Mak Lang… Memberi bukan untuk menerima!
Mata saya memandang pusara Mak Lang. di sebelahnya pusara suaminya Pak Lang. saya tersenyum. Terbayang satu-persatu episod kenangan saya bersama mereka. Pak Lang meninggal sewaktu saya baru memulakan pengajian di universiti, manakala Mak Lang pula menyusul tiga bulan kemudian. Mereka meninggal atas sebab biasa – kata orang sakit tua. Mak Lang seingat saya berusia 80 tahun ketika meninggal dunia, Pak Lang mungkin lebih lagi.
Mak Lang terutamanya tidak mengajar tentang ilmu rumahtangga, tapi saya banyak belajar dari cerita-cerita dan amalannya.
“Mak Lang ada gaduh-gaduh tak dengan Pak Lang?” tanya saya.
“Eh, kau ni..Pak Lang kau tu panas juga orangnya. Ada lah gaduh, tapi tak selalu..”
“Kalau gaduh, Mak Lang buat apa?”
“Pak Lang kau tu cepat reda, datang lah dia memujuk.”
“Wah, romantik juga ye. Apa kata-kata pujukan Pak Lang?” usik saya.
“Dia tak cakap apa-apa. Dia tengok apa Mak Lang buat, dia tolong. Itu Mak Lang tahulah.. dia pujuk. Atau tiba-tiba dia pergi kedai, beli bahan masakan kegemaran Mak Lang..kemudian dia kata, jom masak sama-sama.”
“Apa kau tanya-tanya ni.. Mak Lang bukan pandai sangat. Orang kampung biasa. Kau tu kan belajar tinggi.”
“Taklah Mak Lang, saya cuma nak dengar kisah-kisah Mak Lang. dulu masa ada Pak Lang, takut saya. Dia tu garang orangnya,” akui saya terus-terang.
“Garang-garang pun dah suami kita. Mak Lang tak harap apa-apa masa mula dijodohkan dengan Pak Lang kamu..”
“Maksud Mak Lang?”
“Mak Lang tak pernah bayangkan suami Mak Lang nanti mesti begitu, begini.. hati Mak Lang terima bulat Pak Lang kamu sejak diakadnikahkan. Yang Mak Lang fikir, macam mana Mak Lang perlu buat bila dah kahwin nanti.. kena masak, kena jaga rumah, kena layan suami, kena didik anak-anak.. Mak Lang sedia itu sahaja. Mak Lang fikir singkat sahaja. Tak pandai pasang angan-angan.”
Singkat tapi tepat.
Mudah tapi berhikmah.
Mak Lang mungkin tidak mengetahui falsafah ilmu rumahtangga. Tetapi hati, perlakuan dan kata-katanya menepati ilmu yang dihuraikan oleh buku-buku besar ahli falsafah. Ilmu itu pada tindakan.
“Mak Lang belajar urut-urut tak?”
“Manalah ada.”
“Habis.. kata Pak Lang dulu Mak Lang pandai mengurut?”
“Gurau dia saja tu. Asalnya begini, dia jatuh sewaktu bekerja di kebun. Terhencot-hencot dia balik ke rumah. Tak sampai hati Mak Lang tengok, lalu Mak Lang urut. Ikut sedap tangan saja. Baik pula. Sejak tu, bila apa-apa sakit, dia cari Mak Lang.”
“Mak Lang tahu cakar harimau?”
“Apa tu?”
“Eh, tak ada lah. Apa petua Mak Lang dalam urut-mengurut ni?”
“Urut dengan hati kita..kerana sayang, kasihan, kasihkan dia. Bukan sekadar nak ambil hati.”
“Kerana nak beri kasih sayang, bukan nak dapat kasih sayang?” Tanya saya.
“Kau lebih pandai. Mak Lang tak pandai cakap-cakap macam tu.”
“Apa yang Mak Lang rasa hilang sangat bila ditinggalkan Pak Lang?”
Dia diam tiba-tiba. Tapi Mak Lang memang relaks. Tak pernah saya lihat dia menangis. Sewaktu Pak Lang meninggal dunia dulu pun, dia macam biasa. Berdoa, baca al-Quran dan membantu menyelenggarakan urusan-urusan penyempurnaan jenazah.
“Sembang-sembang Pak Lang kamu…” katanya pendek.
“Sembang-sembang saja?” ujar saya hairan.
“Ya, sembang-sembang Pak Lang kamu adalah penawar hati Mak Lang. Sambil sembang dia memujuk, memberi ilmu, sampaikan panduan. Pandai dia bercerita. Tapi ada makna. Kekadang penuh gurauan, dia tahu Mak Lang tengah sedih..”
“Bila Pak Lang suka sembang?”
“Bila ada kesempatan. Kadang-kadang sambil kami lipat baju. Masa anak-anak kecil dulu, kami bersembang sewaktu Mak Lang membuai anak..dia lipat kain. Sekali-sekala sewaktu memasak, kalau dia tak ke kebun. Tapi paling dia tidak pernah tinggalkan ialah sembang malam. Sembang-sembang menjelang tidur.”
Saya senyum. Dengan pemikiran yang simple, bahasa dan istilah yang mudah Mak Lang berkisah – praktik ilmu-ilmu motivasi terkini. Yang ditulis dalam pelbagai buku yang mahal dan tebal-tebal. Tapi Mak Lang dan Pak Lang hanya orang kampung, mereka hanya menulis dalam kehidupan. Berceramah dengan amalan harian.
“Siapa yang kuat sangat nak hantar anak-anak belajar tinggi?” Tanya saya.
“Kami berdua. Tak nak anak-anak susah.. Pak Lang kamu tak belajar tinggi. Setakat tahu baca dan mengaji sahaja. Tapi dia yakin, nak berjaya masa akan datang mesti dengan ilmu.”
Anak sulung mereka menjadi seorang jurutera. Manakala yang kedua menjadi seorang guru. Ketiga, polis dan yang bongsu seorang doktor.
“Mak Lang mengajar mengaji kan?”
“Mak Lang tekad. Anak-anak mesti khatam al-Quran di tangan Mak Lang sendiri. Wuduk, solat, taharahnya dah diajar sekolah. Pak Lang cuma tengok perbuatannya di rumah. Dia garang, tak berani anak-anak nak tinggal solat..dirotannya!”
“Apa falsafah hidup Mak Lang?”
“Mak Lang tak pandai.. Mak Lang hanya buat apa yang Mak Lang patut buat. Rasanya Pak Lang pun begitu juga. rasa kami sama, sebab selalu bersama..”
“Tapi ada orang selalu bersama, tapi rasa mereka tetap tak sama.. Kenapa Mak Lang?”
“Tak tahulah pula. Tapi Mak Lang selalu buat macam ni.. Mak Lang selalu fikir apa yang Pak Lang rasa, bukan yang Mak Lang rasa. Kalau keadaan macam ni, macam mana Pak Lang buat. Kalau macam tu, macam mana pula Pak Lang bertindak. Entahlah, akhirnya, Mak Lang rasa dalam diri Mak Lang, Mak Lang tak ada..yang ada Cuma Pak Lang.”
Wah, ini lebih tinggi daripada prinsip 7 habits, Steven Covey – Seek to understand than to be understood.
“Pak Lang rasa macam tu juga ke? Yang ada hanya Mak Lang?”
“Sekali sekala datang juga pertanyaan macam tu. Tapi Mak Lang tepis cepat-cepat. Kita buat apa yang patut kita buat. Isteri kena sayang suami tanpa harap balasan dan sebarang alasan..”
Ini lebih hebat, prinsip teras dalam cinta rumahtangga – unconditional love.
Saya renung buat kesekian kalinya pusara Mak Lang. Sudah lama saya tidak ziarah untuk mengambil ibrah. Namun setelah saya berumahtangga kini, terbayang satu-persatu kata-kata bersahajanya. Mereka bukan wira yang perlukan tunggu kenangan. Atau negarawan besar yang perlu diberi pangkat atau gelaran. Mereka hanya manusia biasa, yang menjadi luar biasa dengan sikap biasanya – jujur, telus dan tulus. Memberi bukan untuk menerima!
(petikan dari buku Ust Pahrol Mohd Juoi, “Satu Rasa Dua hati”)
p/s: cinta yang sejati adalah cinta yang tidak bertambah kerana kebaikan dan kelebihan dan tidak pula berkurang
kerana kesalahan dan kelemahan
AJAIBNYA TANGAN IBU
Ketika kita lapar…tangan ibu yang menyuap,
Ketika kita haus…tangan ibu yang memberi minuman,
Ketika kita menangis…tangan ibu yang mengesat air mata,
Ketika kita gembira…tangan ibu yang menadah Syukur,memeluk kita erat dengan deraian air mata bahagia,
Ketika kita mengantuk…tangan ibu yang dodoikan dengan penuh kasih sayang,
Ketika kita mandi…tangan ibu yang meratakan air ke seluruh badan,membersihkan segala kekotoran,
Ketika kita dilanda masalah…tangan ibu yang membelai duka sambil berkata:Sabar nak, Sabar ye sayang.
Namun,
Ketika ibu sudah tua & kelaparan…tiada tangan dari anak yang menyuap,
Dengan tangan yang menggeletar, ibu suap sendiri makanan ke mulut dengan linangan air mata,
Ketika ibu sakit…di mana tangan anak yang ibu harapkan dapat merawat kesakitan ibu?
Ketika nyawa ibu terpisah dari jasad…
Ketika jenazah ibu nak dimandikan…
di mana tangan anak yang ibu harapkan untuk menyirami jenazah ibu buat kali yang terakhir.
Tangan ibu, tangan ajaib…
Sentuhan ibu, sentuhan kasih…
Boleh membawa ke Syurga Firdausi…
Ciumlah tangan ibu,
Sebelum ibu pergi bertemu Illahi & takkan kembali lagi…
Nukilan Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood (Pendakwah & Pengacara Semanis Kurma TV9)
nama panjang
Ajoi mendapat kerja sebagai guru sandaran di sebuah sekolah di Kulai.
Selepas memperkenalkan diri, dia menyemak nama murid-murid darjah 3 Raya dan merasa agak pelik semasa membaca nama seorang murid, iaitu “W.TAUFIK WWW”.
Kemudian guru tersebut menanyakan perkara tersebut.
Cikgu Ajoi : “Cikgu nak tahu, siapa yang bernama W.TAUFIK WWW ?”.
Taufik : “Saya Cikgu…” (Taufik menjawab & berdiri).
Cikgu Ajoi : “Taufik, saya ingin tahu nama panjang kamu apa?”.
Taufik : “Maaf Cikgu Ajoi, panjang sangat..”.
Cikgu Ajoi : “Takpe-takpe Taufik,cakap jer..”.
Taufik : “Baik Cikgu , nama penuh saya ialah…Wabillahi TAUFIK-wal hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh…”.
Cikgu Ajoi menarik nafas panjang dan terdiam.
Setelah dari darjah 3 Raya, Cikgu Ajoi kemudian masuk ke darjah 1 Mawar dan menyemak nama murid-murid.
Mata Cikgu Ajoi tertuju pada 1 nama yang unik iaitu “BKBKBDB DIAN”.
Kemudian Cikgu Ajoi menanyakan siapa muridnya yang mempunyai nama tersebut.
Berdirilah seorang murid dan menjawab “saya DIAN Cikgu…”.
Semasa Cikgu Ajoi melihat wajah murid itu seiras muka Taufik darjah 3 Raya.
Cikgu Ajoi : “Dian ada abang di sekolah ini?”.
Dian : “Ya Cikgu,nama dia TAUFIK.Abang saya darjah 3.”
Cikgu Ajoi : “Saya ingin tahu nama panjang Dian apa pulak?”.
Dian : “Baik Cikgu, nama panjang saya ialah…
Berakit-rakit Ke hulu Berenang-renang Ke tepian, Bersakit-sakit Dahulu Bersenang-senang kemu DIAN”
Cikgu Ajoi :@$%&#^%
-
Recent
- Kek Batik Brunei – VICO
- Daging Rebus Butter & Kicap
- Rabun
- Kisah Seram (kalau lemah semangat dilarang baca)
- Lagenda Ikan Tapah – Hikayat Pak Kadok
- Mulakan hari anda dengan lemon & air suam
- Tips Kurangkan Sakit Leher
- 6 Tips Kulit Cantik dan Sihat
- sakit kepala dan keletihan
- Kalau Perempuan Tanya / Apa…
- Resepi Asam Pedas ala nyonya…
- Solat orang sakit kena tahu cara duduknya
-
Links
-
Archives
- March 2013 (1)
- January 2013 (1)
- July 2012 (9)
- March 2012 (7)
- February 2012 (3)
- December 2011 (1)
- November 2011 (10)
- October 2011 (6)
- September 2011 (3)
- August 2011 (1)
- July 2011 (3)
- June 2011 (9)
-
Categories
-
RSS
Entries RSS
Comments RSS