Lama dah tak update blog. Selalu kalau update pun resepi je kan. Kali ni nak sembang hal lain. Tapi bukan senang untuk saya imbas kembali apa yang jadi minggu lepas. Saat menaip, masih terbayang-bayang insiden tersebut.
Saya pergi kerja macam biasa pagi tu. Husband pun call macam biasa sebelum masuk toilet nak mandi. Tiba-tiba saya dapat call yang dia sakit dada. Terus saya balik. Sampai je rumah, tengok muka pucat. Sambil tangan dok tekan dekat dada. Sakit katanya. Kuat sampai ke belakang. Saya dah suspect jantung. Saya terus papah bawa ke kereta. Nak ke emergency terus. Tapi husband cakap nak pergi KPJ. Jadi saya terus ke KPJ. Bila buat ecg, KPJ tolak ke Hospital.
Sampai ke hospital, terus tolak emergency. Saya dah tak senang duduk. Saya balik untuk ambil barang dekat office. Tak lama kemudian, saya dapat call.
Doktor : Kami dah bagi ubat bawah lidah dengan dos yang paling tinggi. Sebab serangan jantung dia kuat. Kami minta puan berdoa sebab 50-50. Sekiranya masih tak stabil, kami akan gunakan defribillator untuk melonjakkan jantung pesakit.
Saya rasa nak pitam. Gelap rasanya dunia saya ketika itu. Saya terus call mak. Menangis meraung minta mak doakan. Mak suruh saya doa juga. Saya cuma mengharapkan keajaiban Allah. Sebab saya takut saya tak sempat jumpa suami. Saya takut suami saya tak dapat bertahan. Saya takut! On the way ke hospital balik, saya tak tentu arah. Saya call kawan saya. Dia banyak menenangkan saya. Alhamdulillah. Tapi hati saya, hanya Allah yang tahu.
Sampai di hospital, saya tetap menunggu. Suami dalam emergency room dah hampir 6 jam. Tiada khabar berita. Saya hanya mampu berdoa. Tiada tangan untuk dipaut, tiada sentuhan moral untuk bertenang. Kawan-kawan dia ada yang dah balik. Saya terjumpa satu kawan yang bekerja dalam hospital. Minta tolong nak tengok suami. Sebab tak tahu apa cerita. Akhirnya dengan izin Allah, saya dapat jumpa suami. Alhamdulillah saya nampak dia ok. Walaupun dia mengadu masih sakit. Tapi saya nampak dia stabil. Doktor pun cakap dia stabil. Malam tu juga suami ditolak ke wad CCU.
Lepas maghrib, saya terus ke hospital. Saya tahu saya tak dapat tengok dia dalam tu. Jadi saya tunggu dia di luar. Mak saya call. Suruh saya balik rumah mak. Saya tak tau nak pergi mana. Apa dalam fikiran saya masa tu, suami saya dalam CCU, jadi saya tunggu di luar. Supaya apa-apa berita saya tahu. Adik saya datang pujuk saya. Akhirnya saya balik. Tapi saya tak boleh tidur. Mata mengantuk, kepala sakit. Saya terlena sekejap. Jam 1.30pagi saya terjaga, kembali terlelap, jam 3.30 pagi terjaga lagi. Sampai jam 5.00 pagi saya terus bangun. Mandi dan solat. Minta pentunjuk Allah.
Ini perkara pertama dalam hidup saya. Saat getir dalam hidup saya. Allah uji saya. Saya terduduk. Saya bingung tak tahu apa nak dibuat. Pagi-pagi saya ke hospital. Tunggu suami walaupun dia tak boleh keluar. Handphone pun tak boleh guna. Petang jam 7, dia dah boleh dipindahkan ke wad biasa. Alhamdulillah. Doktor cakap dia dah stabil. Cuma sengal-sengal jantung masih ada.
Sepanjang saya di wad menjaga suami, dia nampak ceria. Alhamdulillah. Lima hari juga di wad. Sekarang dah kembali ke rumah. Cuma tunggu appointment IJN.
Kalau BCL kehilangan suami dengan cara mengejut, dan dia teruskan kehidupan biarpun sakit, dia sangat kuat. Seandainya terjadi pada saya, saya pasti jatuh. Saya tak tahu macam mana nak bangun. Allah uji sikit, saya dah sakit. Saya bersyukur kerana Allah masih bagi peluang untuk saya menjaga suami. Dan Allah bagi saya peluang untuk saya menghargai sebelum saya kehilangan. Pengalaman itu sangat berharga. Di saat saya sendirian, pengharapan saya sepenuhnya bergantung kepada Allah.