Pages

Ads 468x60px

Featured Posts

26 February 2013

Akhlak Rasulullah SAW sebagai Pendidik.



Akhlak Rasulullah SAW sebagai pendidik.

عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: خدمت رسول الله صلى الله عليه وسلم عشر سنين , فما قال لي أف قط ,وما قال لي لشيء صنعته لم صنعته , ولا لشيء تركته: لم تركته....أخرجه الترمذي.
Terjemahan maksud:
Dari Anas bin Malik, beliau berkata: Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah selama sepuluh tahun. Tidak pernah kepadaku Nabi berkata ,”أف “ dan tidak pernah Nabi berkata,”Kenapa kamu lakukan?” terhadap sesuatu yang aku kerjakan. Dan tidak pernah berkata,” Kenapa kamu tinggalkan?” terhadap sesuatu yang aku cuaikan.

Pengajaran Hadis:
Nabi Muhammad SAW adalah sebaik-baik manusia yang berakhlak. Setiap ucapan,perlakuan, dan gerak tubuh baginda adalah contoh dan teladan yang harus diikuti oleh umat Islam seluruhnya. Hadis di atas adalah cebisan daripada kesempurnaan dan kecantikan akhlak Nabi SAW. 
Lihatlah betapa halusnya akhlak baginda  ketika berhadapan dengan para sahabatnya. Saidina Anas bin Malik ketika itu, masih dalam usia kanak-kanak. Beliaulah yang  membantu memenuhi segala keperluan dan hajat Rasulullah SAW. Baginda SAW tidak pernah marah apatah lagi mencela dengan ucapan kasar . 

Marah adalah sifat mazmumah, iaitu tercela. Kemarahan tercetus kerana longgarnya pegangan iman dengan qada’ dan qadar . Rasulullah mengajar umatnya bahawa setiap perbuatan makhluk adalah berlaku  dengan qada’ dan qadar Allah. Maka hendaklah kita sentiasa berlapang dada, sabar dan memberi maaf.

Fuqahak ada menyatakan bahawa bermula umur tujuh tahun, syarak mewajibkan seorang bapa menyuruh anak-anaknya mengerjakan ibadah seperti solat lima waktu dan melarang perbuatan haram seperti zina. Setelah mencecah usia sepuluh tahun,seorang bapa diharuskan untuk memukul mereka jika suruhan tersebut tidak dipatuhi. 

Memukul yang dimaksudkan bukanlah pukulan yang menyakiti . Cukuplah dengan pukulan yang mendidik  agar mereka tahu kesilapan kerana mencuaikan tanggungjawab agama. Perlu ditegaskan di sini bahawa Nabi SAW mengajar ibu bapa supaya berlemah lembut ketika mendidik anak-anak. Jangan sesekali menengking-nengking, mencela dan sebagainya. Memukul adalah cara terakhir jika anak-anak berterusan degil dan mengingkari arahan .

Kesimpulannya, seorang pendidik adalah kuat pertalian hatinya dengan Allah SWT dan penuh dengan rasa kasih sayang terhadap makhluk sekelilingnya. Inilah manhaj pendidikan yang diwariskan Nabi SAW sepanjang zaman . 

14 Rabiul Akhir 1432