Pada masa dan
waktu seperti ini, laman mukabuku ku dibanjiri dengan gambar-gambar dan
post-post mereka yang sudahpun terbang merentasi lautan meninggalkan negara
Malaysia yang aman ini. Termasuk juga beberapa ikhwah-ikhwah kesayanganku.
Sedih? Rindu? Ah. Persetankan. Aku tidak selembik itu untuk menangisi sebuah
perpisahan. Apatah lagi perpisahan yang sementara. Bukankah kita akan bertemu
kembali di syurga sana? Syurga. Layakkah aku?
Kisah dari
timeline.
Hari ini aku
menelaah timeline mukabuku ku. Satu demi satu status dan gambar ditatap.
Semuanya bernada riang. Maklum sahaja bakal menggapai awan, merentas lautan dan
mendarat di tanah orang. Memulakan sebuah perjalanan baharu. Melupakan
kisah-kisah tragis yang pernah berlaku. Aku turut gembira. Terutamanya untuk
mereka-mereka yang pernah menjadi sebahagian dari diriku. Pernah? Apakah kini
tidak lagi? Entahlah. Aku tidak selincah dahulu. Persoalannya lincahkah aku
dahulu?
Ditakdirkan aku
terhenti dalam proses telaahanku. Sebuah status beserta gambar daripada ayah
kepada seseorang yang aku sangat kagumi di atas jalan-Nya. Aku tatap
dalam-dalam. Aku fikir diam-diam.
“Eveyone can
fly..but this night, a special flight for him..”
Begitulah
bunyinya.
“A special
flight for him..”
Indeed. Kerana
bagiku tiada syak lagi dia adalah seorang yang sangat special. Dan aku pasti
itu adalah anugerah untuknya. Peluang bagi dirinya untuk melebarkan sayap
dakwah di sana. Di bumi Ireland. Seperti mana yang dia lakukan di kolej kami.
Mengimbau semula
kenangan semasa kami masih menuntut di sana.
Tika itu aku
dalam perjalanan untuk pulang semula ke kelas. Ditakdirkan aku bertemu
dengannya dalam perjalanan. Betul-betul di hadapan tangga. Aku kira dia baru
keluar dari perpustakaan. Seperti biasa dia menegur ikhwah dengan lafaz
salamnya yang bersahaja. Dan kami berjalan beriringan mendaki anak tangga.
Di tengah-tengah
pendakian, kami terserempak dengan seorang pelajar perempuan. Cantik di mataku.
Ah pedulikan. Mataku terkadang perlu disebat, ditambat. Ceritanya bermula di
sini. Ada sesuatu yang ku lihat yang menambahkan kekagumanku kepada akh
tersebut. Ku lihat perempuan itu yang pada awalnya menyinsing lengan bajunya
mula menurunkannya tatkala terserempak dengan kami.
Aku kagum.
Qudwah setinggi apakah ini? Tundukan matanya seolah-olah memberi teguran secara
senyap-senyap kepada pelajar perempuan itu. Dari situ aku mula mengagumi
dirinya. Dari situ aku mula mencintainya. Cinta seorang akh.
Terlalu banyak
jika mahu diceritakan semuanya. Pengorbanan, komitmen dan kesungguhannya dalam
arena dakwah dan tarbiah. Tidak dapat aku bayangkan sekiranya aku berada
ditempatnya. Mungkin aku akan berputus-asa, malah meninggalkan terus
kerja-kerja dakwah dan tarbiah yang tergalas di pundak kami.
Suatu malam aku
lihat dia terbaring keletihan dengan baju melayu dan kain pelikatnya masih
tersarung di badan. Waktu itu kami baru habis meeting berkenaan agenda gerak
kerja kami. Aku tahu kerjanya masih menimbun. Dan dia pula seorang yang tidak
mampu berjaga terlalu lama lewat malam. Namun dakwah dan tarbiah tetap
priorotinya. Tidak pernah dia menyusahkan kami untuk bermusyawarah lewat malam
setelah semua kerjanya selesai. Musyawarah tetap dijalankan pada ketika semua
ikhwah masih segar, tidak mengantuk. Kerana dakwah dan tarbiah tetap yang
paling utama.
Aku bertambah
kagum.
Bilik kami
bersebelahan. Masih ku ingat pada setiap pagi dia yang mengejutkan aku dengan
lembut untuk bangun menggagahkan diri ke surau. Dan ada ketika dia terlewat
untuk subuh di surau, perkara itu memberi kesan yang besar kepada dia. Down.
Dan itu menjadikan diriku bertambah kagum.
Kerana dia
adalah seorang al-akh yang benar.