17.5.12

Cinta kita Cinta Luar Biasa

Image

Kanvas biru langit dihiasi tompok-tompok awan yang putih. Cantik. Nirmala. Perlahan-lahan awanan mengengsot memberikan ruang untuk mentari beraksi. Pagi yang muram kini sudah ceria. Jutaan bunga tulip di Taman Bunga Keukenhof turut menadah kelopak-kelopak tanda syukur. Salina menala pandangan ke arah matahari lalu tersenyum. Jika begini indahnya dunia, syurga apatah lagi.

Terlintas di benak Salina hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A “Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas dalam hati manusia”.

“Sal dengar kalau orang tengah bercinta, memang suka senyum seorang-seorang. Nampaknya betullah apa yang Sal dengar.”

Salina ketawa kecil. Dia melirik pandangan ke arah adiknya. Salwa, merupakan pelajar perubatan tahun akhir di University of Aberdeen. Kebetulan cuti Easter ini, mereka bertemu di Amsterdam. Bukan mudah nak berjumpa walaupun jarak antara Stockholm dan Aberdeen hanya 2 jam melalui udara. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kuliah masing-masing.

Salwa melambai tapak tangannya di hadapan mata Salina, “Feeling has been developed to each other. It is called affection. Tengok adik sendiri pun dah terlihat ‘si dia’. Parah dah kakak aku seorang ni.”

“Sal pernah merasa tidur dekat luar rumah tanpa heater tak? Kalau nak merasa malam ni tidur luar hotel boleh Dr. Salina mempertimbangkan. Apatah lagi hotel kita dekat dengan kawasan panas di bandar Amsterdam itu.” Salina menukar riak wajahnya menjadi serius.   

“Taknak, taknak kakakku sayang. Saya akan menurut perintah, menjadi adik yang baik.” ujar Salwa sambil menabik hormat kakaknya.

“Memang Drama Queen lah. You really know how to take it to the next level.”

Tawa menghiasi wajah mereka.

***
Image

Keukenhof merupakan taman tulip terbesar di dunia yang hanya dibuka selama 2 bulan kepada para pengunjung. Taman yang seluas 6000 meter persegi ini ditanam dengan 300 spesis tulip beraneka warna. Mereka ditanam dengan teliti untuk memberikan pemandangan yang luar biasa.

Matahari sudah mula condong ke arah barat. Salina dan Salwa menikmati waffle demi mengalas perut sambil menikmati pemandangan kincir angin yang tersergam kukuh di tepi terusan. Sungguh menenangkan.

“Salwa dah tahun akhir kat Aberdeen tu. Takda tersangkut dengan mana-mana jejaka ke?”

“Uhuk-uhuk.” Tersedak Salwa mendengar pertanyaan itu. “Pardon?”

“Uhm, I want to know when you are going to get married. Hari tu Sal tolak Badrul, mungkin kerana tidak bersedia. Now, I don’t think there is any obstacle for you. Maybe, both of you.” Salina cuba mencuit hati adiknya.

Salwa menundukkan pandangannya ke bawah. Berfikir sejenak. Menarik nafas dan kembali memandang ke arah kincir angin yang berputar. “Sal percaya, sebelum kita berkahwin kita mesti jatuh cinta atau at least ‘berkenan’ dengan somebody. Maksud cinta ini bukanlah seperti takrifan kebanyakan orang, cinta mesti keluar dating, cinta mesti tengok wayang bersama, cinta mesti call ucap sleep tite, cinta mesti beli hadiah masa hari kekasih dan banyak lagi.”

Salina mengangguk. Benar kata adiknya. Takrifan cinta sekarang dicemari dengan apa yang sering kita lihat di media. “Jadi, bercinta yang bagaimana?”

“Asas cinta itu haruslah kerana Allah. Tautan hati kedua-dua pasangan didasarkan kerana cinta-Nya. Maka, masing-masing mempersiap diri menjadi insan yang lebih dicintai Allah. Barulah hasilnya cinta luar biasa. Pasangan ini kak, macam pakaian antara satu sama lain. Saling melengkapi dan mempengaruhi.”

Salina melemparkan senyuman, “Betul. Betul. Contoh macam kita ini, bakal isteri. Kita boleh mencontohi para isteri dan sahabat baginda. Contohilah Khadijah R.A yang sentiasa menyokong dan menenangkan baginda Rasulullah S.A.W dalam jatuh bangun berdakwah. Lihatlah juga Asma’ binti Abu Bakar, serikandi mulia itu. Dia membantu suaminya Zubair al-Awwam dalam menyara keluarga. Tapi, soalan akak tak terjawab lagi ni. Bila Sal nak kahwin? Boleh kita buat majlis serentak.”

“Sooner or later akan kahwin juga, kak. Tentang Badrul tu, bukan Sal tak berkenan. Dia memang bagus orangnya, menyatakan hasrat dia kepada ummi dan abah. Itu bermakna dia serius. Tapi jujurnya waktu itu, Sal masih belum bersedia. Di Aberdeen pun masih belum stabil lagi akademik Sal.”

“Assalamualaikum, ini kak Ina kan? Dan ini…Salwa.” Jejaka itu menutur lambat.

“Waalaikumussalam, eh Badrul.” Balas Salina dengan nada terkejut.

Mata Salwa membundar, pipinya bertukar menjadi merah. Adakah Badrul mendengar perbualan mereka?
Continue Reading

24.2.12

Cerpen: Menjalani Janji Hati Kita

Image
Hari ini hari baru. Hari yang Allah kurniakan peluang untuk hamba-hamba-Nya bergerak, berusaha, bertaubat, berbuat bakti bagi menyiapkan diri untuk menghadapi mati. Tidak ramai yang ambil peduli peluang ini, lantas hari baru dijalani seperti hari sebelumnya. Tiada beza.

Garis-garis cahaya mentari menembusi jendela dan mula menerangi bilik tidur Salina. Salina sudah lama bangun daripada tidur. Bagi dirinya, kesempatan beruzlah di bumi asing Stockholm ini bukanlah bererti dia keseorangan. Peluang beruzlah ini digunakan untuk meneliti diri. Peluang baginya mencabar diri, beramal bukan kerana mahu dilihat manusia. Tetapi beramal hanya kerana Allah, Tuhan yang menciptakan dirinya daripada tiada kepada ada. Bukan untuk siapa-siapa.

Malah, di Stockholm dia mula menyertai Islamic Circle of Stockholm bersama-sama dengan komuniti Malaysia di sini. Mereka memperbaiki bacaan al-Quran, membaca hadis, mendengar tazkirah, mempelajari sirah dan macam-macam lagi. Itulah kebiasaannya setiap hujung minggu.

Kalau dulu, dia terlampau sibuk dengan tugasnya sebagai seorang doktor. Syukurlah dapat baca al-Quran seminggu sekali. Itu pun satu dua muka sahaja. Di sini, dia bersyukur dapat meningkatkan bacaan al-Quran dan mendalami ilmu-ilmu agama.


Setiap pagi Sabtu pula, Salina akan berhubung melalui Skype dengan keluarga tercinta. Jika di Stockholm pagi, di Shah Alam, petang. Dia menekan butang 'panggilan video' Abah. Tidak lama kemudian dua jasad insan yang dia cintai muncul di skrin MacBook Pro. Jelas kelihatan wajah mereka berseri-seri.

"Assalamualaikum. Ibu abah apa khabar?"

"Waalaikumussalam. Sihat, Ina. Allah pelihara, mestilah sihat. Anak abah sihat?" mesra jawapan Abah.

"Alhamdulillah, syukur abah ibu. Ina sihat. Makan kenyang, tidur lena, mandi pun basah."

Ketawa kecil menghiasi suasana.

"Kamu ini Ina, ada-ada saja. Ina, ibu ada benda penting nak bincang dengan Ina. Ada keluarga yang datang untuk merisik anak ibu ini. Ibu dan abah rasa sudah tiba masanya Ina mendirikan rumah tangga. Ina pun dah 'final semester' di Karolinska Institut tu."

"Ibu maksudkan kahwin?" Serta-merta wajah putih Salina menjadi merah dan panas. Biar betul ini. Kahwin? Dasar hatinya terdetik, siapa tidak mahu kahwin. Aci tipulah siapa yang tidak mahu bercinta, mencintai dan berkahwin. Semua itu fitrah. 

Cuma tinggal tangan-tangan manusia yang menodai cinta sebelum kahwin. Salina percaya cinta itu fitrah. Mustahil sesuatu yang fitrah cuba ditidakkan. Islam tidak pula mengajar cinta itu sesuatu yang haram. Malah Islam, agama lengkap ini mengajar, jika benar cinta, bawalah yang kamu cinta ke syurga. Apa-apa yang membawa ke neraka bukan cinta. Itu dusta.

"Ya. Rombongan daripada Encik Don Biyajid. Dia merisik untuk anaknya, Don Luqman." Ibu memandang wajah anak perempuan bongsunya itu. Comel. "Katanya, kamu berdua sudah kenal sebelum ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Kalau Ina kata ya, mereka hendak datang meminang minggu hadapan."

Mata Salina yang sepet itu membesar. "Don Luqman? Minggu hadapan? Meminang? Betul ke apa yang aku dengar ini?" Hampir terjatuh rahang dibuatnya. Nama Don Luqman menyebabkan rahang jatuh seinci lagi.

"Ibu dan abah tidak memaksa untuk Ina memberikan jawapan sekarang. Ina boleh solat sunat istikharah, doa agar minta petunjuk. Oh, ya. Jika Ina ada sesiapa yang Ina berkenan, Ina boleh beritahu."

***

Telinga berdentum lagu Sedang Apa Dan Dimana, Sammy Simorangkir. "Dalam beratus-ratus lagu dalam iPhone ni, macammana lagu melankolik pula yang naik." detik hati Salina.

Dulu selalu ada. Waktu untuk kita. Kini kusendiri. 

Dulu di PPUM, Dr. Don Luqman itu Doktor Pakar Neurologi. Boleh kata setiap hari kena mengekori dia ke wad. Ikut macam anak itik. Saban minggu juga menyaksikan dia membedah otak para pesakit. Bak kata pujangga, cinta datang tanpa diundang. Sudah berbulan-bulan bersama. Perasaan itu ada. Tapi itu dulu di PPUM, kini aku sendiri di bumi Sweden.

Dulu kata cinta. Tak habis tercipta. Kini tiada lagi.

Pernah sekali aku dipanggil oleh Dr. Don Luqman ke pejabatnya. 

"Dr. Salina. Kamu yang mulakan IV Ciprofloxacin 400mg tiga kali sehari kepada pesakit katil 13, bukan?" Dr. Don memberi pandangan serius. "Berapa dos maksimum sehari antibiotik Ciprofloxacin untuk pesakit dialisis?"

Salina bungkam diluar berbicara sendiri. "Pagi-pagi Dr. Don ini dah buat 'mood spoil'. Pesakit meningitis katil 13 tu memang ada masalah buah pinggang. Macammana aku boleh tersilap dos antibiotik. Sepatutnya, 400mg sekali sehari."

"Dr. Salina. Kalau kamu hendak buat sesuatu, baik kamu buat dengan betul. Beza tahu orang yang boleh buat dengan orang yang bagus buat."

Mulalah tu dia ni nak bagi falsafah-falsafah Socrates. "Baik. Saya akan betulkan. Ada apa-apa lagi, Dr. Don?" 

"Lagi satu. 3 bulan lagi ada Konvensyen Neurologi di Hotel Hilton. Saya hendak kamu hantar permohonan untuk bentang hasil kajian kamu tentang Astrocytoma."

"3 bulan lagi? Saya akan pergi ke Karolinska Institut, Sweden. Saya mendapat tawaran untuk buat sarjana dalam bidang Neurologi."

"Apa? Kamu tidak bincang apa-apa pun dengan saya. Kenapa?"

"Karolinska Institut antara universiti perubatan terbaik di dunia. Saya ingin menambah kepakaran dalam bidang pembedahan otak." Salina menjawab mudah sambil memandang wajah Dr. Don yang terkejut.

Salina menyambung "Disebabkan saya sudah mahu pergi, saya harap kita dapat bekerjasama dengan baik dalam tempoh yang ada."

Dr. Don tunduk. Dia mengeluarkan sesuatu daripada poket. Sekeping gambar.

"Bagaimana dengan ini?" Dr. Don menunjukkan foto itu kepada Salina. Gambar itu ialah foto PET scan otak Salina yang menunjukkan dia punya perasaan kepada Dr. Don.

Mata Dr. Salina terbeliak. Dia menarik nafas dan menunduk, "Saya suka awak. Bukan, saya cinta akan awak. Saya cuba tidak melayannya, tetapi bukan mudah." 

Salina berhenti sebentar dan menyambung. 

"Saya tidak tahu sama ada awak cintakan saya seperti saya cintakan awak. Tetapi saya percaya kita mempunyai perasaan yang sama. Jika kamu merasakan yang sama dan benar-benar ikhlas, saya harap awak dapat merelakan pemergian saya dan tunggu saya kembali."

Salina mengangkat pandangan ke arah Dr. Don. Mata mereka bertentang. Riak wajah Dr. Don sukar ditafsir. Terkejut. Sedih. Geram. Semua itu bercampur-baur.

Dr Don menghela nafas "Tidak. Saya tidak setuju dan tidak akan menunggu. Saya nak kamu berada di sini, di sisi saya. Saya sudah merancang untuk membawa keluarga saya berjumpa dengan keluarga awak cuti sekolah ini. Jika kamu tidak bersetuju, kamu ambil gambar ini. Dan kita lupakan semuanya."

Lagu Sammy Simorangkir sudah habis berdendang. Salina tersedar daripada kisah lalu. Air matanya jatuh menitis tanpa disedari.

Salina bangun dari kerusi dan membuka laci almari pakaian. Dia membuka album gambar-gambar keluarga. Ada abah, ibu dan gambar adik-beradik yang lain. Rindu. Dia menyelak lagi helaian muka surat album itu dan berhenti. Tangannya perlahan-lahan mengeluarkan gambar PET scan yang keramat itu. 

Suasana sepi dan sayu bilik tidur Salina itu tidak bertahan lama. Lagu Doa Seorang Kekasih Inteam pula berlagu dari corong speaker iPhone.

Oh Tuhan
Seandainya telah Kau catatkan 
Dia milikku, tercipta untuk diriku
Satukanlah hatinya dan hatiku
titipkanlah kebahagian

Air mata Salina mengalir lebih deras. Dia bersyukur kerana Allah melorongkan hati Dr Don untuk memperisterinya setelah apa yang berlaku. Dia percaya tanda seseorang lelaki yang serius dengan cinta, dia akan menghalalkan janji hati itu, segera. Kini, Salina harap mereka dapat benar-benar bercinta. Itu bermakna, mempersiapkan diri untuk membawa diri masing-masing menjejak syurga. 

Glosari
IV Ciprofloxacin - suntikan antibiotik Ciprofloxacin ke dalam salur darah, vena. IV = intravenous.
Meningitis - keradangan pada membran sekeliling otak dan saraf tunjang.
Astrocytoma - barah otak (barah sel astrocyte)
PET - Positron Emission Topography, PET menunjukkan fungsi dan aktiviti otak.
Continue Reading

20.10.11

Panadol Selamat atau Tidak?

Image
Selamat atau tidak? (pic~google image)
Saya membaca salah satu link di Facebook bertajuk "Pengambilan Panadol memudaratkan kesihatan". Itu memanggil saya untuk melakukan kajian apakah benar seperti yang digembar-gemburkan? 

Saya hanya mengambil langkah berhati-hati kerana kecanggihan teknologi dewasa ini, memberi ruang dan peluang yang besar bagi sesiapa sahaja yang ingin untuk berkongsi maklumat. Tugas kita sebagai pembaca untuk membuktikan kesahihannya dengan merujuk kepada ahli dalam bidang-bidang tersebut.

Justeru, saya cuba membuktikan kenyataan-kenyataan yang diuar-uarkan. Sebelum kita bermula, Panadol ialah nama produk, manakala Paracetamol atau Acetaminophen (U.S.) ialah nama ubat.

Cepu emas: Apakah nama produk selain Panadol yang mengandungi Paracetamol? 

Kenyataan 1: Paracetamol toksik kepada tubuh kita. Ia merosakkan organ hati. 

Secara asas, hati ialah organ di mana ubat-ubat di dalam badan kita diproses untuk menjadikannya lebih mudah dikeluarkan daripada badan. Saluran utama ubat-ubat ini untuk keluar daripada badan ialah melalui air kencing.  

Panadol, sekiranya diambil mengikut dos yang ditetapkan iaitu 2 biji (500mg) 4 kali sehari (dos maksimum sehari:4 gram) adalah 'painkiller' yang selamat tanpa merosakkan organ hati. 

Di hati, paracetamol diproses menjadi bahan kimia yang mudah dikeluarkan di dalam air kencing. Terdapat sedikit peratusan daripada paracetamol (Panadol) bertukar menjadi bahan kimia yang reaktif. Walaubagaimanapun, setiap sel di hati mengandungi 'glutathione' yang berfungsi untuk meneutralkan bahan kimia ini dan membuangnya juga melalui air kencing.

Sekiranya, dos Panadol diambil terlampau tinggi, ini akan menyebabkan sel-sel hati akan mati. Sepanjang saya bekerja di hospital, orang-orang yang putus cinta sering menelan paracetamol untuk membunuh diri. Kami sebagai farmasis sering dipanggil untuk menyelamatkan mereka yang suka mencampakkan diri ke lembah kebinasaan. 

Kesimpulan: Kenyataan 1 Benar jika ambil terlalu banyak Panadol melebihi dos maksimum.

Kenyatan 2: Panadol akan tinggal di dalam badan selama 5 tahun? 

Sepanjang saya belajar dan bekerja, saya tidak pernah mendengar kenyataan sebegini tentang Panadol. Setiap ubat ada 'half-life' di dalam tubuh badan manusia. Half-life ialah masa yang diambil untuk jumlah ubat berkurangan sebanyak 50% daripada dos asal.


Sebagai contoh, Panadol sering diambil 2 biji yakni 1000mg. Half life untuk Panadol ialah 1 hingga 4 jam. Selepas 1 hingga 4 jam, jumlah Panadol akan berkurangan sebanyak separuh yakni 500mg. 

Jadi, dalam masa 48-72jam, Panadol akan dikeluarkan sepenuhnya daripada tubuh kita melalui air kencing. 

Kesimpulan: Kenyataan 2 Tidak Benar bahawa Panadol akan tinggal di dalam badan selama 5 tahun. 

Kenyataan 3: Panadol adalah sejenis “pain killer”, semakin banyak anda mengambilnya, semakin lama semakin kurang kesannya kepada anda. Bererti anda perlukan dos yang lebih lagi apabila ia kurang berkesan. 

Secara asas, saintis masih melakukan kajian tentang bagaimana Panadol bertindak di dalam tubuh. Mereka mempercayai Panadol mengurangkan 'prostaglandin': bahan kimia yang menyebabkan penghasilan bahan-bahan kimia lain yang menyebabkan kesakitan di dalam tubuh badan.

Badan kita mempunyai mekanisme yang tersendiri untuk memastikan keseimbangannya. Kemasukan bendasing, ubat ke dalam tubuh badan menyebabkan tubuh badan cuba mengelakkan ubat ini untuk mengganggu sistem tubuh. 

Justeru, semakin banyak dos panadol yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu kesan. Ubat yang mengganggu sistem otak dan saraf tunjang berkait rapat dengan fenomena ini. Seperti yang saya terangkan, saintis masih melakukan kajian tentang bagaimana Panadol bertindak.

Selain itu, pada asasnya, badan kita juga perlu berehat daripada terus-terusan memakan ubat. Ini akan memberikan masa untuk protein protein di dalam badan untuk kembali aktif menerima ubat-ubat. Kesannya, keberkesanan sesuatu ubat akan lebih terjamin. 

Kesimpulan: Kenyataan 3 Benar. Ubat seperti Panadol juga dipercayai dapat mengurangkan kesakitan melalui tindakannya dalam mengurangkan 'prostaglandin' dalam tubuh badan. Saintis belum mengetahui tindakan sebenar Panadol. Secara asasnya, ubat yang memberi kesan di otak dan sistem saraf tunjang berkait rapat dengan kenyataan 3.

Kesimpulan

FDA Amerika Syarikat pada tahun 2009 telah berbincang mengenai perkara ini. Mereka telah memastikan produk-produk yang hanya mengandungi Paracetamol dijual 1 tablet atau caplet tidak melebihi 650mg. Bukan lagi 1000mg seperti tahun-tahun sebelumnya. 

Bagi tablet yang mengandungi Paracetamol bersama ubat-ubat yang lain, jumlah Paracetamol maksimum ialah 325mg untuk 1 tablet. Langkah-langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kesan toksik Paracetamol.

Secara asas, dos maksimum untuk Panadol sehari ialah 4 gram = 8 biji Paracetamol 500 mg.

Dos yang disyorkan ialah 2 biji (500mg) 4 kali sehari bermakna setiap 6jam.

Saya suka untuk memetik kata-kata Doktor dari Switzerland, Paracelsus:


All things are poison, and nothing is without poison; only the dose permits something not to be poisonous. 

Justeru, patuhilah dos yang ditetapkan. Ambillah ubat dengan kaedah yang betul. 
Continue Reading

19.10.11

Cerpen: Ujian Tanda Allah Kasih

Image
Tumbuh kerna kasih-Nya (pic~deviantart)
Salina memandang skrin komputer. Sudah menjadi satu rutin untuk dia melayari laman Facebook sebelum ke laman-laman yang lain. Niatnya murni, dia ingin terus berhubung dengan keluarga dan teman-teman meskipun dipisahkan oleh biru laut. Bahkan, sekarang musim luruh menyelubungi benua Eropah. Waktu malamnya lebih panjang berbanding musim panas. Justeru, Salina lebih suka terperuk di rumah.

Tut tut. Bunyi itu keluar dari corong pembesar laptop serentak dengan terbitnya tetingkat chat di Facebook. 


(Salwani): Salam Ina. Tengah buat apa tu?

(Salina): Waalaikumussalam. Tengah 'chat' dengan Wani.

(Salwani): Loyar buruk ya. Haha. By the way, Ina, aku ada masalahlah. Boleh tolong solve tak?

(Salina): Oh, bila ada masalah, cari Ina ya. Macam pegawai keselamatan pula. InsyaAllah, Allah pasti menolong. Ceritalah.

(Salwani): Macam ni Ina. Aku tak boleh cope belajar di France ni. Bayangkan, kuliah dalam French. Aku tak faham apa-apa. Nak belajar dengan kawan-kawan, aku seorang saja Melayu di universiti ni. Buntulah. Macammana aku nak pass exam ni.

(Salina): Wani, inilah tanda Allah kasih. Dia uji Wani. 

(Salwani): Kasih? Apa maksudnya? Wani terseksa sangat dengan ujian ni. Menangis saja tiap hari.

(Salina): Ya, Allah kasih akan kita. Dengan ujian, Dia panggil balik kita supaya kembali kepada-Nya. Allah rindu kita berdoa, merintih, menangis, meratap meminta kepada-Nya.

(Salwani): Aku dah berdoa, Ina. Agar dipermudahkan urusan aku kat sini. Namun, setiap hari aku rasa down. Kawan-kawan lain pick up dalam kelas. Aku nganga sorang-sorang.

(Salina): Itu tanda tarbiyyah, Wani. Allah nak upgrade sifat sabar dan tawakal dalam diri. Dengan ujian, baru mapan iman. Betul tak Wani?

(Salwani): Logik jugak. Dengan ujian baru iman jadi kuat. Tanpa ujian kita berada di zon yang selesa, lantas berdikit-dikit lupa akan Tuhan. 

(Salina): Haah, betul-betul. Lagi satu, kitakan hamba. Hamba hanya mampu berusaha, Allah yang mentakdirkan segala sesuatu. Jika apa yang kita usahakan tidak tercapai, kita kena redha dan beriman dengan Qada' dan Qadar Allah. Allah maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya. 

(Salwani): Betullah Ina. Kitakan hamba. Pemikiran kita terbatas. Setakat ini, aku tak mampu fikir apa hikmahnya Allah uji dan campak aku sorang-sorang di France ni. Pasti, ada hikmahnya.

(Salina): Kembali senyumlah Wani. Orang Mukmin harus strong. Allahkan bersama orang-orang Mukmin.

(Salwani): Tq Ina. Tak sia-sia aku chat dengan hang. Bila nak lawat aku dekat France ni? Denmark tu bukan jauh mana.

(Salina): Sama-sama. InsyaAllah, cuti winter nanti ya. Ina pun cuti lama sampai New Year. Apa-apa Ina roger balik.

(Salwani): Orait. Ilalliqa' ukhti. Assalamualaikum

(Salina): Ma'assalamah. Waalaikumussalam.

Salina menutup tetingkap chat Facebook. Dia meng'update' status:

Sabda Rasulullah S.A.W.: Aku takjub dengan perihal orang yang beriman.Semuanya ada kebaikan.Tidak ada suatu kebaikan pun kecuali ianya untuk orang yang beriman. Apabila diberikan sesuatu nikmat, dia akan bersyukur. Maka itu baik baginya. Apabila diuji dengan suatu ujian, dia akan bersabar.Maka itu juga baik baginya. (Imam Muslim) near Copenhagen, Denmark
Continue Reading

18.10.11

Budaya Kerja Orang Denmark

Image
Bersama Harrie, supervisor
Pada tahun 2010, Forbes.com melaporkan orang Denmark ialah orang yang paling gembira di dunia. Salah satu faktor utama mereka gembira adalah kerana budaya kerja. Setelah beberapa lama di Denmark, saya terdedah dengan budaya kerja dan hidup orang Denmark yang baik untuk diperhatikan dan dicontohi.

Orang Denmark kurang formal

Semasa kuliah berjalan, saya terkejut juga dengan stail pakaian pensyarah. Dengan muka yakin, beliau pakai jeans 3/4 dan mengajar. Itu yang perempuan. Yang lelaki dengan T-shirt dan 'sweater' saja.

Rupa-rupanya macam itulah budaya mereka. Jika anda hendak hadir temuduga kerja di sini, tak perlulah memakai tali leher, kot dan sebagainya. Orang Danish akan berfikir anda "salesman". Cukup dengan jeans, baju kemeja dan kasut. Pakai pakaian 'leisure' saja. 

Orang Denmark 'enjoy' bekerja

Mereka amat menggemari apa yang mereka kerjakan. Pernah seorang pengutip sampah di temuduga oleh satu syarikat televisyen. Dia tidak merasa hina hanya kerana dia bekerja sebagai pengutip sampah. Orang ramai akan bertegur sapa dengannya dan menganggap pekerjaannya penting.

"Work life balance"

Ini merupakan satu budaya yang amat menarik minat saya. Jarang sekali mereka berada di tempat kerja selepas jam 4 atau 5 petang. Selepas kerja, mereka akan bersenam di gim, atau mengambil anak-anak dari sekolah dan tidak kurang juga beriadah di taman-taman yang menghijau di kota Copenhagen ini. 

Seorang rakyat Malaysia yang bekerja di sini juga merasainya. Setelah dia pulang, tidak wajib baginya mengangkat telefon dari pejabat. Mentaliti mereka, sekiranya tidak mengangkat telefon, itu bermakna pekerja tersebut sudah pulang ke rumah. Kalau di Malaysia, esoknya pasti ditegur bos kerana tidak mengangkat telefon. =)

"Work life balance' juga merupakan faktor bagi majikan untuk memilih pekerja. Mereka mahu melihat bakal pekerja mereka bukan hanya seorang yang rajin bekerja tetapi mempunyai aktiviti-aktiviti yang lain selepas waktu kerja. Mereka melihat pekerja mereka sebagai seorang manusia secara keseluruhannya.

Ketepatan Masa

Budaya ketepatan masa di Denmark amat saya puji. Jika pukul 10 pagi anda berjanji, mereka akan tiba awal 5 hingga 10 minit. Jika anda lewat, itu sudah memberikan persepsi yang kurang enak. 

Jika kelas bermula pada jam 8 pagi, maka pensyarah akan mulakan kelas pukul 8 pagi meskipun kehadiran belum penuh.

Aktiviti-aktiviti luar dan persatuan

Di Denmark terdapat beratus-ratus kelab dan persatuan untuk menepati hobi dan minat rakyatnya. Balik sahaja dari tempat kerja, mereka akan bermain, pergi ke kelas memasak dan melakukan pelbagai hobi yang lain. Hidup mereka bukan hanya tertumpu pada kerja tetapi pelbagai lagi aktiviti yang dapat mewarnai kehidupan, mengurangkan stress dan gembira untuk bekerja kembali.
Budaya berbincang

Di sini, anda berhak untuk bersuara untuk memberikan pendapat meskipun di hadapan anda ialah bos-bos besar. Orang Denmark ini saya boleh katakan sosialis. Jadi meskipun bos, tak semestinya kita perlu rasa ada batu penghalang untuk dijadikan kawan dan melontarkan idea. Satu kebiasaan bagi seorang bos untuk turun ke pantri dan membancuh kopi lalu bersembang dengan para pekerjanya.

Kesimpulan

Saya amat memuji budaya ketepatan masa dan 'work-life balance' rakyat Denmark.

p/s: Sumber tulisan ini ialah daripada beberapa ceramah kareer yang saya hadiri. Ceramah-ceramah ini disampaikan oleh orang Denmark dan expatriat yang bekerja di sini. Saya masih mahu pulang dan bekerja di tanah air.

Continue Reading
Related Posts with Thumbnails
 

Berubah Meskipun Payah Copyright © 2009 Community is Designed by Bie Blogger Template