Skip to content

Pasca-Pelancaran Dinar dan Dirham kelantan: Sedikit Perkongsian Mendasar

August 16, 2010

Musafir ke Kelantan pada Khamis lalu, sempena pelancaran Dinar dan Dirham kelantan di Kelantan Trade Center, Kota Bharu, meninggalkan 1001 nostalgia yang tidak boleh dilupakan. Bermula dengan cara bagaimana proses hendak ke sana, pengisian selama saya di sana, sehinggalah dalam perjalanan saya pulang ke Kuala Lumpur pada hari Jumaatnya.

Salah satu pengalaman sepanjang berada di Kelantan ialah diskusi-diskusi ringkas tetapi mendasar, antara saya bersama Prof umar Vadillo, berkenaan dengan perjuangan meletakkan semua kerangka Muamalat Islam ditempat asalnya. Beberapa diskusi berlaku, bukan sahaja antara saya dengan beliau, tetapi juga meliputi bersama beberapa orang pemuda dari Selangor, kedah, Palestin, Singapura dan beberapa lagi negara lain.

Diskusi kali ini, prof Umar menekankan aspek tujuan, asas, dan fokus utama, mengapa isu Muamalat Islam ini perlu di perjuangkan. Selama hampir 3 jam diskusi, beliau menekankan kepentingan perjuangan ini adalah sebagai tanda keimanan kita kepada Allah swt. Sebagai tanda rasa cinta dan kesungguhan serta ‘kegilaan’ kita kepada Allah swt. Sebagai tanda ketaqwaan kita kepada Allah swt. Ini penyebab utama, mengapa Muamalat Islam ini diperjuangkan.

Beliau tidak menafikan, terdapat manfaat-manfaat lain yang akan diperolehi apabila penggunaan dinar-dirham berlaku dalam masyarakat, seperti kalis inflasi, menjaga kekayaan yang diperolehi, keadilan dan sebagainya. Tetapi yang lebih utama daripada itu adalah sebagai tanda keimanan dan keyakinan kita terhadap ayat-ayat Allah yang menceritakan perihal penggunaan dinar-dirham sebagai medium pertukaran zaman berzaman.

Saya melihat perkara ini dari dua sudut. Sudut pertama adalah dari sudut pengkajian berterusan untuk memastikan peng-implimentasi-an sistem ekonomi berasaskan emas dapat dilaksanakan dengan baik, menggunakan mekanisma-mekansima tertentu. Dari sudut lain, saranan daripada al-Quran yang berulang kali menyebut perihal penggunaan dirham (sebagai contoh) dalam kisah-kisah al-Quran, seperti kisah Ashabul Kahfi, Nabi Yusof AS dan lain-lain kisah, merupakan satu hikmah yang perlu dirungkai oleh umat Islam khususnya dalam usaha memahami mengapa penggunaan dinar-dirham ini menjadi wajar diletakkan pada tempat asalnya.

Sejak pelancaran Dinar dan Dirham Kelantan pada minggu lepas, bersamaan dengan 2 ramadhan 1431H, pelbagai pihak merespon isu ini melalui kaca mata masing-masing, hujah masing-masing berdasarkan pembacaan, perbincangan, pembelajaran dan diskusi masing-masing. Ini adalah petanda positif kerana masyarakat Malaysia mula cakna isu pengembalian dinar-dirham sebagai medium pertukaran. Tidak kurang juga banyaknya respon-respon yang terbit atas dasar jahil terhadap apa yang diperkatakan, terutama yang berstatus ‘menteri’, kerana ia mencerminkan ketidak-layak-kan seseorang itu berada di kedudukan antara yang tertinggi dalam ekonomi negara Malaysia ini.

Sudah sampai masanya, kita mengambil perhatian untuk mengkaji lanskap sistem ekonomi baru bagi bersedia menghadapi kejatuhan dan kebobrokan sistem kapitalis-liberalis yang semakin komplikated(contohnya: dari segi inovasi instrumen kewangannya) sehingga memaksa para eksekutif syariah institusi-institusi kewangan ‘terpaksa’ mengikut arus ‘islamisasi sistem kewangan’ (terma yang sebenarnya saya tidak suka guna) semasa.

Perkara yang saya pelajari dalam hal ini, ialah keperluan kepada persediaan kendiri dalam usaha mencari solusi kepada permasalahan ekonomi dan kewangan semasa dengan menjadikan keimanan, ketaqwaan dan rasa cinta pada Allah sebagai asas pertama dan penting untuk merealisasikan kesinambungan perjuangan ini.

Satu perkara yang penting juga untuk ditegaskan ialah, perjuangan dinar-dirham ini bukan semata-mata emas dan perak itu sendiri, tetapi sebagai tanda keyakinan atas kebijaksanaan Allah swt dalam menjelaskan perihal dinar-dirham sebagai medium pertukaran.

Lagi satu, pengimplimentasian dinar-dirham ini hanya merupakan langkah pertama daripada beberapa langkah seterusnya yang akan membawa kepada perubahan lanskap ekonomi semasa.

Perjalanan masih jauh, kerja para ‘alim-ulama’ yang ahli semakin diperlukan untuk merealisasikan perkara ini, oleh itu, bagi sesiapa yang ingin turut serta dalam dalam perjuangan bersifat intelektual ini, amat digalakan dan ia adalah peluang untuk kita semakin mengenal Allah!

 

 

Akar Permasalahan Inflasi dan Kemiskinan

August 8, 2010

Kewujudan sistem perbankan Islam adalah bersifat ‘membantu’ perbankan konvensional dalam usaha melebarkan lagi ‘jajahan’ mereka ke atas umat manusia, terutamanya umat Islam.

Suatu yang agak pelik dan bisa membangkitkan kemarahan abila pernyataan seperti ini dikeluarkan. Dan pada masa yang sama, saya jamin ramai yang menentang dengan pelbagai alasan. Antaranya, kita masih belum ada satu sistem yang jelas untuk aplikasikan sistem dinar emas, kita mengambil jalan jauh dan payah untuk bermula dari bawah, dan macam-macam alasan lagi yang bersifat pesimis.

Idea untuk menukar sistem kewangan fiat masa kini kepada sistem berdasarkan emas (commodity items) adalah idea dan gagasan yang bersungguh-sungguh digalas oleh gerakan yang dipanggil Murabbitun yang diketuai oleh Syeikh Abdul Qadir As-Sufi. Dan ia diteruskan secara agresif dan komited oleh anak muridnya, Prof Umar Vadillo.

Idea Tun Mahathir Mohamad berkenaan untuk menjadikan emas sebagai medeium penukaran untuk aktiviti import-export malaysia dipengaruhi oleh saranan Prof Umar Vadillo. tetapi selepas itu, tiada tindakan diambil, sehinggalah kerajaan Kelantan mengambil inisitif untuk memulakan pengeluaran dinar emas dalam kuantiti yang agak terhad.

Walau bagaimanapun, ia merupakan satu permulaan yang baik.

Di Malaysia, secara agresifnya, gerakan untuk meneruskan agenda memerangi riba hingga ke akar umbi, dilaksanakan oleh Prof Umar Vadillo, Hajah Nik Mahani dan disokong 100% dari sudut implementasinya di Kelantan oleh Datuk Paduka Husam Musa.

Dibelakang mereka, ramai para pengikut yang diberikan hidayah oleh Allah untuk melihat situasi monetari pada hari ini dari sudut yang berbeza.

Tidak dinafikan juga, usaha-usaha syarikat-syarikat dan individu-individu atau kumpulan-kumpulan yang menyedari sistem kewangan konvensional pada hari ini sebenarnya bersifat menindas dan sangat memberi kesan negatif kepada sosio-politico-economic pada hari ini, lalu menyedikan tawaran menjual emas sebagai salah satu usaha untuk ‘menyimpan kekayaan’ mereka.

Jika ditanya, dimana tempat untuk menyimpan kekayaan yang terbaik, saya akan menyarankan agar simpan sebahagiannya dalam bentuk emas (sebagai simpanan.. Bukan sebagai PELABURAN). Dan sebahagian lagi dalam bentuk wang biasa sebagai kecemasan.

Usaha ini sangat penting untuk mengelakkan si penyangak-penyangak kewangan mengambil kesempatan dengan melakukan spekulasi ke atas matawang dan juga regulasi matawang yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia melalui dasar-dasar monetari-nya.

Kepada para ilmuan yang benar-benar ikhlas mahu memberi manfaat kepada ummah, adalah lebih penting kalian berusaha menyelesaikan isu untuk mengeluarkan umat islam daripada riba yang terhasil daripada ‘fractional reserve banking system’ daripada meneruskan agenda semasa islamisasi kewangan semasa yang semakin merumitkan dan semakin menyukarkan proses ‘purity’ ke arah mendekati objektif Syariah. Rasa sedih bila ilmuan Islam digunakan untuk sedaya-upaya berusaha menjustifikasikan sesuatu produk kewangan itu halal atau tidak. Tiada satu angka yang jelas untuk membenarkan hal ini, tetapi ia wujud pada hari ini.

Harapan saya, moga anak-anak muda dalam pelbagai bidang, terutamanya yang mengaji dalam bidang ekonomi dan kewangan, dapat bersikap kritis terhadap sistem masa kini yang sebenarnya tanpa sedar menindas umat manusia.

Baik yang perbankan Islam mahupun yang konvensional. (rujuk: Real Money, oleh Prof Kameel Meera, UIAM).

Apapun, saya yakin, masyarakat akan bangkit dan berusaha menegakkan hak mereka satu hari nanti. Dalam masa 5 tahun dari sekarang, bahkan mungkin kurang dari tempoh tersebut.

Wallahu ‘alam.

Sekitar Forum di UIAM

July 28, 2010
tags:

Malam tadi, saya hanya sempat ke Main Audi IIUM untuk menyaksikan forum antara pemuda-pemuda parti-parti politik tanah air, hanya sekitar 4o minit yang terakhir sahaja.

Saya tidak pasti, apa mauduk utama perbincangan mendasar yang berlangsung pada malam tadi, tetapi dari persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh audien dan jawapan-jawapan yang diberikan (terutamanya), lebih bersifat membangkitkan soal isu-isu semasa.

Satu perkara yang menarik perhatian saya dalam forum pada malam itu, sekitar 4o minit sebelum berakhir, ialah berkenaan dengan isu meletakkan ‘benchmark‘ Malaysia sebagai sebuah negara yang ‘competitive’.

Ketika ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang mahu menuju ke arah negara maju. Persoalannya, maju dari sudut mana yang mahu ditonjolkan? Bahkan, istilah ‘maju’ itu sendiri harus diperjelaskan dengan baik.

Malaysia juga mahu membangun dari pelbagai sudut, apa definisi pembangunan yang dimaksudkan oleh para pemimpin sekalian?(termasuk para pemimpin dikalangan Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional)

Satu perkara penting sebelum memulakan mauduk perbincangan, proses mendefinisikan mauduk perbincangan seharusnya menjadi fokus utama, agar sebagarang penggunaan istilah yang berulang kali dapat difahami maksud yang terkandung didalam setiap perkataan yang dilafazkan.

Ini kerana setiap perkataan mempunyai maksud yang tersirat, yang hanya mampu difahami jika ia dijelaskan definisnya terlebih dahulu.

Sebagai contoh, faham Pembangunan. Apa yang dimaksudkan oleh pembangunan yang mahu dibincangkan?

Faham Pembangunan ada diterangkan secara penjang lebar oleh Prof al-Attas dan seterusnya dihuraikan dengan lebih mendasar oleh anak muridnya Prof Wan Mohd Nor di dalam bukunya “Pembangunan di malaysia).

Ada peluang, akan saya kongsikan perihal faham Pembangunan menurut Islam, yang sebenarnya lebih benar menggunakan istilah Pengislahan. Ia lebih tepat.

Banyak idea besar dan releven yang diberikan oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, sama ada dalam bidang ekonomi mahupun pendidikan. Adalah satu yang merugikan jika ilmuan seperti beliau tidak diambil hikmah daripadanya.

Wallahu ‘alam.

Kenaikan Harga Gula dan Minyak: Satu Saranan Penyelesaian

July 16, 2010
tags:

Image

Penulisan kali ini berkaitan dengan isu kenaikan harga minyak dan gula, yang merupakan barang asasi rakyat, baik yang kaya, sederhana ataupun yang miskin.

Saya tidak pasti perkara ini berlaku atau tidak, tapi harapan saya sangat tinggi kepada kepimpinan Pakatan rakyat untuk mereka berjumpa dan bermuzakarah bagi mencarikan jalan penyelesaian ekonomi ini bersama dengan Prof Ahamed Kameel Meera Mydin (UIA), Hajah Nik Mahani dan juga antara aktivis utamanya ialah Prof Umar Ibrahim Vadillo.

Percayalah, kenaikan harga ini akan terus berlaku selagi mana ekonomi kita berasaskan kepada sistem ekonomi neo-liberalis-kapitalis. Asasnya ialah menggunakan hutang sebagai saranan memacu ekonomi.

Percayalah, walau Pakatan Rakyat (PR) menjadi kepimpinan negara sekali pun, PR tetap berpotensi untuk menaikkan harga bagi mengurangkan perbelanjaan susidi yang harus ditanggung kerajaan.

Kepada pemuda-pemudi penggerak Islam yang anti-BN, moga kita semua tidak semberono mengeluarkan hujah yang akan datang terkena jua pada kita. Sikap mengeluarkan hujah bersifat emosi tanpa memahami sesuatu amuduk adalah sikap yang sangat berbahaya. Bahkan mampu mencipta fitnah pada diri dan gerakan Islam itu sendiri.

Ketika inilah, datangnya kepentingan ahli gerakan untuk menjadikan pencarian ilmu sebagai budaya hidup. Ilmu itu adalah dua, iaitu Ilmu Ma’rifatullah dan juga Ilmu Pengetahuan. Ilmu ekonomi ini adalah sebagaian daripada Ilmu Pengetahuan yang harus di hadam secara serius oleh sebilangan umat Islam dan juga wajib dihadam oleh para pemimpin dan bakal pemimpin ummah.

Idea-idea Prof Umar, Hajah Nik Mahani, Prof Kameel Meera dan lain-lain cendekiawan Islam harus diambil peluang untuk didekati dan diselami ilmu yang mereka ada. Hentikan prejudis dan prasangka-prasangka yang dangkal dan menampakkan kejahilan yang ketara jelasnya.

Proses mengembalikan ekonomi menurut etika Islam yang telah digariskan adalah menjadi tanggungjawab penting, kerana ia melibatkan keadilan rakyat. Ini adalah AWLAWIYYAT YANG TIDAK BOLEH DIKESAMPINGKAN.

Tulisan kali ini, saya tidak tahu siapa yang akan membacanya. Apapun, saya amat hargai jika ia diambil sebagai satu saranan untuk kita memperbaiki keadaan ummah pada hari ini. Kepada yang membaca, sampaikanlah kepada pihak yang berkenaan. Saya hanya mampu suarakan diperingkat orang biasa, rakyat dan ahli biasa.

Wallahu alam.

Apa Agenda Umat Islam Pada Abad Ke 21 Ini?

July 15, 2010

APa agenda Umat Islam Abad Ke 21 ini?

Ini persoalan yang menarik perhatian saya ketika ia ditanya kepada Prof Chandra Muzafar siang tadi oleh salah seorang peserta yang hadir.

Program yang dianjurkan oleh International of Advance Islamic Studies (IAIS) siang tadi melibatkan tokoh-tokoh intelektual Muslim yang tidak asing lagi di negara kita, iaitu Prof Dr Chandra Muzafar, Prof Dr Azizan (UM), Prof Dr. AMer Ar-Roubaie (Baghdad), dan  Saudara Wan Fayshal (HAKIM), dan  dipengerusikan oleh Prof Dr. Osman Bakar.

The Impact of Globalization in Muslim Society adalah tajuk yang dibincangkan oleh para panelis.

Prof Dr Chandra Muzafar membincangkan secara ringkas tentang apa sebenarnya globalisasi beserta dengan dimensi-dimensi positif dan negatif yang dibawa bersama dalam proses globalisasi ini dan ditutup dengan kaedah dan saranan untuk mengurangkan impak negatif yang dibawa oleh globalisasi ini.

Prof Dr Azizan pula menekankan aspek keperluan umat Islam ‘menunggang’ gelombang globalisasi (riding the wave) ini dengan cara perlunya kita mencipta gelombang tersendiri. Dalam menghuraikan hal ini, Prof Azizan menekankan peri penting umat Islam menghayati nilai-nilai dan ajaran asas Islam yang amat menekankan nilai-nilai akhlak mulia, dengan menjadikan Masyarakat Melayu-Muslim di Era Melaka sebagai ‘Case Study‘. Menarikuntuk dibincangkan di sini berkenaan dengan tamadun Melayu-Islam sejak zaman kegemilangan Melaka, amat menitik beratkan nilai-nilai akhlakiyyah dengan menjadikan pantun-pantun, Syair, dan Sajak serta Sanjak sebagai sarana untuk menanamkan konsep adab dalam diri manusia.

Prof Dr AMer Ar-Roubaie dari Banghdad pula banyak berkongsi data-data perihal umat Islam masa kini dengan menggunakan data-data yang diperolehi dari World Bank dan yang seangkatan dengannya. Antaranyanya ialah data-data berkenaan dengan Human Development Index (HDI), Kadar Kemiskinan, Perdagangan dan beberapa lagi data lain.

Saudara Wan Ahmad Fayhsal pula menghuraikan perkataan globalisasi yang pada asalnya digunakan dalam aspek ekonomi, dalam proses pihak-pihak tertentu yang menggunakan ia sebagai sarana untuk proses mendominasi hak milik insan lain. Beliau juga turut menghuraikan perihal penggunaan terma Development atau Pembangunan yang sebenarnya agak baru di dalam Islam. Adalah lebih baik menggunakan terma Pengislahan sebagai gantian kepada terma Development yang sarat dengan unsur-unsur seperti Materialisme dan Modernisme (tambahan penulis).

Menarik untuk dikongsikan bersama berkenaan dengan Forum ini, ketika sesi soal jawab berlangsung, hampir setiap profesor yang menjadi panelis, memberikan ulasan berkenaan dengan isi yang diberikan oleh saudara Wan Fayhsal.

Prof Chandra Muzafar mengulas isu terma tradisional yang selalu digunakan agar diberikan satu cara pandang baru dengan menggunakan perkataan ‘eternal’ yang lebih melibatkan sifat sejagatnya. Sebagai contoh, cium ibu danayah, bukan sahaja tradisi Islam yang dahulu, bahkan ia tradisi sejagat dan kekal sampai bila-bila.

Prof. Azizan pula, mengulas isu penggunaan terma seperti Faminisme, Liberalisme dan terma-terma lain yang dianggap ‘jijik’ oleh sesetengah pihak, agar tidak memandang ia dari sudut negatif semata-mata, tetapi harus diterangkan kepada umum dalam usaha mahu menunjukkan bagaimana Islam memandang isme-isme tersebut dari kaca mata Islam.

Prof AMer pula mengulas perihal Globalisasi yang pada beliau terdiri daripada dua jenis, iaitu Globalisasi sebagai satu Proses dan Globaliasasi sebagai satu Konsep. Dan beliau menekankan agar perhatian diberikan kepada Globalisasi sebagai satu Konsep supaya ia dapat dibincang dan difokuskan untuk masa depan ummah. Beliau juga kelihatan tidak bersetuju dengan saudara Wan Fayhsal apabila Wan Fayhsal memberikan ulasan perihal Globalisasi dalam konteks melibatkan sejarah.

Secara keseluruhannya, saya bersyukur kerana dijamu intelek saya oleh para cendekiawan Islam yang mahsyur pada hari ini.

Segala isi yang diperolehi pada hari ini bukanlah habis sekadar berforum. Itu sudah pasti. Apa yang lebih penting ialah, idea-idea yang telah dipersembahkan tadi harus diadun sebaik mungkin sebagai bahan aqal yang dipandu wahyu dalam usaha mencari solusi memperbaiki keadaan ummah.

Satu perkara yang pada saya menutup diskusi  forum pada hari ini ialah kenyataan tambahan oleh saudara Wan Fayhsal berkenaan dengan ‘chaos’ yang sedang berlaku didunia pada hari ini, bukan melibatkan ahli masyarakat biasa, tetapi melibatkan manusia-manusia yang merupakan graduan-graduan universiti, yang membuat polisi-polisi, serta mereka yang bergelar pemimpin-pemimpin.

Untuk menghentikan Chaos ini, harus kembali menyemak semula sistem pendidikan dengan menjadikan idea Universiti Islam seperti yang pernah dibangunkan oleh Prof Al-Attas sebagai langkah solusi menyelesaikan permasalahan pokok ummah masa kini, terutamanya dalam proses memperbaiki Pandangan Alam umat Islam agar tidak dikotori dengan pandangan alam barat bersifat sekular.

Dan berbalik kepada persoalan, adakah umat Islam mempunyai agenda pada abad ke 21 ini? Jawapan yang diberikan oleh Prof Chandra Muzafar ialah, TIDAK ADA. Kerana selagi umat Islam tidak menyelesaikan isu asas atau fundamental, selagi itulah, umat Islam tidak dapat pergi jauh. Apa dia isu asas dan fundamental itu? Ia adalah ILMU PENGETAHUAN.

Wallahu ‘alam.

*Catatan di atas adalah dapatan dari saya sepanjang forum berlangsung. Boleh juga dikatakan sebagai ringkasan dan inti patinya. Ia mungkin tidak bersifat menyeluruh dan mungkin juga ada isi-isi penting yang saya tertinggal. Jika ada, mohon yang hadir dapat menambah dan jika tersalah faham, mohon sahabat-sahabat yang ahidr dapat maklumkan kepada saya agar pindaan isi dapat dibuat. Tiada tujuan lain selain untuk berkongsi dengan pembaca dan berharap isu ilmu ini mendapat perhatian penting buat generasi muda, terutamanya di peringkat IPT.

July 14, 2010

Menjadi satu kepuasan bila dapat berkongsi buah pandangan dengan anak-anak muda, terutama sahabat-sahabat yang masih digelar mahasiswa.

Mereka ini adalah golongan yang dahagakan ilmu dan mempunyai semnagat inkuiri yang bergejolak di hati.

Semangat ini, jika tidak disedari oleh para pendidik (perkataan lain bagi pensyarah), ia amat merugikan.

Ketika makan tengah hari sebentar tadi, saya makan bersama seorang adik, tahun satu pelajar ekonomi UIA.

Sengaja saya membangkitkan isu subjek makroekonomi berkenaan dengan inflasi, ‘growth’ dan pengangguran. Tiga perkara ini sudah sebati dan seolah-olah tidak boleh disentuh! Akibatnya kemiskinan semakin berterusan dan masyarakat terus dilekakan dengan proses sedaya upaya mahu menyelesaikan permasalahan kemiskinan, dengan menggunakan kerangka ekonomi liberal-kapitalis yang berasaskan hutang, riba dan spekulasi!

Satu perkara yang saya bangkitkan ialah perihal bagaimana seseorang pensyarah itu memulakan pengajaran, pada awal semester. Seperti biasa, tentu pensyarah akan berikan sinopsis subjek yang bakal diajar, kemudian termasuk juga buku-buku rujukan sepanjang semester. Tidak lupa juga peraturan-peraturan yang berkaitan dengan kelas yang akan berjalan setiap minggu.

Sebagai contoh, subjek Makroekonomi. Merujuk kepada diri dia dan berdasarkan kepada pengalaman saya suatu ketika dulu. Bila masuk kelas, amat jarang pensyarah yang memberikan gambaran luas (big picture) berkenaan dengan subjek yang bakal diajar (makroekonomi sebagai contoh). Big picture yang dimaksudkan, sebagai contoh ialah peranan pelajar untuk bertindak kritis terhadap subjek tersebut, yang kebanyakan bahannya terdiri daripada teori-teori ekonomi klasik dan moden yang berkiblatkan kerangka sekular.

Apabila ‘big picture’ seumpama ini tidak diberikan, ia sebenarnya adalah tidak adil kepada mahasiswa untuk diberi peluang menilai dengan lebih kritis subjek yang mereka ambil.

Ada beberapa tujuan, mengapa sesiuatu ilmu itu dipelajari, khususnya ilmu pengetahuan yang lahirnya dari Barat.

1) Untuk memahami sesuatu ilmu tersebut.

2) Untuk menilai secara kritis berdasarkan Pandangan Alam Islam

3) Untuk berusaha memberi solusi ke atas kelemahan sesuatu ilmu yang bertunjangkan ke-Barat-an. Dalam konteks ini, harus difahami bahawa sesuatu ilmu pengetahuan itu tidak bersifat bebas-nilai. Sesuatu ilmu pengetahuan itu sebenarnya dipengaruhi oleh budaya, pengalaman dan secara khususnya kerangka Pandangan ALam (worldview) yang dimiliki oleh penemunya. Adalah menjadi tanggungjawab Muslim untuk menyaringnya dari unsur-unsur ketahyulan, mitos, andaian-andaian bersifat spekulasi tanpa asas yang sahih dan kemudiannya menyulaminya dengan prinsip-prinsip dan etika menurut Islam yang sudah tentu berpaksikan keadilan, ke-ihsan-an, dan juga ke-bahagia-an(sa’adah).

Bing Picture ini harus diberikan kepada para pelajar supaya mereka mendapat keadilan dalam menentukan ilmu yang mereka perolehi itu benar-benar bermanfaat buat diri dan ummah atau ia sebenarnya semakin mengacau-bilaukan kehidupan ummah sejagat.

Hendaknya agar para pensyarah tidak hanya memberi fokus kepada sinopsis pengajaran, rujukan-rujukan yang diperlukan dan pembahagian markah-markah, malah adalah lebih sempurna jika ia disulami dengan memberikan ‘Big Picture’ kepada para pelajarnya.

Ini antara isi yang saya kongsikan dengan adik tersebut dengan harapan dia sendiri mendapat ‘Big Picture’ yang saya maksudkan ini, kerana ia tidak diberikan oleh pensyarah.

Ini hanya salah satu situasi dan subjek yang ada. Perkara ini harus dijadikan budaya setiap pensyarah yang ada agar para pelajar mendapat keadilan tentang apa yang dipelajarinya.

Wallahu alam.

P/S: Moga lepas ini dia pula akan menjernihkan fikiran sahabat-sahabat beliau.

Krisis Ilmu Pada Diri dan Ummah

July 13, 2010
tags:

Penilaian terhadap permasalahan mendasar yang berlaku pada umat Islam masa kini (salah satunya) adalah akibat krisis ilmu atau lebih tepat disebut sebagai kekeliruan dalam menanggapi apa itu ilmu dan pembahagiannya menurut Islam.

Salah satu skop ringkas yang ingin saya kongsikan perihal dengan ilmu ialah klasifikasi ilmu fardhu ain difahami oleh kebanyakan dari kita pada hari ini hanya berlegar sekitar ilmu-ilmu berkaitan dengan Rukun Islam dan Iman.

Sudah tentu tidak salah!

Cuma yang menjadi kekeliruan di sini apabila kita HANYA menyempitkan klasifikasi ilmu Fardhu ain hanya pada takat memahami Rukun Islam dan Iman serta syarah yang berkaitan dengannya sahaja.

Hal ini sebenarnya dikhuatiri tidak mampu untuk melahirkan insan kamil yang benar-benar dapat menghayati Islam sebagai ad-Din.

Menurut aliran pemikiran Al-Attas, perkembangan Ilmu Fardhu Ain adalah seiring dengan peningkatan usia dan kefahaman seseorang individu Muslim itu.

Sampai satu peringkat, Ilmu Kalam, sebagai contoh, seharusnya mjenjadi Ilmu Fardhu Ain kerana ia bersangkutan dengan kemampuan setiap individu Muslim berhadapan dengan musuh yang menyerang Islam melalui kaca mata falsafah-falsafah bersifat sampah!

Dalam konteks ini, mempelajari ilmu Falsafah dan Ilmu Kalam harus menjadi salah satu tingkat keperluan oleh umat Islam untuk memahami permasalahan umat semasa, contohnya, dalam memahami Sekularisme sebagai satu rencana Falsafah dan juga Modeniti, yang merupakan penyakit kronik yang bersangkutan dengan cara seseorang Muslim itu berfikir.

Kerana dari cara berfikir, akan menentukan cara mereka bertindak.

Sekadar lontaran untuk difikirkan bersama.

Wallahu alam.

Keberlangsungan Kerangka Ilmu Imam Al-Ghazali

July 12, 2010

ImageHujjatul Islam Imam Al-Ghazali

Semakin mengenali Imam Al-Ghazali, semakin saya menghargai segala hasil kerja dan ajaran para pengikut selepasnya.

Untuk melahirkan semula umat Islam, secara individu, yang menghargai dan beramal dengan Islam, adalah satu pilihan yang tepat jika para pendidik dapat menggali metod dan kerangka ilmu yang digunakan oleh Imam al-Ghazali.

ImageIbnu Khaldun

Pengalaman pengaruh pemikiran beliau yang turut mempengaruhi pemikiran dan hasil kerja Ibnu Khaldun, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, para tentera Salahuddin al-Ayyubi, tamadun-tamadun Islam seperti di Andalus dan juga para pejuang dan ulama’ muktabar yang lain, adalah khazanah berharga yang perlu dikorek oleh para pendidik, dan juga bagi setiap pemuda-pemudi masa kini.

ImageProf Syed Muhammad Naquib AL-Attas

Keberlangsungan kerangka ilmu beliau diteruskan sehingga ke hari ini oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau ini adalah ilmuan yang amat popular di luar Malaysia seperti di Turki, Iran, Indonesia dan negara-negara Islam yang lain. Tapi sayang, nama beliau seakan-akan terpadam atau cuba dipadamkan oleh segolongan individu, bermula dengan penyingkiran beliau dari ISTAC dan sehingga hari ini.

Akan tetapi, matahari yang sentiasa menyinari alam, akan terus bersinar, walau terhalang dek bumbung rumah atau payung. Jika cahayanya tidak menyinari badan, tetapi bahangnya tetap dapat dirasai.

Begitulah perumpamaan yang dapat diberikan kepada beliau. Pemikiran beliau sedikit demi sedikit membuka mata para pemuda-pemudi di Malaysia. Idea Sekularisme dan sekularisasi sebagai suatu rencana falsafah yang telah perlahan-lahan meresap ke dalam minda dan kehidupan umat Islam, telah beliau huraikan dengan panjang lebar, persis dan sangat membuka mata.

Mahu atau tidak, kita harus mengakui bahawa rencana pensekularan ini bermula dengan mensekularkan sistem pendidikan sebagai sarana utama dalam memperolehi ma’rifatullah dan mencapai ilmu pengetahuan yang membawa diri semakin mengenal Allah.

Oleh yang demikian, mahu atau tidak, kita mesti sedar dan insaf, dalam mahu membawa masyarakat kembali kepada Islam, adalah melalui menyemak semula sistem pendidikan kita. Penggunaan politik sebagai sarana untuk mengembalikan umat Islam kepada Islam, harus disertai proses yang serius dalam menekankan aspek kependidikan (ta’dib) ke atas ahlinya.

Adalah menjadi fokus utama kepada generasi pemuda pada hari ini untuk memberi fokus kepada aspek keilmuan agar proses islah dapat dikembalikan dalam masyarakat Islam pada hari ini.

Keilmuan yang dimaksudkan ini bukan bermaksud dengan hanya membaca semata-mata, tetapi melibatkan fakulti intelek (pemikiran) agar dapat membentuk pandangan alam Islam yang jelas.

Dengan memahami dan meng-konstruk pemikiran agar jelas pandangan alamnya, ia mampu menjadi agen pengislahan diri dan ummah yang benar.

Tiada tujuan untuk diri mengangkat Prof Al-Attas tinggi-tinggi, tetapi ia adalah suatu yang seharusnya dinilai semula oleh para pemuda-pemudi untuk bersikap objektif dengan cara mengkaji pemikiran beliau yang sangat unik dan merupakan keberlangsungan daripada pemikiran Imam Al-Ghazali.

P/S: Kalau orang kata saya sebagai pengkagum AL-Attas sekalipun, ia bukan masalah. Setiap individu mempunyai tokoh yang dikagumi masing-masing. Bahkan bukan satu, tapi ramai.  Wallahu ‘alam.

Merangkak Ke Fasa Seterusnya Dalam Dunia Intelektual

July 11, 2010

Image

Saya tidak terlepas dari melalui kehidupan penuh dilema. Bukan kehidupan namanya jika hidup tiada ujian dan cubaan.

DIlema yang wujud dan timbul dijiwa muda (dah nak tua dah pun) ini membuatkan diri menjadi serba salah dalam setiap apa yang dilakukan. Serba salah bukan kerana apa yang dibuat salah (kadang-kala berlaku kesalahan), tetapi serba salah dalam mahu menilai dan membuat keputusan untuk diberi fokus dan lebih perhatian.

Kerana, setiap keputusan yang diambil akan mengakibatkan natijah yang tersendiri. Sama ada baik atau buruk, banyak yang baik atau banyak yang buruk, semua itu menjadi timbang tara.

Berlakunya perubahan dari sudut cara berfikir, ada kaitan dengan pergaulan dan hasil pembacaan. Berlakunya sebarang keputusan yang diambil, turut ada kaitan dengan kedua-dua perkara tersebut juga.

Kerap kali saya berada di dalam dilema dan serba salah, untuk membuat sebarang keputusan, tetapi keputusan harus dibuat. Jika tidak, saya tidak akan ke mana-mana.

Keputusan yang baru dibuat beberapa hari lalu, adalah keputusan yang memerlukan keberanian dan kesediaan hati nurani. Rasa bersalah turut wujud dalam diri, tetapi keputusan harus di buat – walau terpaksa mengorbankan nama baik.

Allah menjadi saksi untuk Dia menjauhkan diri dari sebarang fitnah.

Teringat semasa masih di kampus, saya amat merindui untuk hidup dalam suasana ketika ini, yang dikelilingi peluang menuntut ilmu. Alhamdulillah, Allah permudahkan. Allah makbulkan.

Image

Sekarang, apabila sudah menjalani kehidupan sebagai salah seorang warga kota Kuala Lumpur, sudah sampai masanya saya menganjakkan diri ke fasa kehidupan seterusnya, untuk mengabdikan diri dan memberi fokus dalam bidang intelektual yang penuh mencabar.

Sebarang halangan, harus diselesaikan dalam masa terdekat, dengan harapan agar Allah permudahkan urusan.

Hati sudah jatuh cinta di alam yang dipenuhi dengan ruang mencari kebenaran yang mutlak. Kebenaran yang mutlak itu sudah sedia ada, sejak sebelum wujudnya insan dan dunia, cuma diri ini bertanggungjawab untuk merasai pengalaman tersebut agar benar-benar dapat merasai dan menghayati bahawa Allah sememangnya lebih dekat dari urat leher diri.

Semua ini harus dibayar dengan harga yang mahal. Menuntut kesediaan seluruh jasad, fikiran dan spiritual untuk melaluinya.

Sudah sampai masanya untuk memberi fokus dalam bidang keintelektualan yang mencabar ini.

Master atau PhD, bukan menjadi fokus diperolehi, tetapi peluang bersama para ilmuan muktabar dan agung pada abad ini, yang menjadi fokus untuk didekati dan digali ilmunya.

Saya mohon maaf ke atas segala perlakuan yang kelihatan membuatkan sebahagian dari kalian membenci diri. Bukan niat di hati mahu diri dibenci, tetapi kadang-kala perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi sifat ingin tahu, mengapa sesuatu perkara tersebut dilakukan.

Diri ini bukan milik sesiapa, tetapi milik Allah.

Inilah saya, salah seorang hambaNya yang turut mempunyai misteri tersendiri.

Bermusafir di Bumi, Mencari dan Menghayati Hakikat Kejadian.

Muqaddimah Ibnu Khaldun dan Prolegomena Prof al-Attas

July 8, 2010

Image

Karya Ibnu Khaldun, berjudul Muqaddimah, adalah karya agung yang sehingga kini masih dikaji dan dicerakinkan satu demi satu hikmah yang terkandung di dalamnya.

Judulnya diberikan sebagai muqaddimah adalah sebagai asas kepada satu disiplin ilmu yang beliau formularize-kan untuk ummat mendatang.

Image

Begitu juga dengan karya agung Prof Al-Attas berjudul Prolegomena (Muqaddimah) To The Metaphysics of Islam, adalah karya yang diharapkan dapat dicungkil hikmah-hikmah yang terdapat di dalamnya untuk kebaikan dan manfaat ummah sejagat pada abad ini dan mendatang.

Buku Prolegomena itu agak berat. Tetapi seronok dibaca jika si pembacanya benar-benar mahu mengetahui keistimewaan kitab tersebut.

Ia merangkumi beberapa makalah atau artikel yang dikumpulkan berkaitan dengan Pandangan alam Islam yang diformularize-kan semula untuk panduan ummah. Antara isi kandungannya ialah:

a) Islam: The Concept of Religion and the Foundation of Ethics and Morality

b) The Meaning and Experience of Happiness in Islam

c) Islam and The Philosophy of Science

d) The Nature of Man and The Psychology of the Human Soul

e) The Intuition of Existence

f) On Quiddity and Essence

g) The Degree of existence

Saya yakin, karya Prolegomena ini bakal membentuk semula kerangka ilmu Islam yang semakin rapuh dirempuh badai sekularisme. Tinggal lagi, sama ada para pemuda-pemudi Islam masa kini mahu atau tidak sahaja untuk mengambil kesempatan ini bagi memahami kerangka yang telah dibina beliau.

Image

Jika masih tidak mampu membacanya, mungkin boleh mendapatkan ringkasan isi kitab tersebut melalui karya Prof A-Attas berjudul Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam. Ini antara tajuk-tajuk penting yang dibincangkan di dalamnya:

a) Peri Ilmu dan Pandangan Alam

b) Peri Tanzil dan Kesatuan Agama

c) Peri Ilmu dan Adab

d) Perihal Bahasa dan Istilah Kunci

e) Perihal Akhlak dan Kesejahteraan

f) Perihal Perubahan, Pembangunan dan Kemajuan

Ia merangkumi isi pendahuluan kitab Prolegomena dan beberapa tambahan yang amat penting untuk umat Islam hari ini, khususnya anak-anak muda yang ingin Islam kembali di tempat asalnya. Golongan ini wajib membaca dan mencungkil hikmah daripadanya.

Saya hanya berkongsi dan menyampaikan apa yang saya yakin benar. Moga pembaca mendapat manfaat daripadanya.

Wallahu alam.

*Jangan didengari fitnah yang dilemparkan oleh orang lain, tetapi ringankan mulut bertanya tentang apa yang mahu disampaikan oleh Prof Al-Attas kepada umat Islam masa kini. Lebih baik lagi, jika dapat memiliki karya-karya beliau agar lebih memahami secara terus idea yang mahu disampaikan.

Design a site like this with WordPress.com
Get started