Oleh Muhamad Razak Idris
Disiar di Berita Harian, 22 Jun 2012
Ahli-ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama (JKMPKA) baru sahaja menamatkan siri lawatan muhibbahnya ke Serawak pada 18-21 Jun yang lalu. Lawatan ini adalah siri ketiga selepas Sabah dan Kelantan. Ia dianjurkan di bawah kelolaan Jawatankuasa Kerja Aktiviti-Aktiviti Bersama, sebuah unit yang ditubuhkan di bawah JKMPKA.
Penulis ada menjelaskan dalam beberapa tulisan sebelum ini iaitu JKMPKA ialah satu jawatankuasa yang dibentuk oleh kabinet Malaysia pada 24 Febuari 2010 bertujuan sebagai pemangkin ke arah mewujudkan, menggalakkan dan memantapkan iklim perhubungan yang baik dalam kalangan serta panganut pelbagai di negara kita. Ia juga sebagai saluran yang akan menjambatani ikatan persahabatan berteraskan semangat saling hormat menghormati dan percaya mempercayai serta bekerjasama secara muhibbah di segenap peringkat dan akar umbi.