Oleh Muhamad Razak Idris
Disiar di Berita Harian, 29.9. 2011, Khamis
SELURUH masyarakat di negara ini perlu memahami wacana politik baru yang tumbuh dan berkembang dengan pesat. Kesedaran akan realiti politik baru ini tergambar dalam beberapa inisiatif dan komitmen diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada ucapan sambutan Hari Kemerdekaan dan perayaan Hari Malaysia baru-baru ini berkenaan agenda transformasi politik kerajaan.
Beberapa inisiatif transformasi yang dicadangkan seperti cadangan penggubalan baru dan penggantian beberapa akta tidak relevan dalam konteks perkembangan masyarakat dan negara seperti pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan akta berkaitan kebebasan media dilihat sebagai satu bentuk pernyataan penerimaan terhadap realiti politik baru di negara ini.