Image
assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, November 30, 2014

ANDAIAN MUHYIDDIN YASSIN MELETAKKAN JAWATAN TIMBALAN TERNYATA MELESET!

Oleh Abdul Rahman Hashim.

Image
Najib dan Muhyiddin, bertekad untuk meremajakan UMNO
dalam solidariti yang lebih padu untuk mencapai sasaran dua pertiga
menjelang PRU14
Andaian kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung UMNO 2014 ini ternyata meleset. Sebelum ini terdapat desas desus yang dihangatkan oleh beberapa pihak yang menyatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Dato' Sri Najib Tun Razak yang dikatakan akan berkuatkuasa selepas Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang baru sahaja melabuhkan tirainya.
Terdapat banyak versi tentang penceritaan ini; ada yang mengandaikan kononnya kondisi kesihatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak mutakhir ini dikatakan tidak lagi mengizinkan untuk beliau meneruskan perkhidmatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Terdapat juga andaian yang menyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima tekanan politik yang kuat daripada Dato' Sri Najib apabila kelibat politiknya dilihat lebih cenderung memihak kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan akan menarik balik sokongannya terhadap Dato' Sri Najib yang dikatakan banyak melakukan kesilapan yang merugikan negara, di antaranya Dr Mahathir tidak bersetuju dengan dasar pemberian BRIM termasuk tindakan-tindakan politiknya yang dianggap oleh Tun Dr Mahathir sebagai lemah.
Setelah mengikuti ucapan penggulungan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO di penghujung Perhimpunan Agung UMNO 2014 kemarin, tidak ada sebarang indikasi yang menjurus kepada hasratnya untuk meninggalkan jawatan nombor dua itu sebagaimana yang disangkakan selama ini.
Beliau sebaliknya telah bertekad akan membantu Perdana Menteri untuk mempastikan Barisan Nasional mampu memperolehi kemenangan lebih aua pertiga menjelang PRU14 nanti. Justeru, beliau juga yakin Presiden parti akan memberikan kepercayaan sekali lagi kepadanya sebagai Timbalan Presiden untuk menjadi Pengarah jentera pilihan raya Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.
Dato' Sri Najib pula di dalam ucapan penggulungannya langsung tidak membayangkan wujudnya keretakan dan konflik politik di antara mereka berdua, malah Presiden UMNO itu seringkali menyatakan beliau bersama-sama Timbalan Presidennya (Muhyiddin) sentiasa memberikan perhatian yang lebih kepada gerak kerja parti supaya UMNO terus relevan menjelang PRU14.
Semasa merasmikan Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap UMNO dua hari sebelum Perhimpunan Agung UMNO, ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat begitu bertenaga dan bernas. Beliau memfokuskan ucapannya terhadap isu peremajaan UMNO dan merekayasa masa depan UMNO. Muhyiddin juga telah mencadangkan agar pemilihan jawatan UMNO di semua peringkat tidak lagi dtangguhkan selepas mengadakan pilihan raya sebagaimana yang lazim dilakukan sebelum ini. Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menyebut mana-mana pemimpin yang menjadi liabliti kepada UMNO hendaklah berundur memberi lalaun kepada yang baru.
Beliau yakin UMNO tidak akan berpecah dengan adanya pemilihan jawatan tiga tahun sekali itu. Jika itu yang dicadangkan, bermakna pemilihan jawatan dalam UMNO pada tahun 2013 akan cukup tempohnya pada tahun 2016, manakala tempoh akhir pilihan raya penggal ke-13 yang diadakan pada Mei 2013 lepas akan berkahir pada Jun 2018.  
Persoalannya, apakah Muhyiddin akan terus kekal untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada tahun 2016 nanti? Apakah ada jaminan bahawa dirinya tidak akan ditentang oleh mana-mana penyandang jawatan Naib Presiden sekarang? Atau apakah ada agenda lain untuk melonjakkan Tan Sri Muhyiddin sendiri merebut jawatan Presiden UMNO yang kini disandang oleh Dato' Sri Najib Tun Razak? 
Dalam hal ini saya tidak percaya ambisi Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendesak Najib mempercepatkan perletakan jawatan Presiden atau jawatan Perdana Menteri sebagaimana yang pernah berlaku terhadap diri Pak Lah. Kalau itu terjadi apakah akan muncul 'kabilah' di dalam UMNO yang juga mempertaruhkan di antara Zahid Hamidi atau Hishammuddin yang bakal melonjak sebagai Timbalannya? Demikianlah proses evolusi demokrasi di dalam UMNO yang semakin menarik diberikan perhatian selepas ini.



Monday, November 17, 2014

MANTAN KETUA PEMUDA UMNO WP YANG PERTAMA DILANTIK SENATOR

Oleh Abdul Rahman Hashim

Image
YB Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad mengangkat sumpah
jawatan Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara
pada 3 November 2014.
Image

Datuk Seri Abdul Halim Abdul Samad, 74 telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 3 November 2014 yang lalu. Beliau merupakan mantan Ketua Badan Perhubungan Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang pertama sejak Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan pada tahun 1974. Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad telah menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO WP dari tahun itu sehingga tahun 1982.
Pelantikan beliau sebagai Senator ini juga merupakan satu penghormatan kepada KUB (M) Berhad kerana Senator Datuk Seri Abdul Halim Abdul Samad adalah Pengerusi kepada syarikat konglemerat milik UMNO ini.
Image
Penulis bersama YB Senator Datuk Seri Abd Halim Abd Samad
sempena majlis angkat sumpah jawatan Ahli Dewan Negara, 3 Nov 2014
Image
Penulis (Abdul Rahman Hashim) berucap sebagai 
Pengerusi Penganjur Majlis Kesyukuran 
Pelantikan YB Senator Datuk Seri Abdul Halim Samad 
sebagai Ahli Dewan Negara pada 14 November 2014.
Image

Pada 14 November lalu, Ikatan Sahabat Setia P.118 telah mengadakan majlis kesyukuran sempena pelantikan beliau sebagai Ahli Dewan Negara. Turut meraikan majlis ini ialah Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Ahli Parlimen Setiawangsa, Dato' Jawahar Ali Pengerusi Madrasathul Faridiyah yang juga pemilik rangkaian Restoran Ali Maju.
Ramai tokoh-tokoh dan pemimpin masyarakat dalam kawasan Parlimen Setiawangsa yang turut serta dalam majlis kesyukuran ini, di antara mereka ialah Haji Abdullah Mohamed, Pengerusi Permuafakatan Masjid dan Surau Parlimen Setiawanga (Mapen), Haji Abdullah Abdul Rahman, Pengerusi Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah yang juga Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Setiawangsa.
Haji Abdul Razak Karim, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penduduk Perumahan Awam DBKL seluruh Kuala Lumpur juga hadir. Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah bagi pihak seluruh Persatuan Penduduk di WP Kuala Lumpur ini. Tokoh pemimpin tempatan yang lain turut bersama di dalam majlis ini ialah Haji Ismail Shaari, Pengerusi MPP Sub Zon 2 Parlimen Setiawangsa, Basarudin, Pengerusi Persatuan Pesara dan Warga Emas (WAMAS), Puan Hairunnisha Ismail, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa dan beberapa orang Pengerusi Persatuan Penduduk yang lainnya. Norsiah Kamaruddin, Pengerusi Penyelaras Komuniti 1 Malaysia Peringkat Parlimen Setiawangsa juga kelihatan meraikan majlis ini.
Image
YB Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Ahli Parlimen Setiawangsa
menyampaikan ucapan tahniah di atas pelantikan
Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad sebagai Senator.
Image
YB Senator Datuk Seri Abdul Halim Samad menyampaikan ucapan
terima kasih kepada sahabat handai yang meraikannya di dalam majlis
kesyukuran pelantikan beliau sebagai Ahli Dewan Negara.
Image
Upacara memotong kek sempena majlis kesyukuran
pelantikan YB Senator Datuk Seri Abdul Halim Samad sebagai
Ahli Dewan Negara.

Wednesday, January 1, 2014

KERAJAAN BN TIDAK PUN TERGULING

Oleh Abdul Rahman Hashim. Emel: [email protected]

Image
Suasana Himpunan TURUN di Dataran Merdeka
Image
Pihak Polis berjaya mengawal keselamatan dan ketenteraman

Heboh di dalam media arus perdana kita mengorkestrakan Perhimpunan TURUN 31 Disember 2013 adalah Perhimpunan GULING kerajaan. Pada saya perhimpunan yang digerakkan oleh beberapa NGO ini berjaya dari segi menghimpunkan puluhan ribu orang yang datang atas kesedaran untuk menyatakan kepada kerajaan betapa rimas dan resahnya rakyat akar umbi dengan kenaikan harga barang, kenaikan kadar TOL, kenaikan tarif elektrik, kenaikan harga petrol, pengurangan subsidi gula dan bermacam-macam lagi yang membabitkan kesengsaraan rakyat menjelang tahun 2014.
Di sebalik kejayaan itu, kegagalan yang ketara pula dilihat ialah pihak penganjur gagal mencetuskan huru hara, tiada letupan bom selain percikan bunga api oleh penganjur Ambang Tahun Baru 2014@DBKL. Kegagalan menghuru harakan Dataran Merdeka mungkin mengecewakan juga Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 dan pihak media yang sekutu dengannya, kerana begitu lama mereka cuba memutar belitkan matlamat perhimpunan ini diadakan kononnya di situ akan berlaku insiden kerajaan akan DIGULINGKAN oleh pencetus demonstran termasuk mendakyahkan kononnya akan ada letupan bom.
Semuanya AUTA belaka. Datuk Bandar Kuala Lumpur yang mengetuai pekikan Tahun Baru di atas pentas Dataran Merdeka tidak pun terasa dirinya terancam. Begitu juga rakyat seluruh negara pula dihidangkan dengan siaran secara langsung oleh pihak TV tanpa ada rasa was-was akan mara bahaya yang akan menimpa sambutan Tahun Baru kali ini. Jika benar perhimpunan TURUN ini dianggap bahaya, kenapa Bukit Aman tidak menasihatkan Datuk Bandar dan lain-lain VIP supaya jangan hadir; ataupun nasihatkan sahaja agar 'Konsert Ambang Tahun Baru 2014' itu dibatalkan sahaja?

Image

Image

Jika dilihat propaganda yang diputarkan, Dataran Merdeka bagaikan akan bermandi darah, mungkin juga bangunan DBKL akan dirampas, bangunan warisan Sultan Abdul Samad dan Kelab Selangor yang berdekatan dengan Dataran Merdeka mungkin juga turut menjadi sasaran untuk mencetuskan rampasan kuasa. Di situ juga terlalu dekat dengan Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Bank Negara, Bank Rakyat, Bangunan CIMB, Kompleks Kerajaan Jalan Dato' Onn serta pusat-pusat membeli belah di Sogo, Pertama Complex, Stesen LRT di Masjid Jamek juga berdekatan, Pasar Seni, Daya Bumi, Maju Junction, Medan Mara kesemuanya memang boleh dimangsakan jika benar peserta himpunan ini hendak menggulingkan kerajaan. Semuanya mengarut saje. 
Siaran berita TV1, TV2 dan TV3 yang dimainkan setiap hari mungkin juga membuatkan denyut nadi emak bapak yang berada di kampung turut menjadi risau. Termiang-miang di benak hati mereka, apakah anak-anak mereka juga terlibat untuk menggulingkan kerajaan? Saya cuma terfikir, apakah kerajaan akan mengisytiharkan darurat, jika benar perhimpunan membela rakyat itu mampu menggulingkan kerajaan? Jadi, apabila semuanya itu tidak berlaku, bukankah itu hanya suatu gertakan yang hendak menakut-nakutkan orang ramai sehingga warga kota menjadi gelisah tentang keselamatan diri mereka menjelang ambang tahun baru 2014. Jika ia merupakan suatu gertakan untuk menakut-nakutkan rakyat, jelas terbukti strategi dan taktik bodoh itu tidak menjadi, sebaliknya berbondong-bondong rakyat yang menyertainya tanpa rasa takut pun. Mereka memaparkan sepanduk-sepanduk yang bercirikan kekecewaan di atas kenaikan harga barang yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Image

Image

Syukur Alhamdulillah, akhirnya pihak polis bertindak bijak kerana mereka tidak melakukan apa-apa kekasaran yang boleh menyebabkan tercetusnya kekacauan. Tidak ada semburan 'water canon' yang dihalakan kepada para demonstran, tidak ada yang pecah kepala akibat pukulan cota FRU, tidak berlaku keganasan seperti yang disangka, letupan bom juga tidak kedengaran. Tidak pula kedengaran kereta ambulan untuk membawa demonstran yang tercedera atau yang terbunuh ke hospital. Para demonstran wajarlah berterima kasih kepada pihak polis, kerana keselamatan semua demonstran dan orang awam sentiasa dikawal rapi oleh mereka. Saya tidak bersetuju jika para demonstran tidak dapat menerima hakikat ini!
Walaupun perhimpunan aman ini telah bersurai tanpa insiden berat yang  berlaku, namun saya yakin pihak media terutamanya Utusan Malaysi sentiasa tidak berpuas hati dengan kejayaan Perhimpunan TURUN ini. Tentu ada manipulasi dan putar belit lain yang akan digembar gemburkan dalam melaporkan berita untuk memburukkan keadaan. Media ini tidak pernah positif terhadap mereka, maka sebab itu Utusan sering kalah dalam beberapa kes samannya terutama berkaitan dengan gelombang seumpama ini. Kebencian dan sakit hati terhadap akhbar seperti ini menyebabkan ia menjadi liabliti kepada UMNO dan kerajaan.
Saya juga yakin pihak penganjur tentunya berpuas hati di atas kejayaan mereka itu. Namun yang pasti belum tentu pihak kerajaan boleh akur dengan bantahan dan tuntutan TURUN kerana tuntutan itu dianggap didalangi oleh musuh politik UMNO/BN, walaupun tidak semua tuntutan itu berniat jahat. Apa pun, kita mengharapkan pihak kerajaan dapat mendengar rintihan rakyat dan jangan berlengah untuk melakukan muhasabah agar rakyat tidak merasa kecewa lagi. Jangan biarkan derita rakyat berlarutan, kerana ia boleh membahayakan masa depan UMNO/BN. Wallahu'alam.

Image
Suasana di Sogo
Image
Suasana di Sogo

Friday, December 27, 2013

KERESAHAN RAKYAT BUKAN NAK MENGGULING KERAJAAN!

 Oleh Abdul Rahman Hashim @ Emel: [email protected]
Image

Image
Tun Dr Mahathir Mohamad turut mempersoalkan dengan berkata, kenaikan 15% tarif elektrik tidak seharusnya dinaikkan secara mendadak kerana ia akan membebankan pengguna elektrik domestik, di samping itu ia juga akan memberi kesan kepada kos pengeluaran industri negara.
Justeru kerugian yang dialami oleh pemain industri akibat kenaikan tarif elektrik ini akan menyebabkan mereka membayar cukai kepada kerajaan dengan kadar yang rendah. Kalau nak naik pun katanya, berperingkat2 laa...
Keluh kesah rakyat bawahan pula akibat kenaikan harga barang keperluan bukannya petanda rakyat nak menggulingkan kerajaan, tetapi sebenarnya mereka kecewa kerana 'Janji' tidak ditepati lagi manakala slogan 'Rakyat Didahulukan' tidak lagi semanis rasa sebelum PRU13. Mungkin juga ancaman PRU14 lambat lagi kot? 
Mutakhir ini banyak pihak bukan sahaja dari kalangan pro pembangkang yang membantah kenaikan tarif elektrik ini, malah Pergerakan Pemuda UMNO juga tidak bersetuju dengan kenaikan tarif elektrik yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan kerana ia dilihat hanya akan menguntungkan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Bagi Pemuda, kenaikan tarif yang tidak setara dengan peningkatan kos bahan api hanya menguntungkan TNB yang tampak mementingkan kantung pemegang sahamnya, bukan rakyat jelata," tambahnya.

Sunday, October 6, 2013

ZULHASNAN DAN HALIM SAMAD DITENTANG DUA PENJURU DI SETIAWANGSA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Image
Tan Sri Zulhasnan Rafique dan Datuk Seri Abdul Halim Samad
Kenapa mereka tidak sehaluan lagi?
Image
Dato' Ahmad Fauzi Zahari, MP Setiawangsa
telah menang Naib Ketua UMNO Bahagian
Di dalam kerancakan menghadapi musim pemilihan jawatan di dalam UMNO menjelang 19 Oktober ini, UMNO Bahagian Setiawangsa tidak terkecuali daripada menghadapi pertembungan bagi merebut jawatan-jawatan penting terutamanya jawatan Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian dan juga Naib Ketua Bahagian.
Yahaya Yaakob dan Sakandar Khan Sumandar Khan telah mengesahkan penyertaan mereka untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang kini disandang oleh Tan Sri Zulhasnan Rafique. Tanpa memperkecilkan keupayaan calon-calon yang menentang Tan Sri Zulhasnan Rafique, rasanya Yahaya Yaakob dan juga Sakandar Khan mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka berani menentang mantan Menteri Wilayah Persekutuan itu kali ini.

Image
Yahaya Yaakob pencabar Tan Sri Zulhasnan Rafique
Image
Sakandar Khan, turut mencabar
Tan Sri Zulhasnan Rafique
Memang benar selama Zulhasnan Rafique menjadi Ahli Parlimen sejak tahun 1999, beliau hanya tewas bertanding jawatan Ketua Bahagian Wangsa Maju di tangan Datuk Astaman Abdul Aziz pada tahun 2001, namun begitu pada tahun 2003 apabila berlakunnya persempadanan semula kawasan pilihan raya, Tan Sri Zulhasnan Rafique telah dilantik oleh pucuk pimpinan ketika itu (Pak Lah) sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Setiawangsa sehinggalah beliau dinobatkan secara rasminya untuk jawatan tersebut setelah tiada calon lain yang berani menentangnya di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang diadakan pada tahun 2004; iaitu sebaik sahaja beliau menang dalam PRU11 pada tahun yang sama.
Begitu juga pada tahun 2008, apabila diadakan pemilihan jawatan di dalam UMNO pada tahun berkenaan, sekali lagi Tan Sri Zulhasnan Rafique yang sudah pun berjawatan Menteri Wilayah Persekutuan sejak tahun 2006, beliau sekali lagi diberikan mandat untuk menyandang jawatan Ketua Bahagian Setiawangsa buat penggal yang keduanya. 
Namun begitu nasib politiknya tidak seampuh dengan kejayaannya dalam bidang korporat, kerana sebaik sahaja Dato' Sri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari tangan Pak Lah pada tahun 2010, nama Tan Sri Zuilhasnan Rafique telah digugurkan daripada barisan kabinet Najib. Tidak sekadar beliau kehilangan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan, namanya juga tidak lagi terpahat sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang telah diganti kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Manakala jawatan Menteri Wilayah Persekutuan pula telah diisi oleh muka baru iaitu Senator Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai.
Karier politik Zulhasnan Rafique semakin tidak bersinar lagi apabila nama beliau tidak lagi menjadi pilihan di hati pucuk pimpinan parti untuk dipertaruhkan sebagai calon BN di dalam PRU13 pada 5 Mei lalu. Walaupun kelihatannya beliau masih bersedia untuk dicalonkan semula, namun takdir Tuhan tidak memihak kepadanya kerana pucuk pimpinan parti telah memilih calon baru untuk bertanding di kerusi P.118 Setiawangsa pada PRU13; Dato' Sri Najib akhirnya memilih Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa sebagai calon BN.
Banyak pihak menjangkakan Dato' Ahmad Fauzi Zahari setelah bergelar 'Yang Berhormat' di Parlimen Setiawangsa, maka seharusnya beliau wajar diberikan peluang untuk menerajui UMNO Bahagian Setiawangsa pada musim pemilihan jawatan UMNO kali ini. Namun jangkaan itu meleset, kerana Tan Sri Zulhasnan Rafique masih menunjukkan keinginan untuk menjadi Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa buat penggal yang ke-3. 
Lantaran itu, Dato' Ahmad Fauzi Zahari terpaksa membuat keputusan bijaknya dengan mempertahankan jawatan Naib Ketua Bahagian yang disandangnya selama ini, seterusnya bergandingan bersama-sama dengan Datuk Seri Abdul Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian dan memberikan harapan kepada Yahaya Yaakob yang akan bertanding jawatan Ketua Bahagian menentang Tan Sri Zulhasnan Rafique.
Image
Pada mulanya Dato' Ahmad Fauzi Zahari dilihat akan berhadapan dengan pencabar tradisinya Dato' Izudin Ishak, namun pada 24 September yang lalu Dato' Izudin Ishak (Foto kiri) lebih menampakkan kebijakannya apabila mengumumkan beliau menarik diri dari menentang Ahli Parlimen Setiawangsa itu bagi jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa. Izudin Ishak yang juga Pengarah Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan lebih rasional dalam membuat keputusan ini, kerana beliau lebih akur dengan aspirasi yang diinginkan oleh boss atasannya daripada terjebak dengan percaturan yang boleh menjejaskan masa depan kariernya.
Namun begitu, Datuk Seri Halim Abdul Samad penyandang jawatan Timbalan Ketua Bahagian Setiawangsa masih belum selamat lagi, kerana jawatan nombor dua ini menjadi rebutan pula oleh dua lagi calon yang sudah pun menawarkan diri, iaitu Shuib Ibrahim Bendahari UMNO Bahagian dan juga Azmi Badarudin Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa.
Percubaan kali kedua Shuib Ibrahim menentang Halim Samad bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian kali ini masih dilihat wujudnya 'konspirasi rakit' yang tidak mahukan lagi Halim Samad berada pada jawatan tersebut. Rasanya Zulhasnan Rafique sendiri sedar betapa perebutan jawatan ini memungkin dirinya untuk memilih salah seorang samada Shuib atau Azmi? Apakah Halim Samad masih meyakini bahawa dirinya masih diperlukan lagi oleh Zulhasnan Rafique sebagai gandingan terbaiknya kali ini?
Pada saya apabila Datuk Seri Halim Samad meletakkan dirinya bergandingan dengan Yahaya Yaakob yang akan menentang Tan Sri Zulhasnan Rafique di peringkat jawatan Ketua Bahagian, tentunya ada yang tidak kena yang memungkinkan pergeseran persepsi di antara mereka sehingga mengundang kepada pertembungan ZULHASNAN RAFIQUE - YAHAYA YAAKOB - SAKANDAR KHAN bagi jawatan Ketua Bahagian, HALIM SAMAD - SHUIB IBRAHIM - AZMI BADARUDIN pula bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian; manakala FAUZI ZAHARI terpaksa cenderung kepada gandingan yang memberikan sokongan kepada dirinya sebagai Wakil Rakyat. 
Selamat bersidang kepada semua perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa yang akan bersidang pada 19 Oktober nanti, di PWTC!


Friday, September 13, 2013

BENARKAH DATUK ASTAMAN MENENTANG ZULHASNAN DI SETIAWANGSA?

Oleh Abdul Rahman Hashim
Image
Datuk Astaman Abdul Aziz
Image
Tan Sri Zulhasnan Rafique

Datuk Astaman Abdul Aziz merupakan satu nama yang tidak asing lagi buat warga di Setiawangsa, kerana beliau bukan sahaja seorang tokoh politik yang cukup terkenal di kawasan ini malah jejak politik beliau amat sinonim dengan warga UMNO di Bahagian Wangsa Maju dan juga di Titiwangsa. Kini beliau telah diberikan laluan untuk mengetuai UMNO Cawangan Rampai Town oleh mantan ketua cawangan tersebut, Ahmad Yahya Yaakob (Foto di bawah)
ImageKemunculannya menerajui UMNO Cawangan Rampai Town tentunya akan mengundang pelbagai spekulasi, terutama di saat UMNO Bahagian Setiawangsa sedang ternanti-nanti siapakah tokoh yang akan memberikan cabaran terhadap Tan Sri Zulhasnan Rafique, Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa pada musim pemilihan jawatan kali ini.

Semasa UMNO Bahagian Wangsa Maju diterajui oleh Datuk (kini,Tan Sri) Dr Kamal Salih sekitar tahun 1993-2001, Datuk Astaman ketika itu merupakan Bendahari Bahagian dan beliau juga menerajui UMNO Cawangan Setiawangsa Fasa II di Bahagian tersebut. Pada tahun 2001, Ahli Parlimen Wangsa Maju ketika itu, Dato' Zulhasnan Rafique (Kini, Tan Sri) telah berentap merebut jawatan Ketua Bahagian bersama-sama dengan beliau; dan Astaman bernasib baik kerana beliau telah menang menewaskan Wakil Rakyat berkenaan.
Image
Kenangan Datuk Astaman ketika diumumkan menang
Ketua Bahagian Wangsa Maju menewaskan Zulhasnan, 2001.

Pada tahun 2004, ketika persempadanan kawasan parlimen dikuatkuasakan, Datuk Astaman Abdul Aziz telah dilantik semula sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, manakala Tan Sri Zulhasnan Rafique dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian yang baru iaitu Bahagian Setiawangsa. Dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun berkenaan, Datuk Astaman Abdul Aziz telah dipilih menjadi calon BN di kawasan Parlimen Titiwangsa, dan beliau telah menang dengan majoriti yang besar di kawasan tersebut. Parlimen Wangsa Maju pula telah diserahkan kepada calon MCA, manakala Tan Sri Zulhasnan Rafique telah menang di kawasan Parlimen Setiawangsa. 
Dalam PRU12 yang diadakan pada tahun 2008, Datuk Astaman Abdul Aziz tidak terpilih sebagai calon BN di Titiwangsa yang telah dimenanginya sebelum ini. Kemelut politik wang yang dihadapinya telah menjadi punca utama mengapa nama beliau diketepikan pada PRU 2008. Tan Sri Mohd Isa Samad, Menteri Wilayah Persekutuan juga menerima nasib yang sama dengan Datuk Astaman di mana nama mereka tidak disenaraikan sebagai calon pada PRU berkenaan.
Astaman tidak lama berada di Bahagian Wangsa Maju, pada tahun 2010 beliau telah membuat kejutan berhijrah ke cawangan Rampai Town yang berada di dalam Bahagian Setiawangsa sebagai ahli biasa sahaja; dan pada tahun yang sama, beliau telah memanaskan badannya di Bahagian ini apabila beliau bertanding untuk merebut G7. Percubaan menguji popularitinya di Bahagian yang baru ini ternyata 'menjadi', kerana beliau telah tersenarai sebagai calon G7 yang menang bersama-sama dengan saya (penulis) termasuk Samad Saim, Azhar Kassim, Shari Sidek, Ahmad Laili Tajul Arus dan Saudara Wan Zainal.

Image
Penulis bersama Datuk Astaman ketika menjadi perwakilan G7 2010
Image
Penulis, bersama Azhar Kassim dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari
ketika menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2010.
Image
Penulis (kiri), bersama Tan Sri Zulhasnan Rafique ketika
Hari Penamaan Calon PRU 1999.

Apabila memperkatakan ketokohan Datuk Astaman Abdul Aziz, tentunya sedikit sebanyak akan mengguriskan hati Tan Sri Zulhasnan Rafique yang pernah tewas di tangannya pada tahun 2001. Zulhasnan tidak perlu menyorokkan emosinya terhadap kemunculan semula Astaman Aziz di Setiawangsa. Walaupun Zulhasnan Rafique pernah menyatakan kepada saya bahawa beliau tidak pernah untuk menyekat keinginan Astaman Abdul Aziz untuk bertanding G7 pada tahun 2010, namun pada raut wajahnya Zulhasnan ternyata tidak senang hati dengan karektor politik yang dimiliki oleh Astaman selama ini. 
Tan Sri Zulhasnan Rafique beranggapan Datuk Astaman Abdul Aziz pernah memungkiri janjinya untuk tidak berlawan merebut jawatan Ketua Bahagian Wangsa Maju pada tahun 2001, sebaliknya Zulhasnan mendakwa bahawa Astaman telah bersetuju untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian pada tahun berkenaan. Namun begitu, akhirnya mereka berdua bertembung juga bertanding jawatan Ketua Bahagian. Zulhasnan tewas di tangan Astaman! 
Seperkara lagi yang membuatkan politik Zulhasnan tercalar apabila sekumpulan Ketua-Ketua Cawangan dalam Bahagian Setiawangsa telah menghantar memorandum kepada Dato' Sri Najib Tun Razak pada tahun 2012 supaya tidak mencalonkan semula Zulhasnan Rafique untuk bertanding dalam PRU13, sebaliknya mereka telah mencadangkan agar Datuk Astaman Abdul Aziz dilonjakkan sebagai calon winnable bagi menggantikan Zulhasnan Rafique. 
Tidak sekadar memorandum fasa 1, malah muncul lagi memorandum fasa II dimana kali ini sebilangan Ketua-Ketua Cawangan berkenaan bukan sahaja menolak Zulhasnan, malah mereka juga memberi beberapa alasan supaya nama Dato' Ahmad Fauzi Zahari tidak dinamakan sebagai calon BN di Setiawangsa, sebaliknya mereka mencadangkan supaya nama Astaman Abdul Aziz menjadi calon BN. 
Rantaian memorandum demi memorandum yang dihantar oleh penyokong-penyokong Datuk Astaman Abdul Aziz kepada pucuk pimpinan parti akhirnya bukan sahaja berjaya mencalarkan reputasi Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai penyandang Ahli Parlimen Setiawangsa, malah ia telah memungkinkan nama Zulhasnan Rafique begitu mudah untuk diketepikan menjadi calon BN pada PRU13 yang lepas. 
Walaupun tindakan penyokong Astaman itu telah mencalarkan nama baik Zulhasnan, namun akhirnya nama Astaman Abdul Aziz juga tidak berada di dalam senarai pendek untuk menjadi calon BN di Setiawangsa; sebalikmya telah muncul pula jenama baru yang dianggap paling sesuai untuk menggantikan Tan Sri Zulhasnan Rafique, iaitu Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang menyandang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa.
Image
Dato' Ahmad Fauzi Zahari akhirnya menjadi calon BN Setiawangsa

Episod mencari calon yang winnable untuk PRU13 kini telah berlalu. Dato' Ahmad Fauzi Zahari kini dinobatkan sebagai Ahli Parlimen yang baru kawasan P.118 Setiawangsa. Akibat pertembungan dua tokoh 'Zulhasnan-Astaman' yang menjadi musuh tradisi sejak di Wangsa Maju hingga di Setiawangsa, telah membuatkan mereka berdua terhalang untuk menjadi calon. Kedua-dua tokoh yang bermusuhan ini hendaklah menerima hakikat bahawa apa yang diimpikan mereka kini telah menjadi hak milik orang lain. Segala-galanya telah ditentukan oleh Tuhan Rabbul Jalil. 
Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Walaupun Zulhasnan dan Astaman berputih mata untuk menjadi calon dalam PRU13, namun kelihatannya mereka berdua sekali lagi berkemungkinan akan berentap dalam gelanggang yang pernah mereka hadapi pada tahun 2001 dimana kedua-duanya dikatakan akan dilonjak untuk bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa pada musim pemilihan jawatan kali ini. 
Tan Sri Zulhasnan Rafique masih membisu samada akan mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak tahun 2004 ataupun akan melepaskan jawatannya kali ini. Saya pernah mengajukan soalan ini kepada beliau di dalam satu mesyuarat AJK Bahagian sebelum ini, namun Tan Sri Zulhasnan Rafique enggan memberikan jawapannya. 
Walaupun pemerhati politik tempatan melihat sejak kebelakangan ini Tan Sri Zulhasnan Rafique jarang berada di dalam kawasan, namun itu bukanlah alasan yang tepat bagi Zulhasnan untuk meninggalkan jawatan yang disandangnya. Beliau boleh merasa yakin kekuatan yang dimilikinya, maka sebab itu tidak menjadi masalah kepadanya untuk berminggu-mnggu berada di luar negara, walaupun UMNO di peringkat cawangan sibuk dengan persidangan tahunan masing-masing. 
Zulhasnan rasa tidak bersalah untuk mengasingkan dirinya daripada kerancakan persidangan cawangan-cawangan yang akan berakhir menjelang 15 September ini. Datuk Seri Abdul Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian terpaksa menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Tan Sri Zulhasnan Rafique dengan merasmikan beberapa persidangan UMNO Cawangan. Demikian juga, Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian yang kerap juga menghadiri beberapa persidangan cawangan. Kedua-dua tokoh ini kelihatannya berjaya menampilkan diri sehingga tidak terbayang langsung keinginan mereka untuk menggugat kedudukan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa.
Persoalannya, apakah benar Astaman berkeinginan untuk merebut jawatan Ketua Bahagian ini? Apakah penyokong-penyokongnya akan mendiamkan diri untuk memberi laluan mudah kepada Tan Sri Zulhasnan Rafique menyambung semula jawatannya untuk tiga atau lima tahun yang akan datang?
Sementara Datuk Seri Halim Samad dan Dato' Ahmad Fauzi Zahari tidak menampakkan keinginan untuk merebut jawatan Ketua Bahagian, apakah Datuk Astaman Abdul Aziz juga masih menebal di hatinya untuk tidak bertembung lagi dengan Tan Sri Zulhasnan Rafique kali ini? Apabila Ahmad Yahya Yaakob, memberikan laluan kepada Datuk Astaman Abdul Aziz untuk menjadi Ketua Cawangan Rampai Town tempoh hari, apakah ini indikasinya untuk Datuk Astaman Abdul Aziz mengulangi semula kejayaannya menewaskan Tan Sri Zulhasnan Rafique buat kali kedua? Sama-sama kita nantikan detik 21 September ini apabila semua calon yang bertanding dikehendaki menyerahkan borang persetujuan masing-masing.


Sunday, August 11, 2013

JIKA ZULHASNAN ENGGAN MEMPERTAHANKAN KETUA BAHAGIAN, SIAPA GALANG GANTINYA?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Image
Tan Sri Zulhasnan masih berpengaruh untuk memimpin
UMNO Bahagian Setiawangsa. Manakala Dato' Ahmad Fauzi Zahari
Ahli Parlimen Setiawangsa hanya nak bertanding jawatan Naib Ketua
Pilihan raya umum ke-13 baru sahaja berlalu. Parlimen Setiawangsa kini diwakili oleh Dato' Ahmad Fauzi Zahari setelah beliau menang tipis menewaskan calon PKR dengan majoriti 1390 undi. Tan Sri Zulhasnan Rafique kini bukan lagi Wakil Rakyat di Setiawangsa, namun begitu beliau masih lagi menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian ini yang diterajuinya sejak tahun 2004.
Tidak dapat dijangkakan samada Tan Sri Zulhasnan Rafique masih mahu mempertahankan jawatan tersebut menjelang musim pilihan raya UMNO yang kini sudah pun bermula di peringkat cawangan dan menyusul pula di Peringkat Bahagian pada bulan September sebelum diadakan pemilihan jawatan peringkat tertinggi parti menjelang Oktober nanti.
Mungkin ada kalangan yang menjangkakan Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Ahli Parlimen Setiawangsa yang kini menyandang jawatan Naib Ketua Bahagian akan dilonjakkan bertanding jawatan Ketua Bahagian menggantikan Tan Sri Zulhasnan Rafique. Namun tidak semudah yang dijangkakan untuk Fauzi Zahari mampu bersaing dengan Zulhasnan kerana Fauzi Zahari sendiri dilihat masih belum berupaya untuk diangkat dan dijulang menjadi pemimpin nombor satu UMNO Bahagian Setiawangsa.
Di dalam satu pertemuan dengan beliau selepas pilihan raya umum yang lalu, saya sendiri mengajukan soalan kepada Fauzi Zahari tentang jawatan di dalam UMNO yang akan beliau tandingi nanti; beliau menjawab akan mempertahankan jawatan Naib Ketua Bahagian yang beliau sandang hari ini. Menurutnya biarlah jawatan Ketua Bahagian itu disandang oleh Tan Sri Zulhasnan dan tidak terlintas di hatinya untuk merampas jawatan itu selagi Zulhasnan mahu mengekalkan jawatan tersebut.
Padanya tidak menjadi suatu kemestian untuk beliau berbuat demikian walaupun kini bergelar 'Wakil Rakyat'. Pada dirinya biarlah beliau memberikan tumpuan menjaga rakyat manakala urusan UMNO sewajarnya dipertanggungjawabkan kepada Tan Sri Zulhasnan yang masih menjadi Ketua UMNO Bahagian.
Saya menghormati pendirian yang diungkapkan oleh Dato' Ahmad Fauzi Zahari itu; namun begitu saya menjangkakan kedudukannya bukanlah begitu selamat kerana jawatan Naib Ketua Bahagian yang disandangnya hari ini bakal ditentang oleh tokoh yang pernah menewaskannya bagi jawatan Ketua Pemuda Bahagian Wangsa Maju satu ketika dahulu, iaitu Datuk Izudin Ishak.
Image
Datuk Izudin Ishak (Foto Kiri) yang baru sahaja dilantik oleh PM sebagai Pengarah Eksekutif Yayasan Kesejahteraan Bandar di Kementerian Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos lalu dikatakan begitu berminat untuk berhadapan sekali lagi dengan Dato' Ahmad Fauzi Zahari walaupun beliau pernah juga tewas bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian yang turut ditandingi oleh Dato' Ahmad Fauzi Zahari pada tahun 2008.
Misi Izudin bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian kali ini dilihat akan bergandingan dengan Tan Sri Zulhasnan Rafique, itu pun jika Zulhasnan masih mahu mengekalkan jawatan Ketua Bahagian. Namun begitu kemunculan nama Azmi Badarudin, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa yang bakal menamatkan era Pemudanya juga dikatakan akan menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. 

Image
Shuib Ibrahim (Di tengah) berpengaruh dalam Pemuda UMNO Bahagian.
Azmi Badarudin bakal menjadi calon Naib Ketua Bahagian
Sekiranya Tan Sri Zulhasnan Rafique tidak lagi mempertahankan jawatan Ketua Bahagian, ada kemungkinan Shuib Ibrahim, Bendahari UMNO Bahagian Setiawangsa akan dilonjakkan bertanding mengisi kekosongan jawatan tersebut; jika itu terjadi pemerhati politik meramalkan kemungkinan Azmi Badarudin menjadi calon Naib Ketua yang seganding dengan Shuib Ibrahim, bukan lagi Datuk Izudin. Shuib Ibrahim dikatakan begitu intim dengan Azmi dan diramalkan beliau akan beroleh sokongan kuat daripada sebahagian besar Ketua-Ketua Pemuda UMNO Cawangan, ditambah pula dengan sokongan majoriti daripada Puteri UMNO sendiri kepadanya.
Justeru, kekuatan sokongan kepada Dato' Ahmad Fauzi Zahari untuk jawatan Naib Ketua Bahagian dilihat kian menguncup atas faktor sebahagian besar pemimpin-pemimpin UMNO Cawangan yang setia dengan Zulhasnan selama ini dikatakan akan beralih sokongan mereka kepada calon Naib yang pro dengan Shuib Ibrahim. 
Di dalam keadaan yang tertekan untuk mempertahankan jawatan Naib Ketua Bahagian, Dato' Ahmad Fauzi terpaksa mencari jalan untuk memperkukuhkan kedudukannya dengan berbaik sangka dengan beberapa ketua cawangan yang merasakan diri mereka telah disisihkan oleh Fauzi selepas beliau menang pilihan raya umum yang lalu. Golongan ini begitu tegar bersama dengan Datuk Astaman Abdul Aziz dan bahang kekecewaan mereka terhadap Fauzi bakal diterjemahkan menjelang musim pilihan raya UMNO kali ini.
Kalau pun Datuk Astaman akan masuk gelanggang bertanding jawatan Ketua Bahagian kali ini, saya melihat kecenderungan pencacainya tidak berminat untuk menggandingkan nama Fauzi Zahari sebagai calon favourite bagi jawatan Naib Ketua Bahagian berbanding sokongan kuat mereka kepada Datuk Seri Abdul Halim Samad untuk mengekalkan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa. Persoalannya jika benar mereka tidak mahukan Fauzi Zahari, siapakah galang gantinya?