Kanvas biru langit dihiasi tompok-tompok awan yang
putih. Cantik. Nirmala. Perlahan-lahan awanan mengengsot memberikan ruang untuk
mentari beraksi. Pagi yang muram kini sudah ceria. Jutaan bunga tulip di Taman
Bunga Keukenhof turut menadah kelopak-kelopak tanda syukur. Salina menala
pandangan ke arah matahari lalu tersenyum. Jika begini indahnya dunia, syurga
apatah lagi.
Terlintas di benak Salina hadis Rasulullah S.A.W yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A “Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah
dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas
dalam hati manusia”.
“Sal dengar kalau orang tengah bercinta, memang suka
senyum seorang-seorang. Nampaknya betullah apa yang Sal dengar.”
Salina ketawa kecil. Dia melirik pandangan ke arah
adiknya. Salwa, merupakan pelajar perubatan tahun akhir di University of
Aberdeen. Kebetulan cuti Easter ini, mereka bertemu di Amsterdam. Bukan mudah
nak berjumpa walaupun jarak antara Stockholm dan Aberdeen hanya 2 jam melalui
udara. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kuliah masing-masing.
Salwa melambai tapak tangannya di hadapan mata
Salina, “Feeling has been developed to each other. It is called affection.
Tengok adik sendiri pun dah terlihat ‘si dia’. Parah dah kakak aku seorang ni.”
“Sal pernah merasa tidur dekat luar rumah tanpa
heater tak? Kalau nak merasa malam ni tidur luar hotel boleh Dr. Salina
mempertimbangkan. Apatah lagi hotel kita dekat dengan kawasan panas di bandar
Amsterdam itu.” Salina menukar riak wajahnya menjadi serius.
“Taknak, taknak kakakku sayang. Saya akan menurut
perintah, menjadi adik yang baik.” ujar Salwa sambil menabik hormat kakaknya.
“Memang Drama Queen lah. You really know how to take
it to the next level.”
Tawa menghiasi wajah mereka.
***
Keukenhof merupakan taman tulip terbesar di dunia
yang hanya dibuka selama 2 bulan kepada para pengunjung. Taman yang seluas 6000
meter persegi ini ditanam dengan 300 spesis tulip beraneka warna. Mereka
ditanam dengan teliti untuk memberikan pemandangan yang luar biasa.
Matahari sudah mula condong ke arah barat. Salina
dan Salwa menikmati waffle demi mengalas perut sambil menikmati pemandangan
kincir angin yang tersergam kukuh di tepi terusan. Sungguh menenangkan.
“Salwa dah tahun akhir kat Aberdeen tu. Takda
tersangkut dengan mana-mana jejaka ke?”
“Uhuk-uhuk.” Tersedak Salwa mendengar pertanyaan
itu. “Pardon?”
“Uhm, I want to know when you are going to get
married. Hari tu Sal tolak Badrul, mungkin kerana tidak bersedia. Now, I don’t think
there is any obstacle for you. Maybe, both of you.” Salina cuba mencuit hati
adiknya.
Salwa menundukkan pandangannya ke bawah. Berfikir
sejenak. Menarik nafas dan kembali memandang ke arah kincir angin yang
berputar. “Sal percaya, sebelum kita berkahwin kita mesti jatuh cinta atau at
least ‘berkenan’ dengan somebody. Maksud cinta ini bukanlah seperti takrifan
kebanyakan orang, cinta mesti keluar dating, cinta mesti tengok wayang bersama,
cinta mesti call ucap sleep tite, cinta mesti beli hadiah masa hari kekasih dan
banyak lagi.”
Salina mengangguk. Benar kata adiknya. Takrifan
cinta sekarang dicemari dengan apa yang sering kita lihat di media. “Jadi,
bercinta yang bagaimana?”
“Asas cinta itu haruslah kerana Allah. Tautan hati
kedua-dua pasangan didasarkan kerana cinta-Nya. Maka, masing-masing mempersiap
diri menjadi insan yang lebih dicintai Allah. Barulah hasilnya cinta luar
biasa. Pasangan ini kak, macam pakaian antara satu sama lain. Saling melengkapi
dan mempengaruhi.”
Salina melemparkan senyuman, “Betul. Betul. Contoh
macam kita ini, bakal isteri. Kita boleh mencontohi para isteri dan sahabat
baginda. Contohilah Khadijah R.A yang sentiasa menyokong dan menenangkan
baginda Rasulullah S.A.W dalam jatuh bangun berdakwah. Lihatlah juga Asma’
binti Abu Bakar, serikandi mulia itu. Dia membantu suaminya Zubair al-Awwam
dalam menyara keluarga. Tapi, soalan akak tak terjawab lagi ni. Bila Sal nak
kahwin? Boleh kita buat majlis serentak.”
“Sooner or later akan kahwin juga, kak. Tentang
Badrul tu, bukan Sal tak berkenan. Dia memang bagus orangnya, menyatakan hasrat
dia kepada ummi dan abah. Itu bermakna dia serius. Tapi jujurnya waktu itu, Sal
masih belum bersedia. Di Aberdeen pun masih belum stabil lagi akademik Sal.”
“Assalamualaikum, ini kak Ina kan? Dan ini…Salwa.” Jejaka
itu menutur lambat.
“Waalaikumussalam, eh Badrul.” Balas Salina dengan
nada terkejut.
Mata Salwa membundar, pipinya bertukar menjadi
merah. Adakah Badrul mendengar perbualan mereka?
