Sabtu, Januari 10

Jadilah seorang yang baik

Ada satu nota aku simpan dengan tajuk

Jadi baik Madziani

Bila kadang- kadang, kesibukan di zon melebihi kemampuan

Sikap baik dan sabar itu senipis daun bawang


Image














Your character is the heaviest thing on your scale on the Day of Judgment. If you have many acts of worship but poor character, you can destroy all your good deeds. Be gentle and kind with people, for this is what Allah loves to see.


Rabu, April 2

Kesabaran yang panjang

Adakah seiring waktu kesedihan itu hilang?

Ia adalah trauma seumur hidup yang tidak terluahkan. Ada momen- momen di saat sunyi, trauma itu kembali menghantui. Trauma itu hadir dengan naratif negatif. 

Cepat- cepat aku nyahkan. Tidak mahu berlama-lama berprasangka buruk. Kerana hal apapun, ia adalah yang terbaik untuk diriku.

Tentang kesabaran yang panjang

Aku pernah ditengking oleh seorang jururawat ketika meminta agar memberi ubat kepada pesakit. Terpana aku pada tengkingan sang jururawat tersebut. Dengan suara yang hampir menahan tangis, tangan terketar- ketar menahan rasa malu, aku membalas,

Okay, takpe. Terima kasih. 

Lancar ke arah pesakit, menyediakan sendiri ubat yang diarahkan. 

Malam tersebut adalah syif paling panjang padaku. Tidak mampu aku memandang semua staf yang bekerja. Terluka amat. Sehinggakan, cbd pesakit lelaki pun aku ingin masukkan sendiri. ( tidak aku lakukan kerana dihalang jururawat lelaki yang turut ada semasa syif tersebut). Lembut hatiku kembali untuk tindakan baik jururawat lelaki tersebut. 

Dan trauma itu kembali lagi. Di posting bius sekarang. Melakukan latihan sangkut terakhir sebelum kembali ke jabatan kecemasan dan harapan besar sebagai pelajar tahun akhir. Di icu, aku seringkali terasa dengan kata- kata jururawat kepadaku. Pernah aku berlapang dada, menyatakan mungkin hatiku yang terlebih sensitif. Tapi gitulah. Memori ditengking kembali menerjah. 

Sebelum tidur, sempat aku lakukan postmortem kenapa aku dimarahi. Cara aku sampaikan arahan ke yang buat orang tak suka? Perawatan aku jauh beza ke dengan protokol di icu? Cuba untuk melakukan introspeksi diri agar diri lebih baik. Tiada jawapan khusus. Mungkin aku hanyalah punching bag mereka pada waktu tersebut. Berada pada waktu yang salah. 

Kalau ada ujian yang Allah berikan kepadaku, ujian kesabaran adalah ujian terbesar padaku. Pedih betul menahan rasa malu dimarahi. Pedih yang amat menahan diri untuk tidak sama-sama naik tanduk. 



Minggu, Januari 19

The oblivious me

Baru pulang dari kursus di Mulu Sarawak minggu lepas. Sepertimana kursus- kursus sebelum ini yang dianjurkan oleh HPUSM di bawah Jabatan Perubatan Kecemasan, tak sah kiranya di jeda waktu luang tidak diisi dengan bermain Werewolf. Ia semacam acara wajib untuk setiap kursus outdoor.

Kali pertama tahu pasal permainan werewolf adalah semasa mengikuti kursus Wilderness Medicine di Tasik Banding 2 tahun lepas. Ia menjadi satu acara wajib pula untuk program Wilderness Medicine selepasnya. Kali ini, acara werewolf diteruskan untuk kursus Travelling Medicine di Mulu, Sarawak.

Permainan werewolf adalah permainan minda yang mana setiap pemain diberi kad dengan peranan masing-masing. Ada watak baik dan ada watak jahat. Penghujung permainan ni adalah untuk menangkap serigala jadian yang membunuh orang kampung dan watak-watak baik yang lain.

Aku bukanlah seorang yang mampu meneka peribadi seseorang apatah lagi menilai perilaku seseorang secara berdepan. Apa yang dikatakan orang, itulah aku terima. Itulah yang berlaku ketika aku turut serta menjadi salah seorang pemain werewolf. Ada beberapa siri yang mana aku tersalah tekaan yang menyebabkan serigala berjaya membunuh orang kampung. Akulah puncanya. Penat yang amat nak buat keputusan. Akan ada sesi memanipulasi fakta yang menyebabkan aku tersalah pilih. 

Itulah aku. Sangatlah tidak peka dengan keadaan sekeliling. Selepas selasai satu sesi permainan, kawan-kawan akan bagi input. Barulah aku - oh begitu ya. Itulah diri aku kini. Tiada hati mahu melihat yang tersirat. Apa yang disampaikan, itulah yang aku faham dan nampak. 

6 tahun lalu,

Trauma tentang hubungan sesama manusia masih lagi menghantui aku. Trauma itulah yang menjadikan aku hari ini. Jabatan kecemasan padaku tidak punya ruang untuk hal-hal peribadi orang- ini pada akulah. Aku pergi kerja, sibuk rawat pesakit, seusai habis syif terus beransur pulang. Di akhir syif, tenaga aku dah habis daya untuk mengorek rahsia rumah tangga orang. Pernah kawanku menyatakan, betapa monotonousnya responku menyangkut perihal peribadi orang lain. 

Dan aku menjadi penyendiri. Pemendam rasa. Pemaaf. Teruskan hidup. 

Permainan werewolf padaku benar-benar menonjolkan siapa aku. Sangat tidak peka dengan keadaan sekeliling. Hal peribadi orang bukan sumber keterujaan kini. Semoga tetaplah aku istiqamah untuk tidak terlalu busybody dengan sesuatu yang bukan dalam linkunganku.


Sabtu, November 23

Ketika menyatakan pilihan

Kalaulah aku punya keberanian 
Sudah lama aku luahkan
Kudiamkan kerana melalui penolakan juga satu cabaran

Di satu saat
Terpana aku pada elok akhlaknya
Masakan tidak
Seseorang yang aku sangat hormat
Ringan lidahnya menuturkan kata maaf
Belum lagi suara lembutnya menerjah halus di telingaku

Ya tuhan
Sebegini elok akhlaknya
Semoga aku tidak lalai

Ditanyakan kepadaku
Apa aku punya keberanian
Tidak
Tidak untuk yang ini

Dan aku
Bersyukur yang amat
kerana hati ini Allah pilih melihat kebaikan kembali
Dan rasional di hati
Bahawa akhlak, peribadi baik
Tetaplah yang utama terpaling disanjung

Semoga berjodohlah kamu dengan yang baik-baik

Image


Rabu, Oktober 30

3 Jumaat

Sudah 3 Jumaat berlalu

Harapan yang tersemat di hati sedikit demi sedikit semakin menipis

Terkadang bisik hati bermonolog sendirian

Betapa lebih molek kalau ia tersemat di hati nurani

Tidak diucapkan dan tidak menjadi iringan doa setiap sujud

Semoga aku memiliki kesabaran yang cantik


Ada orang ditakdirkan bertemu hanya untuk mengisi ruang waktu seketika


Jumaat keempat 

Selamat tinggal kamu


3am teaching

Dahulu, semasa di HSIP, ada seorang housemen akan memaksa aku mengajarnya pada jam 3pagi. Katanya, masa tu ajelah yang ada waktu luang. Kalau kerja syif pagi dan petang, jarang dapat mengajar. Asyik terkejar nak merawat pesakit sahaja. Aku gagahkan jua mengajar topik-topik pilihan housemenku walaupun kadang- kadang mata dah mengantuk. 


Tabiat mengajar housemen jam 3 pagi ni aku bawa sentiasa walaupun selepas housemen aku bersilih ganti. Seronok rasanya dapat berkongsi ilmu. Terima kasih kepada housemenku yang asyik memaksa aku mengajarnya. Rajinlah jugak membaca buku kalau tak gitu- gitu ajalah. 


Sekarang, bila ditanyakan kepada housemen, awak nak belajar apa😅 semua terkedu. Tak tahu nak jawab apa bila aku tanya. Zaman dah berubah. Tapi gitulah. Akan aku pastikan aku tetap mengajar juga housemen aku biarpun ambil masa cuma 5 minit. Semoga perkongsian yang diberikan bermanfaat. 


Rindunya pada housemen-housemen yang semangat belajar macam dulu. Love what you do or leave


Image



Selasa, Juli 23

Darjah 3

Harini kelas bersama Prof H.  Setiap kali kelas prof sentiasa diri ragu- ragu layakkah jadi pelajar master ni. Seringkali monolog dalaman tak pandainya. Macam mana nak jadi pandai macam yang lain. Dan akhirnya kemurungan mengenang nasib sendiri.


Ada masa-masa aku memang bersyukur sangat direzekikan sambung belajar. Dapat mengenali jiwa-jiwa baru, dapat ilmu baru, dapat pencerahan dari rakan-rakan atau pensyarah tentang sesuatu topik yang aku rasa macam faham tapi rupanya tak😅


Pernah buat perbentangan dan pakar perubatan kecemasan terangkan kembali padaku tentang topik yang aku sampaikan. Faham dan terharu. Betul-betul terharu. Direzekikan mendapat kefahaman ilmu tentang sesuatu topik. Sangat-sangat bersyukur. 


Selamat melalui darjah 3!