Mohd Rizal Azman Rifin
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan sedang menyemak draf Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 termasuk menilai keperluan memperincikan peruntukan berkaitan nafkah ibu bapa yang dalam keadaan uzur.
Kita menerima khabar berita ini dengan rasa penuh syukur kerana usaha demikian bertujuan membina sebuah masyarakat Muslim yang tidak mudah lupa daratan sehingga melupakan kewajipan terhadap kedua-dua orang tua.
Siapa kita tanpa kedua-dua ibu bapa. Setinggi mana pun darjat status sosial kita semuanya bermula dengan kasih sayang dan bimbingan ibu dan bapa.
Ibu misalnya, sejak anak-anak masih berada dalam kandungan, sudah pun mengalami pelbagai kesukaran dan penderitaan.
Demikian juga halnya dengan kasih sayang ayah yang berkerja keras semata-mata mencari sumber nafkah buat kelangsungan kehidupan anak-anak dan isteri.
Biarpun panas mentari terik, berbumbungkan langit, berhujan membasahi tubuh, namun berundur mengeluh tidak sekali.
Begitu hebat dan tinggi pengorbanan dua insan agung dalam kehidupan kita.
Allah menerusi Surah al-Israk ayat 23 berfirman yang bermaksud, “Tuhanmu telah menetapkan (memerintahkan) supaya kamu semua tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan berlaku ihsan terhadap kedua-dua ibu bapa.”
Manakala dalam Surah An-Nisa’ ayat 36 Allah berfirman yang bermaksud, “Sembahlah Allah dan janganlah kamu semua mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah terhadap kedua-dua ibu bapa.”
Betapa tinggi Allah letakkan kemuliaan kedua-dua ibu bapa. Mentaati, memuliakan dan menyantuni kedua-dua ibu bapa bukan perkara yang boleh diremeh-temehkan kerana ia adalah satu perintah Allah.
Baginda Nabi SAW telah meninggalkan kepada umatnya begitu banyak pesanan berhubung berlaku ihsan dan memuliakan kedua-dua ibu bapa.
Imam At-Tabrani meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mengingatkan umatnya, “Ada tiga golongan manusia yang pada hari kiamat kelak Allah tidak akan menerima permintaan maaf mereka dan tebusan apa pun iaitu orang yang derhaka kepada kedua-dua orang tuanya, orang gemar mengadu domba dan orang yang mendustakan takdir Allah.”
Jalan mencapai keredaan dan keberkatan Allah dalam kehidupan tidak lain adalah melalui ketaatan dan cara kita memuliakan kedua-dua ibu bapa.
Belajar untuk patuh dengan setiap arahan dan suruhan mereka, selagi mana ia tidak bertentangan dengan ajaran agama.
Orang yang taat dan berbakti untuk kedua-dua ibu bapanya sudah tentu dipermudahkan Allah ketika menjalani kehidupan di dunia lagi.
Apatah lagi di akhirat kelak tentu bakal memperoleh ganjaran pahala yang besar di sisi-Nya.
Cemburu kepada seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Harithah bin Nu’man yang mendapat gajaran syurga lantaran sikapnya yang sentiasa berbakti kepada ibu bapa.
Hal itu terkandung dalam satu kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
Pada kita mungkin nama Harithah bin Nu’man itu terlalu asing pada pengetahuan kerana kita lebih mengenali sahabat Nabi SAW yang lain seperti Abu Bakar, Umar, Uthman bin Affan, Saidina Ali dan sebagainya.
Tidak dengan Harithah ini. Sedangkan kisahnya dinyatakan sendiri oleh Nabi SAW yang bermimpi mendengar suara Harithah membaca al-Quran dalam syurga.
Begini kisah dari hadis itu…
Rasulullah SAW ada memberitahu, ‘Aku tidur lalu (dalam mimpi) aku melihat diriku masuk ke dalam syurga. Aku mendengar suara seorang qari yang sedang membaca (al-Quran), maka aku bertanya, ‘Siapakah dia?’ Mereka menjawab, ‘Itulah Harithah bin Nu’man.’ Lalu Rasulullah SAW berkata kepada isterinya, Aisyah,’ Begitulah balasan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, begitulah balasan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa. Harithah adalah orang yang paling berbakti kepada ibunya.’
Kisah hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
Begitu hebat ganjaran yang Allah kurniakan untuk anak yang berbakti untuk kedua-dua ibu bapanya.
Kisah ini seharusnya menjadi daya insaf supaya anak-anak sentiasa ingin mempamerkan sikap terbaik dengan menghormati, memuliakan dan menyantuni ibu dan bapa.
Banyak kejadian anak-anak yang bersikap derhaka kepada ibu bapa.
Ada yang berkecil hati lalu mengambil tindakan lari dari rumah. Ada yang sampai bertindak lebih zalim dengan memukul ibu bapa sendiri.
Pelbagai lagi insiden yang menjijikkan. Allah dengan tegas berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 23 yang bermaksud, “Maka janganlah kamu berkata kepada mereka, ‘Hmph’ dan janganlah juga mengherdik mereka, sebaliknya berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yag mulia. Rendahkanlah sayap kehinaan kepada mereka berdua kerana belas kasihan dan kasih sayang serta katakanlah (Wahai Tuhanku) kasihanilah mereka berdua kerana mereka berdua telah menjaga dan mendidik aku semasa aku kecil.”
Taati ibu bapa dan jangan sesekali menyelisihi mereka kecuali dalam perkara yang dilarang agama. Wahai anak remajaku yang dikasihi. Usah bersikap yang boleh mencetuskan kemarahan ibu bapamu kerana marahnya mereka berdua menandakan kemurkaan Allah juga. Ingat kembali detik-detik penuh getir yang terpaksa diharungi oleh ibu ketika mengandung dan melahiorkann anak-anak dulu.
Setiap kali anak-anak mahu berkata-kata kepada ibu mahupun bapa, perlu fikir dengan mendalam.
Dibimbangangi kata-kata yang terkeluar itu akan mengguris perasaan dan hati mereka. Jangan sampai ibu dan bapa kita menangis dengan sikap dan tingkah laku buruk yang kita tunjukkan kepda mereka berdua.
Pengorbanan yang dilakukan serta kepayahan yang ditanggung bermula daripada mengandung, melahirkan sehingga membesarkan anak-anak seperti firman Allah dalam Surah Luqman ayat 14 yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
Insaf selalu, di masa kita kecil kedua-dua ibu dan ayah yang berkorban segalanya untuk membesarkan kita. Maka tatkala kita dewasa dan sudah berkerjaya, maka giliran kita pula sebagai anak untuk menjaga, memelihara dan memberikan nafkah hidup secukupnya buat mereka.
Menghormati dan menyantuni guru untuk keberkatan ilmu, maka memelihara dan menjaga ibu dan ayah demi keberkatan hidup.
Filed under: Artikel Pilihan, Isu Hangat | Leave a comment »