Image

Sunday, October 25, 2020

Cara buat Cucur Bulat-Bulat

 Assalamualaikum..


Image


Selalunya saya buat cucur leper dan garing. Tapi, kalau nak buat cucur bulat-bulat macam bola/guli, kena guna air panas. Lepas tu kena rajin bulat-bulatkan. Resepi ni terpakai untuk segala cucur. Kalau nak manis, letak gula, kalau nak pedas, letaklah lada.


Bahan-Bahan

2 cawan tepung gandum

2 cawan air panas

sedikit bawang, cili yang dikisar

sedikit ikan bilis

garam secukup rasa


Cara-Cara

Masukkan tepung ke dalam mangkuk. Masukkan ikan bilis, bawang dan cili. 

Image


Kemudian masukkan air panas. Kacau sebati guna sudu/senduk.

Image

Image


Apabila dah tak berapa panas, uli bulat-bulat adunan tu. Kalau melekat, tangan kena letak tepung. Susun elok-elok. 

Image


Panaskan minyak dan goreng sehingga garing.

Image


Makan panas-panas.

Image


Sekian. 

Tuesday, October 20, 2020

Ayam Masak Kicap Resepi Atie...

 Assalamualaikum..

Hari tu, Atie (rakan sekerja) bagi saya rasa masakan `Ayam Masak Kicapnya'. Saya dah lama tak masak ayam masak kicap guna rempah. Jadi, masakan Atie rasa lain dan sedap sangat. Jadi, saya pun tanyalah dia letak apa dalam masakan tu. 

Maka, hari ni saya nak kongsi resepi `Ayam Masak Kicap' resepi Atie. 


Image



Bahan-Bahan

Ayam (1/2 ekor) 

3 ulas bawang merah (hiris halus)

2 ulas bawah putih (hiris halus)

1 inci halia (hiris halus)

1 sb cili kering/boh (yang dikisar)

2 biji cili api (hiris halus)

1 batang kulit kayu manis

2 kuntum bunga cengkih

1 kuntum bunga lawang

1 biji buah pelaga

Kicap

sedikit serbuk kunyit dan garam untuk goreng ayam. 

garam dan gula secukup rasa


Cara-cara

Gaul ayam dengan garam dan kunyit. Goreng ayam sampai ayam masak. Angkat dan toskan.

Selepas tu, tumis cili boh, bawang merah, bawang putih, halia, kulit kayu, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga.Tumis sampai berbau harum.

Masukkan kicap. Masuk air sedikit. Selepas mendidih, masukkan ayam. Lepas tu masukkan garam dan gula secukup rasa. 


Sekian.  

Saturday, October 17, 2020

Kek Butter Jelita Roses

 Assalamualaikum..

Image


Hari ni saya nak share cara nak buat kek butter sedap dan cantik dengan corak roses.. Resepi sebenarnya sama aje dengan Kek Butter Jelita yang saya buat sebelum ni. Cuma hari tu kek bulat. Hari ni kek petak. Saiz loyang petak ni, 9 x 9. 

Image


Bahan-Bahan

125gm mentega
150gm gula kastor
3 biji telur
200gm tepung naik sendiri
75ml susu tin
1/2 sk esen vanilla
2 pewarna (merah dan hijau)


Cara-Cara

Putar mentega dengan gula sehingga kembang (berkrim). Masukkan telur sebiji demi sebiji. Putar lagi hingga sebati. Ayak tepung dan masukkan sedikit demi sedikit. Putar lagi. 
Campurkan susu dan esen, putar lagi hingga sebati. 

Image


Panaskan oven 160 darjah. Masukkan adunan yang tidak berwarna ke dalam loyang. Ambil 1 sudu besar adunan. Separuh warnakan merah dan separuh lagi warnakan hijau. Bolehlah melorek bunga dengan daunnya. 

Image


Adunan yang siap dilorek.

Image


Bakar lebih kurang 1 jam. Bergantung kepada saiz loyang dan suhu oven masing-masing. Kalau dah cucuk, tak lekat tu maksudnya dah masak.

Image


Sekian. 

Friday, October 16, 2020

Kuzi Ayam

 Assalamualaikum..

Sebenarnya saya tak pernah makan masakan yang bernama kuzi. Tapi, apabila Hubby kata kuzi suatu masakan yang sedap, maka haruslah saya cuba untuk masak. Tambahan pula, dah lama tak cuba masakan baru. Walaupun masakan bernama `kuzi' ini agak remeh dan renyah, namun hasilnya memang tidak mengecewakan. Fyi, kuzi ayam saya ni pekat sikit (Hubby nak pekat gini). Mohon cairkan kuah untuk kuzi sebenar.

Image

Terbukti kuzi ayam adalah masakan yang unik dan sedap. Ada rasa kacang tapi bukan macam sambal kacang. Macam saya cakap tadilah, rasa masakan ini unik. 

Image


Oleh kerana saya tak ada rempah kuzi, maka saya buat from scratch. Kata Hubby, rempah kuzi ada jual. Nanti saya kirim rempah kuzi ni pada kengkawan yang nak balik Kelantan. FYI, masakan ini berasal dari Kelantan.

Resepi saya ambil daripada MyResepi.

Bahan-Bahan

Bahan A- (Rempah)

1 sudu teh jintan manis

1 sudu teh jintan putih

1 sudu teh lada hitam

6 kuntum bunga cengkih

1 inci kulit kayu manis

4 biji buah pelaga (sila buang kulit dan ambil bijinya sahaja)

2 sudu makan ketumbar

1 kuntum bunga lawang


Bahan B

800 gram - 1kg ayam

sedikit saffron

2 ulas bawang putih

1 sudu besar garam

1 inci halia

Minyak sapi untuk menggoreng


Bahan C

150 gram bawang besar

20 gram kepingan badam

1/2 cawan kacang tanah

40 gram kismis

1 ketul hati ayam-rebus dahulu


Bahan D

3 hiris lengkuas

2 hiris halia

1 batang serai

1 biji limau nipis

2 ulas bawang putih

200 ml susu sejat

Sedikit saffron

1/2 cawan sos tomato

700ml air

1 1/2 sk garam

2 sk gula


Cara-Cara

Sediakan rempah-rempah (Bahan A). Basuh bersih dalam tapis. Kemudian goreng kering/sangai dalam kuali. 

Image


Kisar rempah tadi dalam pengisar kering. Boleh juga ditumbuk hingga halus. Sebagai panduan berat rempah yang dapat ialah anggaran sebanyak 10 gram.

Image

Bahan-bahan di B- saffron,bawang putih dan halia ditumbuk. Kemudian lumurkan pada ayam. Perap seketika. Kemudian goreng ayam menggunakan minyak sapi. Goreng separuh masak sahaja.

Image

Semua bahan di C hendaklah digoreng. Goreng mengikut turutan-mula-mula goreng bawang besar. Kemudian diikuti badam,kacang tanah, kismis dan hati ayam. Setelah digoreng, hati ayam dipotong dadu.

Image


Tumbuk badam bersama bawang goreng. Kacang tanah ditumbuk kasar.

Campurkan rempah di A, susu sejat, bawang besar dan badam tumbuk, limau nipis dan sos tomato dan saffron. Gaul rata di dalam sebuah bekas.

Image

Panaskan minyak sapi. Tumiskan bawang putih, halia, lengkuas dan serai. Kemudian masukkan semua campuran di No 6. Masukkan sedikit air. Biarkan menggelegak. Masukkan garam dan gula. Kemudian masukkan ayam yang telah digoreng.

Image

Image

Image

Masukkan baki air. Kemudian masukkan kacang tanah,kismis dan hati ayam. Tambahkan air lagi jika kuah terlalu pekat. Imbangkan rasa manis dan masinnya.

Image

Kuzi ayam dah siap. Yumyum.


Sekian.