Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Akhir Ramadan yang diabaikan

Posted by epondok di Mac 17, 2026

BULAN Ramadan semakin sampai ke penghujungnya. Masa yang begitu pantas berlalu membuatkan ia begitu cepat berakhir. Sebahagian insan mungkin tidak sabar menanti kedatangan bulan Syawal selepas sebulan berpuasa. Namun, bagi sebahagian yang lain, mereka akan merasakan suatu kesedihan apabila semakin hampir berpisah dengan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan itu.

Para salafussoleh iaitu ulama yang hidup sebelum tahun 300 Hijrah cukup terkesan apabila ingin berpisah dengan Ramadan. Mereka berasa begitu sedih apabila tibanya hari-hari terakhir dalam bulan Ramadan.

Ibadah dan amal soleh mereka lebih banyak dilakukan pada malam-malam terakhir Ramadan demi mengejar ganjaran yang begitu besar sebagaimana yang telah disampaikan dalam hadis-hadis Nabi SAW.

Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya Lataaif Al-Ma’arif menyebutkan bahawa apabila tibanya akhir Ramadan, para salafussoleh mula berasa sedih kerana bimbang amalan-amalan yang mereka kerjakan di bulan Ramadan tidak diterima Allah SWT.

Mereka berdoa selama enam bulan memohon agar dipertemukan dengan bulan Ramadan dan berdoa selama enam bulan pula memohon agar amalan yang mereka lakukan di bulan Ramadan diterima Allah SWT.

Akhir bulan Ramadan termasuk dalam waktu-waktu yang diabaikan oleh umat Islam mutakhir ini. Apabila tibanya penghujung Ramahan, kebanyakannya tidak lagi melakukan ibadah sebagaimana yang mereka kerjakan di awal Ramadan. Tumpuan mula terarah kepada persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sehingga penghayatan terhadap Ramadan itu diabaikan.

Khutbah

Umar bin Abdul Aziz pernah berkhutbah pada hari raya dengan khutbah yang penuh pelajaran dan keinsafan. Katanya: “Wahai sekalian manusia, kalian telah berpuasa selama 30 hari. Kalian telah mengerjakan solat tarawih pada setiap malamnya. Kalian pun keluar dan memohon keampunan kepada Allah agar amalan kalian diterima. Namun begitu sebahagian salaf (ulama sebelumnya) malah berasa sedih ketika tibanya Hari Raya Aidilfitri hingga dikatakan kepada mereka, “Sesungguhnya hari ini (Hari Raya) ialah hari yang penuh kebahagiaan.” Mereka lalu berkata “Benar, akan tetapi aku adalah seorang hamba dan aku diperintahkan oleh Tuhanku untuk beramal namun aku tidak tahu apakah amalan tersebut diterima atau tidak.” Begitulah gambaran kesedihan ulama terdahulu apabila tibanya akhir Ramadan sehingga mereka bersungguh-sungguh beribadah di dalamnya.

Ia sangat berbeza dengan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah SWT, para sahabatnya dan ulama terdahulu. Apabila tibanya malam-malam terakhir Ramadan, mereka lebih bersemangat mengerjakan ibadah berbanding sebelumnya.

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a dia berkata: Rasulullah SAW apabila masuknya 10 Ramadan yang terakhir beliau akan mengetatkan kain sarungnya, menghidupkan malam-malam itu dengan ibadah dan membangunkan isteri-isterinya untuk beribadah. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan mengetatkan kain sarungnya bermaksud meninggalkan isterinya untuk memberikan perhatian penuh beriktikaf dan beribadah di akhir-akhir bulan Ramadan.

Hadis ini menunjukkan betapa besarnya perhatian yang diberikan oleh Nabi SAW di malam-malam terakhir di bulan Ramadan, terutama pada 10 malam yang terakhir. Ini kerana pada malam itulah munculnya satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu malam Lailatulqadar.

Keperluan berhari raya

Umumnya di negara kita, akhir Ramadan bahkan pertengahan Ramadan lagi sebahagian daripada kita mula memenuhi ruang pusat membeli-belah untuk membeli keperluan berhari raya nanti. Tidaklah menjadi suatu kesalahan melakukan persiapan untuk berhari raya. Namun, sepatutnya kita lebih sensitif dan cuba sedaya mungkin untuk memperbanyakkan ibadah di akhir bulan Ramadan, terutama pada waktu malam.

Sebahagian daripada kita mula menghabiskan waktunya setiap malam di tempat-tempat membeli-belah, bahkan yang lebih parah ada yang berkunjung ke tempat-tempat maksiat, sekalipun di bulan yang dimuliakan ini.

Penghayatan di dalam Ramadan seolah-olah hanya dirasai di waktu siang dek kerana penatnya menahan lapar dan dahaga. Apabila sudah berbuka puasa dan kekenyangan, kita seolah-olah merasakan telah bebas daripada Ramadan.

Sesungguhnya nikmat dan peluang yang Allah SWT berikan untuk kita hidup dan berada di bulan Ramadan merupakan nikmat yang sangat besar nilainya. Bayangkanlah ada di antara kita yang tidak sempat menyambut bulan Ramadan dan ada juga yang pergi menghadap-Nya ketika berada di bulan Ramadan. Jika tahun ini kita berpeluang merasai nikmat Ramadan, tahun seterusnya belum tentu lagi ada buat kita. Semoga kita lebih menghargainya

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140723/ba_02/Akhir-Ramadan-yang-diabaikan#ixzz38MShrTfR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Lailatul qadar ukur kekuatan iman, takwa umat Islam

Posted by epondok di Mac 16, 2026

Bersama Hizbur Rahman

Rahsia malam istimewa disembunyikan supaya mukmin buat amal tanpa pilih hari tertentu

RAMADAN, bulan penuh keberkatan dan dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan iaitu 83 tahun. Malam lailatul qadar yang dicari setiap kali Ramadan adalah anugerah terbaik dalam kehidupan manusia.

Sedarkah kita Allah telah memuliakan umatnya pada malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan kerana malam itu menyaksikan turunnya al-Quran al-Karim.

Menurut pandangan sebahagian ahli tafsir, al-Quran diturunkan sekali gus ke Baitulizzah di langit kedua pada malam lailatul qadar. Manakala al-Quran diturunkan ke bumi dan diterima oleh Rasulullah SAW melalui Jibril sebagai wahyu beransur-ansur selama 23 tahun. Bagi orang yang beriman, malam itu adalah peluang untuk mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadah. Bahkan mereka berlumba-lumba bangun di malam hening dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (lailatul qadar). Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatul qadar itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadar, ayat 1-5)

Memasuki fasa ketiga bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, marilah kita gunakan peluang dan tawaran berharga ini bagi menambah bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan yang mempunyai banyak kelebihannya.

Lailatul qadar malam ditunggu-tunggu mereka yang menginginkannya kerana berlaku pada satu malam saja sepanjang tahun. Beruntung siapa yang memperolehnya dan rugi yang melepaskannya.

Selain kelebihan beramal, malam Lailatul Qadar juga memperjelaskan segala urusan hidup manusia dengan penuh hikmah.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Padanya dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku. Iaitu perkara dari sisi Kami; sesungguhnya Kamilah yang mengutus Rasul-rasul. Sebagai rahmat dari Tuhanmu; sesungguhnya Allah jugalah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Dukhan, ayat 3-6)

Berdasarkan ayat itu, sesetengah ulama berpendapat Allah telah menentukan rezeki, qada’ dan qadar ke atas segala makhluk-Nya selama setahun. Justeru, tidak pelik mengapa rahsia kedatangannya di sembunyikan Allah kepada kita.

Menurut Imam al-Razi, antara rahsia disembunyikan malam lailatul qadar supaya umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadan tanpa memilih malam tertentu saja.

Bimbang umat Islam tidak berusaha merebutnya dengan amal ibadat walaupun ditetapkan malam tertentu, atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah.

Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari lailatul qadar sehingga mampu memperbanyakkan ibadat lalu memperoleh pahala daripada kesungguhannya itu. Melahirkan umat yang menghidupkan malam Ramadan dengan harapan bertemu lailatul qadar sehingga meningkat amal solehnya.

Lailatul qadar mengukur kekuatan iman dan takwa umat Islam selama ini. Walaupun ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktunya, namun pendapat paling kuat berdasarkan hadis diriwayatkan Aisyah bermaksud: “Cari malam lailatul qadar di malam ganjil 10 hari terakhir Ramadan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Persoalan timbul di sini ialah bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan lailatul qadar? Rasulullah SAW menggariskan beberapa langkah kepada umatnya supaya berusaha sedaya upaya mendapatkan lailatul qadar ini.

Menurut Imam Bukhari dan Muslim, Saidatina ‘Aisyah meriwayatkan yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk malam sepuluh terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan amal ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam ibadah) dan uzlah dari isteri-isterinya.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Malam al-Qadr rahsia Allah

Posted by epondok di Mac 15, 2026

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kita semakin menghampiri akhir Ramadhan di mana umat Islam yang melakukan amalan soleh akan dibebaskan daripada api neraka. Itulah sebabnya bulan Ramadan ini boleh diibaratkan sebagai bulan jihad kerana umat Islam ‘berperang’ melawan hawa nafsu yang menjadikan mereka cekal menjaga tatatertib serta adab dalam bulan Ramadan.

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan atas dasar keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni. Sesiapa yang melaksanakan qiyam pada bulan Ramadan atas dasar keimanan dan mengharapkan reda Allah, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni. Sesiapa yang bangun melakukan qiyam lailatulqadar atas dasar keimanan dan mengharapkan reda Allah, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampuni.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Walaupun ada melakukan kesilapan, itulah fitrah kejadian manusia dan sebab itu mereka perlu sentiasa memohon keampunan daripada ‘timbunan’ dosa-dosa silam.

Fasa terakhir Ramadan ini juga Allah s.w.t menganugerahkan hamba-Nya malam yang penuh kemuliaan dan keberkatan iaitu lailatulqadar.

Umat Islam yang berusaha mempertingkatkan amalan mereka akan mendapat pahala berlipat kali ganda pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu.

Malam-malam terakhir Ramadan digunakan dengan perkara-perkara kebaikan seperti berzikir, berdoa, beriktikaf, bertadarus al-Quran beristighfar dan melakukan qiamullail.

Itulah keistimewaan agung yang Allah s.w.t kurniakan kepada umat Islam supaya mereka dapat menjalankan ibadah dengan penuh pengharapan.

Allah s.w.t tidak menerangkan secara terperinci waktu kedatangan lailatulqadar supaya umat Islam sentiasa berusaha mempertingkatkan amalan ibadat mereka.

Tidak bererti 20 malam sebelumnya dibiarkan begitu saja kerana mereka yang dikurniakan lailatulqadar adalah golongan yang menggunakan sepenuhnya sebulan Ramadan dengan amalan soleh berusaha menjauhkan diri mereka daripada melakukan perbuatan maksiat.

Menariknya, lailatulqadar terjadi pada malam ganjil pada sepuluh malam terakhir. Bermakna ia mungkin pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sabda baginda: “(Iaitu) ada pada Ramadan, oleh itu, hendaklah kamu mencarinya pada 10 hari terakhir. Disebabkan ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23 atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29 serta pada malam terakhirnya.” (Riwayat Ahmad).

Pada malam itu, Allah memberi kesejahteraan kepada hamba-Nya sampai terbitnya fajar. Umat Islam akan memperoleh kemuliaan, keampunan, rahmat serta mendapat balasan syurga daripada Allah s.w.t.

Dalam hadis lain Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba malam akhir Ramadan maka menangislah langit dan bumi serta malaikat kerana musibah yang menimpa umat Muhammad. Sahabat bertanya: “Apakah musibah itu?” Rasulullah menjawab: (Musibah) kerana perginya bulan Ramadan yang mana di dalam bulan ini doa dimakbulkan, semua sedekah diterima dan semua kebaikan dilipat gandakan pahalanya serta seksaan ditolak.”

Antara amalan lain yang boleh disuburkan pada malam terakhir Ramadan ialah mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama mengerjakan solat malam seperti dilakukan Rasulullah s.a.w terhadap keluarganya.

Yang pasti, ingatlah tidak semestinya bulan agung dan istimewa ini dapat lagi kita nikmati pada tahun hadapan. Justeru pastikan kita mengambil peluang ‘semahu-mahunya’ untuk meningkatkan amalan serta memohon keampunan dari-Nya.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata malam al-Qadr adalah malam yang istimewa dalam bulan Ramadan yang lebih baik daripada seribu bulan.

“Allah s.w.t menghamparkan keberkatan dan keampunan kepada umat Islam yang ikhlas beribadah kepada-Nya pada malam itu. Allah s.w.t menjelaskan perihal malam al-Qadr ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr.

Dan, apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1-3)

“Timbul persoalan, bagaimana al-Quran diturunkan pada satu malam secara sekali gus, sedangkan Rasulullah menerima wahyu al-Quran secara berperingkat selama 23 tahun.

“Yang dimaksudkan dengan al-Quran turun pada malam al-Qadr secara sekali gus adalah penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Bait al-’Izzah iaitu yang terletak di Langat dunia. Kemudian al-Quran diturunkan secara berperingkat dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah s.a.w selama 23 tahun,” katanya.

Beliau berkata waktu sebenar berlakunya malam al-Qadr menjadi rahsia daripada rahsia Allah s.w.t kerana antara tujuan malam al-Qadr itu dirahsiakan adalah supaya umat Islam bersungguh-sungguh melakukan ibadah dan berusaha memperolehinya.

“Namun, terdapat beberapa hadis yang memberi maklumat mengenai waktu berlakunya malam al-Qadr antaranya, “Carilah malam al-Qadr pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Selain itu, “Carilah pada 10 hari terakhir, jika tidak mampu maka janganlah sampai terluput 7 hari yang selebihnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Walaupun terdapat beberapa hadis yang menyatakan perihal malam al-Qadr, semuanya tidak bercanggah antara satu sama lain. Justeru, sebagai langkah bijak, persediaan perlu dilipat gandakan pada 10 malam terakhir bulan Ramadan,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata Rasulullah s.a.w sendiri berusaha mencari malam al-Qadr dan memenuhi malam-malam terakhir Baginda dengan amal ibadah.

“Dalam sebuah hadis, dinyatakan hal ini, yang bermaksud: “Apabila masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya, dan mengetatkan kainnya (tidak bersama isteri kerana sibuk dengan amal ibadah).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Justeru, sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w perlu mempersiapkan diri sebelum tiba 10 malam terakhir Ramadan ini dan berusaha mencari malam al-Qadr,” katanya.

Beliau berkata terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlakunya malam al-Qadr seperti maksud hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Pada pagi (setelah) malam al-Qadr, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinaran terik), seakan-akan ia bejana, sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim).

“Jika diteliti hadis ini, ia menggambarkan situasi selepas berlakunya malam al-Qadr. Justeru, hadis ini tidak boleh menjadi panduan bagi umat Islam untuk mencari malam al-Qadr, kerana ia menjelaskan keadaan selepas malam al-Qadr.

“Mungkin terdapat segelintir daripada umat Islam yang diperlihatkan tanda-tanda lain pada malam itu. Namun, tanda ini tidak boleh digunakan oleh orang umum sebagai panduan mencari malam al-Qadr.

“Berkemungkinan bagi orang yang melihatnya, Allah s.w.t sedang menyingkap hijab-Nya. Tiada nas yang menjelaskan perkara aneh seperti pokok sujud dan air menjadi beku pada malam al-Qadr dan ia seharusnya tidak disebarkan kepada orang lain,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata perkara utama yang perlu difokuskan setiap umat Islam pada malam al-Qadr ialah sentiasa memohon keampunan dari-Nya.

“Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menghidupkan malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Hal ini juga seperti mana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w ketika Saidatina ‘Aisyah bertanya kepada Baginda: “Wahai Rasulullah, apa pandanganmu jika aku mengetahui malam yang mana berlakunya malam Qadr, apakah yang perlu aku ucapkan pada malam itu?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka kepada pengampunan, maka ampunilah aku.”

“Kedua-dua hadis di atas jelas menyeru kita untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t supaya diberikan kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau berkata terdapat pendapat sesetengah pihak yang mengatakan waktu berharga untuk memohon keampunan pada malam al-Qadr hanya seketika sahaja iaitu beberapa saat atau minit sahaja.

“Pendapat ini harus diperbetulkan kerana secara jelas Allah s.w.t menyatakan bahawa keberkatan malam al-Qadr itu adalah sepanjang malam sehingga terbit fajar keesokannya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 5).

“Sewajarnya, umat Islam tidak menyempitkan erti amal ibadah dalam Islam.

Malam al-Qadr tidak semestinya dipenuhi dengan ibadah khusus semata-mata.

“Penuhilah masa 10 malam terakhir Ramadan dengan amal-amal baik seperti bercakap benar, membantu dan menghormati orang tua, bermaaf-maafan, menjamu sahabat makan sahur, malah sekalipun dengan melemparkan senyuman sesama Muslim,” katanya.

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

4 Sebab Sembunyi Lailatul Qadar

Posted by epondok di Mac 14, 2026

MUQADDIMAH

   Kedatangan Ramadhan dengan kelebihannya terutama dianugerahkan satu malam daripada malam-malamnya yang dipanggil lailatul qadar hendaklah direbuti oleh kita semua sebagai umat yang cintakan Allah dan hari akhirat. Peluang yang datang jangan dilepaskan begitu sahaja kerana kelak kita kerugian yang tidak mampu dibayar dengan tangisan dan penyesalan. Melalui beberapa hadis Rasulullah s.a.w, baginda menerangkan bagaimana pada kebiasaannya malam lailatul qadar akan datang pada sepuluh akhir Ramadhan. Oleh itu gunakanlah masa ini sebaiknya untuk beribadat janganlah terlalu sibuk dengan persiapan hari raya sahaja. Islam tidak melarang umatnya bersiap untuk berhari raya tetapi kita juga mesti mengutamakan bekalan akhirat yang lebih utama. Betapa ramai yang menghabiskan sepuluh terakhir Ramadhan di kedai-kedai, supermarket, pasaraya dan sebagainya kerana mahu menyambut hari raya sedangkan pada masa yang sama tawaran yang lebih hebat apabila kita beramai-ramai menghidupkan sepuluh malam terakhir itu di surau atau masjid. Janganlah kerana mahu mengejar sementara kita terlupa kepada bekalan apabila bertemu dengan Allah di akhirat sana.

MAKSUD SURAH AL-QADAR

    Firman Allah dalam surah al-Qadar 1-5 yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menurunkan     ( al-Quran ) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah itu malam Lailatul qadar?. Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Di malam itu turun para malaikat dan Jibril dengan Izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu (penuh ucapan) kesejahteraan sehingga terbit fajar.

SEBAB PENURUNAN SURAH AL-QADAR

    Di sini ada beberapa riwayat yang menceritakan mengenai sebab diturun dan diberi kelebihan malam al-Qadar yang dianugerahkan kepada umat nabi Muhammad s.a.w dan tidak diberi kepada umat sebelumnya.

1. Ibu Jarir mengeluarkan daripada Mujahid dengan katanya : Adalah pada umat bani Israel ada seorang pemuda mendirikan malam sehingga Subuh. Kemudian dia berjihad melawan musuh pada siang hari sehingga petang. Dia melakukan amalan ini selama seribu tahun lalu Allah menurunkan ayat ini yang memberi galakan dan kelebihan kepada umat nabi Muhammad  s.a.w yang mendirikan malam al-Qadar di mana mereka akan memperolehi ganjaran yang lebih baik daripada pemuda bani Israel tadi.

2. Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Baihaki dalam sunannya daripada Mujahid memberitahu bagaimana nabi telah menceritakan tentang seorang pemuda bani Israel telah membawa senjata berjihad di jalan Allah selama seribu tahun maka seluruh umat Islam yang mendengar perkara ini merasa begitu kagum lalu Allah menurunkan ayat ini yang menyatakan bagaimana umat ini akan dapat menandingi ganjaran yang diperolehi oleh pemuda tadi dengan mendirikan malam lailatul qadar.

3. Ibnu Abi Hatim daripada Ali bin Urwah telah memberitahu bahawa pada suatu hari nabi telah menyebut tentang 4 orang daripada bani Israel di mana mereka telah menyembah Allah selama 80 tahun tanpa membuat maksiat walau pun sekelip mata. Semua muslimin yang mendengar cerita ini merasa kagum lalu datanglah Jibril membawa datang ayat ini bagi memberi semangat kepada umat nabi Muhammad s.a.w agar menghidupkan malam al-Qadar supaya mereka akan memperolehi kelebihan melebihi amalan pemuda bani Israel tadi.

4. Malik bin Anas memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w apabila melihat kepada umur manusia zaman sebelum ini, maka baginda umur umatnya terlalu singkat di mana baginda merasa bimbang kepada amalan-amalan umat ini yang pasti tidak akan dapat menyamai amalan umat terdahulu. Maka Allah mengurniakan kepada baginda dan umat akhir zaman dengan suatu malam yang lebih baik daripada seribu blan bagi umat lain.
SEBAB DISEMBUNYIKAN MALAM AL-QADAR

        Menurut Imam al-Razi seorang penafsir terkenal telah menulis mengenai sebab Allah menyembunyikan malam al-qadar daripada pengetahuan kita iaitu sebagaimana berikut :

Pertama  : Allah menyembunyikan malam al-qadar sebagaimana Dia menyembunyikan seluruh rahsia sesuatu yang lain seperti Dia menyembunyikan keredhaanNya dalam ketaatan seseorang hamba sehingga menimbulkan kegemaran dalam melakukan semua ketaatan kepada Allah. Allah juga menyembunyikan saat-saat diperkenankan doa agar setiap pemohon bersungguh-sungguh setiap kali berdoa. Begitulah juga Dia menyembunyikan malam al-qadar agar umat Islam dapat membesarkan kesemua malam bulan Ramadhan tanpa memilih malam tertentu sahaja.

Kedua    :  Jika diberitahu secara jelas tentang malam al-Qadar maka ditakuti manusia yang tahu tentang kedatangan malam tersebut tetapi dia tidak berusaha untuk merebutnya dengan amal ibadat atau pun dia melakukan maksiat. Ini akan menyebabkan dia terjerumus ke lembah kecelakaan dalam keadaan dia tahu dan ingatlah bahawa berbuat maksiat atau tidak bersungguh dalam melakukan ibadat dalam keadaan kita tahu ia merupakan malam yang mempunyai kelebihan yang besar adalah lebih berat dosanya daripada kita tidak mengetahuinya. Oleh itu dirahsiakan malam al-qadar.

Ketiga   :  Supaya seseorang mukallaf itu bersungguh-sungguh berusaha mencari malam al-qadar sehingga dia mampu memperbanyakkan ibadat lalu dia memperolehi pahala daripada kesungguhannya itu.

Keempat  :  Seseorang yang meyakini akan datangnya malam al-qadar maka dia akan bersungguh-sungguh mencarinya pada keseluruhan malam Ramadhan dengan harapan akan berkebetulan dengan malam al-qadar. Allah akan bermegah dengan usahanya ini dengan menyatakan kepada para malaikat bahawa inilah manusia yang pernah kamu katakan bahawa mereka akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah di bumi sedangkan apa yang kamu lihat ialah mereka merupakan makhluk yang kuat beribadat

Rujukan

1. Al-Quran al-Karim
2. ad-Durrul al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, Imam Sayuti, Darul Fikr

Posted in Amalan Pilihan | 2 Comments »

Pengertian Sebenar Lailatul Qadar

Posted by epondok di Mac 13, 2026

Mohd. Shauki Abd. Majid

 

Salah satu masa dan ketika yang ditunggu-tunggu oleh orang-orang beriman dalam  bulan Ramadan adalah  Laylat Al-Qadr (secara popular dilafazkan “lailatulqadar”). Malam itu disebut dengan lailatulqadar, suatu malam yang dinilai oleh al-Quran sebagai malam yang penuh barakah dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Secara harfiah Laylat Al-Qadr bermaksud “Malam Penentuan” atau “Malam Kepastian” – jika kata-kata  qadr difahami sebagai suatu asal dengan kata-kata taqdir. Tetapi ada juga yang menberi makna Laylat Al-Qadr dengan “Malam Kemahakuasaan”, iaitu jika kata-kata qadr difahami  sebagai suatu asal dengan kata-kata al-Qadir yang bermaksud “Yang Maha Kuasa” iaitu salah satu sifat Tuhan.

Lailatulqadar sangat dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan daripada Allah SWT kepada umat-Nya. Pengalaman mendapatkan lailatulqadar merupakan pengalaman spiritual dan individual. Tidak semua orang mampu mendapatkan malam seribu malam ini. Ia tidak boleh dicapai begitu sahaja dengan hanya kehadiran kita pada malam-malam ganjil di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, kerana perjumpaan dengan lailatulqadar merupakan puncak prestasi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan rohani pada bulan Ramadan.

Dikatakan bahawa malam tersebut para malaikat turun, begitu juga ruh (yang dalam hal ini ialah ruh kudus atau malaikat Jibril pembawa wahyu Tuhan).Mereka turun dengan membawa ketentuan tentang segala perkara bagi seluruh alam khususnya umat manusia. Malam itu adalah malam kedamaian hingga terbit fajar.

Kalau kita berbicara tentang Nuzul Quran, sangat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah SWT secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!”
Meskipun kata-kata ‘malam’ disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadr ini diberikan kehormatan yang amat tinggi sekali. Ia dinamakan ‘malam’ yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan malaikat Jibril.

Penghormatan ini berlangsung satu malam suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar pagi. Sengaja digambarkan oleh Allah SWT dengan kata ‘salam’ akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci iaitu perdamaian.

Inilah satu penghormatan yang begitu besar pernah terjadi dalam coretan seluruh sejarah kemanusiaan. Justeru Lailatulqadar sentiasa segar dan hidup setiap tahun sepanjang perjalanan sejarah manusia untuk memperingati peristiwa turunnya wahyu Allah SWT.

Di dalam Surah al-Qadr juga disebut malam Lailatulqadar melebihi seribu bulan. Ini bermakna amal yang dilakukan pada semalaman Lailatulqadar melebihi pahalanya daripada amal seribu bulan. Banyak ulama menjelaskan seribu bulan itu bukanlah memperhitungkan angka yang tepat, tetapi dimaksudkan kemuliaan Lailatulqadar berbanding dengan segala hari dan malam yang lainnya, iaitu suatu saat yang tidak terhingga ketinggian nilainya.

Apakah hikmat Allah tidak menyebut mana satu hari akan berlakunya Lailatulqadar. Berdasarkan pada hadis Nabi, Lailatulqadar akan jatuh pada tarikh ganjil di akhir bulan Ramadan iaitu 21, 23, 25, 27, dan 29. Ia terjadi pada salah satu malam itu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui waktunya yang tepat.

Panduan inilah yang sering digunakan oleh umat Islam untuk mengisi hari-hari itu dengan meningkatkan amal-amal yang soleh. Mereka optimis dan mempunyai harapan yang tinggi dan mengharapkan amal yang dilakukan bertepatan dengan Lailatulqadar yang nilai pahalanya ribuan bulan.


Metafora 

Sebenarnya Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menjelaskan apa yang dimaksudkan Lailatulqadar dan bila ia berlaku. Suatu ketika Rasulullah SAW bersabda kepada orang ramai yang berkumpul di masjid menunggu Lailatulqadar, katanya: apa yang kamu tunggu-tunggu malam ini akan datang kerana aku telah melihat dalam visi (rukyah) bahawa akan berlaku hujan lebat kemudian aku berlumuran dan basah kuyup oleh air. Pada malam itu memang terjadi hujan lebat.

Justeru bangunan masjid di zaman Nabi SAW diperbuat dari daun kurma maka air hujan mudah menitis masuk ke dalam lantai masjid yang bertanah. Umat Islam yang ada pada saat kejadian tersebut melihat apa yang dikatakan Nabi SAW. Rasullullah SAW dengan mukanya yang basah kuyup dan badannya yang berlumuran tanah liat lalu mengatakan itulah yang kau tunggu-tunggu. Justeru Lailatulqadar adalah persoalan rohani, maka tidak ada kata-kata yang mapan untuk menjelaskan. Ia hanya boleh diungkap melalui simbol atau metafora.

Di sinilah timbul masalah tafsir dan takwil di mana Nabi SAW dengan lumpur dan basah dengan air sebenarnya adalah suatu peringatan kepada kita bahawa tingkat paling tinggi daripada pengalaman rohani itu adalah kalau kita sudah kembali ke asal. Dari mana kita berasal kalau tidak dari tanah dan air. Jadi yang diambil Nabi SAW satu perlambangan bahawa kita pun akan kembali ke tanah dan menjadi air. Kita harus menyedari siapa kita di sisi Allah dan harus menjadi manusia berhati rendah dan janganlah menjadi manusia takbur yang membuat pintu syurga tertutup rapat dan tidak dapat masuk ke dalamnya.

Tidak ada kebahagiaan yang ingin dicapai melainkan kebahagiaan hakiki di sisi Allah SWT. Inilah yang kita cari dalam tahap rohani puasa – yang kita alami melalui satu simbolisasi dari Lailatulqadar. Tetapi semuanya memang harus dimulai dengan tanah dan air atau perkataan lainnya, kesedaran tentang diri kita yang sebenarnya. Jika orang yang ikhlas ada tandanya, maka demikian juga orang yang mendapat Lailatulqadar pasti ada tandanya jua. Pertama, apakah kita sudah semakin memahami maksud-maksud suci Allah ketika membaca al-Quran?

Kedua, apakah ibadat kita sudah lebih banyak, lebih baik, dan nikmatnya? Ketiga, apakah kita melihat manusia sebagai satu kesatuan tanpa dipilih oleh mana- mana mahzab? Keempat, apakah kita sudah berasa jijik melakukan dosa dan maksiat? Kelima, apakah kita bersedia berlapang dada memaafkan musuh kita? Keenam, jika kita berada dalam kesibukan tetapi banyak melakukan amal ibadah dan zikir dengan tidak mempunyai apa-apa yang harus dibanggakan di hadapan Allah?

Ini semua bererti kemungkinan besar kita berhasil mendapat curahan berkat-Nya melalui Lailatulqadar.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | Leave a Comment »

Doa Bertemu Lailatul Qadar

Posted by epondok di Mac 12, 2026

 

اَللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فاَعْفُ عَنَّا

Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Maha Mulia, Engkau suka pada kemaafan maka maafkanlah kami

Posted in Amalan Pilihan | 1 Comment »

Amalan 10 Malam Terakhir Ramadhan

Posted by epondok di Mac 11, 2026

Antara amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir Ramadan adalah:

1. Melakukan qiamullail;

2. Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;

3. Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);

4. Mandi antara Maghrib dan Isyak;

5. Iktikaf dalam masjid.

Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukan ibadat pada 10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah dilakukan pada waktu selainnya. (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini nabi memberikan penumpuan khusus kepada malam terakhir Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul qadar yang disifatkan Allah dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai: “Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan.”

Demikian pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, maksudnya: “Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang lalu”.

Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan keluarganya pada 10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan yang dewasa yang mampu melakukan solat.

Dalam sesetengah riwayat apa yang sangat dituntut ke atas Muslim ialah menggerakkan keluarga pada malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 kerana mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan seperti ini, Nabi SAW menurut riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami isteri untuk berada di masjid bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan solat sunat, beristighfar dan sebagainya.

Persiapan Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf juga harus kita contohi. Ibn Abi Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah mandi sebelum beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian Abu Huzaifah mandi dan Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya sahabat gemar mandi setiap malam antara Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk iktikaf.

Ulama Islam berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail antara menghidupkan keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja. Abu Jakfar Muhammad Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan sebahagian daripada malam, bukan sepanjang malam. Demikian juga Imam al-Syafi’iy dan amal ahli Madinah menyokong pendapat itu.

Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi tidak pernah solat malam hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama meringankan persoalan qiam sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan qiamullail disebabkan kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh. Ini berdasarkan riwayat dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang berkata, maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dengan berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh bahagiannya daripada malam itu.”

Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi’iy menyatakan: “Sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan itu.” Ibn Abi Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada melihat perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang tidak ternilai harganya.”

Ringkasnya sekurang-kurang usaha membangunkan malam ataupun qiamullail untuk mendapat kelebihan lailatulqadar ialah melakukan solat Isyak dan subuh berjemaah bagi lelaki.

Bagi wanita khasnya yang uzur kerana haid dan nifas, masih mampu memperoleh lailatulqadar dengan melakukan ketaatan seperti beristighfar, berzikir, berselawat, mempertingkatkan sedekah dan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi kepada Aisyah iaitu: “Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pengampun, Engkau gemar memberikan keampunan, maka ampunkan aku.”

Dalam tafsir Hasyiah al-Sawiy ‘alal Jalalain, al-Sawi berkata, doa paling penting yang dituntut ke atas kita mengamalkannya adalah memohon keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.

Dalam zikir, kita mengucapkan: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat besar kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga kali), maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar.”

Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang inginkan lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi SAW seperti riwayat Ibn Abbas bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memerhatikan orang beriman daripada kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi mereka dan dirahmati melainkan empat golongan iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, orang selalu bertengkar dan orang memutuskan silaturahim.”

Posted in Amalan Pilihan | 2 Comments »

Cara Nabi Hidupkan Lailatul Qadar

Posted by epondok di Mac 10, 2026

Tulisan MOHD NORZI NASIR
RAMADAN menjanjikan ganjaran yang cukup istimewa bagi seorang Muslim ke arah mengecapi kecemerlangan hidupnya. Hal ini akan terlaksana dan tercapai dengan jayanya.Pertama; jika setiap hamba benar-benar seorang Muslim yang mengerjakan ibadah puasa berteraskan keimanan dan muhasabah serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW.Kedua; yakin dengan ganjaran yang telah dijanjikan Allah SWT terhadap segala amalannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa yang lalu.(riwayat al-Bukhari dan Muslim]Memasuki detik 10 terakhir Ramadan pesona peribadi dan perilaku Rasulullah SAW terlakar dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Adalah Rasulullah SAW apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya dan mengikat pinggangnya.(riwayat al-Bukhari dan Muslim)Kupasan ringkas hadisPara ulama berbeza pendapat dalam memberi pentafsiran mereka terhadap hadis di atas. Namun demikian mereka sepakat bahawa Rasulullah SAW melipat-gandakan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.Hadis di atas menunjukkan betapa Rasulullah SAW amat memberi tumpuan serius pada detik malam 10 terakhir Ramadan terutama dalam perihal beribadah. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan, suatu perkara yang tidak Rasulullah SAW lakukan pada bulan-bulan selainnya. (riwayat Muslim)Mengikat kainnya

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa para ulama mempunyai beberapa pendapat terhadap istilah ‘mengikat kainnya’.

Di antara pendapat yang paling kuat ialah ia membawa dua pengertian iaitu Rasulullah SAW tidak menggauli para isterinya iaitu melakukan hubungan suami isteri (jimak) dan ini digambarkan dengan istilah ‘mengikat kainnya’.

Maksud yang kedua ialah baginda SAW bersungguh-sungguh dalam setiap ibadah yang dilakukannya. Kedua-dua pengertian adalah tepat jika dilihat dari perbuatan Rasulullah SAW tatkala tiba malam-malam 10 akhir Ramadan. (Fath al-Bari 6:310)

Menghidupkan malam harinya

Rasulullah SAW telah memberikan pedoman terbaik kepada umatnya agar melakukan transformasi dengan mengubah malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupkannya dengan melakukan ketaatan melalui gerak kerja ibadah.

Antaranya melakukan solat-solat sunat, membaca al-Quran, beriktikaf terutama di sepertiga malam sewaktu manusia terlena di malam hari. (Fath al-Bari 6:310)

Membangunkan Ahli Keluarganya

Dalam hal gerak kerja beribadah (solat), baginda SAW tidak pernah melupakan atau mengabaikan keluarganya.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik kepada seluruh umatnya terutama ketua keluarga agar tidak mengabaikan keluarga walaupun dalam perihal melakukan ibadah-ibadah sunat.

Perilaku baginda SAW membangunkan ahli keluargannya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab r.a di mana al-Imam Malik dalam Al-Muwatta’ menyebutkan, bahawasanya Umar r.a melakukan solat malam seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar r.a membangunkan keluarganya agar melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: “Solat! solat!”

Perkara-perkara yang dianjurkan pada 10 malam terakhir Ramadan

1. Mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruman

Ibn Abi ‘Asim meriwayatkan dari Aisyah r.a: “Rasulullah SAW jika berada dalam bulan Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10 hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari bersama-sama para isterinya, serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak”. (Terdapat riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini) Dalam riwayat lain daripada sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi’en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan tabi’en ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan lailatul qadr, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu. Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan di samping mencari lailatul qadr dianjurkan membersihkan diri dan memakai wangian dan haruman, sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri dan Aidiladha.

2. Mencari lailatul qadr

Umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut lailatul qadr. Hal ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud, Carilah malam lailatul qadr pada 10 malam terakhir. (riwayat al-Bukhari) Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia telah mengambil menghidupkan seluruh malam itu”. (Riwayat Abu Dawud).Maksudnya sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatul qadr. Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.  

3. Melewatkan sahur

Daripada Sahl ibn Sa’d berkata: Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah SAW. (riwayat al-Bukhari)Perlakuan ini turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit berkata: “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (riwayat al-Bukhari)

4. Melakukan iktikaf

Iktikaf adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran lailatul qadr (malam yang lebih baik dari 1,000 bulan).Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5) Menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a Bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. Dalam sebuah hadis lain Bahawasanya Abu Hurairah berkata: “Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari”. (riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi)

5. Membanyakkan doa

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi: Allahumma innaka afuwwun karimun tuhibbul afwa fa’ fu anni yang bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535)Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu Kelak”. (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65)

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

5 Amalan terbaik rebut Lailatul Qadar

Posted by epondok di Mac 9, 2026

Oleh Zawawi Yusoh

ALANGKAH cepatnya masa berlalu, ketika seronok melaksanakan ibadah, Ramadan kini di pusingan terakhir.

Sedih rasanya, apakah amalan kita diterima atau tidak. Apa pun, kita masih ada 10 hari terakhir membuat pecutan.

Marilah kita menghidupkan malam-malam yang menjadi buruan setiap kekasih Allah, moga kita dalam senarai pencari lailatulqadar. Antara amalan menghidup kan 10 hari terakhir Ramadan ialah solat malam seperti tahajud, hajat, taubat dan berzikir kepada Allah.

Kita digalak mengejutkan ahli keluarga bersama-sama menghidupkan malam itu dengan amal ibadah, jangan biarkan mereka terus lena dibuai mimpi.

Bagi suami isteri, 10 malam terakhir usah bersama kerana Nabi mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana sibuk dengan beribadah.

Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di akhir Ramadan iaitu dengan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah.

Kata Imam Az-Zuhri: Maksud nya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin, mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi s.a.w tidak pernah meninggalkannya sejak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”.

Rasulullah s.a.w memberikan pedoman terbaik kepada umatnya supaya melakukan transformasi dengan mengubah malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupnya dengan gerak ibadah.

Antaranya, solat sunat, membaca al-Quran, beriktikaf terutama
di sepertiga malam dan membangunkan ahli keluarga untuk beribadat.

Dalam beribadah (solat), baginda tidak pernah melupakan keluarganya.

Perilaku baginda memba ngunkan ahli keluarganya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab di mana al-Imam Malik dalam Al-Muwatta’ menyebutkan, bahawasanya Umar melakukan solat malam seperti yang dikehendaki Allah, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar membangunkan keluarganya supaya melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: “solat! solat!”

Berikut perkara-perkara yang patut dilakukan di 10 terakhir Ramadan:

1. Mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian paling baik selain haruman.

Ibnu Abi ‘Asim meriwayatkan dari Aisyah: “Rasulullah jika berada dalam bulan Ramadan, baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun.

2. Mencari lailatulqadar

Baginda bersabda, maksudnya, “Carilah malam lailatulqadar pada 10 malam terakhir. (Riwayat al-Bukhari).

Dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia mengambil menghidupkan seluruh malam itu”. (Riwayat Abu Dawud).

3. Melewatkan sahur

Daripada Sahl ibn Sa’d berkata: Sesungguhnya aku pernah bersahur bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah. (Riwayat al-Bukhari).

Zaid ibnu Thabit berkata: “Kami pernah bersahur bersama Rasulullah kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas bertanya, Berapakah jarak di antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat. (Riwayat al-Bukhari).

4. Melakukan iktikaf

Iktikaf adalah sunnah baginda demi memperoleh kelebihan dan ganjaran lailatulqadar.

Firman Allah dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam lailatulqadar, dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).

5. Membanyakkan doa

Aisyah diajar Rasulullah s.a.w membaca doa pada malam al-Qadar.
Doanya berbunyi: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535).

Posted in Amalan Pilihan | 2 Comments »

Nuzul al-Quran: Kualiti atau kuantiti?

Posted by epondok di Mac 8, 2026

“USTAZ! Buntu saya, apa yang perlu dibuat semasa Ramadan, khatam al-Quran atau tadabbur ayatnya. Kedua-duanya mahu dikejar tapi masanya suntuk.”

Benar! Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa kerana terpilih untuk ‘dimasyhurkan’ sebagai bulan turunnya al-Quran.

Analogi mudah, sebelum 1957, tarikh 31 Ogos tiada nilai pada orang Melayu. Setelah tarikh itu dimasyhurkan sebagai hari kemerdekaan Tanah Melayu, ia terpahat erat dalam lipatan sejarah Malaysia.

Begitu juga dengan Ramadan. Sebelum al-Quran diturunkan, Ramadan hanya sebuah bulan biasa yang kadangkala cuacanya panas membara.

Setelah Allah melimpahkan rahmat-Nya ke bumi dengan sinaran al-Quran, nama Ramadan melonjak naik menumpang kemasyhuran al-Quran.

Oleh itu sangat malang jika ada manusia yang menjadi hamba Ramadan dan bukannya hamba Allah.

Bayangkan apa nasib jika al-Quran tidak diturunkan? Kita mungkin menjadi penganut pelbagai agama dunia. Alhamdulillah, kita mendapat hidayah dengan turunnya al-Quran.

Kesyukuran inilah yang diucapkan oleh ahli syurga: “Dan Kami cabut segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka, (dalam syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufik-Nya); sesungguhnya para rasul Tuhan kami datang membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah syurga yang diwariskan kepadamu dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan,” (al-A’raf [7:43]).

BERSYUKURKAH MANUSIA ATAS NIKMAT AL-QURAN?

Sewajibnya kita bersyukur atas penurunan al-Quran. Bagaimana? Ikrar cuti tahunan? Junjung julang al-Quran? Anjur pertandingan lagu atau hafazan al-Quran? Hantar anak ke sekolah tahfiz?

Tanpa nafi, semua itu termasuk dalam usaha bersyukur dengan penurunan al-Quran. Walaupun begitu, yang paling utama adalah memahami dan mengamalkan isi kandungannya.

Berbalik kepada soalan di atas, apa yang perlu diutamakan dalam Ramadan? Khatam baca atau tadabbur?

Saya jawab, kita perlu berinteraksi dengan al-Quran sepanjang usia dengan ‘kuantiti dan kualiti’. Kuantiti merujuk kepada usaha membaca huruf al-Quran sebanyak mungkin sehingga khatam, manakala kualiti pula merujuk kepada usaha tadabbur atau memahami al-Quran.

Kedua-duanya perlu menjadi aktiviti harian seumur hidup dan digandakan dalam Ramadan.

Aktiviti meningkatkan kuantiti baca al-Quran sehingga khatam bertepatan dengan sunah Rasulullah SAW kerana Baginda melakukan tadarus tahunan dengan Jibril a.s. sebagaimana diriwayatkan Abdullah bin ‘Abbas r.a.:

“Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah (melakukan kebaikan). Baginda jadi tambah pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril datang bertemu dengannya pada setiap malam. Jibril mengulang kaji al-Quran dengan nabi pada bulan Ramadan. Baginda benar-benar pemurah (pada bulan Ramadan) seperti angin yang bertiup kencang,” – Sahih Bukhari.

Bonus membaca al-Quran dikira pada kuantiti hurufnya. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan itu digandakan 10. Aku tidak kata alif-lam-mim itu satu huruf, sebaliknya alif itu (dikira) satu huruf, lam (dikira) satu huruf dan mim (dikira) satu huruf,” – Sunan Tirmizi.

Darjat syurga para pembaca al-Quran diangkat berdasarkan kuantiti huruf yang dibacanya.

“Dikatakan kepada ahli al-Quran (orang yang membaca, menghafaz dan mengamalkan isi kandungannya ketika mereka masuk ke dalam syurga), bacalah (dalam syurga), dan naiklah darjat (syurgamu) dan bacalah sebagaimana kamu pernah membacanya semasa di dunia. Sesungguhnya kedudukan (darjat) kamu dinilai pada ayat terakhir yang kamu baca (semasa di dunia),” – Sunan Abu Daud dan Sunan Tirmizi.

Kuantiti huruf al-Quran yang berlari pada lidah pembacanya akan meninggalkan bekas pada jiwa jika ia dituruti pula oleh bacaan berkualiti atau tadabbur. Bahkan tadabbur al-Quran menjadi sebab utama penurunannya. Firman Allah:

“(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar,” (Sad[38:29]).

KESILAPAN LAZIM DALAM MASYARAKAT

Ramai yang silap berinteraksi dengan al-Quran apabila hanya mementingkan aspek huruf atau tajwidnya sahaja, sedangkan tilawah al-Quran yang sebenar merangkumi aspek kuantiti dan kualiti.

Ia dijelaskan Allah:

“Orang yang Kami berikan kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang yang rugi,” (al-Baqarah [2:121]).

Perkataan ‘Haqq al-Tilawah atau tilawah yang sebenar’ dalam ayat ini tidak seharusnya disempitkan hanya pada sudut tajwid, sebaliknya merangkumi perkara lain seperti benar-benar mengikuti isi kandungan al-Quran, menghalalkan yang halal, mengharamkan yang haram dan tidak mengubah isi kandungannya tanpa ilmu (Tafsir Ibn Kathir).

Al-Quran bukanlah kitab yang dibaca secara bermusim. Ia adalah makanan ruji orang beriman.

Jika fizikal kita memerlukan makanan secara harian untuk kekal hidup sihat, begitulah juga rohani kita. Ia perlu dijamu dengan makanan rohani setiap hari.

Pastinya makanan rohani terbaik untuk jiwa adalah al-Quran kerana ia mengandungi nutrisi terbaik.

Semoga kenangan Nuzul al-Quran akan menaikkan semangat untuk meningkatkan kadar kuantiti dan kualiti bersama al-Quran.

Tadabbur al-Quran tidak terikat hanya dalam Ramadan sahaja, ia adalah aktiviti seumur hidup bagaikan makanan ruji harian untuk jiwa. Pilihlah satu waktu setiap hari untuk tadabbur sejumlah kecil ayat al-Quran. Andai kata kita tadabbur lima ayat sehari, sebulan ia sudah jadi 150 ayat. Bagi meraikan Ramadan, kita tambah sedikit ayat untuk tadabbur menjadi 10 atau 15 ayat. Mudah-mudahan tambahan jumlah tadabbur ayat dalam Ramadan akan memuncakkan cinta kepada al-Quran.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

 
Design a site like this with WordPress.com
Mulakan