Friday, May 10, 2013

GST - Goverment Service Tax 6% vs Good and Service Tax 4%

SAYA AMBIL ARTIKEL NI DARI BLOG PAKDI.NET 




Artikel ini diambil dari sebuah laman blog – oskortos dengan keizinan penulis asal.
Semoga dapat menjawab persoalan para pembaca yang budiman yang mahu tahu apa itu GST. Sebarang persoalan, untuk mendapat respons yang lebih cepat sila terus ajukan kepada penulis asal ya.
Jika pembaca lain ada nak menyumbang artikel tambahan pun dialu-alukan.

 

GST

Oleh: Norman 
Dengar saja tentang GST perkara pertama yang akan terlintas di kepala kita sudah pastilah tentang kenaikan harga barang disebabkan cukai yang dikenakan kerajaan. Memandangkan pada PRU13, BN kekal dipilih sebagai kerajaan pelaksanaan GST mungkin akan terjadi dalam tempoh masa setahun atau dua tahun daripada sekarang. Walaubagaimanapun sebagai rakyat yang matang kita haruslah memahami sesuatu isu tersebut sebelum kita membangkang apa sahaja dasar yang dibawa kerajaan.
Setelah menerima maklumbalas daripada laman media sosial Twitter dan FB saya simpulkan ramai yang sebenarnya tidak faham tentang apa itu sebenarnya GST, bagaimana GST dilaksanakan dan juga kesan GST terhadap harga barang dan perkhidmatan. Saya tidak menyalahkan kawan-kawan semua kerana kerajaan juga tersilap langkah apabila penerangan tentang GST tidak dibuat secara menyeluruh malah peluang menerangkan GST melalui media perdana seperti suratkhabar, tv & radio disia-siakan kerajaan apabila ia hanya digunakan untuk menghentam pembangkang, menabur fitnah dan terbaru membangkitkan semangat perkauman. Sebelum membaca artikel ini saya minta kawan-kawan tinggalkan politik partisan, buka mata dan hati supaya kita faham apa itu sebenarnya GST.

 

CUKAI DI MALAYSIA

Terdapat dua jenis cukai utama yang dikenakan kepada rakyat Malaysia yang pertama cukai pendapatan (income tax) dan yang kedua cukai penggunaan (consumption tax). Cukai pendapatan adalah cukai yang dikenakan keatas segala pendapatan termasuk gaji, bonus, hadiah, komisen, dividen dan sebagainya. Manakala cukai penggunaan dikenakan keatas barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang kita gunakan. GST terletak dibawah kategori cukai penggunaan (consumption tax).

 

APA ITU GST DAN SST?

GST adalah ‘Goods and Services Tax’ atau cukai barangan dan perkhidmatan. Selama ini kita rakyat Malaysia membayar SST iaitu ‘Sales tax and Service tax’ atau cukai jualan dan cukai perkhidmatan. SST kebiasaannya dikenakan ke atas bil telekomunikasi, internet, ASTRO, tiket wayang, tiket parking, barangan di supermarket, KFC, McD, Pizza pada kadar 6% untuk cukai perkhidmatan (service tax) dan 10% untuk cukai jualan (sales tax). Anda boleh merujuk bil atau resit setiap kali anda membuat bayaran bil telefon, ASTRO, selepas membeli belah di Tesco, Jusco, Giant dan sebagainya semuanya ada tertera jumlah dan peratusan SST yang dibayar.

Image

GST yang dicadangkan kerajaan Malaysia pada tahun 2009 adalah pada kadar 4% menjadikannya lebih rendah daripada SST pada kadar 6%-10%. Jadi apa bezanya GST dan SST? Pelaksanaan GST merangkumi segala jenis barangan dan perkhidmatan yang ada di Malaysia termasuk barangan yang diimport mahupun yang dibuat dibuat di Malaysia. GST akan mengenakan cukai pada setiap lapisan peringkat bekalan barangan dan perkhidmatan contohnya dari pengilang (manufacturer), pemborong (wholesaler), peruncit/kedai (retailer) hinggalah kepada pengguna (end-customer). Cukai GST ini akan dikutip setiap kali transaksi berlaku dan penjual akan mengutip cukai daripada pembeli mengikut rantaian bekalan tadi. Walaubagaimanapun 4% itu adalah kadar tetap dan tiada cukai berganda (multiple taxes). SST pula kebiasaannya dikenakan kepada pelanggan yang membeli barangan daripada kedai/peruncit dan terdedah kepada cukai berganda. Pelaksanaan SST juga tidak menyeluruh menjadikan ia tidak saksama.

 

PELAKSANAAN GST

Idea melaksanakan GST ini mula dibincangkan pada tahun 2007 dan pada mulanya dijadualkan untuk dilaksana pada tahun 2009 kemudiannya ditangguh atas sebab pilihanraya dan juga atas sebab kurangnya pemahaman tentang GST dikalangan rakyat Malaysia. Kemudiannya rang undang-undang GST dibaca diparlimen buat kali pertama pada tahun 2009 dan dijadualkan dibaca untuk kali kedua pada 2010 namun ia ditangguhkan juga atas sebab-sebab yang sama.
Anda boleh merujuk keratan berita dari Berita Harian tentang jadual bacaan rang undang-undang GST di sini:
GST yang dicadangkan kerajaan adalah pada kadar rata 4% untuk SETIAP barangan dan perkhidmatan WALAUBAGAIMANAPUN kerajaan akan mengecualikan GST ke atas barangan seperti makanan asas beras, gula, tepung, pengangkutan awam seperti tiket bas, komuter, LRT dan juga barangan seperti ubat-ubatan dan sebagainya. Dengan pengecualian ini kesan kenaikan harga ke atas barangan dan perkhidmatan asas adalah minima (atau tiada). Perkara ini ada dinyatakan di laman web Kastam DiRaja Malaysia tentang GST:
Image

 

KEPERLUAN MELAKSANAKAN GST

GST perlu dilaksanakan untuk meluaskan kadar kenaan cukai kepada semua individu dan perniagaan di Malaysia lalu menambah pendapatan kerajaan secara tidak langsung. GST juga akan menutup kelemahan pengurusan cukai SST seperti cukai berganda, lari daripada cukai (tax evasion) dan sebagainya. Untuk pengetahuan kawan-kawan daripada jumlah penduduk (populasi) seramai 28 juta di Malaysia kurang daripada 10% membayar cukai pendapatan manakala daripada keseluruhan tenaga buruh (workforce) seramai 11 juta di Malaysia peratusan yang membayar cukai pendapatan (income tax) adalah lebih kurang 25%. Rujuk taksiran pembayar cukai bermastautin daripada perangkaan tahunan negara:
Image

Bermakna mereka yang membayar cukai pendapatan adalah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang menerima manfaat daripada kerajaan seperti BR1M, BB1M dan segala bentuk jenis subsidi yang lain. GST akan menjadikan setiap lapisan masyarakat sama ada miskin, sederhana atau kaya membayar cukai untuk menyumbang kepada pendapatan kerajaan.

 

GST TIDAK ADIL KEPADA ORANG MISKIN?

GST nampak tidak adil kepada mereka yang berpendapatan rendah kerana mereka terpaksa membayar cukai pada kadar yang sama seperti mereka yang berpendapatan tinggi. Oleh sebab itu kerajaan disamping melaksanakan GST perlu memperkenalkan pakej atau program seperti bayaran tunai atau rebat kepada mereka yang berpendapatan rendah. Program sekarang seperti BR1M boleh dijadikan contoh tetapi pelaksanaannya perlulah teliti dan lebih sistematik agar bayaran tunai untuk menangani kos GST tidak tiris dan terdedah kepada penyelewengan (contohnya: orang yang tidak layak juga terima BR1M).
Konsep cukai penggunaan (consumption tax) seperti GST adalah semakin banyak anda membeli barang atau menggunakan perkhidmatan semakin banyak cukai yang dibayar. Bermakna anda boleh mengawal perbelanjaan anda secara berhemah dan berjimat. Mereka yang berpendapatan tinggi akan membayar cukai lebih tinggi apabila mereka berbelanja lebih berbanding mereka yang berpendapatan rendah hanya akan berbelanja mengikut kemampuan mereka. Program bantuan tunai daripada kerajaan akan mengurang kesan GST kepada mereka yang berpendapatan rendah.

 

KESAN GST

GST jika dilaksanakan seperti di negara lain contohnya Singapura, apabila GST dilaksanakan kadar cukai pendapatan (income tax) akan dikurangkan secara berperingkat. Ini akan memberi kesan positif kepada pembayar cukai pendapatan di mana mereka akan ada lebih pendapatan boleh guna (disposable income) untuk dibelanja atau disimpan. Walaubagaimanapun kerajaan Malaysia masih belum bercadang untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan, mungkin ia akan dimaklumkan kemudian hari. GST juga secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat menyimpan untuk pelaburan dan berbelanja secara berhemah dan jika perlu sahaja.
Mengenai kerisauan dikalangan kita bahawa GST akan meningkatkan harga barangan, memang ia tak dapat dinafikan yang ada sesetengah barangan akan naik harga TETAPI ada juga barangan yang akan turun harga setelah kadar GST 4% ini dilaksanakan kerana sebelum ini SST 6-10% dikenakan maka ada penguranagan kadar cukai disitu. Harga KFC, tiket wayang, bil telco akan berkurang sedikit manakala barangan yang tidak dikenakan cukai SST sebelum ini seperti barangan elektrik, komputer dan sebagainya akan meningkat sedikit. Kita perlu perbetulkan pemahaman dan salahfaham mengenai konsep GST sebelum menganggap ia semata-mata akan menaikkan harga barang.
Kerajaan juga akan membentuk jawatan kuasa yang memantau serta mengawal kadar kenaikan harga barang agar kenaikan harga barang tidak mendadak dan peniaga tidak akan mengutip untung berlebihan:
Image

 

SALAH FAHAM KEBELAKANGAN INI

Kebelakangan ini tersebar tentang ‘GST’ telah dilaksanakan melalui penyebaran gambar ini:
Image
GST yang dimaksudkan diatas adalah ‘government service tax‘ pada kadar 6% dan bukannya Goods and Services Tax pada kadar 4% yang dicadangkan. Sepatutnya Tesco Extra menulisnya sebagai SST atau Service Tax dan bukannya GST untuk mengelakkan kekeliruan seperti diatas. GST 4% akan menggantikan cukai perkhdimatan 6% ini.Cukai perkhidmatan diatas sebelum 2011 adalah pada kadar 5% kemudiannya dinaikkan kepada 6% berkuatkuasa 1 Januari 2011.

 

PENDAPAT PERIBADI

Di atas saya telah menerangkan konsep, pelaksanaan dan kesan GST kepada kita semua. Jika anda bertanya kepada saya secara peribadi, saya menyokong pelaksanaan GST ini dengan syarat kerajaan meningkatkan kecekapan pengurusan jabatan-jabatan yang terlibat, pemantauan teliti untuk mengelakkan pengguna ditekan atau ditipu peniaga dan penerangan yang lebih jelas kepada rakyat keseluruhannya. Kerajaan juga perlu memperkenalkan pakej atau program yang lebih mampan untuk menangani kesan GST kepada golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar. Pelaksanaan GST tidak boleh dilaksanakan dengan terburu-buru dan perlu diadakan tempoh percubaan (trial period) sepertimana ia dijalankan di negara lain. Disamping itu kerajaan juga sepatutnya menurunkan cukai pendapatan dan juga meningkatkan pendapatan seisi rumah untuk menangani kesan langsung daripada GST.

 

KESIMPULAN

Saya seorang individu yang pro-Pakatan Rakyat sebenarnya berkongsi kerisauan dengan kawan-kawan tentang cara kerajaan membelanjakan wang cukai yang dikutip. Lihat sahaja berbillion ringgit bocor, tiris dan dibazirkan setiap tahun seperti mana yang digambarkan didalam laporan ketua audit negara. Ini sahaja kerisauan kita bukan? GST adalah dasar yang baik tetapi bolehkah kerajaan dibawah BN membelanjakan wang kita dengan baik dan adakah rakyat akan mendapat faedah ke atas cukai yang dibayar nanti?
Didalam tempoh 5 tahun ini suka atau tidak GST tetap akan dilaksanakan. Bezanya kita sebagai rakyat perlulah memahami konsep GST itu sebelum kita membangkang membuta tuli tanpa fakta dan asas. Nak jadi pembangkang jadi pembangkang yang bijak, mahu jadi macai jadi macai yang cerdik. Harga barang naik atau mahal bukan disebabkan cukai, ia disebabkan monopoli dimana bekalan atau supply barangan dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja. Ini yang patut kita tentang dan bangkang. Beras dan gula semuanya dipegang orang yang sama. Jadi mari sama-sama kita tolak monopoli dan favoritisme oleh kerajaan kepada tokey-tokey tertentu. Buka pasaran untuk persaingan sihat supaya akhirnya kita berada dalam situasi menang-menang. Rakyat untung, peniaga untung.
Tambahan: Sesetengah restoran atau perkhidmatan mengenakan service charge 10% yang mana kutipan ini tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Jika GST dilaksanakan service charge ini mungkin kekal. Ada beza service charge dan service TAX.

p/s:
1. Dah habis baca artikel saya sebarkan pada kawan-kawan di Facebook, di pejabat, kepada keluarga dirumah.
2. Jangan merungut sangat, siapa suruh undi BN? :P
3. Sebarang soalan boleh diajukan di ruangan komen atau di Twitter saya.
4. Bacaan lanjut tentang GST oleh Kastam: http://gst.customs.gov.my/ms/Pages/default.aspx
5. Bacaan rang undang-undang GST jika anda rajin membaca:  http://gst.customs.gov.my/ms/rg/SiteAssets/gst_bill/gst%20act%20bill.pdf
Disclaimer: Artikel ini bukan ditulis untuk menyokong kerajaan. Ia hanya semata-mata untuk menerangkan beza SST dan GST dan juga pemahaman secara dasar tentang GST.



-->

Wednesday, April 3, 2013

Tips Pemeriksaan Kesihatan di Klinik

Takziah kepada YB Dr Lo' Lo'

Salam,

Takziah kepada YB Dr. Lo' Lo' Bt Mohd Ghazali di atas pemergiannya ke Rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan ditempatkan ke syurga bersama para rasul dan anbiya'.

Amin ya Rabbal Alamin...

Image

Sunday, July 17, 2011

Kitab Ketuhanan Bab 1

Islam, Kristian dan Yahudi berasal dari sumber wahyu yang sama. Oleh itu, mesej yang disampaikan juga adalah sama.

Saksikan bab 1, Kitab Ketuhanan.


Friday, July 15, 2011

Kenapa Queen Elizabeth pakai baju KUNING?

Salam,

YAB PM Malaysia, DS Najib telah terbang ke UK dan disambut oleh wakil negara di sana. Beliau juga telah disambut oleh sekumpulan penyokong-penyokong yang memakai baju bewarna kuning yang memegang sepanduk BERSIH.

Image
Yang lebih menarik hati ialah gambar di dalam the Star. Queen Elizabeth bersalam dengan YAB PM dengan memakai baju berwarna kuning. Tujuan Queen memakai baju kuning mungkin kebetulan atau mungkin ada makna tersirat disebaliknya..

Salam.

Monday, June 27, 2011

"Fixed idea" Dan Cerita Mekanik Kereta...

Salam,

Saya pernah menulis artikel tentang acute tonsilltis, sejenis penyakit yang datang dengan sakit tekak, kadang-kadang demam dan bantuk serta tonsil tekak yang membengkak. Pesakit akan memberitahu kepada doktor (dan semua orang juga) bahawa dia mengalami penyakit tonsillitis, walhal pada hakikatnya, ia cuma sekadar sakit tekak biasa atau acute pharyngitis sahaja.

Ini adalah kerana, pesakit tersebut sudah ada di
dalam benak fikirannya bahawa itu adalah penyakit yang dihidapinya walaupun belum diperiksa. Itu tidaklah mengapa kerana dari segi perawatannya acute tonsilitis dan acute pharyngitis tidak banyak berbeza kecuali perawatan tonsillitis ada elemen pembedahan setelah cukup indikasinya.

Bagaimana sekiranya ia berlaku kepada penyakit yang lebih kritikal? Bila di dalam kepala pesakit sudah ada penyakit tertentu, seolah-olah itu adalah penyakitnya dan apa yang doktor ingin beritahu seumpama masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Saya ada mengalami beberapa insiden di mana pesakit yang datang dengan gejala sakit perut yang teruk sebagai contoh, tetap dengan pendapatnya bahawa sakit perutnya adalah angin biasa, tanpa mahu memikirkan bahawa penyakit tersebut mungkin disebabkan oleh penyakit lain seperti kanser atau ketumbuhan atau penyakit seperti batu di hempedu dan lain-lain. Malah, ada yang sudah 10 kali ke klinik dengan masalah yang sama dan ada yang semakin teruk walaupun menerima ubat berbakul-bakul.

Masalah ini merumitkan kerja doktor. Walaupun memang ada doktor yang tidak mahu bertegang leher dengan pesakit yang dikira "degil" ini, tetapi ini akan merugikan pesakit sendiri yang tidak dapat mengenal pasti penyakit mereka dan akhirnya tidak menerima rawatan yang betul.

Yang paling rugi adalah pembaziran masa kerana ada sesetengah penyakit memerlukan rawatan dalam kadar yang segera kerana setiap minit yang dibazirkan akan mendekatkan pesakit dengan maut.

Saya umpamakan masalah ini dengan kes di bengkel kereta. Seorang lelaki datang ke bengkel dengan keretanya yang ditarik oleh trak penarik. Dengan marah-marah dia memberitahu mekanik kereta di bengkel itu.

"Baru 3 hari lepas saya datang sini repair ini kereta, ini hari apasal rosak balik?", marah lelaki itu kepada mekanik.

"Oh, ya lah, itu hari saya sudah tukar itu bateri maa..". jawab mekanik itu dengan tenang walaupun mukanya kelihatan penat.

"Kalau itu bateri sudah tukar, apasal ini hari itu kereta tak boleh hidup? Lu jangan tipu sama saya tau ka, itu hari sudah kena RM 300 tukar ini bateri free mainenance tau!", bentak lelaki itu yang memang tak puas hati

"Boss, rileks la boss,.. Itu hari I mau cek, lu suruh I tukar bateri saja. Lu kata itu bateri sudah kong maa, bila satu kali lagi I mau cek, lu kata tak payah sebab lu punya bapak pun bekas mekanik jugak... sekali tengok lu sudah tau... aiyaaa.. lu lupa ka?"... jawab mekanik yang sudah mula naik angin.

Terdiam sejenak lelaki tu apabila mendengar jawapan mekanik. Memang betul apa yang dicakapkan oleh mekanik tersebut. Ketika itu, dalam kepalanya memang sudah terpendam bahawa itu masalah bateri sahaja, apabila kereta itu tak kahu hidup. Kebetulan pula, perkara yang sama diberitahu oleh jiran dan kawan-kawannya yang itu memang masalah bateri.

"Itu macam ka apek?, habis lu rasa ini apa problem?", tanya lelaki tu yang mungkin dihimpit rasa menyesal.

"Dari pengalaman I, ini alternator problem.. tapi I kena kasi cek la dulu maa.. U kasi masa sikit", jawab mekanik.

"Ooooo, kalau alternator problem tak payah la I tukar bateri...?", tanya si lelaki.

"Ya la, apa hal mau tukar kalau tarak rosak", senyum mekanik.
Image
Kalau kereta yang rosak, jawapannya mudah sahaja. Tukar sahaja bahagian-bahagian yang tertentu denga spare part yang baru, asal kewangan dan masa mencukupi.

Namun, jika tubuh manusia yang rosak, alat ganti nya tidak dijual di kedai. Oleh itu, masa memainkan peranan yang sangat kritikal untuk memulihkan pesakit.

Kanser sebagai contoh, sekiranya sudah merebak ke bahagian-bahagian yang lain, pilihan rawatan menjadi semakin terbatas. Luka yang tidak sembuh-sembuh, mungkin adalah permulaan kanser kulit, akan menjadi lebih teruk sekiranya dibiarkan. Bulan ini ia sebesar duit 5 sen, bulan depan ia membesar ke saiz duit 50 sen dan bulan seterusnya ia sudah tidak boleh dirawat lagi.

Begitu juga dengan masalah buah pinggang. Sekiranya buah pinggang mengalami kegagalan tahap akhir maka, pesakit akan menggunakan mesin dialisis seumur hidup. Oleh itu, buah pinggang perlu dijaga rapi dari awal. Dalam hal ini, masa memainkan peranan yang kritikal kerana penjagaan penyakit yang menyebabkan kerosakan buah pinggang perlu ditangani dari awal.

Di dalam masyarakat melayu, kita banyak mempercayai perkara-perkara berunsurkan mistik dan alam ghaib. Perkara ini akan timbul dulu di dalam kepala, apabila berlaku masalah-masalah kesihatan. Malah ia menjadi "fixed idea"di dalam kepala. Ini juga boleh melewatkan pesakit daripada menerima rawatan yang sepatutnya.

Saya pernah menulis tentang kejadian benar seorang lelaki tua yang tiba-tiba pengsan di dalam sebuah majlis kenduri. Semua orang datang dan membaca doa dan jampi kerana percaya ia adalah terkena sihir atau tersampuk jin. Kebetulan, seorang lelaki di dalam kumpulan tersebut yang merupakan sukarelawan persatuan bulan sabit merah, bergegas pulang ke rumah dan mengambil alat pengukur gula. Rupa-rupanya paras gula lelaki itu sangat rendah dan menyebabkan dia pengsan. Jika dibiarkan ia boleh membawa maut.

Pemikiran yang terlalu mistik kadangkala boleh membawa kepada masalah perawatan kepada ahli keluarga. Semasa saya belajar di univesiti, seorang budak lelaki berumur belasan tahun, menghidapi masalah kegagalan buah pinggang dan perlu menjalani rawatan dialisis. Oleh kerana keluarganya percaya yang dia terkena buatan orang, mereka tidak mahu menjalani dialisis.

Keluarga membawa ke pelbagai tempat untuk menjalani rawatan kampung dan tradisional. Setelah budak itu pengsan dan semakin kritikal, barulah keluarga mereka bersetuju untuk menjalani dialisis tetapi sayangnya beliau meninggal dunia keesokan harinya. Saya berasa sedih ketika itu kerana sebagai pelajar perubatan, saya tidak berjaya memujuk keluarganya untuk menjalani dialisis yang merupakan rawatan terbaik untuk kegagalan buah pinggang buat masa ini kerana di dalam fikiran keluarga yang terlalu percaya bahawa ini adalah penyakit buatan orang.

Berbalik kepada cerita lelaki dengan mekanik tadi, mekanik tadi hanya menjalankan arahan untuk membaiki apa yang disuruh oleh tuan punya kereta. Bagaimana sekiranya doktor membuat hal yang serupa?

Pesakit darah tinggi dan kencing manis tidak terkawal datang ke klinik berjumpa doktor dengan masalah pedih di kawasan ulu hati bermula beberapa jam yang lalu beserta sedikit maslah pernafasan. Pesakit berkeras bahawa ini adalah gastritis atau sakit gastrik dan mahukan ubat sahaja. Doktor mencadangkan untuk membuat pemeriksaan jantung tetapi pesakit menolak. Doktor menurut arahan, memberi ubat dan pesakit pun pulang. Bagaimanapun, sakit semakin teruk sehingga pesakit sesak nafas dan meninggal dunia di rumah kerana serangan jantung.

Serangan jantung boleh hadir di dalam pelbagai bentuk dan sakit di bahagian dada yang merebak ke kawasan tangan kiri dan rahang adalah bentuk yang klasik. Namun begitu terdapat serangan jantung yang datang hanya dengan masalah pernafasan sahaja. Ada juga yang datang dengan rasa tidak selesa di kawasan ulu hati dan ada yang tiada sakit dada langsung khususnya kepada pesakit kencing manis kronik. Oleh itu pemeriksaan jantung di dalam kes ini adalah penting untuk memastikan ia bukan penyakit jantung. Dalam kes ini, ia mungkin situasi yang menyedihkan tetapi ia boleh berlaku kepada kita semua.

Oleh hal yang demikian, datanglah menerima rawatan dengan fikiran yang terbuka. Apabila berjumpa doktor, beritahu kepada doktor simptom-simptom yang anda rasa penting untuk doktor ketahui untuk memudahkan beliau membuat diagnosis. Sekiranya anda mempunyai diagnosis di dalam kepala, cuba bertanya kepada doktor adakah ia satu kemungkinan. Berbincang dengan doktor tentang diagnosis anda adalah jalan terbaik. Dengan cara ini, urusan perawatan menjadi lebih mudah dan berkesan.


Monday, June 13, 2011

Tip Mengurangkan Lemak di Badan Sambil Berehat..



Salam,

Saya banyak mendengar dari jurulatih fizikal bahawa orang perempuan yang gemuk tak perlu mengangkat berat untuk mengelakkan otot mereka daripada membesar menampakkan mereka berotot seperti lelaki ketika menjalankan aktiviti menguruskan badan.

Ini dikatakan akan mengurangkan "keseksian" mereka dan akan menambahkan lagi berat badan mereka.

Walaupun saya doktor tetapi saya tidak banyak pengetahuan tentang hal ini dan tidak pula membantah kerana kenyataan mereka mungkin ada logik.

Walaubagaimanapun, setelah banyak saya membaca tentang cara meningkatkan kesihatan fizikal, saya dapati bahawa keperluan meningkatkan otot kepada setiap orang adalah perlu untuk mengurangkan berat badan. Ini adalah kerana, pembesaran otot akan meningkatkan kadar metabolisme di dalam badan. Dari segi jangka panjang, dengan melatih otot kita, tulang dan otot belakang akan menjadi kuat dan sendi lebih tahan lasak.

Image
Teori ini bertepatan dengan apa yang berlaku di dalam cerita "The Biggest Loser" yang sering ditayangkan di ASTRO. Jika anda tonton cerita realiti ini, anda akan dapati untuk menguruskan badan, mereka akan menjaga diet anda supaya anda akan makan dengan seimbang, makanan berkabohidrat, kurang lemak dan tinggi fiber. Dalam masa yang sama, mereka akan meningkatkan aktiviti fizikal seperti aerobik dan anaerobik dan mengangkat berat untuk meningkatkan stamina dan kapasiti otot.

Peningkatan kadar berat otot akan mengurangkan peratus lemak di dalam badan juga. Di samping itu, kadar metabolisme badan disebabkan peningkatan otot boleh membakar lemak walaupun ketika kita sedang berehat.

Sila baca artikel dari the Star..

Here's the thing. Many of us believe in old wife's tales. Don't eat after 8pm or you'll put on weight. Women should not carry to much weights or you'll end up looking like The Rock.

Is there any truth to these myths? Let's take a look ...

Myth: Lifting weights is not good to do if you want to lose weight, because it will make you "bulk up."

Let's be real, lifting weights or doing strengthening activities like push-ups and crunches on a regular basis can actually help you maintain or lose weight. These activities can help you build muscle, and muscle burns more calories than body fat. So if you have more muscle, you burn more calories – even sitting still.

Doing strengthening activities two or three days a week will not "bulk you up." Only intense strength training, combined with a certain genetic background can build very large muscles. Here is a tip for you, in addition to doing moderate-intensity physical activity (like walking two miles in 30 minutes) on most days of the week, try to do strengthening activities two to three days a week.

Image Strength training like working out at the gym or doing some gardening helps keep your bones strong.

You can lift weights, use large rubber bands (resistance bands), do push-ups or sit-ups, or do household or garden tasks that make you lift or dig. Strength training helps keep your bones strong while building muscle, which can help burn calories. Remember the goal is to have fun ....

Myth: Low-fat or fat-free means no calories.

Low-fat or fat-free foods are often lower in calories than the same size portion of the full-fat product. But many processed low-fat or fat-free foods have just as many calories as the full-fat versions of the same foods – or even more calories. You may think the food is fat free but you must keep an eye on those dreaded hidden calories. These foods may contain added sugar, flour, or starch thickeners to improve flavour and texture after fat is removed. These ingredients add calories too.

Myth: Eating after 8 p.m. causes weight gain.

Truth hurts but it does not matter what time of the day you eat. It is what and how much you eat and how much physical activity you do during the day that determines whether you gain, lose, or maintain your weight. Therefore, no matter when you eat, your body will store extra calories as fat.

Here's a tip: If you want to have a snack before bedtime, think first about how many calories you have eaten for that day, you wouldn't want to take too much of self- loathing to the bathroom the next day. So, try to avoid snacking in front of the TV at night. Remember we do have the tendency to overeat especially when we are distracted by a good show on the telly.

Jauhi Perkara yang Syubhah...

Image
“MINUMAN ini halal. Lihat tanda ‘non alcoholic’ di botol ini. Yang ini (sambil menunjukkan minuman di ruangan ‘non-halal’) barulah haram kerana mengandungi alkohol dan arak,” kata seorang pekerja kedai serbaneka yang enggan dikenali.

Ketika ditanya sama ada dia tahu mengenai pengharaman minuman ‘bir halal’ oleh Jakim, pekerja itu hanya menggelengkan kepala sambil menegaskan ia halal kerana diimport dari negara Arab.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bir halal semakin popular di kalangan masyarakat kita. Difahamkan, ada lebih lima jenama bir halal dari Timur Tengah di pasaran dan kebanyakannya tidak mempunyai logo halal atau mempamerkan jumlah alkohol pada label produk.

Bagaimanapun, pendedahan mengenai penemuan kandungan alkohol melebihi jumlah dibenarkan syariat pada minuman berkenaan mengejutkan orang ramai, khususnya umat Islam.

Penemuan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus itu terbongkar selepas pengguna yang meragui minuman itu membuat aduan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan membawa bir halal itu untuk dianalisis, seterusnya mendapatkan kepastian.

JAJ kemudian menghantar sampel minuman ke Jabatan Kimia untuk pengesahan dan hasil ujian makmal dijalankan mendapati bir halal diperbuat daripada pelbagai perisa buah-buahan itu mengandungi 0.5 peratus kandungan alkohol, sedangkan Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman dibenarkan syariat Islam tidak melebihi 0.01 peratus.

Mengulas perkara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menolak semua penggunaan perkataan yang menyerupai benda tidak halal seperti bir kerana ia mendiskriminasikan umat Islam dan salah daripada segi pendekatan digunakan.

Melihat sepintas lalu kes seakan-akan serupa, Nadzim berkata, ia seperti ‘babi halal’ yang mencetuskan kontroversi dan hangat diperkatakan beberapa tahun lalu apabila produk berkenaan turut dijual di pameran barangan halal, perkataan ‘turkey ham’ (ham merujuk kepada daging paha babi yang dimasinkan), ‘beef bacon’ (bacon iaitu daging babi yang digaram atau diasapkan) dan ‘hotdog’ (penggunaan perkataan dog iaitu anjing).

Menurutnya, sekalipun turkey ham, beef bacon dan hotdog makanan halal, penggunaan perkataan yang digandingkan dengan sesuatu yang tidak halal menimbulkan kurang senang di kalangan pengguna Islam dan memberi kesan terus kepada jiwa.

“PPIM tidak boleh menerima penjenamaan yang mendiskriminasikan umat Islam. Kami menolak penggunaan nama bir walaupun tidak mengandungi alkohol kerana ia boleh menghakis jati diri kita sebagai umat Islam.

“Kami tidak mahu ia menyerupai sesuatu yang tidak halal dan yang kita takut sekali ialah proses pemeraman dilakukan ketika pembuatan minuman berkenaan dikhuatiri boleh menghasilkan alkohol yang melebihi tahap dibenarkan tetapi tiada ujian yang dilakukan bagi mengesan kewujudannya,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya merayu pihak berkuasa menyeragamkan sistem untuk barangan tidak halal untuk seluruh negara dan bukan hanya untuk negeri tertentu.

“Kami tidak mahu pengguna yang menerima akibatnya. Ini kerana kita berlindung di bawah payung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pengguna perlu dilindungi sebaik mungkin. Umat Islam berada di seluruh negara, jadi tidak boleh kata di Johor saja tidak halal dan di negeri lain halal,” katanya.

Menurutnya, umat Islam masih teraba-raba untuk mendapatkan makanan baik dan perkara itu tidak harus berlaku di negara ini yang ingin dibangunkan sebagai hab halal dunia.

“Makanan, minuman dan produk tidak halal berlegar dengan banyak dalam kehidupan seharian kita. Tidak hairan anak kita melakukan perkara pelik atau mengalami keruntuhan akhlak. Kerajaan perlu tegas kerana jika tidak, perkara seperti ini tidak habis.

“Barangan yang halal atau tidak halal perlu dimaklumkan kepada umum supaya tidak menimbulkan pelbagai spekulasi dan keresahan di kalangan masyarakat. Pengguna perlu berhati-hati dan jika ragu, dinasihatkan tidak minum bir halal berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Suria Wholesaler Sdn Bhd, Ahmad Al Yateem dalam laporan sebelum ini menegaskan, produk mereka, Barbican tidak mengandungi alkohol dan hanya malta berperisa buah-buahan semata-mata.

Selain itu, ia dikeluarkan oleh syarikat Aujan Industries Co yang berpusat di Dubai dan dipasarkan di seluruh negara Arab selain Asia serta Eropah untuk pengguna Islam.

Ahmad lebih menyifatkan dakwaan itu berunsurkan persaingan dalam perniagaan berikutan minuman itu semakin menjadi pilihan di kalangan pengguna Islam di negara ini.

Jakim pula pernah menolak permohonan untuk mendapatkan sijil halal bagi minuman dikenali bir halal yang diimport dari negara Timur Tengah.

Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata, ini kerana ia tidak menepati standard halal MS 1500:2009 dan tidak mematuhi prosedur halal.

“Jakim tidak pernah mengeluarkan sijil halal kepada produk minuman dikenali sebagai bir halal itu. Oleh itu, saya menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan memilih produk yang mempunyai sijil halal diiktiraf kerajaan,” katanya.

Related Posts with Thumbnails