Weblog Cikgu Jumali

Image

Khusus Untuk Pelajar yang Mengambil Mata Pelajaran Sejarah STPM (940)…

Kisah Benar Pengalaman Seorang Guru…


Image

Gambar Hiasan Sahaja 

Paparkan kali ini ialah kisah benar seorang guru yang berlaku beberapa tahun yang lalu. Beliau menyaksikan sendiri kesusahan sebuah keluarga. Bacalah…..

Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur . Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah.

Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.

Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat.

Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa.

Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat.

Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.

Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.

Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah.

Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.

Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya.

Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.

Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.

 “Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”

Dia terkejut dan wajahnya berubah.

“Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya

“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”

” Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.”

Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….”

Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.

Cerita-cerita  begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara-perkara berikut :

i. Solat sunat

ii. puasa sunat

iii. berzikir

iv. bersedekah

v. mengusap rambut anak yatim

vi. mendengar cerita-cerita kesusahan orang lain

vii. membantu orang susah

Wassalam

Sumber Weblog Tulahan

Filed under: Mesti Baca

Koleksi Soalan Trial STPM Sejarah Kertas 1, 2011…


Image

Assalamualaikum….., post kali ini cikgu nak kongsikan koleksi soalan trial Sejarah kertas 1, 2011… Lepas tu Cikgu nak anda semua buat ulangkaji…  nanti-nanti cikgu update satu persatu….. tunggu…

1.   Soalan dan Skema Jawapan STPM Sejarah K1 Negeri Perak 2011

2.   Soalan dan Skema Jawapan STPM Sejarah K1 Negeri Melaka 2011

3.   Soalan dan Skema Jawapan STPM Sejarah K1 Negeri Pahang 2011

4.   Soalan dan Skema Jawapan STPM Sejarah K1 Negeri Kedah 2011

5.   Soalan dan Skema Jawapan STPM Sejarah K1 Negeri Sabah 2011

6.   Soalan dan Skema Jawapan STPM Sejarah K1 Negeri Sembilan 2011

7.   Soalan dan Skema Jawapan STPM Sejarah K1 Negeri Perlis 2011

8.   Soalan dan Skema Jawapan STPM Sejarah K1 Negeri Selangor 2011

 

 

Cikgu Jumali…

 

Filed under: Bank Soalan

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Image

 

Cikgu Jumali mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pengunjung weblog Cikgu Jumali. Terima kasih kerana sudi mengakses weblog cikgu.

 

 

Filed under: Mesti Baca

Bagaimana Meraikan Ramadhan…


Image

Berikut disenaraikan 10 cara untuk meraikan kedatangan Ramadan al-Mubarak :

  1. Meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan fasik. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan masih lagi berbohong, maka Allah sama sekali tidak berhajat kepada hasil puasanya, walaupun dia berlapar dan berdahaga. (riwayat Bukhari).
  2. Menghidupkan malam dengan beribadat (qiamullail). Sesungguhnya ibadah qiamullail adalah kegemaran Nabi Muhammad SAW dan para sahabat baginda. Kata Ummul Mukminin Saidatina Aishah r.a.: Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah tidak pernah meninggalkannya. Apabila baginda sakit atau keletihan, baginda bersolat dalam keadaan duduk.Rasulullah SAW juga bersabda: Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim). Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau menggerakkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat” sambil membaca ayat 132 dari surah Taha yang bermaksud: Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.
  3. Bersedekah. Rasulullah SAW adalah seorang yang paling pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan”. (riwayat Tirmizi).
  4. Menjamu makanan. Golongan salaf as-soleh amat prihatin dan gemar menjamu makanan kepada orang lain dan mendahulukannya daripada ibadat sunat yang lain. Kesan daripada jamuan makanan ini dapat menimbulkan kasih sayang dan persaudaraan.Ia juga dapat memudahkan seseorang itu masuk ke syurga Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Wahai manusia, sebarkan salam, jamulah makanan, sambungkanlah silaturrahim, solatlah ketika orang lain sedang tidur, kamu akan memasuki syurga dengan selamat”. (riwayat Ahmad dan Tirmizi).Baginda bersabda lagi di dalam hadis yang lain: “Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang yang berpuasa itu”. (riwayat Ahmad).
  5. Banyak membaca al-Quran dan menangis ketika membacanya. Sebahagian besar para salaf as-soleh khatam al-Quran ketika mengerjakan qiamullail pada malam bulan Ramadan tiga hari sekali. Ada juga yang mengkhatamkannya seminggu sekali dan ada yang mengkhatamnya 10 hari sekali. Mereka juga sentiasa menangis ketika membaca al-Quran. Diriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab r.a. membaca surah al-Mutaffifin. Apabila sampai kepada ayat ke-6 yang bermaksud: Hari ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam, beliau menangis sehingga rebah dan tidak berdaya meneruskan bacaan berikutnya.
  6. Duduk di masjid sehingga terbit matahari. Diriwayatkan di dalam Sahih Muslim bahawa apabila Rasulullah selesai menunaikan solat subuh, baginda akan terus duduk di tempat solat baginda sehingga terbit matahari. Menurut sebuah hadis lagi, baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat subuh secara berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah SWT sehingga terbit matahari, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat, maka baginya pahala seperti pahala satu haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna”. Kata Sheikh Nasiruddin al-Bani: Hadith ini sahih.
  7. Iktikaf. Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi Muhammad beriktikaf selama 10 hari di dalam bulan Ramadan. Pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama 20 hari.
  8. Mengerjakan umrah. Rasulullah SAW pernah bersabda: Pahala mengerjakan umrah di dalam bulan Ramadan menyamai pahala satu kali haji. (riwayat Bukhari dan Muslim).
  9. Mencari-cari Lailatul Qadar. Rasulullah SAW akan mencari Lailatul Qadar pada bulan Ramadan dan menyuruh para sahabat mencari-cari malam tersebut. Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya pada 10 malam terakhir Ramadan dengan harapan supaya dapat memperoleh Lailatul Qadar yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaan. Ubay bin Ka‘ab berkata: Antara tanda dan alamat Lailatul Qadar sebagaimana yang telah diberitahu kepada kami oleh Rasulullah SAW iaitu matahari terbit pada pagi hari tersebut dalam keadaan redup. (riwayat Muslim).
  10. Memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar. Sesungguhnya siang dan malam pada bulan Ramadan adalah waktu yang sangat istimewa, maka rebutlah peluang tersebut dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab berdoa.

Antaranya, waktu berbuka, sepertiga malam yang terakhir, waktu sahur dan hari Jumaat. Oleh yang demikian, para salaf as-soleh amat prihatin dalam memantapkan amalan mereka dengan memperbanyakkan berzikir, berdoa dan memohon keampunan daripada Allah yang Maha Esa.

Filed under: Mesti Baca

Bagaimana Malaikat Mencabut Nyawa


Image 

Baginda Rasullullah S.A.W. bersabda :

“Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi :

“Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilingnya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S”.

“Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang itu tidak lagi melihat orang disekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.”

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata. “Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T.”

 Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan o! leh lida h orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :

“Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnnya dari arah lain.”

Sebaik sahaja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluarlah penulisan ilmu.

Maka berkata tangan : “Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini menusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan.”

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan, maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata : “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik menghadiri majlis-majlis ilmu.”

Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik sahaja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata : “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir.”

Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin ini dari arah mata tetapi baru sahaja hendak menghampiri mata, maka berkata mata : “Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah.”

Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : “Wahai malaikatku, tulis Asmaku ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu.”

Sebaik sahaja mendapat perintah Allah S.W.T maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik sahaja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang. Abu Bakar R.A telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A : “Roh itu menuju ketujuh tempat :

  • Roh para Nabi dan utusan menuju ke syurga Adnin.
  • Roh para ulama menuju ke syurga Firdaus
  • Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
  • Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
  • Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
  • Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
  • Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka.

 Wallahu A’lam

Filed under: Mesti Baca

Gerhana Bulan Paling Gelap


Image

FENOMENA gerhana bulan yang berlaku pada Jun tahun lalu yang dilihat orang ramai di sekitar Menara Taming Sari, di Bandar Hilir,  Melaka

 

Fenomena gerhana bulan penuh dijangka berlaku Khamis (16 Jun) ini iaitu gerhana paling gelap dalam tempoh 11 tahun apabila bulan melintasi umbra. Ini akan berlaku bermula jam 1.24 pagi untuk selama 100 minit dan menjadi gelap sepenuhnya pada jam 3.22 pagi.

Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr Kassim Bahali, berkata apa yang lebih menarik ialah fenomena itu berlaku sebanyak dua kali tahun ini, sekali lagi pada Disember nanti selepas kali terakhir berlaku pada 16 Julai 2000.

Katanya, gerhana penuh bulan yang cuma berlaku ketika fasa purnama ini juga boleh dilihat di benua Afrika, Eropah, sebahagian besar Asia dan Australia.

“Gerhana ini dikatakan paling gelap pernah berlaku kerana biasanya walaupun gerhana penuh, kita masih boleh melihat sedikit cahaya pada permukaan bulan. Keadaan ini disebabkan ketika fasa gerhana penuh itu, bulan melintasi bayang paling gelap bumi iaitu umbra. Permulaan gerhana penuh kali ini boleh dilihat penduduk di selatan Chile, timur Argentina dan timur Brazil.

“Di Malaysia, gerhana dapat dilihat ketika bulan terbit di langit timur pada awal pagi. Penghujung gerhana penuh dapat dilihat penduduk Thailand, Kemboja, Vietnam dan barat Australia. Bahagian barat Eropah pula akan melihat bulan terbit yang mengalami gerhana penuh. Mereka melihat bulan gelap terbit di timur yang kebiasaannya terang ketika fasa purnama. Kali ini bulan kelihatan seolah-olah hilang,” katanya.

Kejadian gerhana bulan hanya berlaku ketika fasa purnama dan apabila seluruh atau sebahagian bulan memasuki bayang bumi. Cahaya matahari yang jatuh ke atas bumi menyebabkan sebahagian bumi terang (siang) dan sebahagian lagi gelap (malam) serta menyebabkan bayang bumi mengunjur ke angkasa.

Beliau berkata, ada dua bahagian bayang, di bahagian dalam dan luar. Bayang bahagian dalam dinamakan umbra, yang lebih gelap daripada bahagian luar, penumbra.

“Sekiranya bulan purnama, ia memasuki kawasan bayang akan mengakibatkan terjadinya gerhana. Jika seluruh bulan memasuki umbra, gerhana penuh akan berlaku. Jika hanya sebahagian bulan memasuki umbra, gerhana separa yang akan berlaku dan jika bulan hanya memasuki penumbra, gerhana penumbra yang akan terjadi.

“Bagaimanapun gerhana bulan tidak berlaku setiap bulan. Ini disebabkan satah orbit bulan condong sebesar lima darjah berbanding dengan satah orbit bumi. Gerhana hanya berlaku sekiranya bulan melalui satah orbit bumi,” katanya.

Pada 15 Jun ini, gerhana penuh terjadi disebabkan seluruh bulan memasuki umbra. Magnitud gerhana kali ini ialah 1.71, yang menunjukkan darjah kegelapan permukaan bulan. Nilai ini menunjukkan gerhana bulan kali ini adalah gelap.

Di Malaysia, fasa gerhana kali ini bermula apabila bulan menyentuh penumbra pada jam 1.24 pagi waktu tempatan, 16 Jun 2011. Ketika fasa gerhana ini bermula, bulan berada di langit barat. Ketika berada dalam bayang penumbra, cahaya bulan mula berkurangan tetapi sukar dikesan dengan mata kasar.

“Fasa penuh bermula apabila bulan mula menyentuh umbra pada jam 3.22 pagi. Bulan mula kelihatan gelap secara perlahan-lahan sehingga ia menjadi gelap sepenuhnya jam 03.22 pagi dan di tengah-tengah fasa penuh pada jam 04.13. Tempoh bulan mengalami fasa gelap sepenuhnya selama 100 minit.

“Bulan mula meninggalkan bayang umbra dan memasuki penumbra secara perlahan-lahan pada jam 5.02 pagi. Ia mula kelihatan bercahaya sedikit demi sedikit sehingga penuh sejam kemudian dan kembali normal pada 07:02 pagi. Gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa perlu menggunakan penapis,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles

 

Filed under: Mesti Baca

Tarif Elektrik Naik Lagi…


Image

Nak naikkan tarif pun naiklah. Seperti kata seorang sahabat, “apa yang mampu kita buat hanya pasrah dan sabar. Sudah diluar jangkauan kemampuan kita untuk ubah”…

Baiklah. Kita teruskan hidup dengan berfikiran positif, bagaimana nak menjimatkan tenaga elektrik supaya bil elektrik tak mencecah ‘had mahal’ iaitu 300kWh sebulan, apakah petua-petuanya?

Padamkan peralatan elektrik atau lampu, jika tidak digunakan

  • Jika anda tidak menggunakan sebarang peralatan elektrik buat jangka masa yang panjang, sila padamkan dan cabut palamnya daripada suis. Peralatan yang berada dalam mod siap sedia atau pengecas bateri yang dipasang masih menggunakan sejumlah tenaga yang kecil.

Gunakan lampu neon berkecekapan tenaga

  • Gunakanlah lampu neon atau floresen kerana ianya menggunakan tenaga dua pertiga kurang daripada lampu pijar dan dapat bertahan enam hingga 10 kali lebih lama. Lampu ini juga kurang menghasilkan haba.

Gunakan mentol watt lebih rendah

  • Daripada menggunakan mentol 100-watt, anda mungkin memerlukan hanya mentol 60 watt untuk beberapa bilik dan ruang di rumah anda.

Gunakan peti sejuk anda dengan bijak

  • Biarkan makanan yang dimasak sejuk terlebih dahulu sebelum menyimpannya ke dalam peti sejuk dan rancang simpanan makanan dan bahan mentah anda dengan bijak dan efisien kerana peti sejuk yang terlebih muatan akan menggunakan lebih banyak tenaga. Juga pastikan peti sejuk ditempatkan sekurang-kurangnya 4 inci daripada dinding untuk mengelakkan motor peti sejuk anda rosak.

Optimumkan penggunaan mesin basuh anda

  • Basuh pakaian anda menggunakan air paip biasa dan basuhlah dalam kuantiti yang banyak. Apabila anda ingin membasuh sedikit pakaian, pilihlah tetapan yang bersesuaian dengan kuantiti pakaian anda pada mesin basuh. Cuba jemur pakaian anda seperti biasa daripada menggunakan mesin pengering yang tidak cekap tenaga.

Selenggara unit pendingin hawa anda

  • Bersihkan penapis udara pada pendingin hawa anda kerana penapis yang terlalu kotor menggunakan lebih banyak tenaga untuk beroperasi. Tetapkan suhu pendingin hawa di antara 22 hingga 26 darjah Celsius untuk keselesaan yang optimum.

Sejukkan rumah anda dengan mengurangkan haba dalaman

  • Selain daripada memadamkan peralatan elektrik mahupun lampu yang tidak digunakan, anda juga boleh menggunakan langsir bagi menapis sinaran matahari secara langsung ke dalam rumah anda. Apabila memasak, pastikan pengaliran udara dengan betul agar haba tidak mengalir ke ruang lain di rumah anda.

Ganti peralatan elektrik yang lama

  • Peralatan elektrik yang baru menggunakan kurang tenaga berbanding yang lama. Sebagai contoh, peti sejuk yand berada di pasaran kini menggunakan kurang 40 peratus tenaga berbanding model peti sejuk 10 tahun dahulu.

Semak Kecekapan Tenaga pada Peralatan Elektrik

  • Jika anda merancang untuk membeli peti sejuk baru, pastikan anda membuat perbandingan kecekapan tenaga pada model-model peti sejuk pilihan anda. Penilaian Kecekapan Tenaga diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada 2005, bertujuan memberikan informasi kepada pengguna dengan menggunakan sistem kedudukan melalui bintang berdasarkan kecekapan tenaga sesuatu model peralatan elektrik tersebut. Ianya dinilai dengan satu bintang bagi tidak cekap sehingga lima bintang bagi paling cekap tenaga.

Pilih ‘Star Energy’

  • Begitu juga ketika memilih komputer atau peralatan komputer, anda boleh memilih jenama dan model yang memaparkan logo Star Energy. Peralatan ini telah memenuhi garis panduan kecekapan tenaga yang telah ditetapkan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar dan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat.

 

Sumber : TNB Buzz

 

Filed under: Mesti Baca

Inflasi…Musuh Dalam Senyap


Image

Mengetahui sebab-sebab dan kesan-kesan inflasi dan belajar bagaimana mengatasinya.

Kira-kira 30 tahun yang lalu, sepinggan nasi lemak berharga kurang daripada RM1. Hari ini, ia telah naik sehingga RM5, jadi jangan terkejut untuk membayar lebih dari RM10 untuk sarapan pagi anda dalam dekad yang akan datang!

Ini hanyalah akibat inflasi! Seperti kuasa kadar pulangan berganda, inflasi berganda boleh memberi kesan buruk pada taraf hidup anda sekiranya ia tidak diawasi. Namun begitu, apakah sebab-sebab fenomena ini dan bagaimanakah kita boleh mengatasinya ?

Apakah Inflasi ?

Inflasi ditakrifkan sebagai peningkatan beransur-ansur dalam paras harga umum untuk produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan, dan ia diukur sebagai peningkatan dalam peratusan tahunan. Sekiranya inflasi menaik, setiap ringgit yang anda miliki akan membeli peratus yang lebih kecil bagi sesuatu produk atau perkhidmatan. Dengan kata lain, terdapat kemerosotan dalam kuasa membeli anda. Sebagai contoh, dari segi teori secawan teh tarik berharga RM1 akan berharga RM1.05 selepas setahun jika kadar inflasi bagi tempoh itu ialah 5 peratus.

Apakah Indeks Harga Pengguna (IHP) ?

Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur perubahan peratusan dalam kos bagi sekumpulan pengguna khusus (60% bandar, 40% luar bandar) untuk membeli satu “bakul” yang mengandungi barangan dan perkhidmatan yang tetap dalam tempoh masa tertentu. Barang-barang yang terdapat di dalam “bakul” tersebut boleh dikumpulkan kepada berikut:

  • Makanan dan minuman tidak beralkohol
  • Minuman beralkohol dan tembakau
  • Pakaian dan kasut
  • Perumahan, bekalan air, bekalan elektrik, gas dan bahan api lain
  • Perabot, peralatan isirumah, rutin penyenggaraan isirumah
  • Kesihatan
  • Pengangkutan
  • Komunikasi
  • Perkhidmatan-perkhidmatan rekreasi dan budaya
  • Pendidikan
  • Restoran-restoran dan hotel-hotel
  • Pelbagai barangan dan perkhidmatan lain

Bagaimanapun, anda harus mengetahui bahawa IHP adalah purata statistik dan mungkin tidak menggambarkan kadar inflasi anda, terutamanya apabila corak perbelanjaan anda banyak berbeza daripada pengguna-pengguna bandar biasa. pada kebanyakan masa, kadar inflasi pada peringkat peribadi atau pengguna untuk penduduk-penduduk bandar adalah dua kali atau lebih tinggi daripada kadar inflasi peringkat kebangsaan.

Apakah Sebab-sebab Berlakunya Inflasi ?

Dua sebab umum berlakunya inflasi adalah:

Permintaan tinggi, bekalan rendah

  • Jikalau permintaan meningkat lebih cepat daripada bekalan produk dan perkhidmatan, harga barangan terpaksa naik. Juga dikenali sebagai inflasi tarikan-permintaan, ia biasanya berlaku di ekonomi bertumbuh di mana terdapat “terlalu banyak wang mengejar terlalu sikit barangan”.

Peningkatan dalam kos pengeluaran

  • Apabila harga bahan mentah naik, kos pengeluaran akan meningkat. Ini akan mengakibatkan syarikat-syarikat menaikkan harga untuk mengekalkan margin keuntungan. Ini juga berlaku apabila pekerja-pekerja meminta gaji yang lebih tinggi kerana syarikat-syarikat biasanya memindah kos-kos ini kepada pengguna-pengguna.

Apakah Kesan-kesan Inflasi ?

  • Inflasi boleh dianggap sebagai perkembangan ekonomi yang biasa selagi peratusan tahunan masih rendah. Namun begitu, inflasi boleh menyebabkan krisis apabila peratusan itu meningkat lebih tinggi daripada peringkat yang telah ditetapkan. Cara yang paling nyata ia menjejaskan kewangan peribadi anda adalah dengan mengurangkan kuasa membeli anda. Anda akan mendapati harga produk dan perkhidmatan setiap hari meningkat dan kos pinjaman menjadi lebih tinggi kerana kadar faedah turut menaik.

Contoh:

  • Pada tahun 1978 (30 tahun dahulu), RM300 boleh membeli barangan runcit satu bulan untuk keluarga berempat orang.
  • Pada tahun 2008, RM300 boleh membeli barangan runcit satu minggu untuk keluarga berempat orang.
  • Pada tahun 2028 (20 tahun kemudian), RM300 mungkin hanya boleh membeli barangan runcit dua hari untuk keluarga berempat orang.

Dengan memahami perbezaan di antara pulangan nominal dan pulangan benar, anda akan dapat melihat kesan inflasi pada wang anda. Pulangan nominal merujuk kepada kadar pertumbuhan wang anda manakala pulangan nominal menolak kadar inflasi. Oleh demikian, wang yang disimpan di dalam simpanan tetap akan mengurang nilainya disebabkan kesan penghakisan inflasi.

Contoh:

  • Kadar inflasi tetap 12 bulan = 4%
  • Kadar inflasi (peringkat peribadi) = 6%
  • Pulangan benar daripada pelaburan = 4% – 6% = -2%

Bagaimanakah Kita Boleh Mengatasi Inflasi ?

  • Setelah mengetahui bagaimana inflasi boleh mengurangkan kuasa membeli anda dengan drastik, pelabur-pelabur harus mempertimbangkan cara-cara melindungi pelaburan mereka daripada kesan-kesan penghakisan inflasi. Berikut adalah beberapa cara bagaimana anda boleh mengurangkan kesan-kesan inflasi:

Mendapat pulangan yang lebih tinggi daripada pelaburan-pelaburan anda.

  • Untuk melindungi simpanan anda daripada kesan inflasi bagi jangka masa panjang, pilihan terbaik adalah dengan mendapat pulangan pelaburan yang lebih tinggi daripada kadar inflasi. Ekuiti-ekuiti dan dana-dana ekuiti serta saham-saham yang memberi dividen tinggi harus dipertimbangkan kerana mereka boleh mengurangkan kesan-kesan inflasi.

Mengekalkan kepelbagaian dalam pelaburan-pelaburan anda.

  • Sebuah portfolio seimbang yang mengandungi saham-saham, bon-bon dan sekuriti-sekuriti pasaran wang dapat mengurangkan risiko dan memberi perlindungan terhadap inflasi. Ini disebabkan nilai sejenis pelaburan mungkin akan menaik sementara pelaburan-pelaburan lain menurun. Namun begitu, kepelbagaian tidak dapat melindungi anda daripada kerugian dalam pasaran menurun.

Mengurangkan pemegangan wang tunai yang banyak.

  • Walaupun anda mendapat kecairan dengan memegang wang di tangan atau menyimpankannya di dalam simpanan tetap, wang tersebut mungkin akan mengurang nilainya melalui inflasi. Sebaliknya, pelabur-pelabur berisiko rendah boleh membuat pertimbangan untuk memindahkan wang mereka ke sebuah portfolio seimbang (terdiri daripada 60 peratus ekuiti dan 40 peratus bon) untuk mendapatkan pulangan diselaraskan inflasi yang baik bagi tempoh sederhana hingga panjang.

Melabur di dalam sektor-sektor yang berdaya tahan.

  • Semasa keadaan pasaran yang tidak menentu, pelabur-pelabur boleh melabur dalam sektor-sektor berdaya tahan dan saham-saham mewah sebagai perlindungan terhadap inflasi. Sektor-sektor ini termasuk telekomunikasi, utiliti dan pengangkutan. Emas juga diibaratkan sebagai tempat perlindungan selamat dalam ketidakstabilan kewangan atau semasa inflasi menaik.

Menguruskan hutang anda.

  • Mengurangkan hutang anda ke tahap minima amat bermakna kerana kadar faedah menaik seiring dengan inflasi. Anda sepatutnya membayar habis pinjaman yang mempunyai kadar faedah yang paling tinggi dengan secepat mungkin, terutamanya apabila kadar faedah sedang meningkat.

 

sumber: GWealthPlaner.com

 

Filed under: Mesti Baca

Kisah Benar Sebuah Keluarga Miskin…


Dukacita Sebuah Keluarga Miskin : Bahasa Duka yang Menitiskan Air Mata!

Image

Ini hanyalah petikan sebuah kisah dari jutaan cerita duka dalam negara yang mewah hasil kekayaan sumber bumi anugerah Allah SWT.

“Bang… sardin tin besar ni minggu dulu harganya RM5.70, tapi sekarang dah RM6.20!” dia meletakkan semula tin sardin jenama popular di rak sebuah pasaraya di Shah Alam tadi petang.

Kemudian anak kecilnya barangkali enam atau lima tahun saya terdengar merengek beberapa kali. “Abah…nak aiskrim!” Si ibu yang sejak awal mengekori si suami memerhatikan harga pada setiap kali barangan dipegang, akhirnya separuh bersuara: “Adik…ibu tengok tadi aiskrim tu dah naik 30 sen. Nanti ibu buatkan aiskrim sirap kat rumah ya…” lembut suara si ibu separuh memujuk. Si ayah tersenyum tawar memandang saya. “Belikanlah…” beritahu si ayah mengarah isterinya, barangkali tidak sampai hati melihat wajah anak kecil yang sayu itu.

Sebelum ke baris sebelah untuk membelikan ais krim untuk anaknya, si ibu berbisik. Saya tidak mendengar langsung apa yang dicakapkannya kepada suaminya itu. Hanya selepas isterinya pergi, si suami tanpa berselindung memberitahu saya. “Orang rumah saya tanya tadi, cukupkah duit yang saya bawa!” dan dia tergelak dua tiga kali tetapi kekehnya tawar dan hambar.

“Tak jadi nak belilah sardin ni!” katanya seolah-olah sedikit kecewa. “Nak tengok tempat lain nanti,” jawapnya. Saya bertanya kenapa dia membeli sardin. “Bukan apa bang. Orang susah macam saya ni kena simpan stok lauk. Nak beli ikan mahal..simpan lama pun tak boleh. Tapi kalau sardin ni, beli lima tin boleh tahan sebulan. Kalau dipanaskan tiga hari boleh makan lagi,” jawapnya selamba.

Saya terus tertunduk sebelum saya angkat muka memandangnya. “Sekarang kerja kat kilang lama ke?” saya tanya. Dia mengangguk. “Dah berumur ni tak berani nak pindah kilang. Cuma gajinyalah. Dah 20 tahun kerja baru seribu lebih sikit ajer.”

Saya tunduk semula memandang lantai simen pasaraya. “Anak yang dua orang tu belajar lagi ke?” saya tanya lagi. Dia mengangguk laju-laju. “Seorang kat Unisel, seorang lagi kat Politeknik. Itu yang saya kena berjimat tu bang,” jawap lelaki yang saya kenal sejak berbelas tahun lalu.

Kami tidak lama bersama. Sebelum pulang, saya sempat pelawanya untuk minum malam sebab lama kami tidak berjumpa. Nak tahu apa jawapnya? “Maaflah bang… sebenarnya saya sibuk sangat. Bukan tak sudi. Lepas Maghrib nanti ada kerja! Saya buat part time jaga kat depoh bas, nak cari tambah-tambah duit,” katanya.

Sambil bersalam dia menyambung cakapnya. “Dapat empat ratus lagi bang sebab kerja part time ajer..Tapi badan ni dah rasa tak larat sangat. Tengok kaki ni..” dia menyelak pangkal seluarnya. “Ni bengkak dah bertahun ni. Entahlah…doktor cakap gout…” dia mengerutkan keningnya.

Memang saya tidak boleh berlama. Bukan saya tidak punya waktu untuk bersama dengan kenalan lama saya itu. Tapi dalam hati saya pedih, luka dan sebal. Kasihan fikir saya. Kasihan sangat drama kehidupan ini. Bolehkah kami berdepan realiti kehidupan sebuah negara maju.

 

Filed under: Mesti Baca

Apakah Globalisasi ?


Image

Apakah Globalisasi ?

Globalisasi merupakan satu proses untuk meletakkan dunia dibawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara Melalui proses ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi seperti internet,media elektronik,dan teknologi siber. Perkembangan ini memungkinkan perhubungan diantara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Menurut Kamus Dewan globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Manakala cediakawan barat mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia didunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan.

Dalam era globalisasi ini, dunia semakin dikecilkan ruangnya daripada yang asal. Jika dulu dunia ini seluas saujana mata memandang dan dipagari dengan sempadan-sempadan namun kini ia tidak berlaku lagi. Malah pada hari ini kita telah dapat merasakan apakah dia itu globalisasi. Ledakan teknologi maklumat yang pesat merupakan medium utama kepada agenda globalisasi ini.

Dunia bukan sahaja tidak bersempadan geografi tetapi pengaruh globalissasi menjangkau sempadan ekonomi,teknologi ,bahasa, budaya, ideologi, politik dan dari segenap aspek kehidupan sesebuah masyarakat.

Kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada globalisasi ekonomi. Disamping itu, ia memberi perhatian besar kepada globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi saintifik serta teknologi Kesungguhan Kerajaan dalam menangani tiga jenis globalisasi ini jelas kelihatan pada berbagai-bagai bentuk wacana di peringkat nasional dan peringkat antarabangsa seperti dialog, seminar, persidangan dan forum dan juga pada penubuhan berbagai-bagai jenis institusi dan projek. Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah simbol harapan serta kemegahan Malaysia dalam menyahut panggilan globalisasi.

Globalisasi juga merujuk kepada perpindahan nilai, terutamanya cara berfikir & gaya bertindak dari satu daerah dunia kepada daerah dunia yang lain. Globalisasi yang diberi erti luas ini adalah suatu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan. Hakikatnya globalisasi itu sudah wujud sebelum istilah globalisasi diperkenalkan lagi. Fenomena globalisasi boleh dikiaskan sebagai gelombang yang melanda dunia.

Lodge (1993) mendefinisikan globalisasi sebagai :

“… a process forced by global flows of people, information, trade and capital. It is accelerated by technology, which is driven by only a few hundred multinational corporations and may be harmful to the environment. There in lies the conundrum of whether it is wise to leave globalization in the hands of these few corporations, or might it not make more sense to seek greater involvement from the global community.

Apakah impikasi serta kesan globalisasi terhadap :

Ekonomi :

  • Dalam globalisasi ekonomi, telah berlaku peningkatan dalam kebergantungan perniagaan terhadap ekonomi. Firma-firma dan perniagaan terus meningkat dan berlakunya peningkatan dalam pelaburan asing secara langsung di dalam aktiviti ekonomi sesebuah negara. Globalisasi ekonomi dapat di lihat melalui perluasan perusahaan melampaui sempadan negara .

 

Perspektif ini dapat dilihat melalui tiga tahap :

  • Pertama ialah perusahaan antarabangsa yang mempunyai aktiviti diluar sempadan nasional dan meliputi eksport,import dan penghasilan bukan mentah.
  • Kedua ialah perusahaan multi nasional, iaitu perusahaan yang menjalankan aktivitinya di berbagai negara.
  • Ketiga ialah perusahaan global yang melihat ekonomi dunia sabagai satu. Perusahaan tersebut mendapatkan bahan mentah dan menjual barangan secara global.

 

Di samping perdagangan bebas, globalisasi ekonomi juga boleh dikaitkan dengan perkembangan syarikat-syarikat korporat di dunia. Syarikat-syarikat korporat juga menuju ke arah globalisasi. Telekom Malaysia Berhad juga mempunyai matlamat ke era globalisasi iaitu menjadi Syarikat bertaraf dunia “world class telecommunications”

 

Teknologi :

  • Kehidupan manusia di masa akan datang banyak bergantung kepada teknologi. Teknologi akan menjadi begitu canggih hinggakan komputer yang ada pada hari ini yang mempunyai sistem yang berubah dengan cepat dan laju. Era globalisasi yang sedang berlaku hari ini pasti akan memberikan peningkatan dan perubahan yang lebih ketara dalam bidang teknologi.
  • Antara bidang teknologi yang cepat maju dan canggih adalah bidang teknologi maklumat dan komputer. Bill gates (1996), peneroka bidang komputer yang terkenal, dapat memasarkan aplikasi keluaran Window ke serata dunia . Perkembangan teknologi yang begitu pesat pada masa ini di seluruh dunia memerlukan tindakan segera pembangunan sumber manusia untuk memberi latihan, pengetahuan dan kemahiran tentang teknologi maklumat, robotik dan sebagainya.Kehidupan manusia semakin banyak bergantung kepada komputer dan teknologi di era globalisasi hari ini.
  • Pembangunan sumber manusia menjelang tahun 2000 akan mencapai nisbah tenaga manusia saintifik dan teknologi yang lebih tinggi daripada sekarang iaitu kira-kira 1000 bagi setiap sejuta penduduk di Malaysia.
  • Pengetahuan dan kemahiran pula akan berorientasikan gabungan disiplin teknikal, statistik dan berasaskan komputer. Gabungan disiplin ini akan melengkapkan tenaga manusia masa hadapan untuk mengendalikan teknologi baru dan yang akan muncul seperti teknologi pembuatan berautomasi, bahan-bahan terbaru, bio-teknologi, elektronik dan teknologi maklumat.

 

Di samping itu, kegiatan institusi pendidikan dan latihan akan ditumpukan ke arah menghasilkan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan literasi komputer. Langkah kerajaan Malaysia membina Lebuh Raya Multi Media, Universiti Multi Media dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Berelektronik yang kita telah maklum sekarang adalah langkah yang bijak untuk persediaan tenaga manusia yang akan menggunakan teknologi maklumat dalam tugas-tugas harian dan juga dalam kehidupan seharian nanti di dalam era globalisasi.

 

Kebudayaan Sesebuah Negara

 

  • Kebudayaan merupakan cara hidup seharian manusia dalam sesebuah masyarakat atau organisasi. Pada zaman dahulu manusia dalam sesebuah masyarakat itu sanggup berperang kerana mempertahankan budaya hidup mereka yang dicemar atau dicerobohi oleh pihak lain. Bagaimana pun cara hidup manusia hari ini sudah banyak berubah dan menuju globalisasi.

 

Terdapat beberapa kategori kebudayaan di dunia ini yang telahpun berada dalam bentuk globalisasi :

Budaya Makan

  • Makanan Jepun sudah ada di Amerika. Makanan Amerika pula semakin popular di JepunMc Donald mempunyai 10,500 restoran di 50 buah negara di dunia Kentucky Fried Chicken mempunyai lebih daripada 7,750 restoran di 58 buah negara.

 

Budaya Fesyen

  • Antara jenis fesyen pakaian yang digemari di seluruh dunia adalah seperti : seluar Jean Levi, Pierre Cardin (pakaian perempuan), Yves Saint Laurent, pakaian sukan Esprit dan pakaian Laura Ashley.

Budaya Kerja

  • Syarikat pengeluaran di era globalasasi juga terdiri daripada berbilang kaum dari negara-negara di dunia. Umpamanya, syarikat Esprit – di mana ketua grafiknya dari Jepun, juru gambarnya dari Itali, arkiteknya dari Perancis dan Itali.

 

Budaya Muzik dan Hiburan

  • Muzik Jazz dan disco telah menguasai dunia. Tempat hiburan seperti Disneyland juga diadakan di negara di luar Amerika , seperti di Jepun dengan panggilan Tokyo Disneyland (1987) dan di Marne-la-Valle di Paris dengan panggilan Euro Disneyland (1992).

Budaya Bahasa

  • Pada masa ini, bahasa Inggeris adalah alat yang penting untuk perhubungan secara global. Sekarang terdapat satu bilion manusia yang bercakap dalam bahasa Inggeris dan pada tahun 2000 jumlah tersebut meningkat kepada 1.5 bilion.

 

Kesimpulan

Cabaran globalisasi masa kini memerlukan pembentukan generasi muda yang berdaya tahan melalui ilmu dan kemahiran Berdasarkan beberapa aspek globalisasi yang telah dibicarakan dapatlah dikatakan bahawa dunia hari ini atau di abad ke-21 sedang menghadapi satu cabaran dan perubahan yang sangat hebat yang belum pernah berlaku di abad yang lalu. Cabaran globalisasi dan implikasi terhadap ekonomi, budaya dan teknologi adalah luas dan mempunyai kesan yang negatif dan positif. Penerimaan terhadap perubahan haruslah difikirkan dan diterima secara positif dan membina untuk kemajuan diri,keluarga,agama,bangsa dan negara.

Filed under: Mesti Baca

Nota Sejarah Penggal 1,2 dan 3 :

Hits Sejak Sept. 2008

  • 7,043,500 pengunjung

Kalendar 2016

February 2026
M T W T F S S
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
232425262728  
Design a site like this with WordPress.com
Get started