Ketagihan merakam gambar semakin memuncak..jiwa tidak tenteram jika seminggu tidak menghunus senjata. Kali ini kami menyeberang ke negara jiran, Indonesia.
Dari Jakarta kami menyewa sebuah MPV untuk ke Puncak Bogor dan disitulah bermulanya ‘petikan shutter’ sepanjang perjalanan menuju ke puncak Bogor, kami melalui Istana Bogor yang merupakan salah satu dari enam Istana Presiden Republik Indonesia yang mempunyai keunikan tersendiri. Selain Safari Malam yang bertugukan haiwan batu dipintu hadapan.

Semua laluan ini hanya selayang pandang sahaja, kerana masa tidak menyebelahi kami untuk singgah memburu.

Perjalanan dari Jakarta ke Puncak Bogor mengambil masa lebih kurang 3 jam perjalanan dan sepanjang perjalanan kami dihidangkan pelbagai panorama bumi Indonesia berbukit-bukau yang memukau kanta mata.
Keunikan penghuni Bogor juga tidak terlepas dari sasaran kamera.


Luas terbentang ladang teh yang menghijau berlatarkan bukit dan langit biru yang menusuk kalbu. Disamping penghuni Bogor yang unik serta pengalaman memanjat puncak Bogor yang ‘macet’ dengan kesesakan lalu-lintas yang sibuk tidak sedikitpun merencatkan keindahan Bogor.


Oleh kerana Puncak Bogor merupakan tempat peranginan yang paling hampir dengan Jakarta, ia menjadi sasaran penduduk sekitar untuk melepaskan penat lelah hujung minggu di puncak ini. ‘Dimana ada gula disitu ada semut‘, ia terjadi di puncak ini, dimana terdapat ramai penjaja jalanan menawarkan pelbagai barangan untuk pelancong.

Tidak puas dengan Puncak Bogor, kami mula meredah sebuah penempatan yang berhampiran bagi mencari bahan yang lebih unik di Bogor ini. Kami mula meyusur lebih dalam lagi, iaitu Gunung Mas.

Mencari punca air yang mengalir melimpahi Bogor, dan Gunung Mas memaparkan kawasan penempatan penduduk Bogor yang asli. Dengan keadaan sekitar yang menghijau dengan sistem saliran air untuk bekalan penduduk dibuat secara tradisional menerusi mata air yang disalur ke paip-paip rumah.


Selain air sungai menjadi subjek utama di Gunung Mas ini, telatah penduduk dan kanak-kanak juga tidak lepas dari lensa camera.


Dan masa sentiasa cepat berlalu, kami perlu meneruskan perjalanan tanpa lengah..apa yang sempat dirakam itulah yang paling berharga buat kami. Puncak Bogor sentiasa disini untuk kami kembali, akan tetapi..bila? Hanya masa yang menentukannya, kalau ade rezeki dan panjang umur. InsyaAllah.

Date taken 10.4.2009
Sekian.


















