WUJUD KERJASAMA AKADEMIK BINA JIWA ASIA TENGGARA

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian pada 3  November 2021

POTENSI penyelidikan dalam bidang pengajian Islam di Asia Tenggara mesti diterokai sarjana serantau. Dua isu potensi utama ialah keamanan global dan pembangunan mampan seperti ditekankan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Akademik dengan Universiti Islam Negeri (UIN) Antasari, Banjarmasin, Indonesia dan Princess of Naradhiwas University (PNU), Thailand baru-baru ini.

Isu keamanan global perlu menjadi fokus penting memandangkan rantau ini dan masyarakat dunia masih berdepan pelbagai bentuk ancaman keselamatan. Oleh itu, sarjana disyorkan mengkaji punca dari pelbagai sudut, termasuk aspek ideologi, pemikiran, psikologi dan budaya yang mempengaruhi keganasan.

Realitinya, kajian isu keamanan global di Asia Tenggara masih rendah sedangkan isu keselamatan dan ancaman terhadap keamanan serantau masih berleluasa. Myanmar adalah contoh terbaru mengenai ancaman keamanan di Asia Tenggara, manakala isu keamanan di Thailand antara mesti dikaji secara berterusan untuk merungkai penyelesaian terbaik.

Sijil Maqasid al-Shariah Lestarikan Pemikiran Maqasidi

Ucapan Aluan pada Majlis Pentauliahan Sijil Tamat Kursus Program Sijil Maqasid al-Shariah (Modul 1) Anjuran Akademi KDH, Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang, Selangor pada 11 Julai 2021, Ahad, 9.30 pagi.

Oleh Muhamad Razak Idris

1.  Asslamualaikum, Presiden KDH, Naib Canselor Unisel, Ketua Eksekutif KDH, para pensyarah, para peserta kursus, hadirn hadirat yang berkesempatan bersama.

2. Program Sijil Maqasid al-Shariah ini dirangka bertujuan untuk melestarikan kefahaman ilmu maqasid al-shariah di kalangan masyarakat Islam, seterusnya membina pemikiran maqasidi di kalangan umat Islam di negara kita. Pemikiran maqasidi amat penting kerana ia mengandungi beberapa ciri antaranya bersifat kebertujuan (purposefulness), kemenyeluruhan (wholeness) dan bersistem (systemic). Kita yakin, pembudayaan pemikiran maqasidi di kalangan umat Islam akan menyumbang terhadap usaha dan ikhtiar kita bagi membina semula tamadun ummah.

3. Di peringkat awal, kami berasa ragu terhadap sambutan bagi program yang bersifat berbayar untuk kursus kandungan yang berat. Namun, kita bertawakkal atas semangat kepentingan penyebaran ilmu maqasid secara bermodul dan ilmiah mula dibudayakan dalam masyarakat.

4. Setelah mendapat restu pimpinan Kolej Darul Hikmah, sekumpulan tenaga akademik muda telah mengadakan beberapa siri bengkel pembangunan kandungan kursus. Oleh itu, kami ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah terlibat terutama Dr Ab. Halim Muhammad dan Dr Muhammad Nur Manuty yang telah menjadi penilai kepada kandungan kursus yang ditawarkan.

Image

5. Apabila kandungan kursus dipersetujui, seramai 8 orang pensyarah telah ditugaskan untuk memperincikan kandungan sebanyak 10 subjek kursus. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyarah iaitu, Dr Ahmad Irdha Mohtar yang telah mengajar subjek Pengenala Maqasid al-Shariah dan Maqasid Ilmu; Ustaz Mohd Nazir Mohd Tap bagi subjek Maqasid Aqidah, Ustaz Mohamad Zulkifli Abd Rahman bagi subjek Maqasid Ibadah, Dr Asma Hakimah Ab Halim bagi subjek Maqasid Keluarga, Ustaz Hasri Harun bagi subjek Maqasid Muamalat, Dr Mohamad Nazir Alias bagi subjek Maqasid Akhlak dan Maqasid Amal Islami, Dr Rosli Mokhtar bagi subjek Maqasid Perundangan dan akhir sekali, Ustaz Marwan Bukhari Abd Hamid bagi subjek Maqasid Politik.

6. Kami menyedari iaitu kandungan kursus ini adalah inisiatif awal dan ia belum sempurna. Kami akan terus menambaik kandungan kursus pada semester akan datang berpandukan input dan maklumbalas dari semua pihak. Kami bercadang menawarkan kursus ini pada tahun-tahun akan datang. Oleh itu, kita ingin mengambil peluang di sini untuk mengajak semua hadirin mengambil peluang apabila ia ditawarkan nanti.

7. Kami ingin menyatakan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada seramai 36 orang peserta atau pelajar yang telah mengikuti Modul 1 program sijil ini. Para peserta yang hanya berkenalan dan bertemu di alam maya, telah mengikuti pengajian selama 40 jam iaitu 4 jam seminggu pada setiap hari Ahad selama 10 minggu yang lalu. Para pelajar juga telah menjalani ujian kefahaman sebanyak 50 soalan objektif dan alhamdulillah semua telah lulus ujian tersebut. Tahniah diucapkan. Kami berharap tuan-tuan dan puan-puan telah mendapat manafaat ilmu yang sebaiknya dari penyertaan ini menerusi khidmat kependidikan oleh Kolej Darul Hikmah.

8. Sebagaimana telah dimaklumkan secara lisan, program Sijil Maqasid al-Shariah ini mengandungi 3 modul. Pengajian Modul ke 2 dijangka akan bermula pada 15 Ogos nanti dan maklumat lanjut akan diberikan di akhir acara ini. Ia akan memberi fokus mendalami turath ilmu falsafah sejak era klasik hingga hari ini. Kami berharap peserta semua yang telah menyambung atau meneruskan Modul ke 2 nanti.

8. Suka kami memaklumkan iaitu kos yuran yang dikenakan bagi setiap modul adalah sebanyak RM250 ringgit. Bagi jumlah ini, peserta telah memperoleh khidmat pengajaran sebanyak 40 jam, nota bacaan dan rujukan, kuiz pembelajaran kendiri dan sijil penyertaan. Ini bermakna, setiap pelajar telah membayar kos kursus ini secara purata sebanyak RM6.25 sen untuk satu jam pembelajaran. Para peserta juga boleh membawa yuran pengajian secara ansuran. Kos pengajian yang berpatutan ini diperkenalkan adalah sejajar dengan dasar kependidikan KDH yang menekankan konsep pendidikan kerakyatan.

9. Oleh itu, kami itu, adalah penting untuk kami mengucapkan penghargaan kepada pihak Institut Darul Ehsan dan Institut Maqasid Universiti Selangor yang telah bergabung tenaga dengan pihak KDH dan telah memberikan penajaan yang bermakna bagi kejayaan pelaksanaan program yang penting ini. Kami berharap kerjasama dan sokongan ini akan dapat diteruskan untuk modul-modul akan datang.

10. Sebelum berakhir, kami ingin mengucapkan berbanyak terima kasih setingginya kepada para petugas yang terlibat sejak awal pengelolaan program ini terutama Puan Hajjah Rohana, En Muhammad Hafiz Mohd Esa, En Khairul Arifin Abd Munir, Puan Nazirah, Ustaz Shahrul Hizam dan Eksekutif sepenuh masa iaitu  En Nokman Zainal Abidin. Tidak dilupakan kepada Prof Dato Dr Siddiq Fadzil, Dr Salmijah Surif dan Prof Dr Redzuan Othman yang telah memberikan dokongan penuh terhadap program ini sejak dari awal pengenalannya. Semoga segala amal baik kita semua diberkati Allah dan menjadi jariah terbaik di hari akhirat.

11. Akhirul Kalam, tahniah sekali lagi kepada semua peserta atas pentauliahan sijil tamat kursus dan semoga ilmu yang diperoleh berguna dan bermanfaat untuk diri, masyarakat dan ummah.

Dr Muhamad Razak Idris ialah Pengarah Akademi KDH dan pengelola Program Sijil Maqasid al-Shariah.

PEMERIBUMIAN EPISTEMOLOGI MENANGANI KELESUAN TAMADUN ISLAM

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar BH 7 Mei 2021

Para sarjana Muslim moden memberi banyak tumpuan dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan kelesuan umat Islam. Permasalahan ini didapati antara punca utama yang telah menghambat kelemahan dan kemunduran tamadun ummah hari ini. Sejarah perkembangan pemikiran Islam semasa menunjukkan pelbagai bentuk penawar atau metod penyelesaian terhadap permasalahan itu mencakupi pendekatan kerohanian, kependidikan, politik, ekonomi dan kebudayaan. Tokoh-tokoh sarjana Muslim yang terkenal sejak dahulu hingga kini yang telah mengemukakan idea-idea penyelesaian terhadap kelesuan umat di dunia Islam hari ini  termasuklah antaranya Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh, Muhammad Iqbal, Hasan al-Banna, Abul Ala’ Maududi, Malik Bennabi, Hassan al-Turabi, Ismail al-Faruqi dan Yusof al-Qaradhawi.

Sesungguhnya umat Islam amat memerlukan cetusan idea-idea terbaik sepanjang masa memandangkan isu kelesuan umat adalah satu permasalahan ketamadunan yang besar. Dalam erti kata lain, kelesuan ialah satu bentuk gejala atau penyakit yang menjadi faktor utama yang telah membantut keupayaan umat Islam berperanan sebagai umat terbaik atau khayra ummah. Kelesuan umat hari ini terzahir pada fenomena kehilangan halatuju terhadap peranan dalam kehidupan masa kini, kerendahan semangat dan motivasi bagi mencapai kecemerlangan serta  penularan pemikiran dan sikap pasif terhadap perubahan dan kemajuan. Fenomena kelesuan ini antara penyumbang yang telah menjadikan pencapaian tamadun Islam ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan dan kemanusiaan semasa.

Universiti perlu iktiraf karya ilmiah popular ahli akademik

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar Berita Harian, 26 Mac 2021, Jumaat.

KEPEMIMPINAN universiti di negara ini wajar meningkatkan inisiatif bagi memberi motivasi tinggi kepada ahli akademik supaya aktif menghasilkan karya berbentuk separa ilmiah atau popular diterbitkan pelbagai institusi media arus perdana.

Didapati sebahagian universiti tidak memberikan penghargaan sewajarnya terhadap karya berbentuk popular dihasilkan ahli akademik mereka.

Sekiranya keadaan ini berlanjutan, ia boleh memberi kesan jangka panjang yang tidak baik terhadap kelestarian ekosistem pembangunan ilmu di negara kita terutama dari segi perpindahan ilmu tinggi dihasilkan menerusi penyelidikan di menara gading kepada kefahaman masyarakat awam.

Memang diakui golongan akademik terlatih dalam bidang pengajian tinggi, bertanggungjawab menghasilkan tulisan atau karya ilmiah diiktiraf kelompok dikenali ‘komuniti saintifik,’ iaitu golongan berkepakaran tinggi dalam bidang penyelidikan ilmu masing-masing.

Mengenang Wawasan Dr Surin Pitsuwan Bagi Keamanan ASEAN (1949-2017)

Oleh Muhamad Razak Idris

Pada 30 November 2020, genaplah tiga tahun pemergian Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan (1949-2017) ke pangkuan Ilahi. Jasa Dr Surin hendaklah dikenang kerana beliau ialah seorang tokoh Muslim di era moden yang pertama dari Thailand yang berjaya mencapai tahap terbaik dalam bidang kepempimpinan ilmu dan politik di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. Sepanjang kerjayanya, beliau banyak memberi tumpuan terhadap wawasan membangun sebuah komuniti Asia Tenggara yang makmur dan saksama.

Dr Surin dilahirkan pada 28 Oktober 1949 di Ban Tan iaitu sebuah perkampungan minoriti Muslim di Nakhon Si Thammarat, Thailand. Di kalangan ahli keluarga dan masyarakat setempat, beliau dikenali sebagai Abdul Halim Ismail. Dr Surin dibesarkan dan mendapat pendidikan awal di pondok atau madrasah agama yang diasaskan datuknya, Haji Yaakob bin Abdul Rauf iaitu Maahad Misbah al-Din. Madrasah ini kemudiannya diwarisi ayahnya, Haji lsmail Pitsuwan dan ibunya, Hajjah Sofiah. Setelah menamatkan pendidikan asas agama, beliau menyambung pendidikan formal di peringkat rendah dan menengah di Nakhon Si Thammarat  dan berjaya memperoleh ijazah di Fakulti Sains Politik, Universiti Thammasat di Bangkok, Thailand. Kemampuan akademik Dr Surin mendapat perakuan dan beliau telah ditawarkan biasiswa mengikuti pengajian sarjana pada 1974 dan menamatkan ijazah kedoktoran dalam bidang Sains Politik di Universiti Havard, Amerika Syarikat pada 1982 di bawah tajaan Yayasan Rockefeller.