Sahabat Sejati

Wednesday, 7 January 2026

Misi Kemanusiaan Tamiang Aceh (Part 1): Bermula Perjalanan

Pesawat yang akan kami naiki dijadualkan berlepas jam 8.30 pagi. Semalam, kami menginap di pejabat HQ YAM di Labohan Dagang, ruang yang sederhana, tetapi penuh dengan niat yang besar. Lantai keras menjadi alas tidur, dan doa menjadi selimut yang paling hangat. 

Seawal jam 6.00 pagi, kami sudah berada di KLIA. Langit masih kelabu, mata masih berat, namun hati sudah melangkah jauh meninggalkan tanah sendiri, menuju tanah orang yang sedang diuji. Harapannya satu, moga penerbangan ini tidak tertangguh, moga segala urusan dipermudahkan. 

Kami tidak terus ke Aceh. Destinasi awal kami ialah Bandara Kualanamu, Medan. Dari situ, perjalanan darat menanti. Mungkin tiga hingga empat jam, mungkin lebih, bergantung kepada keadaan jalan dan takdir di sepanjang laluan.  

Keputusan ini bukan tanpa sebab. Pada awal bencana, pemerintah Indonesia tidak membenarkan kemasukan bantuan daripada relawan luar (sekarang telah dibenarkan). Maka kami memilih jalan yang lebih sunyi, turun sebagai pelancong di Medan, kemudian menyambung ke Tamiang Aceh, menyimpan niat sebagai hamba. Bukan untuk menipu, tetapi untuk memastikan bantuan sampai. Kerana dalam keadaan darurat, yang lebih penting bukan siapa kita, tetapi apa yang kita bawa, dan kepada siapa ia ditujukan. 

Image
Bandara Kualanamu, telah menunggu kenderaan yang akan membawa kami ke Tamiang

Sepanjang penerbangan, doa tidak putus dari bibir. Di antara dengungan enjin dan awan yang berarak perlahan, fikiran saya melayang ke Tamiang Aceh. Bagaimana keadaan mereka di sana? Apakah air sudah surut, atau masih mengurung rumah dan kenangan? Apakah anak-anak masih mampu tersenyum, atau senyum itu sudah lama hanyut bersama arus banjir? 

Perjalanan ini bukan sekadar perpindahan jasad dari satu negara ke negara lain. Ia adalah perjalanan hati, dari selesa kepada peduli, dari tenang kepada tanggungjawab. 

Dan saya tahu, di hujung jalan yang panjang ini, ada manusia yang sedang menunggu, bukan kami, tetapi harapan.

Bersambung Part 2.. 

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca. 

Friday, 26 December 2025

'Karun Dari Selat'.. karun dari kenangan

Image

Saya menyudahkan bacaan sebuah novel lama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Nipis sahaja, sekitar 151 halaman, namun cukup untuk membawa saya mengembara jauh. 

Judulnya Karun Dari Selat, karya Hamdan Raja Abdullah, seorang penulis yang telah melahirkan banyak novel dan cerpen menarik sepanjang perjalanan sasteranya. Novel ini diterbitkan pada tahun 1984, dan terasa benar nafas zamannya. 

Kisahnya bermula dengan rahsia syiling emas, harta karun yang dihanyutkan dari selat. Tiga sahabat, Amli, Helmi dan Miguel, menjadi penemunya. Namun penemuan itu bukan membawa bahagia, sebaliknya membuka pintu kepada kerakusan manusia. Seisi Kampung Muara meredah paya bakau mencari syiling yang berbaki. Ada pula yang tamak ingin mengaut untung, ayah Amli dijadikan tebusan, dan kampung yang selama ini damai mula bergegar oleh dengki dan ketamakan. 

Novel ini bukan sekadar kisah pengembaraan, tetapi cermin kecil tentang manusia. Tentang bagaimana harta boleh menguji persahabatan, menggoncang kepercayaan, dan merobek keharmonian sebuah komuniti. 

Menutup helaian terakhirnya, saya terdiam seketika. Ada rasa rindu yang sukar dijelaskan, rindu pada cerita-cerita lama yang jujur, rindu pada zaman membaca tanpa tergesa, dan rindu pada nilai-nilai yang diselitkan halus di celah-celah kisah pengembaraan. 

Mungkin itulah karun sebenar novel ini. Bukan syiling emas dari selat, tetapi pengajaran yang terus berkilau dalam ingatan.

Jangan lupa DUIT - Doa, Usaha, Ikhtiar, Tawakal

Image
foto hiasan

Dalam hidup, bukan setiap hari langit cerah dan bukan setiap langkah terasa ringan. Ada waktu kita tersungkur, ada masa kita letih menanggung sesuatu yang hanya Tuhan yang tahu beratnya. 

Namun ingatlah, setiap ujian bukan bertujuan melemahkan, tetapi membentuk. Seperti besi yang ditempa api, begitulah hati manusia dibentuk oleh dugaan, agar menjadi lebih kuat, lebih matang, lebih mengenal erti bergantung kepada Allah. 

Jangan kecewa jika perjalananmu perlahan. Yang penting, kamu terus melangkah. Jangan kecilkan dirimu hanya kerana hari ini kamu tidak sehebat yang kamu impikan; mungkin esok adalah giliranmu bersinar. 

Teruskan usaha, teruskan doa, dan teruskan percaya bahawa Allah tidak pernah sia-siakan air mata yang jatuh kerana berharap kepada-Nya. 

Setiap pagi adalah peluang baharu. Setiap nafas adalah tanda bahawa kamu masih diberi ruang untuk membaiki, memperbaiki, dan mendaki. 

Percayalah, ada kebaikan yang Allah sedang aturkan untukmu, cuma masanya belum tiba. Sampai saat itu, kuatlah, kerana perjalanan orang sabar sentiasa berakhir dengan indah.

Allahu al-Musta`an..