Idris nafi hina bekas Naib Canselor UM
Timbalan Menterinya, Datuk Idris Haron, berkata sesiapa saja boleh menulis buku untuk tujuan tertentu termasuk meluahkan perasaan.
“Kita tidak boleh kawal keputusan beliau untuk menulis buku. Banyak buku yang sudah diterbitkan tetapi soalnya sama ada pembaca membeli buku kerana penulis atau kandungannya.
“Sebagai penjawat awam, saya berasa tidak ada yang perlu dikhuatirkan kerana setiap keputusan yang dibuat kementerian mengikut prosedur dan telus,” katanya pada sidang media selepas menutup Seminar Perbandingan Perundangan Antarabangsa (ISCOM) di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai keputusan Rafiah yang mahu menerbitkan buku berkaitan dirinya sepanjang menjadi Naib Canselor UM selama dua setengah tahun dan mendedahkan campur tangan politik yang dikatakan menyebabkan kontrak beliau tidak disambung.
Idris juga menafikan dakwaan Rafiah bahawa wujudnya diskriminasi gender oleh kerajaan terhadap ahli akademik tempatan.
Malah, beliau turut menafikan mengeluarkan kenyataan yang mempunyai niat merendahkan kredibiliti bekas Naib Canselor UM di Dewan Rakyat, minggu lalu.
“Saya tidak nampak saya merendah-rendahkan atau menghina mana-mana pihak, tidak ada niat pun untuk merendahkan sesiapa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau hanya menunggu keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sama ada dirinya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Parlimen, Selasa ini.
Filed under: Uncategorized | Leave a comment »