Hari demi hari dilalui,
semakin banyak hari, semakin panjang perjalanan. Banyak peristiwa suka-duka
sudah ditempuhi. Kadang-kadang terjatuh, cuba bangun kembali, kemudian terjatuh
lagi. Lumrah. Semakin lama berjalan, semakin penat, semakin lelah, semakin
letih. Terkadang terfikir juga ingin berhenti di sini, tetapi mahu ke mana?
Memandang jauh ke hadapan, tiada tanda-tanda perjalanan akan berakhir, ingin
berpatah balik titik mula pula sudah tidak lagi kelihatan.
Keinginan itu
datang dan pergi. Sesekali ia datang menderu, menerobos, memusnahkan kesemua
hadangan yang membentangi. Pada ketika yang lain, hanya sepi mengisi
ruang-ruang kosong antara impian dan realiti. Inisiatif sudah mula luntur.
Slogan-slogan yang dicanang-canang dahulu tidak lagi membangkitkan semangat ini.
Maka curhat
menjadi pilihan hati
Orang kata ujian
itu lumrah kehidupan. Saya setuju. Sesekali kita akan berhadapan dengan
momen-momen kejatuhan yang menyakitkan. Hampir sesak nafas kita dibuatnya.
Hampir juga berpinar-pinar bebola mata. Mungkin exaggerate bagi sesetengah
orang, namun tidak bagi sesetengah yang lain. Saya sendiri tidak pasti saya di
golongan yang mana.
Orang kata lagi,
ketenangan itu satu kembara, bukan destinasi. Saya setuju. Kita tidak akan
mampu mendapatkan ketenangan selagi mana kita statik di situ. Bergerak. Itu
kata kuncinya. Ketenangan. Adakah ia satu entiti atau sifat? Tidak pasti. Yang
pasti ia adalah sebuah anugerah yang semua orang berjuang mendapatkannya. Hanya
yang mampu melihat dunia dengan kaca mata yang luhur berhasil memperolehnya.
Kemudian kata
mereka lagi, tiada pandangan mata yang luhur melainkan jika kita sudah bergelumang
dengan Al Quran. Sekali lagi saya setuju. Orang-orang yang bersatu hati mereka
dengan Al Quran, darjat mereka diangkat tinggi oleh Allah. Mereka mampu melihat
dunia ini dengan pandangan yang holistik. Seolah-olah mereka berada di satu
tempat yang tinggi dan melihat segala apa yang berlaku dari atas. Hebat. Kurnia
Allah.
Jujur. Saya
masih belum sampai ke tahap itu. Bahkan jauh lagi. Hampir setiap masa, wujud
drama dalam diri. Drama dengan family, drama dengan rakan-rakan. Drama macam
mana tu? Susah nak jelaskan di sini. Mungkinlah tidak seteruk bahana kefuturan.
Tapi drama tetap wujud di situ.
Jawapan skema
sudah terbentang didepan mata. Kurangnya mujahadah, kurang juga koreksi diri,
kurang muhasabah sendiri. Penat menyeru di alam nyata, bersambung pula di dunia
maya, tetapi terlupa untuk menyeru diri sendiri. Aneh. Bahkan pelik. Bagaimana
boleh terjadi seperti itu? Bukankah telinga yang menyeru itu lebih dekat
daripada telinga yang diseru? Namun begitulah yang terjadi.
Maka tidak hairanlah
andai diri sendiri kerap jatuh. Baru diasak dengan angin lintang barat daya
sudah terumbang-ambing. Entah bagaimana nanti bila diserang dari segenap
penjuru oleh panah-panah beracun bahkan peluru-peluru besi? Pondasi masih tidak
utuh. Langkah kaki masih tidak teguh. Asas yang kuat, itu kod rahsianya.
Namun bila
difikirkan semula, inilah lumrah orang-orang yang memilih jalan yang dagang
itu. Sekuat dan seteguh mana pun langkahan kaki, pasti akan diuji, bahkan lebih
berat lagi. Kerana di saat Tuhan berfirman,
“Dan bersabarlah
engkau bersama orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang,
yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata..”
Al Kahfi : 28
Bukankan
perkataan bersabarlah itu terlalu dekat dengan ujian? Maka tidak hairanlah jika
memang selalu diuji, kerana kita memang disuruh untuk bersabar. Bersabar,
bersabar dan terus bersabar. Sehingga tiba saat dan waktu kita pergi menemui
Tuhan dengan syahadah yang benar.
Tetapi isunya di
sini bagaimana untuk terus bersabar dan terus menapak di jalan yang panjang
ini?
Sujud
pembebasan. Ya. Itulah jalannya.
Selagi mana
tidak melakukan sujud pembebasan, selagi itulah ujian yang menimpa terasa
menyakitkan dan terasa melemahkan. Walhal orang-orang yang sudah melakukan
sujud pembebasan, ujian itu dirasakan sebagai medium untuk Allah mencabut rasa
cinta kepada dunia dalam hati mereka, membuat mereka lebih tajarud.
Tetapi awas.
Sujud pembebasan ini tidak sesekali sama dengan tiga puluh empat kali sujud
yang wajib itu. Akan tetapi kesemua tiga puluh empat kali sujud yang wajib itu
boleh menjadi sujud pembebasan jika dilakukan dengan ikhlas dan luhur.
Wahai diri..
Merendahlah..
Bersujudlah..
Bersujudlah..

