Kenali Wan Saiful
Pengenalan
YB Datuk Haji
Wan Saiful Wan Jan
YB Datuk Haji Wan Saiful bin Wan Jan ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia (nota: dipecat bermula 13 Oktober 2025) dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Beliau merupakan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi, serta Ketua Portfolio Kementerian Komunikasi Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional.
Sebelum ini, Wan Saiful merupakan Pengerusi (2018 – 2022) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Ahli Lembaga Pengarah (2019 – 2022) Institut Integriti Malaysia. Beliau pernah dilantik sebagai Penasihat Khas Menteri Pendidikan Malaysia bermula Mei hingga Disember 2018.
Wan Saiful menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 1 Mac 2018. Beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU bermula pada hari yang sama. Beliau kemudiannya menang dalam pemilihan parti pada tahun 2020 dan 2024. Wan Saiful pernah menjadi Ketua Penerangan BERSATU Malaysia pada 2020 hingga 2023 dan Ketua Biro Latihan dan Perkaderan pada 2023 hingga 2024. Sebelum dipecat pada 13 Oktober 2025, beliau juga adalah Ketua Bahagian BERSATU Bangi bermula 2023.
Wan Saiful mempunyai sejarah panjang dalam bidang reformasi institusi. Antaranya, beliau pernah dilantik oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi anggota Jawatankuasa Reformasi Pilihanraya di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 2018 hingga 2020, dan sebelum itu dilantik oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak sebagai anggota Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pendanaan Politik pada 2015 hingga 2016.
Sebelum melibatkan diri secara aktif dalam dunia politik, Wan Saiful memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), sebuah badan pemikir bebas yang ditubuhkan pada 2010. Wan Saiful berjaya memposisikan IDEAS sebagai institusi penyelidikan yang pertama di Malaysia yang memfokuskan kepada penyelesaian polisi berteraskan prinsip pasaran. Di bawah kepimpinan beliau, laporan “Global Go-To Think Tank” yang merupakan satu survei lebih dari 6,000 badan penyelidikan seluruh dunia mengiktiraf IDEAS sebagai badan pengkaji baru ke-13 terbaik di dunia pada tahun 2011 dan badan terbaik di Asia pada tahun 2013.
Wan Saiful juga merupakan Felo Pelawat Kanan ISEAS-Yusuf Ishak Institute, Singapura (2014-2018), Ahli Lembaga Pengarah Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) pada 2013 hingga 2015, dan Penasihat Malaysia China Chamber of Commerce pada 2014 hingga 2016.
Wan Saiful mempunyai minat yang mendalam dalam peranan yang boleh dimainkan oleh badan-badan bukan kerajaan dalam memberikan pendidikan berkualiti tetapi dengan kos yang rendah kepada rakyat terbanyak. Beliau membantu menubuhkan Ideas Academy pada 2012, yang mana sekarang ini dikenali sebagai Ideas International, iaitu sebuah pusat pendidikan menengah berkonsepkan keusahawanan sosial di bandaraya Kuala Lumpur, menawarkan pendidikan berkualiti, inklusif dan kos rendah dengan model pendidikan hibrid atas talian serta fizikal.
Pada masa yang sama, Wan Saiful juga mengetuai usaha menubuhkan Pusat Autisme Ideas pada 2012, bertujuan untuk memberikan pendidikan berkualiti serta terapi kepada anak-anak istimewa dari keluarga berpendapatan rendah. Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Ideas Autism Centre pada 2012 hingga 2014 dan kemudian memainkan peranan sebagai penasihat.
Wan Saiful juga pernah memegang amanah sebagai Ahli Lembaga Penasihat Laureate International Universities Malaysia (2013-2015); Governor di Rafflesia Education Group (2014 – 2017); Ahli Kumpulan Kerja di Razak School of Government; ahli fakulti adjung di Universiti UCSI; ahli Lembaga Penasihat di Sekolah Politik, Sejarah dan Hubungan Antarabangsa di University of Nottingham Malaysia; dan Pengarah CfBT Education Malaysia.
Wan Saiful pernah menetap di United Kingdom bermula Ogos 1993 hingga Oktober 2009. Sewaktu itu, beliau pernah bekerja di beberapa tempat, termasuklah di Commonwealth Policy Studies Unit, Jabatan Penyelidikan Parti Konservatif United Kingdom, dan juga di Social Enterprise London (SEL). Beliau pernah bertanding dalam pilihanraya pihak berkuasa tempatan Luton Borough Council pada 2007, dan pernah menjadi Timbalan Ketua Bahagian Parti Konservatif Luton Utara pada 2005 hingga 2008.
Wan Saiful memegang ijazah Sarjana Muda (BA Hons) Pengurusan dari Northumbria University dan Sarjana (MSc) Metodologi Penyelidikan dari Middlesex University. Beliau merupakan alumni Tonbridge School (UK), Sekolah Alam Shah (Kuala Lumpur) dan Sekolah Kebangsaan Dato Ariffin Mohd Nam (Perlis).
Wan Saiful dilahirkan pada 20 Jun 1975 di Alor Setar, Kedah. Almarhum bapa beliau, Wan Jan bin Wan Chik, merupakan pesara PDRM berpangkat Korporal. Ibu beliau, Shamsiah Mohd Said, merupakan pesara guru sekolah rendah. Keluarga beliau berpindah dari Alor Setar ke kampung asal bapa beliau di Beseri, Perlis, pada 1980.
Perjalanan Datuk Wan Saiful Wan Jan
YB Datuk Haji Wan Saiful, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berpengalaman dalam dasar awam, reformasi, pendidikan, dan pembangunan negara.
20 Jun 1975
Dilahirkan di Berek Polis Jalan Kolam Air, Alor Setar, Kedah.
1982
Sekolah Kebangsaan Dato’ Ariffin Mohd Nam, Tasoh, Perlis.
1988
Sekolah Alam Shah, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
1993
Tonbridge School, Kent, England. (A-Levels)
1995
University of Liverpool, England. (DipHE Medical Science)
13 Jun 1997
Berkahwin dengan Alena binti Omar di Liverpool, United Kingdom.
1998
Newcastle Business School, Northumbria University (BA (Hons) Business Management
1999
Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Islam Malaysia Se-Dunia
2000
Dilantik sebagai Presiden dan selepas itu Mursyid HIZBI UK & Ireland
2003
Middlesex University Business School (MSc Research Methodology)
2004
Penyelidik di Commonwealth Policy Studies Unit, London.
2005
Pegawai Projek di Social Enterprise London
2007
Timbalan Ketua Bahagian Parti Konservatif Luton Utara dan bertanding sebagai calon parti Konservatif untuk Local Councillor Kawasan Limbury
2010
Ketua Pegawai Eksekutif, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Kuala Lumpur
2012
Terlibat dalam penubuhan Ideas Academy di Pudu (kini Ideas International School, Kuala Lumpur), dan Ideas Autism Centre, Rawang.
2013
Ahli Lembaga Pengarah Malaysia International Chamber of Commerce and Industry (MICCI)
2014
- Penasihat Malaysia China Chamber of Commerce (MCCC)
- Visiting Senior Fellow, ISEAS-Yusof Ishak Institute, Singapura
2015
Anggota Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pendanaan Politik, di bawah Jabatan Perdana Menteri
2019
Ahli Lembaga Pengarah, Institut Integriti Malaysia
2020
Dipilih di tempat kelapan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, dan dilantik sebagai Ketua Penerangan BERSATU Malaysia
19 November 2022
Calon BERSATU di Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Menang dengan majoriti 12,252 undi.
2023
- Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.
21 Februari 2023
- Selepas ditahan dalam lokap, diheret oleh SPRM ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah bagi membantu sebuah Syarikat mendapatkan projek Kerajaan.
2024
- Dipilih sebagai Ketua Bahagian BERSATU Bangi dan menang di tempat ketiga pemilihan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti BERSATU Malaysia.
22 Julai 2024
- Isteri tersayang, Datin Hajah Alena binti Omar, kembali ke Rahmatullah di Institut Kanser Negara selepas hampir lima tahun bertarung dengan kanser usus.
November 2024
Dipilih sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia untuk penggal ke tiga.
Mei 2025
Menyertai delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi ke Melbourne, Australia.
14 Jun 2025
Berkahwin dengan Nurul Maslina Mohd Sobri.
13 Oktober 2025
Dipecat daripada BERSATU atas tuduhan menggerakkan usaha menjatuhkan Presiden dan mengkritik Setiausaha Agung parti.
Keputusan Pilihanraya
2022: PRU15 – Parlimen Tasek Gelugor (P042)
- Wan Saiful Wan Jan (PN-BERSATU): 31,116
- Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-UMNO): 18,864
- Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (PH-AMANAH): 16,547
- Abdul Halim Sher Jung (PEJUANG-GAGASAN BANGSA): 406
- Mohamad Akmal Azhar (WARISAN): 179
Majoriti: 12,252
2018: PRU14 – Parlimen Pendang (P06)
- Haji Awang Solahuddin bin Hashim (PAS): 26,536
- Othman bin Abdul (BN-UMNO): 20,728
- Wan Saiful Wan Jan (PH-BERSATU): 14,901
- Penghulu Malik (BEBAS): 81
Majoriti: 5,808