![]() |
| Selamat atau tidak? (pic~google image) |
Saya hanya mengambil langkah berhati-hati kerana kecanggihan teknologi dewasa ini, memberi ruang dan peluang yang besar bagi sesiapa sahaja yang ingin untuk berkongsi maklumat. Tugas kita sebagai pembaca untuk membuktikan kesahihannya dengan merujuk kepada ahli dalam bidang-bidang tersebut.
Justeru, saya cuba membuktikan kenyataan-kenyataan yang diuar-uarkan. Sebelum kita bermula, Panadol ialah nama produk, manakala Paracetamol atau Acetaminophen (U.S.) ialah nama ubat.
Cepu emas: Apakah nama produk selain Panadol yang mengandungi Paracetamol?
Kenyataan 1: Paracetamol toksik kepada tubuh kita. Ia merosakkan organ hati.
Secara asas, hati ialah organ di mana ubat-ubat di dalam badan kita diproses untuk menjadikannya lebih mudah dikeluarkan daripada badan. Saluran utama ubat-ubat ini untuk keluar daripada badan ialah melalui air kencing.
Panadol, sekiranya diambil mengikut dos yang ditetapkan iaitu 2 biji (500mg) 4 kali sehari (dos maksimum sehari:4 gram) adalah 'painkiller' yang selamat tanpa merosakkan organ hati.
Di hati, paracetamol diproses menjadi bahan kimia yang mudah dikeluarkan di dalam air kencing. Terdapat sedikit peratusan daripada paracetamol (Panadol) bertukar menjadi bahan kimia yang reaktif. Walaubagaimanapun, setiap sel di hati mengandungi 'glutathione' yang berfungsi untuk meneutralkan bahan kimia ini dan membuangnya juga melalui air kencing.
Sekiranya, dos Panadol diambil terlampau tinggi, ini akan menyebabkan sel-sel hati akan mati. Sepanjang saya bekerja di hospital, orang-orang yang putus cinta sering menelan paracetamol untuk membunuh diri. Kami sebagai farmasis sering dipanggil untuk menyelamatkan mereka yang suka mencampakkan diri ke lembah kebinasaan.
Kesimpulan: Kenyataan 1 Benar jika ambil terlalu banyak Panadol melebihi dos maksimum.
Kenyatan 2: Panadol akan tinggal di dalam badan selama 5 tahun?
Sepanjang saya belajar dan bekerja, saya tidak pernah mendengar kenyataan sebegini tentang Panadol. Setiap ubat ada 'half-life' di dalam tubuh badan manusia. Half-life ialah masa yang diambil untuk jumlah ubat berkurangan sebanyak 50% daripada dos asal.
Sebagai contoh, Panadol sering diambil 2 biji yakni 1000mg. Half life untuk Panadol ialah 1 hingga 4 jam. Selepas 1 hingga 4 jam, jumlah Panadol akan berkurangan sebanyak separuh yakni 500mg.
Jadi, dalam masa 48-72jam, Panadol akan dikeluarkan sepenuhnya daripada tubuh kita melalui air kencing.
Kesimpulan: Kenyataan 2 Tidak Benar bahawa Panadol akan tinggal di dalam badan selama 5 tahun.
Kenyataan 3: Panadol adalah sejenis “pain killer”, semakin banyak anda mengambilnya, semakin lama semakin kurang kesannya kepada anda. Bererti anda perlukan dos yang lebih lagi apabila ia kurang berkesan.
Secara asas, saintis masih melakukan kajian tentang bagaimana Panadol bertindak di dalam tubuh. Mereka mempercayai Panadol mengurangkan 'prostaglandin': bahan kimia yang menyebabkan penghasilan bahan-bahan kimia lain yang menyebabkan kesakitan di dalam tubuh badan.
Badan kita mempunyai mekanisme yang tersendiri untuk memastikan keseimbangannya. Kemasukan bendasing, ubat ke dalam tubuh badan menyebabkan tubuh badan cuba mengelakkan ubat ini untuk mengganggu sistem tubuh.
Justeru, semakin banyak dos panadol yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu kesan. Ubat yang mengganggu sistem otak dan saraf tunjang berkait rapat dengan fenomena ini. Seperti yang saya terangkan, saintis masih melakukan kajian tentang bagaimana Panadol bertindak.
Selain itu, pada asasnya, badan kita juga perlu berehat daripada terus-terusan memakan ubat. Ini akan memberikan masa untuk protein protein di dalam badan untuk kembali aktif menerima ubat-ubat. Kesannya, keberkesanan sesuatu ubat akan lebih terjamin.
Kesimpulan: Kenyataan 3 Benar. Ubat seperti Panadol juga dipercayai dapat mengurangkan kesakitan melalui tindakannya dalam mengurangkan 'prostaglandin' dalam tubuh badan. Saintis belum mengetahui tindakan sebenar Panadol. Secara asasnya, ubat yang memberi kesan di otak dan sistem saraf tunjang berkait rapat dengan kenyataan 3.
Kesimpulan
FDA Amerika Syarikat pada tahun 2009 telah berbincang mengenai perkara ini. Mereka telah memastikan produk-produk yang hanya mengandungi Paracetamol dijual 1 tablet atau caplet tidak melebihi 650mg. Bukan lagi 1000mg seperti tahun-tahun sebelumnya.
Bagi tablet yang mengandungi Paracetamol bersama ubat-ubat yang lain, jumlah Paracetamol maksimum ialah 325mg untuk 1 tablet. Langkah-langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kesan toksik Paracetamol.
Secara asas, dos maksimum untuk Panadol sehari ialah 4 gram = 8 biji Paracetamol 500 mg.
Dos yang disyorkan ialah 2 biji (500mg) 4 kali sehari bermakna setiap 6jam.
Saya suka untuk memetik kata-kata Doktor dari Switzerland, Paracelsus:
All things are poison, and nothing is without poison; only the dose permits something not to be poisonous.
Justeru, patuhilah dos yang ditetapkan. Ambillah ubat dengan kaedah yang betul.



















