Tuesday, 21 January 2014

Ruh vs System

Image

Saya kira bagi kalian yang tekun mengikuti perkembangan semasa tanah air kita yang masih aman ini, pasti kalian sedia maklum dengan beberapa isu hangat yang dibangkitkan di portal-portal berita utama termasuk fesbuk. Antara yang mencuri perhatian adalah isu seorang guru muslimah yang diminta membuka tudungnya sekiranya ingin mengajar di sebuah sekolah jenis kebangsaan cina. Kemudian tidak ketinggalan juga isu kangkung the series yang membanjiri laman fesbuk untuk beberapa hari lamanya.

Dan seperti yang dijangka, respons yang pelbagai dipertontonkan oleh rakyat Malaysia terhadap isu-isu yang dibangkitkan itu. Kalau yang kes tudung tu, ada yang melenting tak tentu pasal, kemain sibuk tanya mana tindakan PAS, mana UMNO. Kat mana diri sendiri tak nak tanya ke bang? Kalau betul nak membela muslimah tu, bukan setakat pongpang kat fesbuk je. Lagi satu, gaya cakap macam nak isytihar perang je dengan not-yet muslim tu. Dah jumpa ke bang orang tu, dakwah kat dia, terang pasal Islam sebagai rahmatan lil a’lamin kat dia. Dah buat? Haih. Eh, tiba-tiba emosi pulak. Kemudian, yang isu kangkung tu pulak, memang layak untuk memenangi anugerah lawak antarabangsa kalau ada. Dengan lagu parodinya, memang berurat-urat perut saya menahan gelak.

Namun di platform ini, saya nak melontarkan sepotong dua nasihat. Ada benarnya juga bila ada pihak yang mendakwa bahawa umat Islam di Malaysia kini ibarat sudah hilang prioritinya. Buktinya antara dua isu yang disebut di atas, ternyata isu kangkung yang lebih menjadi perhatian. Saya tak katakan kita patut ketepikan isu bebanan yang ditanggung rakyat lantas memfokuskan hanya pada isu akidah, tapi saya melihat dengan meng’viral’kan benda kangkung ni, ia tak akan dapat menyelesaikan isu sebenar, yakni isu pembaziran dalam pengurusan negara, isu ketirisan dan beberapa isu yang lain. Yang pasti, dah berapa banyak dosa kering kita dapat dek isu kangkung ni. Tak percaya? Cuba tengok page-page politik yang sembang pasal kangkung ni, kemudian cuba listkan kata-kata carutan dan makian yang kalian jumpa.

Sebenarnya saya tak nak ulas panjang-panjang perihal kangkung dan tudung ini. Kerana ada satu lagi isu yang menjentik pandangan mata saya. Iaitu isu sepasang suami isteri yang dipenjarakan di Sweden kerana merotan anaknya yang tidak bersolat.

“Haaaa? What the fish?? Celaka orang kafir!! Merotan anak tu suruhan nabi kot..”

Heh. Rilex dulu. Ini la masalah orang kita. Mudah sangat melenting. Mungkin sudah sampai masanya untuk kita serius mempelajari erti sabar dan rasional seperti yang diajari dalam Al Quran. Saya serius ni. Kepada para murabbi dan murabbiah, sila tekankan dua sifat ini dalam usrah masing-masing. Begitu juga dengan para asatizah, dalam ceramah atau kelas yang kalian anjurkan, mohon sentuh tentang dua sifat ini.  

Berbalik kepada topik sebenar..

Saya merasakan isu ini mungkinlah tidak se”glamour” isu kangkung ataupun isu tudung lantaran ianya berlaku nun jauh di Sweden sana. Dan post saya kali ini bukanlah nak mengulas panjang berkenaan isu ini seperti siapa benar dan siapa salah ataupun apa tindakan susulan yang sepatutnya dilakukan. Kerana jujurnya saya sendiri masih lagi kelabu-kelabu asap dengan isu ini, masih lagi tidak jelas dengan hujung pangkalnya. Oleh itu, tindakan mengulas dalam keadaan seperti ini hanya mengundang untuk berlaku zalim kepada pihak-pihak yang terlibat.

Justeru hari ini saya hanya memilih untuk menulis secara umum..

Yakni satu lagi kefahaman yang saya impikan untuk difahami oleh semua orang…

Begini kisahnya...

Murabbi saya pernah berpesan..

“Enta bila dah ada anak nanti, didik anak enta untuk faham ruh dahulu, baru sistem..”

Justeru, soal mendidik anak. Antara ruh dan sistem..

Image

Secara mudahnya, ruh ini bererti kefahaman kita terhadap sesuatu perkara itu. Contohnya kenapa kita perlu melakukan sesuatu itu? Apa keistimewaan dan keuntungan yang kita peroleh bila kita melakukannya? Dan apa kerugian yang terpaksa ditanggung sekiranya kita culas melaksanakannya? Itulah fungsi ruh. Membina asas kefahaman dalam diri kita supaya sesuatu yang kita laksanakan itu tidak menjadi sekadar ritual dan kebiasaan.

Sedangkan sistem pula bererti tatacara ataupun bagaimana kita melakukan sesuatu itu. Sebagai contoh, syarat-syarat pelaksanaannya, larangan-larangan dalam proses untuk melaksanakannya dan juga panduan pelaksanaannya itu sendiri. Fungsi sistem ini pula supaya kita dapat melaksanakan sesuatu itu dengan sempurna dan betul.

Untuk lebih realistik lagi, mari kita ambil solat sebagai case-study..

Saya kira ramai ibu bapa yang terlalu gelojoh dalam mengajar anak untuk bersolat. Maksud terlalu gelojoh di sini ialah mereka hanya menumpukan kepada aspek sistem pelaksanaan solat itu sahaja. Bagi mereka, cukup sekadar anak mereka tahu bersolat. Untuk aspek penghayatan ruh solat, anak itu sekadar diberitahu bahawa meninggalkan solat itu satu perbuatan yang berdosa.

Maka, apabila aspek penghayatan ruh solat tidak dititikberatkan, tidak boleh untuk kita menyalahkan anak itu pabila mereka meninggalkan solat, apatah lagi merotannya. Kerana mereka sendiri tidak tahu kenapa mereka harus bersolat. Yang mereka tahu, mereka akan mendapat dosa sekiranya tidak bersolat. Hanya sekadar itu..

Yang sepatutnya ibu bapa lakukan adalah memahamkan dahulu anak mereka tentang ruh solat itu sendiri. Terangkan kepada anak itu kenapa mereka wajib bersolat. Beritahu anak itu apa sebenarnya yang sedang mereka lakukan ketika bersolat. Terangkan sehabis-habis dan sebaik-baiknya. Bilang sama itu anak yang mereka sedang menyembah Allah Rabbul Jalil dalam solat mereka. Kalau anak itu belum mengenal Allah, kenalkan mereka dengan Allah Tuhan semesta alam. Bisikkan kepada anak itu bahawa solat adalah momen percintaan seorang hamba dengan Tuhannya.

Nak lagi cun, kaitkan solat itu dengan Al Quran. Supaya jiwa anak-anak dekat dengan Al Quran..

Beritahu mereka tentang ayat ke 45 dalam surah Al Baqarah yang bermaksud..

“Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk”
(Al Baqarah, 45)

Juga khabarkan kepada anak itu ayat ke 153 surah Al Baqarah..

“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar”
(Al Baqarah, 153)

Ruh wahai saudaraku. Itulah pentingnya ruh. Kerana ruh itulah yang mencorakkan kefahaman kita. Dan dengan kefahaman itu, kita akan melaksanakan sesuatu itu walau apa pun kondisinya. Meskipun dalam penat. Walaupun dalam malas. Kerana adanya kefahaman.

Tapi..

Macam terlalu berat je untuk kanak-kanak faham aspek penghayatan solat ni..

Heh. Saya pernah jumpa di laman sosial seorang kanak-kanak berusia 10 tahun menulis tentang politik dalam blognya. Politik bhaii. Ya, mungkinlah kanak-kanak seperti itu sangat rare dan jarang boleh ditemui. Dan saya tidaklah bermaksud supaya semuanya perlu diberitahu hanya dalam satu sesi.

Mungkin boleh diterangkan sedikit demi sedikit kepada anak itu tentang ruh solat yang mereka laksanakan. Contohnya lepas solat zohor, beritahu sedikit. Lepas solat asar, beritahu sedikit lagi. Lepas solat maghrib, beritahu lagi sikit-sikit. Macam tu la. Yang penting istiqamah dan konsisten dalam mendidik.

Untuk kaedah merotan pula, saya akui, merotan dibenarkan dalam Islam asalkan mematuhi tatacaranya. Namun saya lebih cenderung untuk berpendapat merotan adalah langkah yang paling terakhir dalam mendidik anak. Bukan yang pertama, bukan yang kedua dan bukan yang ketiga. Tapi yang terakhir. Kenapa? In sha Allah, saya akan terangkan dalam post yang seterusnya..

Namun yang penting disini, buat kalian yang dah punyai anak, ataupun on the way untuk dapat anak, ataupun yang still berangan nak ada anak, didiklah anak-anak kalian untuk memahami ruh sesuatu itu terlebih dahulu. Kemudian barulah diajar tentang sistem pelaksanaannya. Ataupun nak ajar serentak pun boleh juga sebenarnya. Yang penting, aspek ruh dan penghayatan itu perlu dititikberatkan.

Ini bukan teraplikasi untuk solat sahaja, bahkan ibadah yang lain juga..

Justeru, mari kita amalkan *tapi saya kena kahwin dulu. Heh

Friday, 17 January 2014

Death Stories

Image

We never know when we are going to die…

Bagaimana rasanya kematian itu..

Gambaran kehidupan setelah mati itu…

Kita tak pernah tahu dan rasa..

Namun hari ini, izinkan saya untuk menceritakan tentang kematian tiga individu yang saya kenali, yang seusia dengan saya. Mereka meninggal dunia tanpa sempat untuk merasai kehidupan di univeristi, tanpa sempat untuk merasai nikmat bergelar seorang suami, bahkan salah seorang dari mereka tidak pernah pun merasai suasana dewan peperiksaan PMR.

People always say…

You need to think about marriage, because you will be going through it someday..

But I feel that we need to think about death even more…

Kerana kematian itu sebenarnya dekat dengan kita. Bahkan terlalu dekat..

Semoga kisah yang saya nukilkan ini, sedikit sebanyak menyedarkan kita, yang suatu hari nanti, akan tiba detiknya di mana kita akan dipanggil pulang…

Kisah yang pertama adalah kisah kawan saya. Kawan baik sebenarnya. Kami sudah mengenali antara satu sama lain semenjak di bangku sekolah rendah. Lebih tepat lagi semenjak darjah tiga. Namun ketika darjah lima, ayah telah meminta saya untuk berpindah ke sekolah yang lain. Saya dimaklumkan yang kawan saya itu pun akan berpindah juga. Tetapi bukan di sekolah yang sama dengan saya. Maka berakhirlah kisah persahabatan kami di situ. Maklumlah waktu itu saya tak dibenarkan untuk memiliki telefon bimbit. Fesbuk pun tak wujud lagi.

Namun ditakdirkan Allah, kami bertemu lagi disekolah menengah. Dan lebih menggembirakan, kami ditakdirkan untuk sekelas. Dan semenjak itu, persahabatan kami bertambah erat. Wah, macam drama kat Tv pulak.Tapi serius, saya rasa itulah kali pertama saya ada seorang kawan baik. Sebab saya ni jenis yang kawan je dengan semua orang. Kalau di sekolah dulu, agak jaranglah saya berjalan berdua. Biasanya berkumpulan.   

Tapi dengan kawan saya yang ini, saya rasa selesa. Selalu lepak kat tandas sama-sama. Pergi kantin sama-sama. Banyak benda yang kami buat bersama-sama. Namun semua ini tidak kekal lama. Semasa di tingkatan dua, sekolah telah melaksanakan sistem streming, di mana para pelajar akan dikelaskan mengikut result peperiksaan akhir tahun tingkatan satu. Rasis sungguh. Huh. Ditakdirkan Allah, saya ditempatkan di kelas yang pertama manakala dia di kelas yang ketiga.

Dan disebabkan jarak kelas yang jauh, maka jaranglah kami dapat bersua. Dan saya rasa memang menjadi budaya di mana-mana sekolah pun, yang kita akan rapat dengan classmates sendiri berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Kami pun menjadi renggang. Dan perkara ini berlanjutan sehinggalah ke cuti pertengahan tahun tingkatan dua. Ketika itulah peristiwa itu terjadi.

Ketika sedang berseronok menghabiskan cuti dirumah, saya mendapat perkhabaran bahawa kawan saya ini terkorban dalam satu kemalangan motorsikal. Saya tak begitu ingat tentang details kemalangan itu, bagaimana ia boleh berlaku, sebab terlalu banyak riwayat yang menceritakan tentangnya. Tapi yang pasti, dia terbunuh dalam kemalangan itu disebabkan kecederaan yang agak teruk di kepala.

Dan peristiwa itu memberi kesan kepada saya.

Sedih? Sudah tentu. He is one of my best friend since forever..

Kita tutup kisah tentang sahabat saya ini. Dan doakan semoga rohnya dicucuri rahmat.

How much I miss you. Sobs.

Kisah yang kedua ini pula adalah kisah keluarga saya. Sepupu saya to be exact. Seorang lelaki. Seusia dengan saya. Namun dipanggil Tuhan ketika berusia 17 tahun. Ye. Semasa di tingkatan lima. Sama seperti sahabat saya yang saya ceritakan tadi, sepupu saya ini turut terkorban dalam kemalangan motorsikal. Dia terbabit dalam kemalangan itu ketika dalam perjalanan untuk pulang dari sekolah.

Dan disebabkan peristiwa itu, mak begitu yakin sekali untuk tidak membenarkan saya menunggang motorsikal lagi. Kerana untuk rekod, saya juga pernah terbabit dengan kemalangan motorsikal semasa tingkatan empat. Walaupun tidaklah seteruk mana, namun itu sudah cukup untuk ayah menjual motorsikal itu. Heh, and believe me when I say I have not ride a motorcycle for a very long long time.

Berbalik kepada kisah sepupu saya..

Jujur dia antara individu yang rapat dengan saya terutama ketika kami di zaman kanak-kanak ribena. Setiap kali pulang ke kampung, kami akan bermain bersama-sama. Biasanya kami akan bermain bola di laman rumah sambil berkaki ayam tanpa mengira waktu. Pagi, petang, malam even tengah malam. Selalunya kami akan mengajak sepupu-sepupu yang lain untuk bermain sekali. Dan jika mereka tak nak, kami akan bermain berdua. Dia sepak bola, manakala saya akan jadi goalkeeper. Kemudian, saya pula sepak bola, dia jadi goalkeeper. Ohh. How much I miss those times..

Namun ketika sudah menginjak ke zaman remaja, kami lebih kepada buat hal sendiri-sendiri. Terutama ketika sudahpun masuk ke tingkatan empat. Lagi pula ketika itu saya dah pun terjebak dengan aktiviti tak bermoral konon-konon nak ada pasangan hidup. Kofff. Maka henset adalah kawan baik saya setiap kali pulang ke kampung. Bukan lagi sepupu saya tu. Teruk betul. Haih..

Dan kematian dia begitu mengejutkan saya. Beberapa hari setelah peristiwa tersebut berlaku, saya ada menghubungi makcik saya melalui fesbuk. Cuba menenangkan dia, tetapi kadang saya merasakan seolah makcik saya itu pula yang menenangkan saya. Dan saya masih ingat lagi ketika makcik saya itu mengucapkan tahniah kepada saya atas keputusan SPM yang saya peroleh, saya dapat rasakan perasaannya. Kerana anaknya juga sepatutnya memperoleh keputusan SPM hari itu. You know, it is hard to let go.

Kisah ketiga ini mungkin tidaklah sepanjang kisah yang pertama dan kedua tadi. Kerana saya tidaklah mengenali dengan begitu rapat individu ketiga ini. Dia adalah schoolmate saya. Namun kami tidak pernah sekelas. Tidak pernah melepak bersama-sama. Bahkan bercakap dalam erti kata yang sebenar pun jarang. Mungkin adalah dua tiga perkara yang menjadi persamaan antara kami. Contohnya, kami sama-sama menganggotai pasukan bola sepak sekolah.

Dan sama seperti dua kisah di atas, rakan saya ini turut meninggal dunia kerana kemalangan motorsikal. Untuk menceritakannya secara detail pun saya tidak tahu. Kerana banyak juga khilaf tentang kronologi kemalangan itu.

Hmmmmm…

Maka inilah tiga kisah yang saya coretkan malam ini…

Ramai orang mengatakan tentang kematian yang menghidupkan. But the fact is people die everyday. Dan sepatutnya kematian itu sudah cukup untuk menjadi tazkirah buat kita. Walaupun hanya kematian seorang makcik penjual karipap tepi jalan. Dan berapa ramai orang yang dulunya hidup dengan kematian figura-figura hebat seperti Ahmad Ammar ataupun Iman Shafiq, tapi hari ini sudah kembali ke takuk lama?

You know yourself better..   

After  almost 15 days without any updates, suddenly I come with death stories. Why?  

Because of this..

“Sesungguhnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya, apakah penggilapnya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab, membaca Al Quran dan MENGINGATI MATI
(HR : Al Baihaqi)

To tell you the truth, it is hard to write nowadays. At least for now. At this moment..

But, I will return..

Thursday, 2 January 2014

Kebaikan Dunia Akhirat

“…Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka”
(Al Baqarah, 201)

Dulu seorang akh pernah berkongsi dengan saya…

“Antara perbezaan yang aku dapat rasakan dalam diri aku sebelum dan selepas join tarbiah, apa yang aku mintak dalam doa aku sehari-hari….”

Dan sejujurnya, saya turut merasakan yang sedemikian. Dan saya bersyukur dengan perubahan itu. Alhamdulillah. Segalanya berlaku dengan izin dari-Nya. Moga dengan ridha-Nya jua..

Dulu, di waktu dunialah segala-galanya…

Doa di atas hanya saya tuturkan di hujung-hujung doa. Setelah puas diulang-ulang supaya diberikan kecemerlangan dalam hekzem. Setelah berbuih air liur meminta supaya dipertemukan jodoh dengan isteri yang solehah *koff. Hanya setelah lenguh otot-otot lidah memohon supaya diberi kejayaan pada masa depan, dapat kerja yang best-best, dapat jadi orang kaya dan at the end of the day dapat masuk syurga..

Hanya selepas puas memohon untuk diperkenankan hasrat di hati. Hanya setelah itu..

Tak salah..

Tetapi ia menggambarkan apa yang ada dalam hati kita. Sekuat mana kita berdoa memohon sesuatu, sekuat itulah hati kita tertaut kepadanya. Contohnya, tika mana kita kuat berdoa untuk kecemerlangan hekzem duniawi, itu menggambarkan betapa besarnya kerisauan dan perhatian yang kita berikan kepada hekzem itu.   

Kerana doa adalah manifestasi cinta kita terhadap sesuatu ataupun seseorang..

Dan bagi saya, ayat ke 201 dalam surah Al Baqarah yang saya nukilkan di atas itu adalah manifestasi cinta terbesar seorang hamba kepada Tuhannya. Ia merupakan contoh penyerahan tahap mega seorang hamba kepada Allah S.W.T dalam menentukan perjalanan hidupnya di dunia dan akhirat. Kata orang, tawakal.

Dan pabila saya menyelami ayat itu, saya dapat merasakan keindahannya. Betapa ianya mengajar kita bahawa setiap apa yang Allah tentukan buat diri kita di dunia ini merupakan yang terbaik untuk diri kita. Result hekzem yang Allah tetapkan untuk kita setelah kita berusaha pada kadar yang sepatutnya kita berusaha itu sebenarnya adalah yang terbaik untuk kita.

Begitu juga dengan perkara-perkara keduniaan yang lain. Kahwin dengan siapa, dapat kerja apa, anak ada berapa orang, semua itu adalah pemberian daripada Allah, dan pemberian daripada Allah semestinya adalah yang terbaik untuk makhluk-Nya. Hanya setelah makhluk-Nya itu menjalankan kewajipan untuk berusaha pada kadar yang sepatutnya.

Ah..kalian..sukar benar untuk saya menulis tentang ini..entah mengapa…

Maka izinkan saya untuk menukilkan sedikit kisah peribadi…   

Image

Bila berbicara tentang dunia, secara sukarela tanpa paksa kepala saya akan membayangkan seputar perihal akademik. Mungkin tidak kalian. Tetapi itulah hakikat seorang saya. Mungkin kerana kedudukan saya sendiri yang masih lagi berada dalam dunia akademik. Mungkin juga kerana keluarga saya yang berlatarbelakangkan mereka-mereka yang mementingkan pencapaian akademik..

Dan pada peringkat awal, tidak ada masalah untuk saya hidup dengan definisi itu. Yakni kejayaan hidup diukur dengan ketinggian pencapaian akademik. Bahkan saya berjaya hidup dalam definisi yang telah disetkan itu dengan penuh kegemilangan. Sehinggalah Allah S.W.T menjatuhkan saya buat pertama kalinya dalam hidup ditempat pertama saya menerima tarbiah..

Meskipun kejatuhan itu tidaklah mengubah perjalanan hidup saya secara keseluruhannya, tetapi ia sedikit sebanyak mengubah apa yang telah dirancang untuk saya sedari mula lagi. Dan yang paling penting antara yang terpenting, sejak detik itu, saya mula memandang dunia dengan kaca mata yang berbeza. Saya mula berdoa dengan ayat-ayat yang berbeza…

Dan saya mula hidup dengan definisi yang baru. Yakni berlandaskan ayat ke 201, surah Al Baqarah itu. Bukan hanya sekadar penyedap di hati. Tetapi hidup dengan ayat itu…

Sebab itulah tatkala adik-adik kesayangan mengadu perihal study mereka yang bermasalah, saya tidak mampu untuk memberikan mereka jawapan yang muluk-muluk. Saya tidak mampu untuk menjaminkan mereka dengan result hekzem yang gilang-gemilang jika mereka betul-betul serius dalam dakwah sepertimana yang telah dijanjikan oleh generasi terdahulu di tempat itu kepada saya...

Justeru saya hanya mampu mengatakan…

“Berusahalah dengan kadar yang sepatutnya kalian berusaha, dan mintalah kebaikan untuk kalian di dunia ini daripada Tuhan pemilik dunia..”

Sungguh. Allah S.W.T hanya akan memberikan apa yang terbaik sahaja untuk kita. Hiduplah dengan kalimat ini. Bukan hanya sekadar pemanis di mulut dan penyedap di hati.

Ya. Allah S.WT pasti akan membantu kalian sekiranya kalian benar-benar membantu agama-Nya. Tetapi ingat! Bantuan Allah tidak semestinya perlu selari dengan definisi yang telah diset oleh manusia kebanyakan. Bererti tidak semestinya bantuan itu berupakan kecemerlangan kalian dalam study. Bahkan boleh jadi bantuan itu berbentuk kefahaman kalian dengan lebih mendalam lagi tentang selok belok kehidupan. Boleh jadi yang lain. Siapa tahu?  

Kerana Tuhan bukan sahaja menjanjikan bantuan-Nya kepada sesiapa yang membantu agama-Nya. Tetapi Tuhan juga menjamin untuk meneguhkan kedudukan buat para pembantu agama ini. Meneguhkan kedudukan? Ah terlalu dekat frasa itu dengan ujian. Benarlah! Jalan ini penuh dengan duri, peluh dan darah.

Justeru adik-adikku..

Hiduplah dengan janji Tuhan…

“Dan di antara mereka ada yang berdoa, “Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab neraka”
(Al Baqarah, 201)

“Mereka itulah yang memperoleh bagian dari apa yang telah mereka kerjakan, dan Allah Maha cepat hitungan-Nya..”
(Al Baqarah, 202)

Hiduplah! Bukan sekadar manis di bibir, sedap di mulut. Tetapi..hiduplah!

Untuk para ikhwah dan akhawat, kalian pastinya lebih mengerti…

Kerna ini yang sepatutnya menjadi definisi kita..

Wednesday, 1 January 2014

Istimewa 2014 : Kenapa Saya Menulis?

Image

Tajuknya seakan-akan berbaur peribadi..

Dan sepatutnya ianya ditulis ketika pertama kali saya berblog..

Tetapi tidak mengapalah. Insan hanya merancang. Allah juga merancang. Dan pada akhirnya, Allah jualah yang menentukan. Cewah..

Jadi kenapa saya menulis blog?

Sebenarnya saya sering tertanya-tanya, dalam banyak-banyak ikhwah yang saya kenali, siapakah gerangannya yang sudi membaca tulisan marhaen bertaraf karangan budak PMR di blog ini? Heh. Ini bukan percubaan untuk test market ye. Cuma sekadar ingin tahu..

Kerana saya bukanlah seorang figura yang menjadi qudwah di arena dakwah ini. Bahkan saya hanyalah seorang insan kerdil yang masih lagi berusaha untuk tidak goyah dengan mehnah permainan dunia. Hanyalah seorang akh yang sentiasa mengharapkan doa dari akhnya yang lain supaya dirinya tetap tsabat di atas jalan para anbiya’ ini.  

Justeru, saya tidak mengharapkan adanya manusia-manusia yang ternanti-nanti setiap post saya yang terbaru. Kerana saya tidak boleh menjamin setiap bait-bait ayat dalam blog ini mampu menjadi penawar resah gelisah kalian. Saya juga tidak pasti sejauh mana penulisan saya berupaya menginspirasi kalian untuk menjadi baik dan membaikkan orang lain. Bahkan, jujur saya katakan, blog ini bukanlah medium yang sebenar untuk kalian memahami apa itu dakwah dan apa itu tarbiah secara lebih serius.

Jika adapun..itu adalah kerana Dia. Sungguh, hidayah itu milik Dia. Hanya Dia..  

Jadi mengapa saya menulis?

Jawapannya adalah kerana saya perlu untuk menulis. Tidaklah sampai kepada tahap wajib. Tetapi perlu kerana saya merasakan urgensinya. Kerana betapa terlalu banyak perkara yang perlu saya nukilkan sebelum saya dipanggil pulang. Kerana betapa kepinginnya saya untuk memperbanyakkan lagi pahala-generator dengan izin-Nya sebelum saya berangkat ke dunia sana.

Menulis…

Bagi saya, menulis adalah seni yang cukup indah. Sungguh ajaib tatkala memikirkan bagaimana aksara-aksara yang satu itu digabungkan untuk membentuk kalimah-kalimah yang akhirnya membangkitkan semangat. Dan bagaimana aksara-aksara yang pada mulanya tiada nilai dan tidak ada apa-apa makna  itu mampu menggerakkan seseorang untuk beramal setelah ianya digabungkan menjadi perkataan-perkataan yang berapi-api. Dan gabungan aksara-aksara yang itu jugalah yang terkadang boleh menitiskan air mata seseorang.

Sungguh ajaib. Sebuah fenomena…

Namun pada akhirnya, semua itu dengan izin dari-Nya jua..

Image

Terus terang saya katakan, pada mulanya saya berasa teragak-agak juga untuk menulis. Kerana jujurnya tidak banyak penulisan-penulisan di luar sana yang mampu menyentuh hati saya. Mungkin dek kerana kegagalan saya untuk mensyukuri nikmat akal yang Allah kurniakan buat diri saya seperti yang pernah saya nukilkan di post ini. Lantas hal itu menyebabkan saya mempersoalkan kemampuan diri saya untuk menyentuh orang lain melalui penulisan..

Namun semakin banyak saya menulis, semakin saya jelas akan hakikat dan tujuan sebenar saya menulis. Bahawa saya menulis sebenarnya adalah untuk diri saya sendiri. Mungkin tiada manusia yang akan tersentuh dengan penulisan saya. But that doesn’t even matter. Kerana yang mustahaknya adalah diri saya sendiri. Sejauh mana saya memandu diri saya untuk sentiasa selari dengan apa yang saya seru selama ini.

Kerana kejayaan terbesar seorang penulis adalah dirinya sendiri mengamalkan apa yang telah dia seru. Dia sendiri gencar dengan amal sepertimana gencarnya penulisannya dengan seruan amal. Dan menjadi keaiban seorang penulis itu untuk tidak beramal dengan seruannya sendiri, sedangkan begitu ramai manusia yang menyahut seruannya.            

Kerana di saat Tuhan berfirman..

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka….”
At Tahrim : 6

Allah S.W.T memerintahkan kita untuk menyelamatkan diri sendiri dahulu sebelum yang lain. Maka sewajarnya penulisan-penulisan kita ditujukan kepada diri sendiri terlebih dahulu. Adapun sekiranya penulisan itu menyentuh jiwa manusia-manusia yang lain, ianya merupakan anugerah daripada Allah S.W.T sebenarnya.

Sungguh, saya bukan seorang penulis besar. Saya juga bukan seorang penulis yang hebat.

Saya hanyalah....

Seorang penulis yang sedang berusaha untuk beramal dengan penulisannya sendiri.

Justeru, semoga Allah menerima amal ciput ini. Semoga amal ini tidak menjadi debu yang berterbangan di mahsyar nanti. Semoga amal ini tidak hangus dibakar riya’, ujub dan sum’ah. Sungguh, insan hanya mampu berusaha, natijahnya ditentukan oleh Allah. Maka, hanya kepada Allah kita berserah.

Juga saya mendoakan agar lebih ramai lagi penulis-penulis yang akan muncul untuk menukilkan kata-kata Al Haq. Menulislah akhi, meskipun sekadar di status mukabuku. Menulislah wahai ukhti, walaupun penulisanmu sekadar habuk di angin lalu. Kerana percayalah, tulisanmu itu masih lagi bermanfaat untuk dirimu, selagi mana kamu ikhlas kerana-Nya..

Dan yang paling penting..

Mari menulis manusia. Kerana manusia itu agen perubahan..