Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan dengan gejala maksiat songsang yang mengaibkan, mencemar bukan sahaja maruah individu tetapi turut menggugat keharmonian sosial serta kesucian nilai agama. Fenomena ini membuktikan manusia, apabila tidak dibimbing oleh wahyu dan hilang rasa muraqabah kepada Allah, akan mudah melampaui batas sehingga mengundang kemurkaan Ilahi. Justeru, al-Quran telah lama mengingatkan keruntuhan moral dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan adalah antara sebab turunnya bala dan kehancuran umat terdahulu.
Allah SWT dengan jelas menegur sikap manusia yang melampaui batas: “Sesungguhnya manusia itu sangat melampaui batas apabila melihat dirinya serba cukup.” (Al-‘Alaq: 6–7) Ayat ini mengajar bahawa punca segala maksiat bermula apabila manusia merasakan dirinya bebas, tidak terikat dengan syariat dan tidak memerlukan bimbingan Allah. Apabila hati tidak dipagari iman, nafsu akan memimpin tindakan, lalu lahirlah budaya hedonisme, pesta maksiat, hubungan bebas, dan hiburan tanpa batas yang semakin menjadi normalisasi dalam masyarakat. Al-Quran turut memperingatkan agar umat Islam tidak mengikut langkah syaitan menuju kesesatan: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.” (Al-Baqarah: 168)
Syaitan tidak membawa manusia kepada dosa besar secara serta-merta, tetapi sedikit demi sedikit – bermulanya dengan hiburan yang melalaikan, pergaulan yang tidak dijaga, pakaian yang membuka aurat, sehingga akhirnya membawa kepada dosa besar dan maksiat terbuka. Tadabbur ayat ini mengajar kita bahawa pencegahan maksiat bermula dengan menjaga perkara yang kelihatan remeh, kerana dari situlah syaitan mula menyelinap masuk.
Dalam surah al-A’raf ayat 33 pula, Allah berfirman: “Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi…” Ini menunjukkan dosa yang dilakukan secara sembunyi sudah pun keji di sisi Allah, apatah lagi yang dilakukan secara terang-terangan seperti pesta maksiat yang berlaku baru-baru ini. Apabila maksiat dilakukan tanpa segan silu, ini tanda masyarakat sedang menuju kepada fasa normalisasi fasad seperti yang berlaku pada kaum Nabi Lūut.
Firman Allah tentang kaum Nabi Lut menjadi amaran keras: “Bahkan kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu, bukan perempuan; bahkan kamu kaum yang melampaui batas.” (Al-A’raf: 81) Akibat dosa yang dilakukan secara terbuka, mereka dibinasakan dengan bala yang belum pernah ditimpakan kepada umat lain. Tadabbur ayat ini bukan sekadar menceritakan sejarah, tetapi mengingatkan umat Islam hari ini bahawa bala dan kehancuran adalah sunnatullah apabila maksiat dibiarkan berleluasa tanpa teguran.
Selain al-Quran, Nabi SAW memberikan peringatan keras tentang maksiat yang dilakukan secara terbuka. Baginda bersabda: “Seluruh umatku akan diampuni kecuali mereka yang melakukan maksiat secara terang-terangan.” (Riwayat al-Bukhari)
Apabila dosa dilakukan dengan bangga, ia menunjukkan hati telah mati dan rasa takut kepada Allah telah hilang. Inilah barah akhlak yang kita lihat kini dalam masyarakat yang terdedah kepada budaya hiburan ekstrem dan gaya hidup liberal yang semakin dianggap normal.
Rasulullah SAW juga memberi amaran jika maksiat berlaku tanpa dicegah, bala akan menimpa seluruh masyarakat: “Jika muncul maksiat dalam suatu kaum lalu mereka tidak mencegahnya, hampir-hampir Allah menurunkan azab secara umum kepada mereka.” (Riwayat Abu Dawud)
Ini amaran untuk semua, terutamanya para ilmuwan, pendidik, pemimpin agama dan ahli akademik agar tidak berdiam diri. Tanggungjawab nahi munkar bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan.
Dalam mendepani cabaran moral masyarakat hari ini, ilmuwan mempunyai peranan yang sangat besar. Pertama, mereka perlu menjadi suara kebenaran yang tulus, menyampaikan amar makruf nahi munkar secara hikmah, tidak takut celaan manusia.
Kedua, ilmuwan perlu mendidik masyarakat dengan ilmu yang sahih, menyampaikan tafsiran al-Quran dan hadis yang benar agar umat tidak terkeliru dengan dakyah liberal yang melonggarkan hukum agama. Ketiga, mereka perlu membangunkan modul pendidikan akhlak, iman dan fardu ain secara sistematik bermula di sekolah, universiti, dan masyarakat umum.
Seterusnya, umat Islam perlu menjadikan iman sebagai benteng dalam kehidupan seharian. Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang berkata: ‘Tuhan kami Allah’, kemudian mereka istiqamah, tidak ada rasa takut atas mereka dan mereka tidak bersedih.” (Al-Ahqaf: 13) Iman dan istiqamah adalah benteng paling ampuh menghadapi godaan media sosial, budaya hedonisme dan tekanan rakan sebaya. Iman memberi kekuatan untuk menolak dosa walaupun menarik dan istiqamah mengajar kita konsisten menjaga diri dalam setiap situasi.
Nabi SAW juga mengajarkan cara menguatkan benteng iman melalui amalan harian seperti zikir, solat sunat, membaca al-Quran, menjaga pandangan, bergaul dengan sahabat soleh serta menjauhi suasana yang membawa kepada maksiat. Baginda bersabda: “Sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging; jika ia baik, maka seluruh tubuh menjadi baik.” (Riwayat al-Bukhari) Segumpal daging itu adalah hati. Maka pembinaan hati adalah kunci mencegah maksiat.
Bala turun akibat maksiat terang-terangan
Allah berfirman: “Telah tampak kerosakan di darat dan di laut akibat perbuatan tangan manusia…” (Al-Rum: 41) Ayat ini menjelaskan bahawa fasad (kerosakan) boleh muncul dalam bentuk:
l Keruntuhan moral
l Peningkatan jenayah seksual
l Keruntuhan institusi keluarga
l Penyakit sosial seperti dadah, zina, dan LGBT,
l Hilangnya rasa malu dan adab.
Menurut Ibn Kathir, ‘kerosakan’ dalam ayat ini termasuk: Kerosakan akhlak, kerosakan peraturan hidup dan kerosakan masyarakat akibat dosa yang dilakukan secara terang-terangan. Ini sangat sesuai dengan isu semasa di mana pesta maksiat berlaku secara terbuka tanpa rasa takut kepada Allah.
Hilangnya rasa malu
Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu.” (Riwayat al-Bukhari) Ulama menjelaskan hadis ini sebagai:
l Tanda akhir zaman apabila maksiat dilakukan tanpa segan silu
l Masyarakat memuji dosa dan menghina golongan agama
l Pesalah mempromosi maksiat seperti trend ‘pesta maksiat’ dan ‘parti tema liar’ di media sosial.
Ini sangat relevan dengan fenomena artis, influencer dan anak muda yang mempamerkan perbuatan keji secara bangga.
Bala turun bila maksiat tidak dicegah
Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah sesuatu kaum melakukan dosa dan dalam kalangan mereka ada yang mampu mencegah tetapi tidak berbuat demikian, melainkan Allah akan menimpakan azab kepada mereka secara umum.” (Riwayat Ibn Majah) Hadis ini sangat penting kerana:
l Ia menyatakan bala akan turun kepada seluruh masyarakat, bukan hanya pelaku maksiat
l Ia mengingatkan peranan ilmuwan, ustaz dan pendidik untuk tidak diam
l Ia mengajar bahawa diam terhadap kemungkaran adalah satu bentuk pengkhianatan sosial.
Akhirnya, masyarakat perlu memahami bala bukan sekadar gempa atau banjir, tetapi keruntuhan nilai, hilangnya malu dan normalisasi maksiat juga satu bentuk bala sosial. Ayat-ayat Allah dan hadis Rasulullah bukan sekadar bacaan, tetapi panduan untuk menyelamatkan umat daripada kehancuran moral yang sedang melanda. Bala dapat dielakkan apabila maksiat dicegah, iman diperkukuh dan masyarakat dibimbing oleh ilmuwan yang amanah dan berani menegakkan kebenaran.
Filed under: Artikel Pilihan, Isu Hangat | Leave a comment »









