RENUNGAN BERSAMA:

Renungan Bersama:

Dari Abu Bakar As Syiddiq RA ia berkata, "Rasulullah saw bersabda: "Wajib atasmu berlaku jujur, kerana jujur itu bersama kebaikan, dan keduanya di syurga. Dan jauhkanlah dirimu dari dusta, kerana dusta itu bersama kedurhakaan, dan keduanya di neraka." (Hadis Riwayat Ibnu Hibban di dalam syahihnya).

16 Mei 2023

Selamat Hari Guru 2023: Guru Insani Pemangkin Generasi Madani

 Selamat Hari Guru kepada warga pendidik di seluruh negara dan ucapan khusus untuk guru-guru dan pensyarah yang pernah mengajar saya dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti. Terima kasih atas didikan guru-guruku yang dikasihi dan Alfatihah kepada mereka yang telah pergi meninggalkan kita semua. Berikut ialah nama-nama guru dan pensyarah yang pernah mengajar saya di kelas dan di bilik kuliah yang masih dalam ingatan dan catatan saya:

Image
Guru-guru saya di SK Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan: Allahyarham Cikgu Yusoff Ali, Allahyarham Dato’ Hj. Hassan Ismail, Datin Hjh. Wan Mariam, Allahyarham Cikgu Saad Mahmood, Allahyarham Cikgu Hassan Mustapha, Allahyarham Cikgu Mohd Zain Ahmad, Cikgu Che Wook Che Ngah, Cikgu Hj. Muhamad Awang, Cikgu Hj. Idris Muhammod, Ustaz Hassan Che Soh, Allahyarham Ustaz Sidek, Allahyarham Cikgu Hj. Hussein Hj. Awang, Allahyarham Cikgu Abdullah Awang, Allahyarham Cikgu Mohamad Daud, Allahyarham Cikgu Othman dan beberapa orang guru yang amat sukar untuk saya mengingati nama mereka.
ImageGuru-guru saya di SM Sultan Ibrahim (SIS) Pasir Mas, Kelantan: Tn. Hj. Yusoff Abdullah (Pengetua), Allahyarham Ustaz Mat Jusoh, Cikgu Wan Zin Wan Ahmad, Cikgu Kenneth George James, Cikgu Mat Salleh Seman, Cikgu Abd. Aziz Yaakub, Cikgu Zahari Ahmad Zairani, Mr Chow, Mrs. Chow, Mr. Robert, Mr. P. Sugumaran, Mr. Teo Siew Kow, Cikgu Abd. Rahim Hashim, Cikgu Mohd. Nor Zakaria, Ustaz Harun, Allahyarham Ustaz Mohd Zain Al-Rashidi, Allahyarham Cikgu Hj. Ab Aziz Abdullah, Cikgu Abd. Hamid, Cikgu Hj. Taib Sulaiman, Cikgu Mohd Zain Ismail, Cikgu Wan Din Wan Ismail, Cikgu Rongi Ismail, Mr. Emmanuel Joseph, Cikgu Hjh Hasnah Omar, Cikgu Hj. Abdullah Hj. Ismail, Ustaz Mohd Amin Ghazali, Cikgu Wong Lai Chien, Cikgu Ooi, Cikgu Seow, Cikgu Kang, Cikgu Wee Eh Mek, Cikgu Hjh. Hawa Mat Piah, Cikgu Sofiah Shahbuddin, Cikgu Ariffin Mokhri dan beberapa orang guru yang amat sukar untuk saya mengingati nama mereka.
ImageGuru-guru saya di Maktab Sultan Ismail (SIC) Kota Bharu, Kelantan: Cikgu Hj. Wan Ali Wan Yusoff, Cikgu Wan Zakaria Wan Sulaiman, Cikgu Zaini Omar, Cikgu Ibrahim Mat Zain, Cikgu Ibrahim Daud, Cikgu Hj. Muhamad Musa, Cikgu Wan Ismail Malik, Cikgu Rosni Yusoff, Cikgu Siti Zaitun Abdullah, Cikgu Habib Mohamad, Cikgu Raihan Mohd. Salleh dan beberapa orang guru yang amat sukar untuk saya mengingati nama mereka.
ImagePensyarah saya di Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah: Allahyarham En. Rofli Jauhari, Allahyarham Pn. Zaharah Ahmad, En.Ng Kam Loy, Pn Sharifah Rubiah, Pn. Rahimah A. Quadra, Hj. Abd. Jalil Hj. Tahir, Allahyarham En. Awang Piut Matumar, En. Kotley Lasnah, En. Bernard Paul Gumbiron, Cik Rose Lee Nyet Yung, Mr. G. Thandapathany, Pn. Hanim Omar, Pn. Siti Zaharah Aman, En. Voo Min Chu, Allahyarham En. Jusoh Mohamad, Pn. Lee Meng Soon, Pn. Helen Koding, Ustaz Kamaruddin Awang Basir, Ustaz Ali Abdul Aziz, En. Baharuddin Ujang, Pn. Radziah Mohd Nor, En. Edmund Gimbun, En. Johan Hj. Ahmad, En. Philip Biji dan En. Leopold Chen.
ImagePensyarah saya di Universiti Pertanian Malaysia: Prof. Dr. Abd. Hamid Mahmood, Prof. Dr. Amat Juhari Moain, Prof. Madya Dr. Abd. Rahman Arof, En. Mat Nor Hussin, En. Ahmad Yusoff Buyong, Dr. Abd. Majid Konteng, Dr. Abd. Majid Isa, Prof. Madya Taha Abd. Kadir, En. Rosli Selamat, Prof. Madya Dr. Ibrahim Hj. Salleh, Pn. Hjh. Halimah Hassan, Tn. Hj. Kaman Othman, Tn. Hj. Mohamad Kassim, Dr. Ezhar Kamam, Dr. Hj. Fadzilah Kamsah, Dr. Sharifah Mohd Nor, En. Mohd. Zainuddin Hashim, Dr. Naim Ahmad, Prof. Madya Arbak Othman, Ustaz Hj. Abd. Rahim Rafie, En. Hassan Che Mat, Prof. Rahman Shaari, En. Abd. Razak Abdullah Baginda, En. Mohd Hassan Abd Rahman, Dr. Jayum A. Jawan, Tn. Hj. Awang Mohd Amin, En. Mohd. Amin Arshad dan beberapa orang guru yang amat sukar untuk saya mengingati nama mereka.
Image
Pensyarah saya di Universiti Malaya: Prof. Madya Dr. Zainab Majid, Prof. Madya Dr. Balasubramaniam, Dr. Eric Wong Tak Koon, Prof Madya Dr. Elaine Morais dan Cik Chin Ying Teo.



Image
Pensyarah saya di Universiti Kebangsaan Malaysia: Prof. Datin Dr. Juriah Long, Prof. Dr. Mohamad Amin Embi, Prof. Madya Dr. Nooreiny Maarof, Prof. Madya Dr. Noriah Mohd. Ishak, Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Noordin, Prof. Dato’ Dr. Tamby Subahan Mohd. Meerah, Prof. Madya Dr. Muhammad Hussin, YM Dr. Raja Mohd. Fauzi dan Dr. Hj. Muhamad Sani Ibrahim.

Pensyarah saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris: Prof. Dr. ImageMohamad Ibrahim, Prof. Dr. Omar Abdull Kareem, Prof. Dr. Abd. Hamid Mahmood, Dr. Abu Hassan Abdul dan Dr. Khuan Wai Bing.

Juga 'Selamat Hari Guru Teristimewa' kepada guru-guru agama dan ustaz-ustaz yang telah memberi bimbingan fardu ain dan fardu kifayah kepada saya sejak dari kecil hingga ke hari ini.

07 Mei 2020

Kerja Sawah Secara Tradisional

Image
Bajakan pertama
Sebagai anak yang original lahir dan dibesarkan di desa yang sumber ekonomi penduduknya daripada tanaman padi, maka kami anak-anak desa sejak kecil lagi terdedah dengan aktiviti pertanian tradisional yang diwarisi sejak turun temurun tersebut. Sejak dari kecil lagi kami sudah diasuh agar membantu ibu bapa mengerjakan sawah terutama sekali pada setiap hujung minggu. Sebagai anak petani kami diminta untuk membantu kerja-kerja ibu bapa bermula dengan tugas-tugas yang ringan dahulu. Melalui pengalaman tersebut menjadikan kami sedikit demi sedikit dapat mengenali dan memahami istilah-istilah khususnya yang berkaitan alat-alat penanaman padi secara tradisional. Antara alat-alat yang digunakan pada zaman itu ialah penolak, gebeng, nanggal, batang igu, tanduk igu, gerat, gigi gerat, paha gerat dan lain-lain.
Image
Nanggal, igu dan gerat 
Image
Membeluh
Alat pembajakan secara tradisional dapat dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu nanggal, igu dan gerat. Setiap bahagian mempunyai komponen-komponen berkaitan dengan fungsi-fungsinya yang tertentu. Bahagian utama ialah nanggal iaitu komponen alat yang berfungsi untuk membajak atau memecahkan tanah sawah. Bahagian ini mempunyai komponen-komponen berkaitan iaitu nayang, ekor nayang, batang nanggal, baji, penolak, gebeng dan mata ketam. Bahagian igu pula mempunyai komponen-komponen berkaitan iaitu batang igu, tanduk igu, tali yut dan tali daha. Manakala bahagian gerat pula mempunyai komponen-komponen seperti batang gerat, paha gerat, gigi gerat, tangan gerat, mata ketam, penyengkeng dan kelilkir. Bahagian igu digunakan semasa kerja membajak dan kerja melumatkan tanah, manakala bahagian nanggal digunakan bersama-sama dengan bahagian igu hanya semasa kerja membajak dan bahagian gerat digunakan bersama-sama dengan bahagian igu semasa kerja melumatkan tanah.
Image
Menggerat
Proses penanaman padi secara tradisi ini bermula dari penyediaan sawah hinggalah terhasilnya beras yang bermula dengan penyediaan ‘bekas semai’ dan dikuti dengan aktiviti-aktiviti lain yang sangat teknikal dan memenatkan. Untuk menyediakan bekas semai, pertamanya tanah sawah dibajak kemudian dibiarkan beberapa minggu agar tanah menjadi lebih lembut. Sawah kemudian dibajak untuk kali kedua yang dipanggil membeluh. Selepas membeluh, tanah sawah digerat supaya menjadi lumat sebelum benih padi ditabur. Dalam tempoh penyediaan tapak semaian tersebut para petani akan merendamkan benih padi, menyejat dan membiarkan benih padi tumbuh sebelum ditabur ke ‘bekas semai’. Jenis padi yang ditanam pada zaman itu ialah padi mahsuri, malinja, naga, neli, jambu, pulut dan sebagainya.
Setelah benih ditabur, petani akan menyucuk daun kelapa yang telah dipotong-potong sebagai tanda bahawa petak sawah berkenaan telah ditabur benih padi. Pada zaman itu anak-anak ditugaskan untuk menjaga tapak semaian agar benih padi yang ditabur tidak dimakan burung, ayam atau itik. Spesis burung yang biasa memakan benih padi selepas ditabur ialah burung pipit, burung merpati dan burung tiak yang mencari makanan secara berkumpulan sehingga berpuluh-puluh  atau beratus ekor dalam satu-satu kumpulan. Apabila anak semaian sudah tumbuh agak tinggi haiwan seperti kambing, biri-biri, lembu atau kerbau yang dilepaskan oleh pemiliknya pula yang akan memakan anak padi. Sekiranya sawah mereka jauh dari rumah sesetengah petani mendirikan pondok kecil untuk dijadikan tempat menjaga sawah mereka daripada ancaman haiwan liar.
Image
Mencabut anak semaian
Setelah kira-kira 30 hingga 40 hari, tibalah masanya anak padi untuk diubah ke petak sawah lain yang disebut masyarakat setempat sebagai mencedung. Pada zaman dahulu terdapat amalan adat lama dengan meletakkan daun sepulih (fragracea racemosa) sebagai permulaan kerja mencedung dengan harapan padi akan cepat pulih selepas diubah ke petak sawah yang lain. Anak-anak padi biasanya dicabut oleh kaum wanita dan diikat dalam bentuk unting supaya mudah untuk dibawa ke petak sawah yang lain untuk dicedung. Unting biasanya diikat dengan menggunakan tali yang dibuat daripada kulit batang pisang, kulit pelepah pisang, kulit batang bemban (Donax canniformis) atau kulit pelepah rumbia (metroxylon spp) yang muda. Unting akan dipunggah oleh orang-orang lelaki dewasa dengan menggunakan lei ke petak sawah yang lain untuk dicedung.
Image
Mencedung
Kira-kira seminggu atau dua minggu selepas pokok padi dicedung atau diubah, para petani akan meninjau mana-mana pokok padi yang mati atau tidak tumbuh. Pokok padi yang mati akan diganti dengan pokok-pokok padi yang baharu yang dipanggil sebagai aktiviti  menyulap supaya semua anak padi yang ditanam hidup sepenuhnya dalam petak sawah tersebut. Dalam tempoh selepas itu air dalam petak sawah dijaga agar pokok padi dapat tumbuh dengan subur dan tidak bantut atau mereka sebut ‘ngok’.
Dalam jarak masa selepas mencedung hingga padi masak, biasanya penduduk kampung kami akan melakukan kerja-kerja sampingan lain seperti menanam pelbagai jenis ubi, sayur-sayuran, jagung, menangkap ikan dan ada juga yang kerja bertukang di kampung-kampung sekitar. Biasanya mereka akan melakukan kerja-kerja sampingan ini di lokasi yang tidak jauh dari kampung sendiri untuk memudahkan mereka membaja dan meracun serta memantau tanaman padi masing-masing. Dalam tempoh ini mereka sentiasa berdoa agar tiada musibah yang boleh merosakkan tanaman padi mereka. Bermulanya musim kemarau merupakan petanda kepada penduduk kampung bahawa padi sudah mula menguning dan tidak lama lagi padi boleh dituai.
Image
Ketam dan gemal padi
Setelah padi masak mereka menuai padi dengan menggunakan ketam. Padi diketam setangkai demi setangkai dan diikat menjadi gemal, iaitu kira-kira dua cekak tangkai padi yang dituai. Gemal-gemal padi tersebut disimpan di dalam baluh sebagai sumber makanan keluarga untuk setahun dan bukan untuk dijual. Berkat usaha gigih mereka, sawah yang luas melaut itu sedikit demi sedikit mereka dapat menuai sehingga semuanya selesai. Ada kalanya kerja-kerja mengetam padi dilaksanakan oleh penduduk kampung secara berderau. Manakala padi dalam bentuk gemal tersebut kemudiannya ditanggalkan daripada tangkainya dengan cara mengirik yang biasanya dilakukan oleh kaum wanita. Kaedah mengirik padi yang diamalkan sejak turun temurun ini kemudiannya diganti dengan kaedah baharu pada awal tahun 1970-an iaitu kaedah membanting.
Image
Baluh
Aktiviti mengirik dilakukan di atas bentangan tikar mengkuang atau belulang lembu atau belulang kerbau yang telah dikeringkan. Pada masa dahulu hampir setiap buah rumah di kampung kami mempunyai tikar atau belulang kering yang digunakan khas untuk menjemur dan mengirik padi. Padi hasil daripada irikan itu kemudiannya dijemur terlebih dahulu sebelum dikisar menggunakan kisaran padi yang dibuat oleh pakarnya yang tersendiri. Kisaran padi ini diperbuat daripada anyaman buluh dalam bentuk bulat dan di dalamnya diisi tanah liat yang dicampurkan dengan garam untuk tahan lebih lama. Bahagian bawah dan atas kisaran ini mempunyai gigi yang diperbuat daripada kepingan kayu untuk menghasilkan geseran bagi tujuan memecahkan kulit padi yang dikisar. Selepas dikisar, padi yang telah bertukar separa beras itu ditumbuk dengan menggunakan lesung kaki. Lesung kaki juga merupakan hasil ciptaan pakar dari kampung yang mengambilkira konsep ‘tuas’ sebagaimana yang terdapat dalam mata pelajaran sains yang dipelajari di sekolah.
Image
Mengirik padi
Selepas padi ditumbuk, kemudian ditampi dan akhirnya beras dihasilkan. Aktiviti menumbuk padi ini juga biasanya dilakukan oleh kaum wanita terutamanya pada sebelah malam. Dengan itu, pada hampir setiap malam musim menuai akan kedengaran sayup-sayup hentakan lesung kaki dari arah rumah jiran berdekatan yang menunjukkan mereka sedang menumbuk padi dengan menggunakan lesung kaki. Beras yang diproses secara tradisional ini dikatakan mempunyai khasiat yang lebih baik berbanding beras yang diproses secara teknologi moden. Dengan beras yang diproses secara tradisional inilah kami anak-anak kampung membesar, manakala barang-barang dapur dan keperluan-keperluan lain diperolehi melalui jualan secara tukaran barang (barter system) dengan pihak peniaga kedai runcit atau peniaga di pasar. Demikian besarnya jasa dan usaha orang-orang tua kita dahulu yang bekerja dengan penuh ikhlas yang disertai dengan doa agar dapat menghasilkan rezeki yang halal dan berkat untuk kaum keluarga mereka. 
Image
Persediaan kenduri beras baru
Selepas semua padi dituai biasanya penduduk kampung mengadakan kenduri kesyukuran atau disebut ‘kenduri beras baru’ sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT setelah segala usaha dan susah payah mereka semusim yang lalu telah mendapat hasil. Pada sebelah siang, biasanya para suri rumah akan bergotong-royong menyiapkan masakan untuk jamuan pada sebelah malamnya. Menu yang dimasak untuk kenduri tersebut biasanya gulai darat ayam kampung atau gulai itik serati yang mereka ternak sendiri, acar timun atau acar pisang benggala (Musa spp.), sambal dan ulam-ulaman yang diperolehi di sekitar kawasan kampung. Pada zaman itu tiada lagi ayam proses segar dijual sebagaimana pada hari ini, kecuali daging lembu atau daging kerbau yang dibeli di pasar.
Persiapan untuk memasak semua menu untuk jamuan ini biasanya mengambil masa dari pagi hinggalah ke petang sebelum dihidangkan pada sebelah malamnya, yang pada kebiasaannya selepas solat isya’. Para tetamu jemputan ialah terdiri daripada jiran tetangga dan sanak saudara yang tinggal berdekatan. Kenduri kesyukuran ini disertai dengan solat hajat,  tahlil dan bacaan doa selamat dan diakhiri dengan jamuan nasi beras baharu dengan  gulai ayam kampung atau gulai itik serati tersebut. Solat hajat dibuat untuk memohon daripada Allah SWT agar mereka sentiasa dimurahi rezeki untuk musim-musim yang berikutnya dan memohon dipermudahkan-Nya segala urusan mereka di dunia dan akhirat. 

05 November 2019

Kota Bharu: Kini dan Sebelumnya.

Setelah kira-kira 10 bulan tidak menulis di blog ini, maka hari ini idea untuk menulis muncul kembali selepas ke bandar Kota Bharu yang jarang-jarang dikunjungi setelah hampir 20 tahun berada di luar Kelantan. Semasa sekali-sekala balik kampung saya juga amat jarang ke bandar tersebut atas faktor kesesakan terutama sekali pada musim-musim perayaan utama kerana ramai warga Kelantan yang berada di luar balik ke kampung masing-masing. Ibu Negeri Cik Siti Wan Kembang ini kelihatan bertambah maju dan moden seperti juga pesatnya  pembangunan di ibu negeri dan bandar-bandar utama yang lain di negara ini.
Image
Stesen bas SKMK di Jalan Pendek
Beberapa hari lepas saya telah ke bandar utama negeri Kelantan ini yang jaraknya hanya kira-kira 25km dari kampung kami, dengan masa memandu setengah jam pada waktu bukan puncak.  Pada waktu puncak memerlukan masa hampir satu jam untuk sampai. Dalam kunjungan santai ini saya telah mengambil kesempatan untuk meneliti bandar yang pernah saya diami semasa belajar di Tingkatan 6 kira-kira 41 tahun yang lalu. Banyak perubahan telah berlaku kepada bandar ini khususnya daripada aspek laluan, landskap dan pertumbuhan fizikalnya. Kebanyakan jalan utama telah menjadi jalan sehala bagi tujuan melancarkan pergerakan trafik di pusat bandar. Perubahan-perubahan tersebut telah menjadikan kota ini kelihatan lebih ceria dan semakin ‘remaja’ berbanding 40 tahun yang lalu.
Image
Jambatan Sultan Yahya Petra 
Saya sengaja memandu dari Pasir Mas melalui laluan Pasir Pekan dengan menaiki Jambatan Sultan Yahya Petra yang dahulunya merupakan satu-satunya jambatan yang merentasi Sungai Kelantan. Jambatan yang asalnya mempunyai satu laluan dua hala itu kini telah menjadi 3 laluan dengan tambahan laluan dua lorong di sebelah kiri dan kanan laluan asal. Di hujung jambatan ini pula dibina flyover yang berakhir berhampiran persimpangan Jalan Dusun Muda, Langgar. Tambahan laluan ini untuk mengurangkan kesesakan kenderaan terutama sekali pada waktu puncak.
Dari flyover tersebut saya melalui Jalan Dusun Muda terus ke Jalan Bayam, Bangunan Wisma Persekutuan, Rumah Pangsa Jalan Bayam, Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1, Bangunan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan terus ke pusat bandar melalui Jalan Doktor berhampiran Stesen Bas SKMK, Telekom Malaysia Berhad dan deretan kedai. Pada masa dahulu di jalan ini terdapat Perpustakaan Carnegie iaitu perpustakaan awam yang kemudiannya diperbadankan di bawah Perbadanan Perpustakaan Negeri Kelantan. Kami sentiasa berjalan kaki melalui jalan ini ke stesen bas untuk balik kampung pada setiap hujung minggu.
Image
Gedung Kain Honyi dahulunya Bersatu Supermarket
Saya telah meletak kereta di tepi Bazar Siti Aisyah, dahulunya bernama Bazar Buluh Kubu yang terletak di Jalan Buluh Kubu bersebelahan dengan Pasar Besar Siti Khadijah. Saya telah berjalan di sekitar pasar yang telah dibina pada awal tahun 1980-an ini yang bahagian bawahnya telah diubahsuai menjadi lebih luas berbanding masa dahulu.  Namun di bahagian dalam aras bawah pasar itu kelihatan tidak lagi semeriah dahulu kerana para peniaga lebih bertebaran terutama sekali di bahagian luar bangunan asal pasar yang lebih selesa.
Image
Kota Bharu City Point dahulunya Arked MPKB 
berhadapan dengan Chin Seng Emporium
Saya dapat perhatikan beberapa buah bangunan dan premis utama di bandar ini telah bertukar fungsi dalam tempoh 4 dekad ini. Antaranya pada tahun 1970-an Kota Bharu mempunyai dua buah pasar raya utama iaitu Sayang Berjaya Supermarket yang terletak di Jalan Tok Hakim dan Bersatu Supermarket terletak di Jalan Buluh Kubu. Kini Sayang Berjaya Supermarket telah bertukar menjadi kedai Zon Ria, manakala Bersatu Supermarket telah bertukar menjadi gedung kain Honyi. Manakala bangunan Pasar Besar Kota Bharu yang ditukar menjadi Arked MPKB yang bahagian bawahnya terdapat gerai makanan dan di tingkat atasnya dijadikan bazar menjual kain batik, pakaian dan peralatan perhiasan rumah kini telah berubah menjadi Kota Bharu City Point.
Image
Bangunan Hotel Temenggong yang kosong
Kota Bharu pada satu ketika dahulu mempunyai empat buah pawagam iaitu Panggung Lido, Odeon, Rex dan Rani. Panggung Lido terletak berhampiran Taman Sekebun Bunga di tebingan Sungai Kelantan yang kini tersergam megah bangunan Hotel Grand River View. Manakala Panggung Odeon terletak di Jalan Tengku Chik kira-kira 150 meter dari Panggung Lido. Panggung Odeon kemudiannya telah dibeli oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan dan dijadikan ibu pejabat UMNO negeri. Pawagam Rex dan Panggung Rani pula terletak berderetan di Jalan Tok Hakim yang kini terdapat bangunan Tenaga Nasional dan Hotel Temenggong. Bangunan Hotel Temenggong dahulunya merupakan salah sebuah hotel yang gah di bandar ini yang terletak di persimpangan Jalan Temenggong dan Jalan Tok Hakim kini kelihatan kosong dan terbiar di tengah-tengah bandar tersebut.
Image
Bangunan UMNO Negeri Kelantan, dahulunya Panggung Odeon
Meskipun banyak perubahan telah berlaku namun terdapat beberapa premis yang kekal sebagaimana lebih 40 tahun yang lalu. Antara yang masih kekal ialah Chin Seng Emporium yang terletak di Jalan Hilir Pasar yang merupakan pusat membeli-belah utama sebelum adanya kedua-dua pasar raya tersebut. Saingan Chin Seng Emporium ialah Kelantan Emporium di Jalan Sultanah Zainab yang kini sudah tiada lagi. Selain itu stesen bas SKMK di Jalan Pendek juga masih kekal dan merupakan tempat yang sentiasa sesak dengan orang ramai, selain daripada di stesen teksi dan kereta sewa yang terletak di Jalan Dato’ Pati dan Jalan Ismail. Kebanyakan premis lama di jalan-jalan utama di bandar ini masih kekal dengan perniagaan masing-masing.
Image
Restoran Nasi Ulam Cikgu, Kampung Kraftangan
Kota Bharu kini mempunyai beberapa buah premis makanan yang popular antaranya kedai Nasi Sup Tok Ayah, Restoran Nasi Ulam Cikgu, Kedai Kopi White House, Yati Ayam Percik dan lain-lain. Nasi Sup Tok Ayah yang dahulunya terletak di Jeti Kastam berhampiran Tambatan Diraja kini telah berpindah ke Jalan Istana ekoran daripada pembangunan tebingan Sungai Kelantan. Restoran Nasi Ulam Cikgu pula terletak di Kampung Kraftangan yang sangat terkenal dengan murahnya. Manakala Kedai Kopi White House yang dibuka sejak tahun 1938 di Jalan Sultanah Zainab milik Mr. Siow Boon Suan sangat popular dengan nasi lemak, nasi dagang, roti bakar dan ‘telor masak separuh’nya. Yati Ayam Percik yang bermula di Padang Bas kini telah berpindah ke Jalan Long Yunus setelah tapak tersebut dibangunkan menjadi Kota Bharu Trade Centre. Restoran ini merupakan salah satu restoran nasi kerabu yang tersohor di Kota Bharu. Selain itu terdapat banyak lagi restoran dan warung yang menjadi tumpuan orang ramai dengan pelbagai menu yang menarik dan harga yang sangat berpatutan.
Mengunjungi ke Kota Bharu, seolah-olah telah membawa saya kembali ke alam persekolahan pada akhir 1970-an dahulu. Meskipun terdapat banyak perubahan dan pemodenan dari segi fizikalnya, namun wajah asal Kota Bharu tetap kekal dengan ciri-cirinya yang tersendiri.

13 Disember 2018

Kenderaan Dalam Memoriku

Semasa saya mula-mula bersekolah rendah pada tahun 1965, jalan raya kampung kami masih lagi belum berturap walapun jalan tersebut merupakan jalan utama yang menghubungkan bandar Pasir Mas dan Rantau Panjang serta jalan untuk masuk ke negara Thailand.  Pada tahun-tahun berikutnya jalan itu mula diperbaiki dan dinaiktaraf sebagai jalan negeri. Kerja-kerja menaiktaraf jalan tersebut bermula pada tahun 1966 semasa saya bersekolah dalam Darjah 2. Semasa kerja-kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf jalan itu dibuat saya berpeluang memerhati dengan lebih dekat semua jenis kenderaan dan jentera berat yang digunakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Antara kenderaan dan jentera berat yang digunakan pada ketika itu ialah lori roda 6 pengangkut tanah, lori roda 10 pengangkut jentera berat, road grader, jengkaut, traktor dan steamroller yang digunakan untuk tugas-tugas penyelenggaraan dan proses naik taraf jalan tersebut. Manakala Land Rover pula biasanya digunakan untuk membawa penyelia (overseer) atau orang-orang kampung kami menyebut sebagai ‘abusia’ iaitu pegawai JKR yang terlibat dengan pemantauan kerja-kerja luar. 
Image
Steamroller JKR model Aveling Barford
Kedatangan jentera-jentera tersebut merupakan satu ‘hiburan’ bagi kami budak-budak kampung pada ketika itu. Kami begitu seronok dan kagum melihat kecekapan pengendali jentera seperti road grader dan steamroller menjalankan kerja-kerja mereka itu dengan teliti dan kemas. Kerja-kerja tersebut juga pernah saya lihat sebelumnya semasa mereka melakukan kerja rutin setiap kali selepas musim tengkujuh pada setiap tahun. Jenis-jenis jentera berat yang digunakan oleh JKR pada ketika itu ialah road grader, jengkaut dan steamroller model Aveling Barford, MichiganCaterpillar dan lain-lain yang saya tidak berapa pasti namanya. Kebanyakan traktor yang digunakan ialah model Ford, manakala hampir semua lori pengangkut batu dan tanah pada ketika itu ialah lori model Albion FT37EL Chieftain, Albion CH13A Chieftain dan Thames Trader
Image
Lori JKR model Albion CH13A Chieftain
Di bahagian tempat muatan semua lori ditulis dengan akronim JKR serta dikuti huruf A dan nombor, yang pada hemat saya nombor-nombor tersebut merupakan nombor siri lori milik JKR di seluruh negeri Kelantan pada ketika itu. Nombor-nombor yang saya masih ingat  ialah nombor A1, A2, A3, A8, A18, A19 dan A56 bagi lori model Albion FT37EL Chieftain. Manakala A75, A76, A77, A83, A86, A87 bagi lori model Albion CH13A Chieftain dan A49 untuk lori model Thames Trader. Lori JKR model Albion CH13A Chieftain lebih menarik berbanding lori model Albion FT37EL Chieftain. Saya dan rakan-rakan memanggil lori model Albion CH13A Chieftain sebagai ‘lori kepala bertingkat’. Lori-lori model Albion FT37EL Chieftain kemudiannya digantikan dengan lori-lori model baharu iaitu model Ford L, Bedford MK dan model Seddon 16/4 yang juga buatan England. Lori model Bedford S-Type pacuan 4 roda pula digunakan untuk membawa mesin khas untuk kerja-kerja menyelenggara jentera berat seperti steamrollerroad grader, jentolak dan sebagainya kerana  model ini lebih tahan lasak. 
Image
Road grader JKR model Aveling Barford
Manakala lori 10 roda  pula terdiri daripada lori model Thames Trader dan Austin 503 yang digunakan untuk mengangkut jentera berat seperti bulldozer dan sebagainya. Kini JKR tidak lagi menggunakan lori-lori model vintage tersebut, sebaliknya lori-lori  model lama telah digantikan dengan lori-lori model Hino dan Mitsubishi buatan Jepun dan juga lori buatan India model Tata LPT 2516.  Apa yang menarik, JKR masih lagi menggunakan warna asalnya sampai sekarang iaitu warna kuning, kelabu dan hitam untuk semua kenderaannya yang sentiasa menggamit kenangan saya semasa zaman kanak-kanak dahulu.
Perkhidmatan bas dari Pasir Mas ke Rantau Panjang oleh Syarikat Kenderaan (Nets) Kelantan Berhad atau NETS yang melalui kampung kami telah bermula pada tahun 1965 semasa jalan tersebut masih lagi belum berturap. Nama NETS amat sinonim kepada generasi lama di Kelantan yang mana mereka faham NETS (mereka sebut {neʔ}) bermaksud bas, contohnya ..... Pak cik naik nets ke Pasir Mas. Pada tahun 1967 nama syarikat ini telah ditukar kepada Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan Berhad (SKMK) dan kekal hingga sekarang. Pada awal perkhidmatannya, bas yang digunakan untuk laluan ini hanya bas-bas pendek model Mercedes Benz O 319 buatan German dan Seddon MK17 buatan England dengan kapasiti 15 tempat duduk. Terdapat juga bas pendek jenis Seddon yang kepalanya seperti kepala lori.
Image
Bas SKMK model Seddon MK17
Setelah jalan raya Pasir Mas ke Rantau Panjang siap diturap pada akhir tahun 1967 serta dengan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan bas, maka pada tahun 1968 perkhidmatan bas panjang dengan kapasiti 38 hingga 40 tempat duduk mula diperkenalkan untuk laluan Kota Bharu – Rantau Panjang. Semua bas panjang yang digunakan di laluan ini pada ketika itu ialah model Seddon MK17. Bas-bas tersebut kemudiannya digantikan dengan bas-bas panjang model baharu iaitu Mercedes Benz 608 pada pertengahan tahun 1970-an, kemudiannya pada akhir tahun 1970-an diganti pula dengan model Mercedes Benz 1113 dan model Tata LP1313. Bas-bas yang digunakan oleh SKMK pada masa itu berwarna biru dengan bumbung berwarna putih dan ditulis nama syarikat dengan tulisan jawi yang berwarna kuning emas serta berlogokan seekor kijang sedang melompat. Kijang merupakan lambang haiwan lagenda bagi sejarah negeri Kelantan. Bas-bas lama kemudiannya dijadikan bas sekolah dengan ditukar warna kepada warna kuning muda dan ditulis perkataan ‘BAS SEKOLAH’ dengan tulisan berwarna hitam pada badannya. Kerja-kerja ini dibuat di depoh bas SKMK di Kubang Kerian, Kelantan.
Image
Bas SKMK model Tata LP1313
Pada pertengahan tahun 1970-an juga perkhidmatan bas ekspres antara bandar telah diperkenalkan antara Kota Bharu ke bandar-bandar utama di Kelantan. Bas ekspres antara bandar ini dipanggil sebagai Bas Cepat yang mengadakan perkhidmatan dari Kota Bharu ke destinasi-destinasi seperti Rantau Panjang, Tanah Merah, Tumpat, Kuala Krai melalui Machang dan Pasir Puteh. Perkhidmatan Bas Cepat antara Kota Bharu dan Rantau Panjang turut melalui jalan raya kampung kami. Perkhidmatan Bas Cepat kemudiannya diadakan ke negeri Terengganu iaitu ke Jertih, Kuala Besut dan Kuala Terengganu.
Image
Bas pendek SKMK model Seddon MK17
Kali pertama saya menaiki bas dalam hidup ialah semasa berada dalam Darjah Satu, yang pada ketika itu ayah membawa saya untuk membeli baju dan kasut untuk Hari Raya di bandar Pasir Mas. Saya terpaksa berdiri di sebelah pemandu bas tersebut kerana penumpangnya terlalu ramai. Bas pendek 15 penumpang itu tidak mempunyai konduktor sebaliknya pemandu yang mengutip tambang semasa penumpang naik. Tambang bas dari kampung kami ke bandar Pasir Mas pada ketika itu hanya 30 sen dan tambang untuk ke Rantau Panjang ialah $1.20 bagi orang dewasa. Pada ketika itu stesen bas Pasir Mas terletak di antara Jalan Masjid Lama dan Jalan Market, berhampiran dengan sebuah musalla di tengah-tengah bandar Pasir Mas. Kini stesen bas tersebut telah dipindahkan ke Jalan Tengku Ahmad di atas tanah milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) berhampiran dengan Bazar Mara.
Selain bas dan lori, kebanyakan kereta yang melalui jalan raya kampung kami untuk ke Rantau Panjang ialah kereta sewa atau teksi. Kereta-kereta persendirian masih lagi belum banyak pada ketika itu kerana orang awam tidak mampu memilikinya kecuali mereka yang berjawatan tinggi dalam kerajaan dan ahli perniagaan yang berjaya. Kebanyakan kaki tangan awam dalam kerajaan seperti guru, kerani dan sebagainya hanya mampu memiliki motosikal sahaja pada ketika itu. Kebanyakan daripada mereka hanya menaiki pengangkutan awam seperti bas, kereta api, beca dan basikal sahaja untuk ke tempat kerja.
Image
Teksi Mercedes-Benz 200D
Pada tahun 1960-an kebanyakan kereta sewa atau teksi yang melalui jalan raya kampung kami ialah model Mercedes-Benz 180D, Mercedes-Benz 190D, Mercedes-Benz 200D, Mercedes-Benz 220D, Peugeot 403 dan terdapat juga kereta sewa model Morris Oxford serta Austin Cambridge A60. Kereta-kereta sewa atau teksi ini beroperasi untuk destinasi Pasir Mas ke Rantau Panjang atau Kota Bharu ke Rantau Panjang. Pada awal tahun 1970-an peranan kereta sewa atau teksi model Peugeot 403 buatan Peranchis ini diambilalih oleh model Peugeot 404 yang sangat popular sebagai teksi dan kereta sewa di seluruh negara, khususnya di Kuala Lumpur.
Manakala teksi model Morris Oxford dan Austin Cambridge A60 terus tidak kelihatan dan tiada lagi model pelapis. Kereta-kereta model ini kini telah menjadi sebagai sebahagian daripada koleksi peminat kereta vintage. Apa yang jelas pada masa itu kereta-kereta buatan Jepun masih lagi tidak popular di negara kita seperti hari ini. Kereta-kereta Jepun yang kelihatan di jalan raya pada ketika itu kebanyakannya model Toyota Corona P1[29] dan Datsun Bluebird 510. Kini kereta-kereta sewa atau teksi model lama ini sudah tidak digunakan lagi dan telah diambilalih oleh kereta-kereta model baharu buatan Malaysia, Jepun dan Korea.