Selasa, Agustus 15

Abah

Image

Ada masa aku rasa abah bakal pergi
Aku enyahkan jauh-jauh fikiran jahat tersebut
Memujuk
 Tuhan bersama prasangka hambaNya

Sejak kecil aku banyak bersama abah
Selesa berbual bersama abah
Berkongsi rasa takut dan sedih dengan abah
Sehingga banyak nasihat abah aku simpan
Buat panduan masa nanti

Pernah
Satu hari
Abah tinggikan suaranya padaku
Berkata 
Aku bukan anaknya

Kata-kata tersebut 
Merobek ruang hatiku yang terdalam
Terkesima aku
Aku tahan air mataku
Berharap butir bicara itu tidak dari abah

Lama berlalu
Abah kembali seperti abah
Aku berhenti mengomel perbuatan abah
Abah tidak suka pada pandangan aku
Mungkin
Entah
Tapi ia buat abah berbicara padaku
Mungkin pada abah
Aku tetap anak kecilnya
Yang mendengar butir bicaranya
Tidaklah dia sangka anaknya sudah dewasa

Bila diam dan mendengar
Adalah perkara yang paling abah sukai

Kini
Abah sering sakit
Dan ada masa-masa abah aktif bukan main
Bersihkan rumah
Berkebun  bagai
Dan bila abah sakit
Sepertinya ia sakit yang teruk

Untuk waktu-waktu kehadapan
Moga ia terisi dan diberkati
Moga Allah merahmatimu
Abah
Hero pertamaku




Senin, Agustus 14

Marry a responsible man

Beberapa waktu di tengah malam oncall, bekas MO surgikalku duduk merapat di antara aku dan juga housemenku. Sambil memerhatikan aku menyudahkan clerking pesakit di bahagian kecemasan, beliau memulakan sesi perkongsian hidup beliau.

Kahwinilah seorang lelaki yang bertanggungjawab. 

Itulah mukaddimah butir bicara beliau. Dan seperti biasa, ia tidak berakhir di situ. Beliau meneruskan butir bicaranya.

Adalah amat sukar menemukan lelaki yang romantis. Sekiranya ada, mungkin romantisnya tidak kekal. Lantas, kahwinilah lelaki yang bertanggungjawab. Seorang lelaki yang bertanggungjawab akan bertanggungjawab atas pilihan yang dibuat. 

Seorang lelaki yang bertanggungjawab pasti akan  berusaha membina kembali hubungan yang telah retak.

Seusai beliau bertutur, laju sahaja pesakit APO tiba. Sepertinya sudah tahu. Dan kehidupan diteruskan seperti biasa.

Nota:
Semoga beliau berjaya dalam pengajian master. Rindu pula pada coleteh hidup beliau.