Rabu, April 2

Kesabaran yang panjang

Adakah seiring waktu kesedihan itu hilang?

Ia adalah trauma seumur hidup yang tidak terluahkan. Ada momen- momen di saat sunyi, trauma itu kembali menghantui. Trauma itu hadir dengan naratif negatif. 

Cepat- cepat aku nyahkan. Tidak mahu berlama-lama berprasangka buruk. Kerana hal apapun, ia adalah yang terbaik untuk diriku.

Tentang kesabaran yang panjang

Aku pernah ditengking oleh seorang jururawat ketika meminta agar memberi ubat kepada pesakit. Terpana aku pada tengkingan sang jururawat tersebut. Dengan suara yang hampir menahan tangis, tangan terketar- ketar menahan rasa malu, aku membalas,

Okay, takpe. Terima kasih. 

Lancar ke arah pesakit, menyediakan sendiri ubat yang diarahkan. 

Malam tersebut adalah syif paling panjang padaku. Tidak mampu aku memandang semua staf yang bekerja. Terluka amat. Sehinggakan, cbd pesakit lelaki pun aku ingin masukkan sendiri. ( tidak aku lakukan kerana dihalang jururawat lelaki yang turut ada semasa syif tersebut). Lembut hatiku kembali untuk tindakan baik jururawat lelaki tersebut. 

Dan trauma itu kembali lagi. Di posting bius sekarang. Melakukan latihan sangkut terakhir sebelum kembali ke jabatan kecemasan dan harapan besar sebagai pelajar tahun akhir. Di icu, aku seringkali terasa dengan kata- kata jururawat kepadaku. Pernah aku berlapang dada, menyatakan mungkin hatiku yang terlebih sensitif. Tapi gitulah. Memori ditengking kembali menerjah. 

Sebelum tidur, sempat aku lakukan postmortem kenapa aku dimarahi. Cara aku sampaikan arahan ke yang buat orang tak suka? Perawatan aku jauh beza ke dengan protokol di icu? Cuba untuk melakukan introspeksi diri agar diri lebih baik. Tiada jawapan khusus. Mungkin aku hanyalah punching bag mereka pada waktu tersebut. Berada pada waktu yang salah. 

Kalau ada ujian yang Allah berikan kepadaku, ujian kesabaran adalah ujian terbesar padaku. Pedih betul menahan rasa malu dimarahi. Pedih yang amat menahan diri untuk tidak sama-sama naik tanduk. 



Minggu, Januari 19

The oblivious me

Baru pulang dari kursus di Mulu Sarawak minggu lepas. Sepertimana kursus- kursus sebelum ini yang dianjurkan oleh HPUSM di bawah Jabatan Perubatan Kecemasan, tak sah kiranya di jeda waktu luang tidak diisi dengan bermain Werewolf. Ia semacam acara wajib untuk setiap kursus outdoor.

Kali pertama tahu pasal permainan werewolf adalah semasa mengikuti kursus Wilderness Medicine di Tasik Banding 2 tahun lepas. Ia menjadi satu acara wajib pula untuk program Wilderness Medicine selepasnya. Kali ini, acara werewolf diteruskan untuk kursus Travelling Medicine di Mulu, Sarawak.

Permainan werewolf adalah permainan minda yang mana setiap pemain diberi kad dengan peranan masing-masing. Ada watak baik dan ada watak jahat. Penghujung permainan ni adalah untuk menangkap serigala jadian yang membunuh orang kampung dan watak-watak baik yang lain.

Aku bukanlah seorang yang mampu meneka peribadi seseorang apatah lagi menilai perilaku seseorang secara berdepan. Apa yang dikatakan orang, itulah aku terima. Itulah yang berlaku ketika aku turut serta menjadi salah seorang pemain werewolf. Ada beberapa siri yang mana aku tersalah tekaan yang menyebabkan serigala berjaya membunuh orang kampung. Akulah puncanya. Penat yang amat nak buat keputusan. Akan ada sesi memanipulasi fakta yang menyebabkan aku tersalah pilih. 

Itulah aku. Sangatlah tidak peka dengan keadaan sekeliling. Selepas selasai satu sesi permainan, kawan-kawan akan bagi input. Barulah aku - oh begitu ya. Itulah diri aku kini. Tiada hati mahu melihat yang tersirat. Apa yang disampaikan, itulah yang aku faham dan nampak. 

6 tahun lalu,

Trauma tentang hubungan sesama manusia masih lagi menghantui aku. Trauma itulah yang menjadikan aku hari ini. Jabatan kecemasan padaku tidak punya ruang untuk hal-hal peribadi orang- ini pada akulah. Aku pergi kerja, sibuk rawat pesakit, seusai habis syif terus beransur pulang. Di akhir syif, tenaga aku dah habis daya untuk mengorek rahsia rumah tangga orang. Pernah kawanku menyatakan, betapa monotonousnya responku menyangkut perihal peribadi orang lain. 

Dan aku menjadi penyendiri. Pemendam rasa. Pemaaf. Teruskan hidup. 

Permainan werewolf padaku benar-benar menonjolkan siapa aku. Sangat tidak peka dengan keadaan sekeliling. Hal peribadi orang bukan sumber keterujaan kini. Semoga tetaplah aku istiqamah untuk tidak terlalu busybody dengan sesuatu yang bukan dalam linkunganku.