Minggu, Januari 19

The oblivious me

Baru pulang dari kursus di Mulu Sarawak minggu lepas. Sepertimana kursus- kursus sebelum ini yang dianjurkan oleh HPUSM di bawah Jabatan Perubatan Kecemasan, tak sah kiranya di jeda waktu luang tidak diisi dengan bermain Werewolf. Ia semacam acara wajib untuk setiap kursus outdoor.

Kali pertama tahu pasal permainan werewolf adalah semasa mengikuti kursus Wilderness Medicine di Tasik Banding 2 tahun lepas. Ia menjadi satu acara wajib pula untuk program Wilderness Medicine selepasnya. Kali ini, acara werewolf diteruskan untuk kursus Travelling Medicine di Mulu, Sarawak.

Permainan werewolf adalah permainan minda yang mana setiap pemain diberi kad dengan peranan masing-masing. Ada watak baik dan ada watak jahat. Penghujung permainan ni adalah untuk menangkap serigala jadian yang membunuh orang kampung dan watak-watak baik yang lain.

Aku bukanlah seorang yang mampu meneka peribadi seseorang apatah lagi menilai perilaku seseorang secara berdepan. Apa yang dikatakan orang, itulah aku terima. Itulah yang berlaku ketika aku turut serta menjadi salah seorang pemain werewolf. Ada beberapa siri yang mana aku tersalah tekaan yang menyebabkan serigala berjaya membunuh orang kampung. Akulah puncanya. Penat yang amat nak buat keputusan. Akan ada sesi memanipulasi fakta yang menyebabkan aku tersalah pilih. 

Itulah aku. Sangatlah tidak peka dengan keadaan sekeliling. Selepas selasai satu sesi permainan, kawan-kawan akan bagi input. Barulah aku - oh begitu ya. Itulah diri aku kini. Tiada hati mahu melihat yang tersirat. Apa yang disampaikan, itulah yang aku faham dan nampak. 

6 tahun lalu,

Trauma tentang hubungan sesama manusia masih lagi menghantui aku. Trauma itulah yang menjadikan aku hari ini. Jabatan kecemasan padaku tidak punya ruang untuk hal-hal peribadi orang- ini pada akulah. Aku pergi kerja, sibuk rawat pesakit, seusai habis syif terus beransur pulang. Di akhir syif, tenaga aku dah habis daya untuk mengorek rahsia rumah tangga orang. Pernah kawanku menyatakan, betapa monotonousnya responku menyangkut perihal peribadi orang lain. 

Dan aku menjadi penyendiri. Pemendam rasa. Pemaaf. Teruskan hidup. 

Permainan werewolf padaku benar-benar menonjolkan siapa aku. Sangat tidak peka dengan keadaan sekeliling. Hal peribadi orang bukan sumber keterujaan kini. Semoga tetaplah aku istiqamah untuk tidak terlalu busybody dengan sesuatu yang bukan dalam linkunganku.