Konsep Belon Kalis Api
Air merupakan satu bahan yang mempunyai pelbagai kegunaan. Salah satu sifat unik air adalah kebolehan air untuk menyerap haba. Air mampu menyerap haba tanpa mengalami peningkatan suhu yang banyak berbanding bahan-bahan yang lain. Ini berlaku kerana peningkatan suhu air memerlukan tenaga haba yang banyak bagi memutuskan ikatan hidrogen air. Molekul air harus bergetar dengan kadar yang cepat dan kuat bagi memastikan ikatan hidrogen air putus dan tenaga yang digunakan untuk menggetarkan molekul air dengan kuat dan cepat itu semestinya memerlukan penyerapan tenaga haba yang banyak.
Kapasiti haba adalah merujuk kepada kebolehan air itu untuk menyerap haba tanpa mengalami peningkatan suhu. Secara teorinya, air mempunyai kapasiti haba yang tinggi. Ini bermakna walaupun tenaga haba dipindahkan ke molekul air, molekul air tidak akan bertindak balas dari segi ukuran suhu melainkan tenaga haba yang dipindahkan itu ditambah. Ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan air yang dipanaskan mengambil masa yang untuk mendidih.
Sebagai contoh, jika satu kuali yang tidak diisi sebarang bahan dipanaskan, kuali tersebut akan menjadi sangat panas dan berasap dalam masa yang singkat. Tetapi jka air dimasukkan ke dalam kuali dan dipanaskan, kuali tersebut akan lambat panas dan tahap panas kuali tersebut tidak setinggi berbanding kuali yang dipanaskan tanpa air.
Oleh kerana kebolehan air untuk menyerap haba adalah tinggi, air kini banyak digunakan dalam pelbagai teknologi seperti perindustrian dan peralatan sebagai agen sejuk. Spesifik indeks haba bagi air yang tinggi juga membantu pengaliran perubahan suhu udara. Sifat ini yang menyebabkan perubahan suhu mengikut pertukaran musim berlaku secara perlahan-lahan dan tidak secara mendadak terutamanya pada kawasan yang berdekatan dengan laut.
60% komposisi badan manusia adalah terdiri daripada air. Kandungan air di dalam badan ini berfungsi sebagai pengawal haba di dalam badan agar tidak terlalu panas dan kepanasan yang berlebihan akan menyebabkan sel-sel manusia mati dan organ badan tidak dapat berfungsi. Antara contoh lain adalah pengeluaran peluh. Apabila seseorang berlari, dia akan berpeluh. Aktiviti berlari ini sebenarnya satu proses yang meningkatkan suhu badan. Bagi menurunkan semula suhu badan, peluh akan dikeluarkan untuk menyerap haba yang dihasilkan dan lantas menurunkan suhu badan manusia.