DOA & SEDEKAH PADA PEMBERI MAKAN

Emak Abah adalah contoh paling dekat padaku akan amalan sedekah dan berbuat baik sesama manusia. “Jika ada orang bersedekah pada kita, raikan & sambut sedekah itu. Menerima sedekah dia bermaksud kita menolong dia membuat kebaikan jua”

“Doakan orang yang tolong kita. Itu adab sebagai penerima”, pesan Abah di setiap kali kami menerima pertolongan.

“Tak apalah jika dia tak doakan pun, yang penting kita jalankan tugas kita sebagai Muslim yang bersaudara. Kena didik hati jadi ikhlas. Jangan merasa ujub bila dah buat baik. Buat baik sebab nak redha Allah, nak gembirakan Allah. Bukan sebab nak habuan duniawi. Ni Mak Abah ajar Ain, Ain ajar orang lain pula…lama-lama semua orang tau lah adab menerima. Pahala juga tu menyebarkan kebaikan. Ntah-ntah dia doakan dalam senyap ke..kita mana tau. Tu, yang penting jaga pandangan Allah pada kita” tatkala aku merungut tidak didoakan pemberi.

Moga pesan Emak Abah kekal ku amalkan agar sentiasa jariahnya mengalir masuk ke kantung amalan keduanya

رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيْرَا

Tuhanku, ampunilah dosaku dan (dosa) kedua orang tuaku. Sayangilah keduanya sebagaimana keduanya menyayangiku di waktu aku kecil.

Ramadhan ini, jika ada yang memberi makan untuk iftar kita, bacakanlah doa ini agar bermanfaat buat kita & pemberi.

Abdullah bin Busr RA berkata, “Rasulullah SAW singgah pada bapakku…” Beliau berkata, “Kami mendekatkan kepadanya makanan dan wathbah (yakni sejenis makanan yang terbuat dari kurma, keju, dan samin), lalu beliau memakan sebagian di antaranya. Kemudian didatangkan kurma, maka beliau memakannya dan membuang bijinya di antara kedua jarinya seraya mengumpulkan jari telunjuk dan jari tengah. Setelah itu didatangkan minuman dan beliau meminumnya. Kemudian beliau memberikan kepada orang yang ada di kamarnya.” Beliau berkata, “Bapakku berkata sambil memegang kekang hewan tunggangannya, ‘Doakanlah kepada Allah SWT untuk kami.’ Beliau berdoa:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ وَاغْفِرْهُمْ وَارْحَمْهُمْ

Ya Allah, berkahilah untuk mereka pada apa yang Engkau karuniakan bagi mereka, dan ampunilah mereka, serta rahmatilah mereka

‘Abdullah b. Busr reported:Allah’s Messenger (ﷺ) came to my father and we brought to him a meal and a preparation from dates, cheese and butter. He ate out of that. He was then given dates which he ate, putting the stones between his fingers and holding his forefinger and middle finger together” – Shu’bah said: “I think we learn from this that one may hold the date stones between two fingers, In shaAllah.” Then a drink was brought for him and he drank it, and then gave it to one who was on his right side. He (the narrator) said: My father took hold of the rein of his riding animal and requested him to supplicate for us. Thereupon he said: O Allah. bless them in what You have provided them as a sustenance; and forgive them and have mercy upon them. [ Sahih Muslim 2042a] ‏

Ramadhan ini, jika kita ada menerima makanan/minuman untuk berbuka dari orang, dahulukanlah memakannya daripada makanan masakan sendiri. Tidak berkurang sedikit pun pahala puasa kita bila mendahulukan makanan yang diberi oleh orang untuk kita berbuka. Indahnya hidup dengan Islam; dia sedekah makanan pada kita, kita sedekah pahala pada dia. Kita tolong si pemberi mendapat pahala, inshaAllah banyak juga pahala untuk kita hendaknya:)

It was narrated from Zaid bin Khalid Al-Juhani that the Messenger of Allah (ﷺ) said:

“Whoever gives food for a fasting person to break his fast, he will have a reward like theirs, without that detracting from their reward in the slightest.” [Sunan Ibn Majah 1746]

Dari Zaid Ibn Khalid al-Juhani bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut [Tirmizi 807].

Ramadhan ini, walau tiada kurma (asbab kita memboikot demi saudara di Palestin) untuk berbuka, minumlah air sebagai ganti. Masih sunnah & berpahala jua amalannya.

Anas bin Malik narrated:

“The Messenger of Allah would break the fast with fresh dates before performing Salat. If there were no fresh dates then (he would break the fast) with dried dates, and if there were no dried dates then he would take a few sips of water.” [Jami` at-Tirmidhi 696]

Dari Anas bin Malik, ia berkata : “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa berbuka puasa sebelum shalat dengan ruthab (kurma basah),  jika tidak ada ruthab, maka beliau berbuka dengan tamr (kurma kering), dan jika tidak ada tamr, beliau meminum seteguk air”

Ramadhan Mubarak! taqabbal Allah minna waminkum

Ketam

Aku adalah seorang penggemar ketam. Gemar menangkap, gemar menyiang, gemar memasak & gemar memakannya.

Ketam sentiasa menggamit memori indah dengan Emak & Abah. Setakat ini, tidak pernah ada kisah duka sekitar kisah bersama ketam😄

Sejak masuk asrama, apabila tiba waktu pulang bermalam, pasti ada hidangan ketam/laksa diulang-ulang di meja makan rumah. Emak & Abah cukup teliti akan kegemaran anaknya ini. Sampai pernah Emak berkata “Emak doakan Ain dapat makan ketam selalu, mudah direzekikan Allah” 🤲🥹

Duduk di Adelaide, memang senang tangkap ketam. Berpuluh-puluh ekor hasil dibawa pulang.

24/01/2024

Hari ini 24/01 genap 5 tahun Abah dijemput pulang ke barzakh & setahun Pak Anjang dijemput sama. Semoga Allah mengampuni dosa keduanya, merehatkan keduanya dengan kerehatan yang menenangkan, luaskan barzakh keduanya seluas mata memandang & terus menjaga keluarga yang ditinggalkan agar tetap di jalan Allah.

Masih segar diingatan setiap satu yang berlaku di hari kejadian. 24/01/2019, hari terpanas di Adelaide 46.6 darjah celcius. Namun, ianya antara hari paling sejuk pernah dirasai. Terasa kaku dengan berita yang diterima. Aku cuba lari dari realiti yang dikhabarkan.

Perginya Abah adalah peringatan penting bahawa hidup ini sementara. Setiap malam, aku diingatkan untuk membawa al-Mulk sepertimana lazimnya Abah. Setiap Subuh terutama setiap kali berwudhu’, peringatan Allah hadir agar sentiasa memperbaiki wudhu’ ku, agar sentiasa solat dengan khusyu’ kerna mungkin itu solat terakhir ku. Perginya Abah meninggalkan banyak pengajaran; titik tolak untuk aku lebih bersungguh dengan akhirat. Kematian Abah, menggelapkan duniaku, namun ia menerangkan akhiratku, inshaAllah.

Ingin juga saya kongsikan satu keadaan kaki yang dipanggil ‘bunion’ yang dihadapi oleh Abah.

Bunion adalah kondisi di mana ada benjolan tulang pada sendi di pangkal ibu jari kaki.

Ianya boleh terhasil akibat pewarisan keturunan atau cara penjagaan kaki. Bunion juga lebih cenderung terbentuk pada individu berkaki rata & yang mempunyai ligamen terlalu fleksibel.

Terdapat beberapa cara penjagaan kaki yang perlu kita amalkan agar tidak membentuk bunion / mengurangkan masalah bunion sedia ada.

1- Pilih kasut yang sesuai. Bukan yang berbentuk runcing yang menyempitkan ruang jari-jari kaki. (terutama kasut perempuan) Bukan juga kasut yang ketat dan tidak padan dengan saiz kaki.

2- Elak berdiri terlalu lama. Rehatkan kaki dengan senaman memijak & menggerakkan bola menggunakan tapak kaki (boleh guna bola tennis) Terutama guru-guru & jururawat.

3- Jika sudah ada bunion, boleh beli span kaki @ toe separator untuk membantu meluruskan tulang di jari kaki sekaligus mengurangkan kesakitan pada bunion.

4- Rendam kaki dengan air sejuk/ais untuk mengurangkan kesakitan sendi di sekitar bunion.

5- Kurangkan berat badan agar tiada bebanan tambahan pada kaki.

Notat kaki: Nasihat yang ditulis di sini adalah tunjuk ajar dari podiatrist (ahli penyakit kaki) di Adelaide.

Semoga bermanfaat.

Lain

Ada Mak, bila anaknya minta nak makan jejari kentang, dia masakkan di rumah menggunakan airfyer. Digunakan minyak zaitun, ditumbuk sedikit kunyit untuk disalut pada kentang, ditabur garam bukit, diletak juga sesudu tepung beras yang dikisar sendiri sebelum dibakar untuk dihidang.

Ada Mak, bila anaknya minta nak makan jejari kentang, dia tekan-tekan butang telefon untuk buat pesanan di kedai makanan segera. 

Ada Mak, bila anaknya minta nak makan jejari kentang, dia keluarkan jejari kentang beku yang dibeli di pasaraya untuk digoreng dalam kuali besar. 

Ada Mak, bila anaknya minta nak makan jejari kentang, dia beri jejari keledek oren sebagai ganti. 

Ada Mak, bila anaknya minta nak makan jejari kentang, dia potong kentang dan salut dengan tepung segera, tabur sedikit serbuk msg sebelum digoreng rangup dalam kuali. 

Ada Mak, bila anaknya minta nak makan jejari kentang, dimarahnya kerana meminta yang bukan-bukan. Sudahnya, disuap nasi dengan sup ayam yang dimasak subuh tadi.

Ada Mak, bila anaknya minta nak makan jejari kentang, diceramah anaknya tidak mementingkan kesihatan dan tak patut makan kentang goreng kerana banyak lemak jahat. Diakhirnya, dia sua tempe goreng ke mulut anak. 

Mana-mana pilihan kita sebagai Emak, di akhirnya anaknya téta makan jua. Pilihan yang kita buat sudah tentu dibuat kerana beberapa faktor. Apa pun faktor itu, kita semua tak pernah menginginkan yang buruk-buruk terjadi pada anak sendiri. 

Berhentilah memandang rendah pada orang yang ambil pendekatan berbeza dari kita. Asal tidak melibatkan tauhid kepada Allah, tahanlah diri dari mengkritik dan memberi pandangan tanpa diminta. 

26/09/2006: Pakcik Hussin 17

26/09/2023 genap 17 tahun Pakcik Hussin (suami pertama Acik) meninggal dunia.

Di kalangan keluarga besar kita, saya kira dalam 50orang sahaja yang ingat akan beliau.  

Walau tidak banyak memori tentangnya, saya masih ingat orangnya; suka mengukir senyuman manis tika berbicara. 

Pemergiannya adalah pengalaman kematian pertama di kalangan keluarga yang saya lalui. Yang saya paling ingat adalah pengalaman menerima berita kematiannya ketika di bilik kuliah UPSI, membantu Acik mengemas rumah setelah pemergian Pakcik Hussin & mesyuarat keluarga di kampung yang membincangkan cara membantu Acik menghadapi tragedi tersebut. 

Walau tidak begitu mengenali Pakcik Hussin secara dekat, banyak tarbiah saya terima sekitar urusan kematian beliau. Itulah detik permulaan saya mula membaca lanjut tentang alam kubur & persediaan menghadapinya. Kurang 2 tahun selepas kematiannya, Allah menguji dengan pemergian Nenek Abun pula. 

Semoga Allah mengampunkan segala dosa Pakcik Hussin & tempatkan beliau di kalangan mereka yang diredhaiNya. 

أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ 

7/09/2020: Emak 3

Hari ini 7/09/2023 genap 3 tahun Mak Ngah menghembuskan nafas terakhirnya.  

Ketika hayatnya, Mak Ngah dikenali sebagai seorang yang suka memasak & menjamu orang. Saya percaya kebanyakan memori keluarga besar kita bersama arwah adalah sekitar majlis makan-makan / masakan yang pernah dijamunya. 

Mak Ngah sangat teliti orangnya. Setiap kali mahu menjamu orang, dibukanya buku catatan untuk merancang menu masakan. Ditulisnya beberapa jenis hidangan yang sesuai diganding bersama sebelum dipanjangkan pada Abah untuk membuat keputusan. 

Di kesempatan ini, suka saya kongsikan satu resepi hasil tangan Mak Ngah untuk dicuba bersama. Moga banyak pahala mengisi kantung jariahnya❤️

*Sambal kicap (untuk ayam/daging)*

BAHAN KISAR

Bawang merah

Bawang putih

Halia

BAHAN HIRIS

Bawang besar

Bawang holland (masuk setelah tutup api) 

Cili hidup (masuk setelah tutup api)

Daun Ketumbar (masuk setelah tutup api)

CARA MASAK

1- Panaskan minyak (masuk serai (ketuk) & rempah 4 sekawan;kayu manis, bunga lawang, cengkih, buah pelaga) 

2- Masuk hirisan bawang besar

3- Masuk cili kisar

4- Bila dah pecah minyak, masuk bahan kisar lain

5- Bila dah masak, masuk kicap pekat & kicap kipas udang. 

6- Masukkan ayam yang dah digoreng separuh masak. Gaul rata. Tutup api

7- Masukkan bahan hiris lain

Saya juga menyeru dan mengingatkan seluruh warga Sabak Clan agar membuat pemeriksaan berkala mammogram untuk mengesan kanser payudara dari awal. 

Arwah Mak Ngah disahkan kanser pada umurnya sekitar 54-56 tahun. Jadi, untuk *adik beradik Mak Ngah, anak-anak buah, cucu & cicit* , disarankan membuat pemeriksaan 10tahun awal. Bermakna, perlu mula jalani ujian mammogram berkala sedari umur 44 tahun. 

Moga dengan peringatan ini, kita sama-sama berusaha mengelakkan serangan kanser dan menjaga kesihatan diri sebaiknya❤️

*****************************************

Hari ini genap 3 tahun Emak menghembuskan nafas terakhirnya.

Masih terasa dan terbayang-bayang setiap satu yang berlaku seolah baru semalam kita berpisah di dunia.

Moga kita masih istiqomah hantar bekalan untuk Emak setiap ketika.

Moga kita masih bersungguh berusaha jadi anak soleh yang boleh memberi manfaat buat Abah dan Emak di sana.

Moga kita masih ingat betapa pemergian Abah menyedarkan kita untuk terus hidup mencari redha yang Esa & pemergian Emak menginsafkan kita untuk sentiasa beri yang terbaik kerana esok belum tentu ada.

Marilah bersungguh mengejar syurga agar keluarga kita disatukan semula di sana❤️

27 Julai 2009: Nenek Abun 15

27/07/2023 genap 15 tahun Nenek Abun meninggalkan kita. Jarang kita ceritakan kisah kepala keluarga besar kita secara bertulis selama ini. 

Mengenang kisah bersama Nenek Abun selalu melahirkan rasa damai di hati. Nenek Abun sangat lembut dalam melayan karenah cucu-cucunya. 

Setiap nasihat yang mahu diberi, selalunya disulam gurauan dan senyuman yang manis. Namun, dalam kelembutannya ada juga ketegasan yang serius. Dalam menerangkan/membetulkan kesilapan/salah cucu, bersungguh dijelaskan sehingga faham (Jika tidak mengenali karekter Nenek Abun yang ini, mungkin diingat Nenek Abun sedang marah). 

Nenek Abun juga kuat berkebun & pandai bercucuk tanam. Rata-rata kita yang berpengalaman menjalani hidup bersamanya, pasti ada gambaran Nenek Abun bersiap ke kebun dengan motosikal besinya atau sisipan kenangan melihat kelibatnya pulang dari kebun; dengan baju lusuh & kasut but tebalnya yang banyak kesan lumpur. Bunyi enjin motosikal itu cukup dikenali kita-kita.  

Nenek Abun juga pandai memancing. Cucu-cucu yang berpengalaman memancing bersama Nenek Abun, pasti masih merindui momen itu.

Ketika hayatnya, Nenek Abun seorang yang sangat menjaga solat berjemaah. Seboleh-bolehnya, jemaah di masjid/surau. Jika di rumah, pasti berjemaah bersama Nenek Perempuan (tak pernah nampak Nenek Abun solat wajib sendirian) 

Sesuai sabda Nabi (dari Abu Hurairah) :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya :” Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”

Riwayat Muslim (1509)

Untuk kita-kita yang pernah berpeluang menjadi makmum solat Nenek Abun, jika diingat kembali, bacaan solatnya amat hati-hati dan tertib. Satu-satu dibaca jelas. Jadi, memang laaamaaaa kena berdiri solat😬

Moga baiknya amalan Nenek Abun ini menjadi asbab Allah angkat darjatnya dan hadiahkan syurga buatnya. Nenek Abun adalah satu figura contoh terdekat kita dalam rangka menjadi hamba Allah yang diredhaiNya. Semoga dengan kita sama-sama mengamalkan kebaikan yang ditunjuk Nenek Abun, menjadi jariah berpanjangan untuknya di barzakh sana❤️

Sebagai peringatan tauladan kerana Nenek Abun diserang sindrom jantung akut (Acute Coronary Syndrome) & Strok di akhir hayatnya, (salah satu faktor penyebab adalah rokok) sama-sama lah kita semua beringat untuk menjauhi rokok/vape agar tidak memudaratkan badan & meninggikan lagi risiko mendapat masalah yang sama. 

Sabda Rasulullah SAW, “sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” Hadis riwayat Bukhari 5119

Ziarah kubur

Abu Huraira reported:

The Apostle of Allah (ﷺ) visited the grave of his mother and he wept, and moved others around him to tears, and said: I sought permission from my Lord to beg forgiveness for her but it was not granted to me, and I sought permission to visit her grave and it was granted to me so visit the graves, for that makes you mindful of death.

Reference : Sahih Muslim 976b
In-book reference : Book 11, Hadith 135

“nanti-nanti Abah dah tak ada, jangan lupa ziarah kubur Wan, kubur Atok” pesan Abah setiap kali pulang berziarah ke kubur Atok & Wan. Setiap kali pesan itu diutarakan, setiap itu jua aku cuba membayangkan dunia tanpa Abah didalamnya. Tak pernah berjaya.

Dulu aku ingat ziarah Abah untuk melepaskan rindu. Rindu pada ibu bapa yang telah dulu meninggalkannya. Lepas pencen, hampir setiap bulan Abah memandu ulang alik 130km untuk menziarahi kubur Atok & Wan.

Setelah Abah bercerita panjang lebar tentang tujuannya menziarah kubur, aku mula faham & ingat sampai sekarang.

“Mati itu satu motivasi. Bila kita tengok kubur, kita terus ingat mati. Bila kita sedar kita akan mati, kita mesti bersungguh nak dapat kematian yang baik, nak dapat syurga Allah. Wan & Atok orang yang baik-baik. InshaAllah direzekikan syurga Allah kelak. Jadi, bila ziarah kubur Wan & Atok, peringatan boleh berjumpa di syurga tu ditayang-tayang. Lagilah makin nak berusaha jadi muslim yang baik, jadi anak yang soleh, sebab itu lah yang boleh tolong Wan & Atok sekarang (di Barzakh). “

Setiap ziarah Abah, pasti ada kebaikan arwah Wan & Atok yang dikhabarkan pada kami. Baik yang boleh dicontohi, kesusahan yang perlu diteladani, dan ikatan kekeluargaan yang mesti dipegang utuh. Setiap cerita yang disampaikan, terpancar keihklasan seorang anak yang kasih dan rindu pada Emak dan ayah yang sudah lama tidak dipeluk cium. Tidak pernah sekali Abah ceritakan keburukan mereka. Semua yang indah dan elok sahaja untuk halwa telinga kami semua.

Emak pula, tidak banyak cakap jika bersembang tentang kubur. Yang selalu dipesannya, “bersihkan & kemaskan kubur yang kita ziarah. Jangan cakap banyak-banyak (perkara lagha)”

Ain belum sempat lagi ziarah kubur Emak, Mak. Moga Ain tak pernah lupa kirimkan pahala untuk Emak di barzakh sana.

Mee Kari

Mee Kari Emak, antara mee kari paling sedap pernah dijamah. Cukup semuanya. 

Mungkin juga kerana Emak yang paling tahu selera anaknya ini. Masinnya, manisnya, pedasnya, sudah maklum pada dia. 

Masaknya juga sentiasa penuh kasih sayang dan cermat. Dibaca doa-doa & selawat. Pastilah sentiasa enak di tekak kami. 

Petua emak, masukkan keledek/kentang sekali pada kuahnya. Manis semulajadi dan pekat hasilnya. Sebesar genggaman tangan katanya. Serai juga dikisar halus bersama bawang-bawang yang ada. Jika suka udang kering, masukkanlah sesudu dua. Atau boleh saja ganti dengan ikan bilis. Tetap sedap, katanya. 

Walau sudah sebati resepi Emak dihafal di kepala, masih seronok menelefon bertanya-tanya, “bawang tu kalau segini, cukup ke Mak?”, “tak ada kerang, sedap ke?”, “dah tumis rencah, terus masukkan ayam ke, atau masukkan air dulu? 

Tak pernah jemu Emak mengulang. Sentiasa ada ilmu baru disampaikan, walau resepi sama yang dibualkan. 

Bila mengadu, tak sedap macam yang Emak hasilkan, dipujuk nya lembut

“Makan sendiri, sedap je N. Perasaan Ain je tu tak sedap kot. Padahal sama je rasanya. Berlebih kurang ajalah. Tak payah nak tepat-tepat sangat. Baca bismillah, sedaplah ia” 

Hari ini Ain masak mee kari resepi Emak, mengulang rindu setiap momen yang timbul bila kita menjamah mee kari bersama❤️ Walau tiada Emak boleh ditanya-tanya, masih terngiang-ngiang pesannya sentiasa…

Pesan Emak

Masa mula2 borak2 dgn Emak pasal laman sosial ni, Emak pesan empat je:
1- Jangan suka2 nak bagitau personal details (i/c, phone number, address) including lokasi keberadaan secara tepat (Kalau tengah kat Taman Tasik Titiwangsa misalnya, nak sangat bagitau org yg kita ada kt situ, tulis la secara general..di KL misalnya) kepada seluruh dunia.

2- Jangan letak gambar penuh dari kepala sampai kaki. Kita tak kenal seluruh dunia. Jadi, elakkan daripada dipergunakan. Jangan senang2 bagi gambar pada orang.

3- Nak up status ke, gambar ke, jangan sampai buat banyak dosa daripada pahala. Kalau nak letak gambar makanan, cerita keenakan laksa kalau tak letak resepi skali atau lokasi kedai makanan tu, toksah letak. Kalau org tgk gambar tu lepas tu teringin..kesian dia. At least letak resepi org boleh cuba sendiri. Kalau letak lokasi kedai makan tu, org boleh ke sana rasa sendiri.

4- Semua benda yg dibuat, ditulis, mesti ada hala tuju agar kita jadi insan lebih baik. Maksimumkan pendapatan pahala dan minimumkan pengumpulan dosa.

“Kalau tak, tak payah nak bersosial2 kt internet…”

Baikkk makkkkk:)