Oleh Muhamad Razak Idris
Tersiar di Berita Harian, 18 Januari 2011, Selasa
Perbincangan tentang kepentingan menjayakan proses Islamisasi sebagai satu tema dakwah agak dingin sejak akhir-akhir ini. Pada sekitar tahun 1980-an dan 1990an, diskusi tentang tema ini sungguh rancak dan segar sekali. Pada pandangan saya, usaha menyegarkan semula diskusi dan usaha penjayaan Islamisasi harus digerakkan semula secara aktif terutama oleh pertubuhan dan gerakan dakwah semasa.
Menjayakan Islamisasi bermaksud mengusahakan satu proses pengislaman masyarakat secara menyeluruh. Proses ini juga boleh difahami sebagai satu kegiatan dakwah bagi mengembalikan seluruh dimensi dan aturan kehidupan masyarakat sejajar dengan tatacara dan kerangka syariah Islamiyyah. Usaha murni ini adalah bertepatan dengan pemahaman tentang pengertian agama Islam itu sendiri iaitu satu cara hidup yang menyeluruh dan lengkap.