Malang Tidak Berbau
Hari ini merupakan hari yang agak sederhana di tempat kerja saya. Hampir kesemua tugas biasa seharian telah dilaksanakan dengan sempurna oleh saya dan kakitangan saya. Setelah hampir tamat berkerja untuk hari ni, di dalam lengkongan masa 5:20 petang, tertimbul hajat saya untuk membuang air no. 2. Alangkah terperanjatnya saya setelah menyedari bahawa saya terlupa untuk membuang air no. 2 seharian. Dengan pantas saya membuka langkah dan menghala ke tandas.
Hajat saya tidak kesampaian. Saya dipanggil semula ke meja saya setelah salah seorang kakitangan saya membuat liputan bahawa ada seorang rakan sekerja menghadapi kesulitan menerima mel eletronik dari salah seorang pelanggan syarikat kami. Saya berasa sungguh hampa. Saya dipaksa memeriksa kesulitan tersebut dan membaikinya dengan segera. Tidak perlu saya memberi ulasan seterusnya dengan penuh teliti. Cukuplah dengan saya memberitahu bahawa saya tiba di rumah pada pukul 6:30 malam (di United Kingdom, waktu 6:30 petang dikira malam pada musim sejuk sebab ianya agak gelap seperti waktu 9:00 malam di Malaysia).
Perut saya mula bersuara, “GROKKK GROKKKK GROKKK”, tanda-tanda awal kehendaknya untuk mula memberontak. Saya diberitahu oleh kakak saya (yang sedang bercuti di UK, menginap di rumah saya) bahawa makanan di dalam peti sejuk telah hampir habis dan perlu diisi semula pada malam ini juga. Pada mulanya saya rasa mungkin kami boleh pergi ke pasar-mini pada keesokan malamnya, tetapi melihatkan keadaan kakak saya yang sedang sesak menghadapi PMS pada tahap kemuncak maksima, saya tidak sampai hati. Kami terus berangkat ke ASDA yang terdekat iaitu di bandar Southgate.
Setelah kami memenuhi troli kami dengan telur, roti, sayur kobis, air jus, sabun basuh pinggan dan bermacam-macam barang lagi, kami pun beransur ke kaunter bayaran. Agak terperanjat saya melihatkan bahawa barangan di dalam troli kami tadi itu bernilai lebih GBP£60.00 termasuk cukai, sedangkan pada amnya kami tidak pernah berbelanja lebih dari GBP£30.00 untuk barangan mingguan.
“Tak apa”, saya fikir dalam hati. “Makanan jangan berkira”, saya cuba untuk menyedapkan hati saya.
Setelah mengisi barangan kami ke dalam kereta dan saya mula membuka langkah untuk memasuki tempat duduk pemandu. saya telah lalai untuk memeriksa sesuatu yang agak penting.
“PRAAAAKKKKKKKKK!!!!!!!”, saya mengeluh dengan penuh syahdu.
Saya tidak menyedari bawah seluar saya telah lusut dari aras pinggang saya membuatkan tahap langkah maksima saya terbantut. Seperti jantan dewasa biasa, saya membuka langkah yang agak besar untuk memasuki tempat duduk saya. Agak besar juga lubang pada seluar saya. Terasa angin dingin malam United Kingdom mengalu-ngalukan kehadirannya dengan sendiri di bahagian punggung saya. Semakin perit jadinya melihatkan kakak saya terbahak-bahak tergelak di sebelah saya.
“Bagus lah”, saya berfikir. “Kurang sikit PMS dia tuh”.
Sejurus setelah kami sampai di rumah, saya berlari-lari anak ke tandas untuk memenuhi hajat saya yang telah lama terpendam seharian. Di tengah-tengah “perusahaan” saya itu, saya mengimbas kembali malapetaka yang telah terjadi pada saya malam itu.
“Malang tidak berbau”, saya berkata dalam hati.
“Agak kerap juga terdengar/terbaca pepatah Melayu itu…”
“…kalau ianya tidak berbau, kenapa busuk sangat dalam ni?”, saya tersengih sendiri.


.jpg)
















