KERJASAMA AGAMA DAN NEGARA REALISASI POLITIK ISLAM

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 16 Mac 2013

Sarjana Muslim mendapati masih ramai kalangan masyarakat yang keliru mengenai cita-cita dan tujuan politik Islam. Kekeliruan ini terjadi antaranya kerana dipengaruhi oleh perkembangan pemikiran yang bercorak dualisme dalam wacana kenegaraan di dunia Islam. Agama dan negara daripada perspektif dualisme berada dalam dua ruang berlainan dan kedua-duanya tiada perkaitan. Justeru, perbahasan mengenai politik Islam ditanggapi sebagai sesuatu yang tidak relevan dalam konteks diskusi kenegaraan semasa.

Kekeliruan terhadap peranan dan kedudukan politik Islam masa kini mendorong sarjana Muslim menjelaskan hakikat cita-cita dan tujuan politik Islam. Penjelasan ini antara lain bertujuan bagi membetulkan salah faham dan kekeliruan ini. Menurut mereka, cita-cita dan tujuan politik Islam luhur dan mulia yang mana ia merentasi tujuan kebendaan dan lahiriah kehidupan ini. Kekuasaan dalam bidang pemerintahan pada peringkat kenegaraan, serantau dan antarabangsa yang dicapai menerusi wasilah politik adalah langkah atau wadah bagi melengkapi tujuannya yang lebih tinggi, iaitu meninggikan syiar agama di muka bumi dan mengembangkan risalah dakwah secara lebih meluas ke seluruh alam. Cita-cita dan tujuan ini adalah sebuah misi bagi merealisasikan risalah kerahmatan Ilahi dalam seluruh bidang kemanusiaan dan ketamadunan manusia yang luas ini.

Teruskan membaca

CABARAN JAMIN KESTABILAN GEOPOLITIK ASEAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiar di Berita Harian, 9 Mac 2013

Peristiwa pencerobohan Lahad Datu oleh sekumpulan warga Filipina mengundang banyak pengertian dan tafsiran. Satu daripadanya ialah betapa persoalan kestabilan geopolitik rantau ASEAN masih belum reda dan berdepan dengan pelbagai cabaran dalaman. Pencerobohan itu adalah satu daripada beberapa bentuk ancaman baru yang muncul dalam konteks perkembangan rantau ini di era semasa.

Sebelum peristiwa pencerobohan itu berlaku, kepemimpinan ASEAN menangani beberapa isu keselamatan dan kestabilan rantau yang wujud sekian lama dan yang muncul pada masa kini. Konflik di Selatan Thailand dan Mindanao di Selatan Filipina serta isu etnik Rohingya di Myanmar adalah antara isu sejarah masa lalu yang berlarutan dan sedang ditangani. Manakala, isu mutakhir pula berkaitan dengan perkembangan sosiopolitik dunia seperti kewujudan kumpulan ekstrem serta isu pengedaran dadah dan pemerdagangan manusia.

Teruskan membaca

TANGGUNGJAWAB MENGUNDI TUGAS KENEGARAAN MESTI DITUNAIKAN

Oleh Muhamad Razak Idris

Disiarkan di Berita Harian, 3 Mac 2013

Banyak kewajipan yang harus kita sempurnakan dalam kehidupan ini. Antaranya ialah tanggungjawab kenegaraan. Dari sudut pandangan Islam, tanggungjawab kenegaraan adalah sebahagian daripada aspek penting yang menyempurnakan proses pengabdian diri seorang Muslim di sisi Allah SWT.

Pandangan ini sejajar dengan pengertian agama, iaitu sistem atau cara hidup yang syumul atau menyeluruh. Dalam kata lain, manifestasi pengabdian seorang Muslim terhadap Penciptanya bukan terhad dalam aspek melaksanakan ibadah khusus seperti menyempurnakan perintah bersolat dan berpuasa, malah ia juga meliputi tugas dan tanggungjawab memelihara kesejahteraan hidup bermasyarakat serta menjayakan agenda kemajuan dan pembangunan dalam pelbagai bidang kehidupan bernegara.

Asas keagamaan yang menyeru penganut Islam menyempurnakan tanggungjawab kenegaraan ini tergambar dalam banyak seruan al-Quran dan al-Sunnah. Misalnya, perintah al-Quran mengenai kewajipan setiap Muslim terbabit dalam menyeru kepada usaha kebaikan (al-amru bi al-maaruf) dan mengekang kegiatan yang boleh membawa masyarakat kepada kerosakan (al-nahyu an al-mungkar) adalah gambaran mengenai tanggungjawab kenegaraan seorang Muslim, terutama dari aspek menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat dalam keadaan terpelihara.

Teruskan membaca