 31, berkata, dia terkejut apabila ejen perunding itu mengetahui setiap butiran peribadinya sebelum ditawarkan pinjaman peribadi.

 “Mereka hubungi dan menyebut nama penuh saya untuk pastikan identiti, kemudian memperkenalkan diri sebagai perunding dan ejen kewangan iaitu pihak ketiga yang akan berurusan dengan bank. 

“Saya agak pelik sebab perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Tidak pasti juga sama ada mereka itu dari syarikat kewangan yang sah ataupun scammer,” katanya. 

Di Ipoh, seorang kakitangan majlis agama Islam negeri berkata, kenaikan gaji yang dinikmati penjawat awam baru-baru ini seharuskan digunakan untuk perkara lain dan bukannya sebagai ‘tiket’ untuk menambah hutang. 

Nurul Atiqah Amirudin, 39, berkata, mesej dan panggilan telefon yang diterimanya juga bukanlah baharu, tetapi sudah berlaku sejak tahun lalu.

 “Apabila ada berita baik seperti kenaikan gaji dan bonus, mereka ini mula buat kerja. Ada sahaja panggilan atau WhatsApp yang diterima setiap hari,” katanya.

Sunday, February 1, 2026

Rugi RM62,000 ditipu tender palsu ILP Marang

 

Image

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik syarikat pembekalan kerugian RM62,000 apabila diperdaya dengan tawaran tender palsu pembekalan kabel elektrik kononnya kepada Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang.

Lelaki berusia 37 tahun yang menyedari tertipu itu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pukul 1.51 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, usahawan tersebut telah dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang individu mendakwa kononnya pegawai ILP Marang pada pukul 12.52 tengah hari, 11 Januari lalu.
“Mangsa yang ketika itu berada di pejabatnya di Chendering di sini telah ditawarkan tender pembekalan kabel elektrik jenis 16 milimeter (mm) dan 2.5 mm.

“Projek yang kononnya bernilai RM67,770.00 itu diminta agar disiapkan dalam tempoh tiga hari,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, suspek kemudiannya berpura-pura mahu membuat tambahan pembekalan plug mudah alih sebelum mencadangkan syarikat pembekal kepada usahawan tersebut.

Beliau berkata, pemilik syarikat pembekalan terbabit yang tidak curiga apa-apa telah membuat pesanan dengan membuat pembayaran kepada syarikat pembekal terbabit.

“Pembayaran keseluruhan RM62,000 itu dilakukan menerusi dua transaksi dalam tempoh dua hari bermula Ahad lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Simpanan RM50,000 pesara lesap ditipu ‘scammer’

 

Image

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut dituduh kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang pesara kerugian RM50,000 diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.

Wanita warga emas berusia 71 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 10.05 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian malang itu berlaku selepas mangsa dihubungi individu tidak dikenali mengaku kononnya wakil sebuah syarikat utiliti semasa berada di rumahnya di Batu Rakit, Kuala Nerus pada Khamis lalu.

“Suspek mendakwa kononnya nama mangsa telah digunakan untuk pemasangan meter utiliti yang telah diubah suai di Pahang.

“Mangsa bertambah gelabah apabila panggilannya disambung pula ke individu lain mengaku pegawai polis,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, pesara berkenaan terus tidak keruan apabila didakwa kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Beliau berkata, wanita warga emas itu akur dengan arahan suspek agar memindahkan semua wang simpanan ke akaun bank diberikan kononnya bagi tujuan penyiasatan.

“Mangsa mula curiga apabila wang simpanannya tidak dipulangkan seperti dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE