Thursday, March 27, 2025

Seni lagu dari AI

Sewaktu menulis puisi-puisi tema perjuangan, cinta, politik dan lain-lain kira-kira sepuluh tahun dulu, saya tak menyangka akan jadi semudah ini untuk menghasilkan lagu daripada bait-baitnya.

Kini dengan perkembangan teknologi yang begitu pantas seperti kuda berlari atau lebih laju daripada itu, hanya beberapa minit diperlukan untuk menggubah lagu daripada baris-baris puisi yang saya tulis.

Saya hanya perlu menetapkan gaya muzik dikehendaki, itu pun berdasarkan kefahaman sendiri dan selepas itu robot akan bekerja untuk saya - hasil pembelajaran mesin dari teknologi kecerdasan buatan.

Ada beberapa puisi yang saya lagukan lewat aplikasi Suno, namun tidak semua yang saya suka. Lagu-lagu yang tidak menarik, meleret-leret, saya buang. 

Ada satu lagu yang melangkaui jangkaan, yang saya kagumi dan lekat di kepala dalam jangka masa singkat. Ia sebenarnya dijana daripada dua sajak tidak bertajuk yang saya gabungkan kerana kedua-duanya relatif pendek.

Dari dua sajak yang dicipta berturut-turut pada Disember 2017 itu, ia menjadi satu lagu slow ballad dinyanyikan dengan suara perempuan. Saya namakan lagu itu "Sehingga Infiniti" sempena satu frasa yang terkandung dalam sajak kedua.

Asalnya lagu itu berkepanjangan empat minit, namun saya keratkan ia menjadi kurang dua minit kerana ulangan rangkap sudah jadi agak mengarut. 

Lagu kedua, Tali, juga dari sebuah sajak lama tidak bertajuk yang ditulis pada Mac 2019. Berbeza dengan Sehingga Infiniti, Tali adalah sebuah sajak tunggal lengkap yang tidak digabungkan dengan mana-mana sajak lain, dan ia dinyanyikan dengan suara lelaki.

 

 
 

 

Monday, February 17, 2025

Menambah stok nostalgia

Image
Ketika berusia 5 tahun. Silau di depan kamera

Beberapa tahun lalu saya telah jadi tidak aktif menulis blog walaupun beberapa tahun sebelumnya blog adalah diari terbuka saya guna mencatat peristiwa, meluah rasa, menukil pandangan sambil kadang-kadang berasa syok sendiri dengan apa yang ditulis.

Apa pun sebab, blog adalah arkib pengalaman yang akan memberi sedikit kegembiraan apabila ia dibaca semula selepas beberapa ketika. Nostalgia adalah bahagian romantis sejarah diri yang ingin kita kenang sekali-sekala. Ia adalah diri kita yang dulu yang ingin kita ingati setelah lupa, yang ingin kita kenali dan sapa setelah lama terpisah, yang ingin kita berbual dengannya dan bertanya kisah-kisah.

Sepanjangnya, kita akan membanding diri semasa kita dengan yang lama. Kita akan tersentuh, jatuh rindu, terkenang-kenang seperti remaja yang mengangankan kekasih yang tidak berani dipikat di sekolah atau di universiti.

Dan pada ketika ini, azam menulis blog datang semula walaupun tidaklah saya tahu selama mana ia mahu singgah sebelum pergi. Apa pun, beberapa para telah pun ditulis, dan sebelum saya berhenti, kita berharap stok nostalgia saya pada masa depan akan dapat ditambah dengan kemunculan entri-entri baru selepas ini. 

Thursday, December 01, 2022

Padang Serai, Rompin: Beza pendekatan PH-BN

 Oleh HAIZIR OTHMAN

 

Pilihan Raya Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman jadi ujian awal kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), dua parti terbesar yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan ketika ini.

Kedua-dua kawasan ini ditakdirkan terpaksa mengadakan PRU15 lebih lewat susulan kematian calon, Karupaiya Mutusami dari PH  tiga hari sebelum tarikh pengundian di parlimen Padang Serai, dan Md Yunus Ramli dari Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman beberapa jam sebelum pusat pengundian dibuka pada 19 November lalu.

Dan kedua-dua kawasan ini juga menyaksikan perbezaan pendekatan antara dua parti dalam Kerajaan Perpaduan ini.

Di Tioman, Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan komponen PH membuat keputusan besar apabila meminta calonnya, Mohd Fadzli Ramly menarik diri demi memberi laluan kepada rakan barunya dari BN.

Amanah malah dilaporkan akan menggerakkan jentera parti bagi membantu kemenangan calon BN, Mohd Johari Hussain di DUN tersebut.

Untuk rekod, Johari merupakan penyandang kerusi DUN berkenaan sejak memenanginya dalam PRU12 pada tahun 2008 dan kekal sebagai ADUN di sana dengan menang pada PRU13 dan PRU14.

Fadzli pula, dari sudut satu lagi, telah bertanding di sana dalam PRU11, PRU12, dan PRU13 sejak berada dalam gabungan Barisan Alternatif (BA), Pakatan Rakyat (PR) sehinggalah PH kini namun tidak pernah mengecap kemenangan.

Gagal elak pertembungan

Pendekatan berbeza walau bagaimanapun diambil di Padang Serai apabila pertembungan tidak dapat dielakkan antara calon PH, Dr Mohd Sofee Razak dengan calon BN, Sivarrajh Chandran.

Kedua-dua calon ini masing-masing tidak bersedia berganjak dari keputusan untuk terus bertanding di sana walaupun kedua-dua parti mereka sudah pun menjalin kerjasama di peringkat persekutuan membentuk Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, mendiang Karupaiya merupakan penyandang kerusi parlimen Padang Serai yang dimenanginya dalam PRU14 pada 2018. Kerusi tersebut dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak PRU12 melalui Gobalakrishan Nagapan sebelum mengekalkannya pada PRU13 melalui N Surendran Nagarajan.

Ketidaksediaan salah seorang calon untuk menarik diri bagi membolehkan hanya seorang wakil dihantar bertanding menghantar isyarat bahawa bentuk kerjasama PH-BN di peringkat persekutuan masih belum dapat dipraktikkan di peringkat negeri.

Malah ia juga menunjukkan sejauh mana wujudnya interaksi dan persefahaman antara pemimpin-pemimpin negeri dari kedua-dua parti - yang bakal dibaca sebagai parameter kekuatan hubungan kerjasama mereka di peringkat yang lebih tinggi.

Situasi ini menunjukkan betapa cabaran di hadapan yang lebih besar barangkali menanti kedua-dua parti ini khususnya pada ketika persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibuat tidak berapa lama lagi di negeri-negeri yang belum melaksanakannya.

Adakah mereka akan mengambil pendekatan Tioman, atau Padang Besar dalam berdepan suasana PRN nanti? Sama-sama kita saksikan perkembangannya.

 

Disiarkan di PRU Sinar Harian pada 1 Disember 2022

Wednesday, November 30, 2022

Menanti senarai kabinet Anwar

 Oleh HAIZIR OTHMAN

Image

Enam hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mengumumkan barisan kabinet yang akan membantu beliau menjalankan tugas pentadbiran di Putrajaya.

Walau sedar cabaran yang dihadapi ahli parlimen Tambun itu mengurus kerajaan yang dianggotai bukan wakil dari partinya sahaja malah parti-parti lain, pilihan sebenarnya amat terhad kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menangguhkan pengumuman barisan kabinet pimpinannya walaupun untuk sehari lagi.

Situasi dalam dan luar negara agak terlalu mendesak PM memperkenalkan segera pasukannya kepada umum - bagi mengelak keresahan jadi bertambah besar.

Petunjuk-petunjuk yang diberikan Anwar sebelum mengumumkan kabinetnya walau bagaimanapun telah diberi lebih awal sebelum ini di mana beliau mengatakan saiz kabinet tidak akan lebih besar daripada sebelum ini.

Beliau juga dalam salah satu ceramah semasa kempen PRU15 menyatakan gaji menteri akan dipotong selain beliau sendiri selaku PM tidak mengambil gaji bagi jawatannya - situasi yang membayangkan kabinetnya akan dianggotai orang yang sanggup bersusah-payah bersama-sama rakyat.


Kabinet bersih

Dalam ucapan sulungnya kepada penjawat awam di Putrajaya pula, Anwar menyatakan tiada menteri yang dapat menerajui kementeriannya ke arah kejayaan tanpa sokongan dan dukungan para penjawat awam - ini pula satu petunjuk kepada menteri-menteri yang bakal dilantik bahawa jawatan menteri bukanlah bermaksud mereka adalah bos besar yang punya kuasa tak tercabar di kementerian tersebut.

Anwar malah menegaskan kerajaan tidak akan lagi menjalankan projek tanpa tender sebaliknya semua projek akan menjalani proses terder terbuka bagi mengelakkan rasuah dan ketirisan.

Semua penyataan ini seharusnya menghantar mesej bahawa kabinet yang akan diumumkan nanti akan dianggotai mereka yang dilihat bersih dan tidak terlibat dengan sebarang salah guna kuasa dalam rekod perkhidmatan mereka.

Seterusnya, kita ada situasi geopolitik dan geoekonomi dunia yang sebenarnya tidak mengizinkan kita membuang waktu lagi daripada menyusun rencana di peringkat kepimpinan tertinggi negara.

Amaran Bank Dunia akan kemelesetan ekonomi kepada negara-negara membangun, nilai ringgit berbanding dolar yang masih belum memuaskan, pasaran saham, keyakinan pelabur, harga barang, kadar inflasi dan sebagainya - ada banyak kerja yang perlu diselesaikan para menteri baru ini sebelum penggal mereka berakhir empat atau lima tahun lagi.

 

Pasukan Anwar

Setiap menteri seharusnya mampu bergerak dalam satu pasukan Anwar. Jangan ulangi kesilapan menteri-menteri sebelum ini yang bergerak secara in silo tanpa ada kesatuan fikrah dengan menteri-menteri yang lain.

Justeru, menteri harus mempunyai kemahiran pelbagai dan bersifat merentas kementeriannya sendiri. Jangan tersekat dalam ruang pejabat kementeriannya sebaliknya isu perlu dilihat secara keseluruhan dari perspektif mata burung.

Dan menteri tidak semestinya punya kelulusan yang berkaitan dengan kementerian yang diterajuinya kerana tugasnya bukan seperti penjawat awam di peringkat pelaksana sebaliknya mereka adalah para politikus yang berperanan selaku penggubal dasar dan memastikan agenda negara terlaksana lewat kementerian yang mereka kendalikan.

Pengalaman Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan adalah contoh klasik yang boleh digunakan apabila beliau yang tidak mempunyai latar belakang kesihatan atau perubatan mampu melaksanakan tugas di kementerian yang kritikal tersebut dengan cukup baik.

Ini kerana beliau tidak perlu ada pengetahuan begitu mendalam tentang kesihatan dan penjagaan kesihatan kerana tugas tersebut dijaga oleh Ketua Pengarah dan para penjawat awam yang lain manakala beliau hanya menjalankan tugas eksekutif sebagai ahli politik di sana.


Disiarkan di PRU Sinar Harian pada 30 November 2022

Friday, November 11, 2022

Tiada parti muncul pemenang?

 Oleh HAIZIR OTHMAN

 

Selain meninjau parti pilihan, calon Perdana Menteri, dan isu-isu paling diberi perhatian, kajian tiga badan penyelidikan tentang kecenderungan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini turut memasukkan bentuk kerajaan campuran yang paling disukai rakyat.

Dari bentuk semudah gabungan dua parti seperti Barisan Nasional campur Perikatan Nasional kepada gabungan lebih kompleks seperti Pakatan Harapan campur MUDA, GPS, Warisan, dan beberapa parti kecil lain, keadaan ini hanya menunjukkan betapa kemungkinan untuk situasi itu berlaku - ada. Dan kemungkinan itu terlalu signifikan untuk diabaikan begitu sahaja.

Kajian Huayan Policy Institute (Huayan), Ilham Centre (Ilham) dan O2 Malaysia (O2) itu dilihat senada dengan kenyataan beberapa pimpinan parti politik seperti PH yang mengakui mereka mungkin mampu memenangi paling banyak sekitar 100 kerusi sahaja - situasi yang memaksa mereka mencari rakan gabungan dari parti lawan bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan campuran.

Seandainya unjuran PH itu tepat, barangkali agak terlalu sukar bagi parti itu membentuk kerajaan campuran dengan parti lain kerana rekod menunjukkan parti itu agak kurang disenangi parti-parti politik lain sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak.

Sewaktu PH membentuk kerajaan persekutuan selepas menang PRU14 lalu, hanya Parti Warisan Sabah (Warisan) yang sudi bersama-sama mereka manakala parti-parti di Sarawak enggan, walaupun mereka beramai-ramai keluar Barisan Nasional untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

 

Gabungan BN, PN kembali?

Untuk PH bekerjasama dengan BN atau PN, peluang tersebut barangkali sudah tertutup terutama sekali selepas kenyataan keras Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkenaan hal demikian.

Justeru, peluang barangkali lebih terbuka kepada BN untuk menjalin kerjasama dengan PN (atau dengan parti-parti lain termasuk Warisan, GPS dan lain-lain) untuk mencukupkan bilangan minimum 112 kerusi bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan campuran.

Walaupun BN dan PN dilihat bermusuh di pentas politik PRU15, namun tidak terlalu sukar untuk melihat mereka kembali bergabung demi menduduki kerusi-kerusi empuk di Putrajaya sementelah mereka telah pun berada dalam satu gabungan sebelum ini, sebelum parlimen dibubarkan.

Jika gabungan ini terbentuk, maka kita hanya akan dapat menyaksikan ulangan model kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM, dan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini.

Cuma siapa yang akan menjadi Perdana Menteri ke-10 bagi memimpin kerajaan yang baru, persoalan itu bakal dimainkan dalam siri-siri drama politik baru pula - yang akan dilakonkan ahli-ahli parlimen yang menang kerusi mereka PRU15 ini.

 
Disiarkan di PRU Sinar Harian pada 11 November 2022
 

Tuesday, November 08, 2022

Calon isytihar harta ada kelebihan?

 Oleh HAIZIR OTHMAN

Image

 

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (TKP)(Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil dalam pembentangannya pada September 2018 menjelaskan pengisytiharan harta adalah penting bagi membendung rasuah dan konflik kepentingan, mengesan salah guna jawatan awam, memastikan integriti penjawat awam, dan mengesan pengumpulan kekayaan secara haram.

Sejak 2018, usaha mewajibkan amalan ini kepada Anggota Kabinet, Hakim-hakim, Ahli Parlimen, dan penjawat awam giat dijalankan SPRM.

Usul meminta Ahli Parlimen termasuk isteri atau suami, anak berusia lebih 21 tahun, dan pemegang amanah membuat perisytiharan harta dibentangkan kerajaan pada Julai 2019, untuk dipaparkan kepada umum di laman web SPRM.

Bank Dunia turut mengiktiraf perisytiharan harta sebagai satu cara amat berkuasa untuk membanteras rasuah, konflik kepentingan dan mengesan pengumpulan kekayaan secara salah dalam kalangan penjawat awam.

Pengisytiharan harta dalam kalangan calon-calon bertanding pilihan raya pula barangkali ada elemen sensasinya yang tersendiri berbanding amalan yang sama dalam kalangan penjawat awam dan lain-lain.

Sebagai contoh, persepsi yang berupaya dibina dari praktik ini adalah: calon yang melaksanakannya lebih telus, terbuka, berani dan terhindar dari amalan kewangan yang tidak sihat, manakala yang tidak melakukannya pula tidak ada ciri-ciri tersebut.


Modal politik?

Berdasarkan pemerhatian, setakat ini hanya calon-calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Pakatan Harapan (PH) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) membuat pengisytiharan harta mereka. Pada masa yang sama, terdapat juga calon-calon PEJUANG dan BERSATU yang menyokong amalan ini, namun belum melaksanakannya.

Pada peringkat seterusnya, ia berupaya dijadikan bahan kempen atau modal politik parti yang bertanding; baik kepada calon yang membuat pengisytiharan harta mahupun kepada calon yang tidak membuat pengisytiharan harta.

Sebagai contoh, apabila Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan hartanya kepada umum, ia dijadikan sasaran parti lawan apabila kekayaan pengasas INVOKE itu yang berjumlah RM18 juta dipersoalkan sebagai terlalu tinggi dan tidak wajar.

Persoalan-persoalan tersebut walau bagaimanapun dijawab Rafizi dengan mengemukakan kelebihan syarikat pemula berasaskan teknologi itu yang dinilai bukan semata-mata atas keuntungan tahunan sebaliknya kepada pelbagai faktor lain termasuk potensi platform dan sebagainya.

Soal-jawab yang timbul dari praktik ini walau bagaimanapun tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak melaksanakannya di peringkat calon-calon yang bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Praktik ini masih baik sebagai senjata berkuasa membanteras rasuah dan segala usaha memastikan ia dilaksana harus disokong semua pihak tanpa mengira sentimen politik kepartian.

 

Disiarkan di PRU Sinar Harian pada 8 November 2022

Friday, October 21, 2022

Risiko Anwar di Tambun

 Oleh HAIZIR OTHMAN

Image

SEBELUM Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan malam tadi beliau akan bertanding kerusi Parlimen Tambun dalam PRU-15, desas-desus dan khabar burung telah sampai lebih awal tentang perkhabaran tersebut. Ternyata ia benar.

Presiden PKR itu mengambil langkah berani tidak bertanding di ‘kerusi selamat’, baik di Permatang Pauh yang diwakilinya selama lebih 20 tahun, mahu pun di Port Dickson yang diwakilinya sejak Pilihan Raya Kecil 2018 lalu.

Langkah tersebut menghantar mesej pemimpin pembangkang itu sanggup mengambil risiko dan memilih laluan tidak mudah demi menjayakan strategi menjadikan Perak sebagai ‘barisan hadapan perjuangan’ partinya dalam PRU-15 ini.

Dibayangkan sebelum ini oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bahawa partinya bersedia menawan semula Perak, PH tampak serius dengan rencana tersebut apatah lagi Konvensyen Pakatan Harapan malam tadi turut dijalankan di negeri Datuk Maharaja Lela itu.

Jika rancangan itu berjaya, sejarah akan tercipta buat negeri Perak dengan melahirkan seorang Perdana Menteri Malaysia buat kali pertama dalam tampang Anwar, walaupun mantan Timbalan Perdana itu bukan anak jati Perak.

Namun jika ia gagal, harganya amat mahal untuk dibayar Pakatan Harapan kerana bukan sahaja jawatan Perdana Menteri yang dikejar tak dapat, mereka juga akan kehilangan sosok ahli parlimen atau Ketua Pembangkang yang kuat untuk ‘menyinga’ di Dewan Rakyat.

 

Bukan kali pertama

Strategi meletakkan tokoh-tokoh terkuat di kerusi-kerusi bersokongan sederhana walau bagaimanapun bukanlah pertama kali dilaksanakan pembangkang. Ia pernah dibuat DAP beberapa kali antaranya lewat tokoh seperti Lim Kit Siang dan Liew Chin Tong.

Kit Siang, pernah mewakili empat kerusi parlimen berbeza, berpindah dari kerusi Ipoh Timur yang dimenanginya selama dua penggal dengan majoriti besar, jauh ke selatan tanah air demi meluaskan pengaruh DAP di negeri kubu kuat Umno, Johor pada 2013.

Percubaan pertama tersebut berhasil, DAP berjaya menawan parlimen Gelang Patah (kini Iskandar Puteri) yang sebelumnya sentiasa dimenangi Barisan Nasional (BN).

Kes berbeza berlaku kepada Liew Chin Tong yang gagal merampas kerusi Ayer Hitam dari tokoh heavyweight MCA, presidennya, Wee Ka Siong dalam PRU-14 walaupun berjaya menarik majoriti dari empat kepada tiga angka.

Justeru, langkah Anwar ‘mencuba’ Tambun barangkali satu risiko terhitung (calculated risk) yang perlu diambil demi mencuba memenangi PRU-15 dari musuh-musuh politiknya, BN dan Perikatan Nasional (PN).

Adakah ia akan berjaya atau tidak, tunggulah 19 November nanti untuk mendapat jawapannya.

 

Disiarkan di PRU Sinar Harian pada 21 Oktober 2022