Dr Mohd Khafidz Soroni
Antara ciri utama kemunculan Imam al-Mahdi ialah tempoh masa beliau berada dalam kalangan umat manusia tidak terlalu lama iaitu antara tujuh hingga sembilan tahun sahaja. Ciri ini juga cukup untuk membungkam setiap dakwaan pada individu tertentu sebagai Imam al-Mahdi yang tempoh masanya sudah berlalu selama puluhan tahun. Ini kerana tempoh Imam al-Mahdi muncul sehingga beliau meninggal dunia tidak sampai pada jangka masa yang begitu lama.
Antara dalilnya, dalam riwayat Abu Said al-Khudri RA disebut tempoh kemunculannya adalah selama tujuh tahun, iaitu Rasulullah SAW bersabda: “Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah seorang lelaki daripada ahli baitku yang luas dahinya lagi mancung hidungnya akan memenuhkan dunia dengan keadilan sebagaimana sebelumnya ia dipenuhi dengan kezaliman yang akan berlangsung selama tujuh tahun.” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan Ibnu Hibban dengan sanad hasan)
Dalam riwayat Abu Said al-Khudri RA yang lain disebut tempohnya sama ada tujuh atau lapan tahun, iaitu Rasulullah SAW bersabda: “Akan keluar dalam kalangan umatku yang akhir al-Mahdi, lalu Allah akan menurunkan hujan kepadanya, bumi akan mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya, dia akan mengagihkan harta walaupun kepada orang yang sihat, binatang ternak akan berkembang biak, umat Islam pula semakin ramai dan dia akan hidup selama tujuh atau lapan tahun.” (Riwayat al-Hakim dan katanya: sahih sanadnya)
Dalam riwayat Abu Hurairah RA pula ditambah sembilan tahun iaitu Nabi SAW bersabda: “Akan ada pada umatku al-Mahdi, jika pendek (tempoh pemerintahannya) maka selama tujuh tahun. Jika tidak, maka selama lapan tahun dan jika tidak, maka selama sembilan tahun. Umatku akan berasakan ketika itu kenikmatan yang belum pernah mereka rasakan nikmat seumpamanya. Langit akan menurunkan hujan ke atas mereka, bumi tidak akan menyembunyikan sedikit pun daripada tumbuh-tumbuhannya dan harta pula bertimbun. Lalu, ada seorang lelaki berdiri lantas berkata: ‘Wahai Mahdi, berikanlah aku. Maka, beliau menjawab: ‘Ambillah.'” (Riwayat Abu Ya’la dan at-Tabarani dalam al-Awsat dengan sanad sahih)
Dalam riwayat Ummu Salamah RA, situasi yang digambarkan mengenai kemunculan al-Mahdi agak sedikit terperinci iaitu Nabi SAW bersabda: “Akan berlaku perselisihan ketika matinya khalifah. Lalu, keluarlah seorang lelaki daripada penduduk Madinah lari ke Makkah. Lantas datang kepadanya sekumpulan orang daripada penduduk Makkah. Mereka mengeluarkannya, sedangkan dia berasa benci. Maka, mereka pun membaiahnya di antara rukun (al-Hajar al-Aswad) dan maqam (Ibrahim). Akan diutuskan kepadanya satu angkatan daripada Syam, namun mereka ditenggelamkan di Baida’ iaitu antara Makkah dan Madinah. Maka, apabila manusia melihat demikian, akan datang kepadanya Abdal Syam dan Asa’ib ahli Iraq (dua golongan wali pilihan Allah SWT), lantas mereka turut membaiahnya antara rukun dan maqam. Kemudian akan muncul pula seorang lelaki daripada Quraisy (seteru kepada al-Mahdi), yang pak cik-pak ciknya adalah Bani Kalb. Lalu, dia mengutuskan kepada mereka satu angkatan, lantas mereka (tentera al-Mahdi) pun mengalahkannya. Demikian itulah angkatan Bani Kalb. Satu kerugian bagi orang yang tidak menyaksikan harta rampasan Bani Kalb. Seterusnya, dia akan membahagi-bahagikan harta, melaksanakan terhadap manusia sunah nabi mereka, serta meneguhkan agama Islam di muka bumi. Dia akan kekal selama tujuh tahun. Sebahagian perawi menyebut; sembilan tahun. Kemudian dia akan wafat dan akan disembahyang oleh Muslimin.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud, Abu Ya’la, Ibn Hibban dan al-Tabarani. Hadis hasan li-ghairih)
Tempoh kemunculan Imam al-Mahdi antara tujuh hingga sembilan tahun ini boleh dikatakan antara fasa paling kritikal dalam peristiwa akhir zaman. Ini kerana dalam tempoh inilah Dajjal akan keluar untuk membuat kerosakan dan menyesatkan umat manusia serta Nabi Isa AS akan turun ke bumi bagi membunuh Dajjal.
Hadis di atas turut memperincikan sedikit sebanyak mengenai perkara yang akan berlaku di sepanjang era kemunculan Imam al-Mahdi yang akan memenuhkan dunia dengan keadilan dan keamanan. Antaranya, langit akan menurunkan hujan kepada umat manusia, bumi akan mengeluarkan segala tanamannya, binatang ternak akan berkembang biak, harta akan bertimbun, beliau akan mengagihkan harta walaupun kepada orang yang berkemampuan, melaksanakan sunah Nabi SAW, meneguhkan agama Islam di muka bumi serta umat Islam akan bertambah ramai.
Beliau juga akan menghadapi beberapa tentangan daripada pihak musuh. Antaranya ialah daripada angkatan Bani Kalb. Pada siri akan datang penulis akan menjelaskan pula mengenai tentangan terbesar yang akan dihadapi oleh Imam al-Mahdi sehingga tercetusnya peristiwa ‘al-malhamah al-kubra’ (perang besar).

