‘ Akak, nanti tempahkan mpv, kami nak naik Irbid hantar akak dari Irbid’
Begitulah janji kami pada pertemuan yang terakhir di Bumi Muktah. Kita merancang, Allah jua merancang. Awal permulaan minggu lagi hati ini telah disimbahi air keresahan, saat melihat perkembangan terkini keadaan cuaca Jordan yang dijangka akan mengalami ribut salji yang lebih dahsyat dari Taufan Huda tanggal 20 haribulan ini. Ya, tarikh aku akan kembali ke tanah air.
Janji yang kami pateri, terpaksa aku kembalikan pada perancangan Allah yang lebih baik. Mafraq yang menanti kehadiran untuk pertemuan terakhir terpaksa aku kecewakan. Alhamdulillah sempat berjumpa mereka walaupun bukan semua. Malah, sebahagian dalam keadaan ada yang demam belum kebah. Meskipun sekejap cuma, dan pertemuan dalam keadaan masing-masing sibuk dengan urusan dakwah dan tarbiyah. Sedikit, dalam hati berbunga memekar wangi. Kerana dengan izin Allah, usaha kita mencari permata dakwah membuahkan hasil, saat mereka terus mengorak langkah ke hadapan.
Cerita semalam sebenarnya tidak akan mampu aku coretkan dalam ruangan yang cukup terhad. Aku sebenarnya hampir pasrah, untuk memulakan perjalanan seawal jam 7 pagi, menghabiskan beberapa jam di Amman dan bertolak ke airport seawal jam 9 malam untuk bermalam di sana sehingga jam 5 petang . Dengan keadaan sedia maklum, hanya aku seorang yang menaiki penerbangan Oman Air dengan waktu berlepas paling lewat. Mustahil anak-anak usrah dan adik kandung sanggup meredah ribut salji dan rela untuk menemani sepertiga malam di sana.
Namun, siapa sangka, mereka menemani sejak dari awalnya. Bermula dari resahnya merancang perjalanan. Kisah-kisah menunggu terbitnya sinaran matahari untuk memulakan pengembaraan, bersyura beberapa kali sehingga aku membuat keputusan kepada mereka untuk membatalkan perjalanan ke lapangan terbang kerana dikhuatiri akan berhadapan dengan kemalangan, sedangkan mereka sudah siap berurusan dengan pihak pengangkutan. Jalan ke lapangan terbang juga sekejap dilaporkan tutup, sekejap dilaporkan buka. Ribut salji Jana di luar terus menggila.
Kerana pada syura ada keberkatan, dengan tekad yang kuat kami melangkah. Hampir-hampir di hujung talian mereka mengharap kereta Sonata Putih pak cik akan bisa mendaki bukit ke teratatak Isyrah untuk berjumpa mereka sekejap cuma. Sekurang-kurangnya aku dapat mendakap dan mengambil tasbih dari Haramain yang tertinggal. Dalam keadaan cuaca begini, belum tentu mereka mudah mendapatkan pengangkutan awam secara megejut. Lainlah aku yang memang akan ke sana dengan Sonata putih pak cik.
‘’Akak, kami dah nak gerak ni”
15 minit sebelum angka jam menunjukkan pukul 9 malam, mereka terlebih dahulu memulakan langkah ke sana. Di sebalik jendela empat segi, kelihatan ribut salji sudah berhenti. Aku dan teman seperjalanan dengan suaminya sebagai pemandu juga memulakan perjalanan kami beberapa minit selepas itu, meredah putihnya salju dan dinginnya suhu dengan meletakkan setinggi-tinggi tawakkal pada Illahi.
Teringat ziarah sejenak ke apartment Dr Fauziah,Timbalan Pengerusi Aqsa Syarif, saat dia menceritakan pengalaman kerja sukarelawan ke Afghanistan. Dalam keadaan kereta yang usang, dan jalan yang gelap tanpa sinaran lampu menerangi, mereka meredah sebuah perjalanan yang mencabar. Dan waktu itulah, kita akan belajar untuk meletakkan pergantungan paling murni dan tinggi pada Illahi. Bukankah itu suatu keindahan yang mendekatkan?
Cuaca yang tidak menentu membuatka n panggilan masuk dan keluar agak sukar.
‘Ali, Farihah call tadi, mereka dah sampai’
Aisya Nadira menolehkan kepala dari kerusi hadapan kereta berbicara dengan aku.
‘Alhamdulillah, hanya Allah yang tahu betapa leganya bila mendapati anak-anak usrah dan adik kandung telah sampai terlebih dahulu ke lapangan terbang.’
Langkah dihayun kemas, dan tangan memegang erat troli bermuatan sebuah beg kertas dan sebuah beg besar untuk pulang ke Malaysia. Kelihatan ramai yang berada di lapangan terbang. Masing-masing dengan jadual penerbangan yang berbeza. Di hujung sana, kelihatan anak-anak dan adik sedia menanti dengan persalinan baju biru Kelab Ikram Jordan. Sekali lagi, hati dibalut terharu. Mengapa begini sekali mereka berkorban?
Maklum, masih ada kurang 20 jam kami akan bermalam di sini. Itu belum lagi dapat menjangka perjalanan mereka untuk pulang ke Muktah pula. Namun, kelihatan masing-masing bersedia dan lapang dada menerima risiko.
Qiamullail, perjalanan mengagau mencari makan, hampir hilang idea bagaimana menghabiskan masa, cerita-cerita menikmati salji bersama, mujahadah untuk tidak makan megi dan sebagainya akhirnya diakhiri dengan solat jemaah terakhir bersama mereka, dengan untaian doa yang aku sendiri terasa pilu saat itu. Moga doa rabithah akan terus mengikat kami, dan doa untuk dakwah terus menjadi hafalan kami.
Muqarrabin, golongan yang ketiga tercatat dalam surah Al-Waqiah. Golongan yang didekatkan kepada Allah, terdiri dari orang terdahulu dan orang terkemudian. Dengan janji mendapatkan dipan bertatahkan emas permata, buat dijadikan sandaran untuk saling berhadapan. Pasti terasa enak bagi mereka yang di dunia telah berpenat lelah meredah onak duri di atas jalan dakwah.
Tidak kurang janji-janji Allah untuk mengurniakan Muqarrabin dengan anak-anak muda yang tetap muda, gelas, cerek dan piala dengan air yang mengalir. Buah-buahan, daging burung yang dipilih, bidadari bermata indah, dengan kebebasan dari bicara yang tidak berfaedah. Subhanallah, kesulitan semalam membuat proses tadabbur menjadi sangat indah.
“ Jika dia ( orang yang mati ) itu termasuk yang didekatkan (kepada Allah), maka dia memperoleh ketenteraman, rezeki dan syurga yang penuh kenikmatan”
Al-Waqiah : 88-89
Moga kita benar-benar terpilih menjadi dalam kalangan orang yang didekatkan Allah.