Saturday, March 28, 2026

Aktiviti raya pertama

March 28, 2026 1 Comments

 Sabtu, 1 Syawal 1447H, bersamaan 21 Mac 2026, tidak ada banyak aktiviti pun yang nak dibuat yang melibatkan raya. Selain ziarah papa dan makcik di rumah Rawang, saudara-mara yang lain tak ada di Lembah Klang. Ada saudara, tapi mereka semua tidak available pada hari itu, untuk kita datang bertandang. Jadi, saya dan keluarga cuma lepak di homestay. 

Oleh kerana lokasi apartment di atas mall, saya pergi berjalan di mall, saja meng-explore, sorang-sorang, lepas Asar. Starling Mall itu, ada Decathlon juga, tapi kecil dan pada hari saya pergi tengok, macam semak pula. Mesti sebab ramai pekerja cuti hari raya. Tak tersusun baju yang orang cuba, tergantung di rak. 

Ada kedai Le Gourmet juga, yang menjual perkakasan memasak seperti periuk, segala mak nenek gajet memasak. Saya tengok dari luar kedai saja. Saya takut nak masuk. Dekat rumah saya ada satu periuk Le Gourmet. Memang selalu pakai, sebab periuk kualiti baik, harga pun.... boleh tahan la ya. Di saat zaman perang di Timur Tengah dan kita harus berjimat ini, saya pun ambil langkah berjaga-jaga dengan tidak masuk kedai ini. Pejam mata, pejam mata... bahaya.... 

Dari satu tingkat ke satu tingkat saya berjalan. Satu terapi bagi saya. Saya memang suka berjalan seorang diri. Oleh kerana di kawasan saya, tiada Jaya Grocer, maka saya tidak melepaskan peluang lah untuk masuk ke Jaya Grocer. Selama ini, baca kawan-kawan blogger cerita saja. Kali ni, pertama kali saya masuk. Memang elok supermarketnya, macam-macam barang ada. Barang yang tidak dijual di pasaraya di rumah saya. Maklumlah, saya duduk luar bandar. Buah-buahan dan sayuran segar, seronoknya tengok jamu mata. 😍

Image
Beli ramen cup sebab Hafizan request.

Duduk homestay yang ada kemudahan dapur dan microwave ini, tak sah la kalau tak masak maggi cawan, ye dak. Beli juga mee segera dalam cawan. 

Eh eh... lama juga saya berjalan dalam mall sampai cukup 10 ribu langkah. Lepas tu, saya join kakak-kakak dan anak-anak yang nak mandi kolam renang. 

Saya tukang jaga barang dia orang je. Tiada pakaian renang. 

Image
Elok cuaca macam nak hujan petang itu.

Angin bertiup sekali-sekala. Orang pula tak ramai yang mandi di pool. Ada seorang ayah dengan anak perempuan kecil sedang mandi, tapi di tempat cetek untuk kanak-kanak. Swimming pool Somerset ini, berada di tingkat 6, satu level dengan reception, residents lounge dan gym.


Image
Seronok dia orang jadi dugong

Pemandangan bangunan tinggi seperti apartment dan bangunan pejabat, di kawasan bandar Petaling Jaya.

Image
Boleh nampak pelangi tak?

Bila ada pelangi, maknanya ada titisan air di awan tu. Tak lama kemudian, angin bertiup membawa awan mendung ke tempat kami dan hujan mulai turun.

Saya masih duduk tepi kolam, sebab ada payung piknik besar di tempat saya duduk. Jadi, barang-barang seperti pakaian dan tuala, tak basah. 

Image
On your mark, get set, go!

Siap lumba berenang lagi deme ni. Siapa boleh selam paling lama. Belajar teknik apungkan diri, dan sebagainya. Bila anak-anak seronok, saya pun tumpang seronok. Jarang-jarang anak saya mandi kolam renang ni. Dulu masa dia orang kecil, selalu. Walaupun tempat tinggal saya dengan laut tak jauh, tapi dia orang tak minat mandi laut.

Lepas mandi, naik atas homestay, semua lapar. Pakat sambung makan juadah raya. Malam itu pengsan awal. Ada perancangan untuk workout di gym, tapi semua orang hanyut awal sebab keletihan berenang macam dugong.

Okay. Sekian cerita aktiviti petang raya pertama kami.

Jumpa lagi, ye. 💗

Friday, March 27, 2026

Raya Puasa

March 27, 2026 16 Comments

Tanggal 21 Mac 2026, umat Islam seluruh Malaysia merayakan Hari Raya Aidilfitri. Hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Syukur Alhamdulillah, dapat jumpa keluarga yang selama ini jauh. 

Pagi raya itu, kami berjalan beramai-ramai satu keluarga, dari homestay ke masjid.

Image
Dalam pukul 7.15 pagi kami keluar.

Awal, sebab kakak sulung yang pernah beraya di kawasan ini, cakap, nanti nak kena berebut tempat dengan pekerja asing yang tidak pulang beraya.

Image
Jalan kaki lebih senang, tak perlu risau parking.

Lagi satu keluar awal, sebab kami jalan santai-santai saja. Ambil masa lah nak sampai, walaupun masjid tak berapa jauh pun dari lokasi homestay.

Image
Sudah sampai.

Masjid Al-Mujahideen, Damansara Utama. Solat tahiyatul masjid, solat dhuha, dan takbir raya sebelum solat hari raya Aidilfitri. Penuh masjid. Sampai ke luar, jemaah. Kena bentang tikar banyak saf. Ada penduduk tempatan, tapi warga luar seperti dari Indonesia dan Bangladesh dan negara lain juga ramai. Nasib baik kami sampai awal. Ruang solat wanita di tingkat atas. Bila habis solat, sesak bahagian tangga. 
Image
Lebih kurang setengah kilometer jarak dari homestay ke masjid.

Pergi, ikut jalan lain. Balik, ikut jalan lain. Alhamdulillah, pagi raya itu, cuaca tidak panas sangat. 

Lepas solat, kami singgah sarapan dulu di cafe hotel yang letaknya dalam mall. Sudah termasuk dalam penginapan, haruslah sarapan. Sempat minum kopi dan sarapan ala western saya di hari pertama. 

Selepas bersarapan, kami naik atas, yang perempuan salin pakaian raya, yang lelaki baru nak pakai sampin dan sebagainya, dan berayalah kami, bermaaf-maafan sesama kita.

Ada banyak gambar raya ni. Saya letak sebahagian sajalah. 

Image
Anak kedua, Hafizan, sedang beraya dengan bapaknya.

Image
Giliran anak bongsu, Sulaiman pula.

Image
Anak sulung, Amirul, dengan saya.

Image
Hafizan ni masa minta maaf, ayat digunakan Bahasa Malaysia lengkap, macam skrip drama pun ada.

Image
Anak mama paling bongsu..

Image
Jom ambil gambar kenangan semua orang, gaya sopan.

Image
Free style satu.

Image
Kami tiga beradik, dari kiri Atam, Kok dan saya.

Sudah bergambar dalam rumah, kita pergi outdoor pula. Haruslah gunakan lokasi yang ada. Hehe...

Image
Ini dalam residents Lounge.

Besar lounge ini. Ada tempat boleh buat kerja, macam pejabat. Boleh buat meeting, sebab meja besar. Kalau budak sekolah nak study sebab ada keluarga bising macam kami, boleh turun bawah, study sini.

Image
Tepi swimming pool.

Cuaca mulai terik. Nak buka mata pun payah. Tapi demi gambar raya, kita gagahi jua...

Image
Gambar kami lima beranak.

Cantik lokasi luar yang di tingkat tiga Somerset ini. Ada kolam renang, taman dan pokok-pokok besar di luar. Kemudahan gym pun ada.

Image
Ya Allah, budak-budak ni kan...

Walaupun atas bangunan, elok taman dan landskap yang ada. Ada sudut taman herba macam pokok kari, pokok kunyit, pandan, dan banyak lagi, tapi lupa pula nak ambil gambar.

Image
Samalah, mak bapak pun kepala ting tong juga.

Image
Pose romantik dilupa jangan.

Langit cantik, sedikit berawan. Alhamdulillah, syukur. 
Dalam pukul 11 pagi, kami ke Rawang, pergi beraya rumah bapa kami.

Image
Sori, terpaksa tutup gambar makcik, sebab aurat.

Makcik pun tak berapa sihat tapi hari raya dan anak-anaknya ada, nampak dia gagahi juga, pakaian raya pun tak disarung. Tapi tak penting pun, asal dapat jumpa dan sembang, dan beraya sesama kita. Menu rumah papa adalah laksa johor, nasi himpit dan kuah kacang. Syukur Alhamdulillah, dapat jumpa orang tua. Lama juga lepak rumah papa. 

Sekian cerita aktiviti kami pada pagi hingga tengahari raya pertama. Nanti sambung lain entri pula.

Jumpa lagi, ye. 💗

Thursday, March 26, 2026

Jalan malam di Uptown PJ

March 26, 2026 18 Comments

Tanggal 30 Ramadan lepas, lepas maghrib, Atam (kakak kedua) ajak cari kopi. Yang lain semua malas keluar, nak berehat. Yang keluar cuma kami tiga beradik dan anak sulung saya, Amirul.

Kami jalan kaki saja. Bangunan apartment Somerset ini dikelilingi bangunan pejabat, banyak blok. Keliling, ada kedai-kedai, restoran, kedai runcit, Zus ada, CU Mart ada, 7-Eleven, macam-macam kedai lagi la. 

Kawasan uptown ini dulu adalah antara laluan saya jalan kaki pergi dan balik sekolah. Sejak saya tingkatan satu, sekolah sesi petang, saya sudah jalan kaki ke sekolah. Pergi sekolah, 3.5 km. Jadi, pergi balik sekolah sehari, saya jalan 7 km. Masa tu, saya selalu rasa rendah diri, sebab orang lain sampai sekolah wangi je. Saya sampai sekolah, berpeluh lenjun belakang badan, basah sebab jalan kaki. Selalu bila tidur malam, airmata meleleh je, kenapa susah sangat hidup aku ni, hari-hari kena jalan kaki pergi sekolah. 

Lama-lama, sudah biasa. Ada hari, bapa ambil dari sekolah. Bila dia tak dapat hantar atau ambil, barulah berjalan kaki. Namun, tidaklah berterusan. Ada tahun, saya mula naik bas sekolah.  Itu yang saya tahu, lubang-lubang lorong perumahan mana nak ikut, yang ada playground dan tempat duduk. Tempat saya buat homework sementara ada gap antara kelas tuition. Nak balik rumah dan pergi semula tuition, tak la. Dari sekolah, singgah tuition, dan balik rumah, pakai baju sekolah je.

Masa tingkatan empat, arwah mak saya daftar saya kelas tuition, sebab tengok report card banyak merah je. Mak saya jual emas sebab nak masukkan saya kelas tuition. Tak tahu kenapa arwah mak tak gadai. Mungkin dia tahu yang dia takkan boleh dapat semula kot emas. Sebab arwah emak saya pun surirumah. Bapa saya kerja kerajaan. 

Image
Amirul, kok dan atam.

Itulah bila kembali semula ke Uptown Damansara ni, mengimbau semula kenangan saya jalan kaki pergi sekolah. Kedai runcit yang saya selalu singgah beli air, dah tak ada. Depan kedai runcit, ada telefon awam. Saya selalu bergayut situ, telefon pen pal. Dulu tak ada internet. Tapi kita berkenalan melalui majalah Galaxy dan Dewan Pelajar ke, suratkhabar ke, ruangan sahabat komputer, macam tu la lebih kurang.

Saya tak makan dan minum di sekolah, untuk bergayut telefon dengan kawan la. Kalau nak beli kaset (CD belum ada masa tu), sepuluh hari la saya tak makan. Sehari, dapat duit sekolah seringgit. Bila tak makan 10 hari, dapatlah beli kaset kat kedai muzik. 

Pusat tuition saya pun sudah tak ada. Pusat Tuition Piramid. Apa khabar Cikgu Ridzuan. Ada lagi ke tak. Garang bukan main, dia ajar Add Maths. Sekali dia jegil biji mata, tunduk terus kita mengadap buku, tak berani tengok muka dia. Entah kenapa cikgu Add Maths atau Maths selalu garang-garang ya. Cikgu Maths di sekolah nama Mrs. Khoo, pun sama. Bawa rotan!

Image
Jumpa replika basikal tua

Zaman saya dulu, tak ada bangunan pejabat di tengah-tengah. Yang ada cuma bangunan kedai yang membentuk empat segi. Lepas tu, tengahari dan malam ada tempat makan. Tengahari, ada warung nasi campur, bersusun. Orang panggil tempat tu maple'. Maksudnya, makan dan lepak. Sekarang sudah ada kedai makan macam food court di Uptown ni.

Image
Basikal agak tinggi, tapi boleh dipanjat, untuk ambil gambar. 

Belakang tu, Starling Mall. Macam-macam ada.

Bila fikir balik, patutlah saya boleh lari marathon. Endurance tu sudah ada sejak kecil. Lepas tu dah tua macam sekarang, lutut pun dah terpeleot. 

Image
Atam pun sibuk juga nak bergambar.

Bila nampak Zus, kami masuk dalam, beli kopi. Bungkus juga untuk suami di apartment, yang tak ikut sebab nak gosok baju melayu anak-beranak. Kami pusing satu pusingan saja. Kereta agak banyak di situ, sebab ada restoran viral situ yang nasi lemak dikatakan sedap. Kakak sulung kata, biasa jer, rasa nasi lemaknya. 

Image
Jalan malam keliling Uptown 

Dapat berjalan santai selama 54 minit, sambil singgah beli kopi dan lihat mercun di langit. Esoknya dah nak raya. Alhamdulillah, jalan-jalan tengok tempat lama dan mengimbau sejarah lama.

Okay. Jumpa lagi, ye. 💗

Wednesday, March 25, 2026

Buka puasa 30 Ramadan dan Resepi Paru Masak Hitam

March 25, 2026 23 Comments

Hari Jumaat, 20 Mac 2026, bersamaan 30 Ramadan, saya dan keluarga checked-in rumah sementara di Uptown, Petaling Jaya

Tidak lama kemudian, kedua kakak-kakak saya pun tiba. Rumah dia orang sebelah rumah kami je. Ada kala, ke hulu ke hilir kami keluar masuk rumah ambil barang, pakai kain batik je, sebab tak ada orang pun kat laluan hall tengah antara rumah tu. 

Kakak kedua sudah sampai dari Kuching, hari sebelumnya. Dia duduk hotel dekat rumah kakak sulung. Bila kami sampai dari Perak, pindah ke Somerset pula.

Satu troli kakak sulung saya bawa barang. Itu pun, ada yang tak cukup. Tapi tak apa, sebab supermarket (Jaya Grocer) kat bawah apartment je. 

Saya ditugaskan buat jelatah. Nasi tomato, kakak sulung masak lepas Asar. Rendang ayam dan kari telur, kakak sulung sudah masak dari rumah dia. Kakak sulung saya tinggal di Subang.

Image
Pinggan saya.

Kami berbuka makan lauk raya. Alhamdulillah. Sedap. 😋 Kelihatan kurma sebiji, lauk paru masak hitam yang saya masak dari rumah Perak, rendang ayam tapi masa ini, rendang berkuah, nak buat berbuka, jelatah, kari telur, dan nasi tomato. Saya rasa sangat bersyukur, sebab dapat juga berbuka puasa dengan adik-beradik saya, walaupun sudah akhir Ramadan. Kedudukan kami jauh-jauh, jadi jarang dapat jumpa.

Image
Tangan kakak sulung sedang menceduk lauk paru hitam.

Hari tu masa entri 29 Ramadan, sebelum saya bertolak ke KL, blogger Suria Amanda ada komen minta resepi paru masak hitam. Baik. Berikut resepinya.

Paru Masak Hitam

Bahan-bahan:
Paru 1 kilo
Kicap pekat
Kicap manis
Jintan manis

Bahan kisar:
Bawang besar (Ikut kome la, nak guna banyak mana)
Bawang putih
5 batang serai
5 cm halia
Cili kering (ikut citarasa masing-masing, nak pedas, guna banyak)

Cara penyediaan:
1. Rebus dan goreng paru.
2. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Masukkan jintan manis dan kicap pekat, masak hingga pekat dan likat. Saya suka letak kicap manis juga.
4. Masukkan paru yang telah digoreng ke dalam bahan tumis, perasakan.
5. Siap dan boleh dihidang.

Lauk paru ini yang habis dulu, masa raya pertama. Rendang, raya kedua ada lagi. Alhamdulillah, setahun sekali je masak lauk ni, waktu raya. 

Bolehlah cuba masak. 
Jumpa lagi, ya. 💗

Wordless Wednesday: Pendatang

March 25, 2026 18 Comments

 Salam 5 Syawal.. 😊

Image
Dia tengah minum air dari aircond

Image
Cak! Ha, dah nampak muka tu.

Abaikan kain jemuran dan rumput yang panjang itu ya. Musim panas, malas nak potong rumput.

Image
Awak datang dari mana ni?

Image
Lepas minum air, dia pun balik.

Image
Babai, awak. Selamat hari raya.. 

Jumpa lagi, ya. 💗

Tuesday, March 24, 2026

Somerset Damansara Uptown

March 24, 2026 22 Comments

 Semasa entri 29 Ramadan yang lepas, saya ada sebut yang saya sekeluarga beraya di KL tahun ini, kan. Alhamdulillah, pada 20 Mac bersamaan 30 Ramadan yang lepas, trafik lancar sepanjang perjalanan. Memang berlawanan dengan trafik berlawanan di sebelah, memang penuh, bumper to bumper, orang nak ke utara. Walaupun Waze suruh ikut lebuhraya utara selatan, tapi suami lebih suka ikut jalan Tanjung Karang. Okay jer. Bukan kelam kabut pun nak sampai. 

Semua orang pakat dok tidur dalam kereta. Saya bila tersedar je, tanya suami okay ke. Takut dia mengantuk bawa kereta waktu puasa. Dia kata dia okay. Ye la, dia buat kopi waktu sahur. Alhamdulillah, kami selamat sampai lokasi hotel lebih awal. 

Apa-apa cari tandas dulu, hotel ini lokasinya di atas Starling Mall. Masuk mall untuk ke tandas. 

Eh, bukan hotel sebenarnya, service apartments. Kakak sulung saya tempah 2 rumah. Satu rumah kecil, satu rumah besar. Somerset Damansara Uptown Petaling Jaya adalah bangunan 24 tingkat service apartment, diuruskan oleh The Ascott Limited.

Kakak sulung suruh saya dan suami duduk asing. Ye la, kalau kami duduk sekali, dia kena pakai tudung sepanjang masa, sebab suami saya ada. Itulah dia tempah dua rumah. Rumah jenis studio apartment, tak ada bilik pun yang saya dan suami duduk ni. Jom tengok...

Image
Almari besor

Itu beg saya, sudah letak, baru ingat nak ambil gambar almari. Ada bathrobe untuk dua orang, sepasang slippers dan mesin timbang berat. Berat masa puasa, 58kg. Berat masa raya, 60kg. Kih kih kih...

Image
Katil saiz King

Besor katilnya. Orang sebelah menguit atau beralih kedudukan, kita tak rasa. Bantal empuk. Pengsan bila baring je atas katil ni. Tak sedar diri tidur. Alhamdulillah. Kedut cadar, suami sudah landing, baru saya ingat nak ambil gambar katil. Suami sambil membebel, bangun juga sekejap, dia kata ape entah saya ni, semua benda nak ambil gambar. 😁

Image
Bilik ayor

Besor la, bilik ayor dia. Pengudaraan tiptop.

Image
Shower

Shower atas dan shower pegang. Ayor kuat. Puas mandi. Sabun ada, syampoo ada. Tulisan pada botol kecil, mata rabun. Lantak la pakai syampoo ke, sabun kaa... dua-dua wangi.

Image
Buka pintu rumah, masuk dapur dulu.

Beg Amirul dalam gambar. Saya tanya reception, boleh tak check-in awal, baru sampai dari Perak. Baik orang reception tu cakap, boleh. Walaupun baru pukul 2.30 waktu itu. Sebab rumah ini kakak saya tempah di bawah nama saya, jadi, boleh check-in. Anak-anak duduk serumah dengan aunty dia orang. Kakak saya belum sampai, jadi anak-anak lepak rumah kami dulu.

Kaunter dapur ada bekal yang saya bawa dari Perak. Juadah buat berbuka. Dapur ada microwave, ada dapur jenis induction. Periuk ada, semua alat memasak seperti senduk, sudu, garfu, semua lengkap. Cerek ada, toaster ada. 

Image
TV duduk tengah-tengah antara katil dan ruang tamu.

Studio apartment tiada bilik. TV besar. Aircond kuat.

Image
Meja kerja

Ruang tamu ada sofa.

Image
Ironing board dan iron.

Semua benda tersembunyi dalam almari. Masa kakak saya dah masuk rumah sebelah, pukul 5 pagi dia hantar Amirul pinjam kami punya ironing board. Sebab kakak tak jumpa ironing board depa duduk mana. Kita ingat dinding cermin. Tapi cermin boleh buka, sebagai tempat storage. Kena explore, raba-raba dinding, baru tahu ada nampak benda yang disimpan dalam. 

Selain ironing board, hari terakhir baru kakak saya jumpa coffee machine, dok sembunyi dalam kabinet dapur. Haha... hadoi... saya okay, sebab saya suka explore benda, itu yang saya jumpa toaster dalam dapur kami. Rumah kakak sebelah, ada mesin basuh yang ada dryer. Tudia laaa... 24 jam kakak saya dok basuh kain. 😅

Image
Apa tu... pandangan dari tingkap apartment?

Itulah dewan sekolah saya, Sekolah Menengah Damansara Utama. Sekarang nama dia dah jadi Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama. Saya sekolah sini dari 1990-1995. Dewan sekolah di atas, tempat saya jawap soalan SPM. Masa saya mula pindah sekolah ke sini dari Aloq Setaq, saya alami kejutan budaya, tau! Sebab semua orang cakap English kat sini.. saya mana reti speaking London. Jawap periksa reti. Nak cakap, tergagap-gagap. Tapi pelan-pelan saya belajar. Kalau tak speaking, kang takde kawan. Sampai paper English SPM dapat A1 la. Tapi sekolah saja lah kat Damansara Utama, saya dan keluarga tinggal di rumah kawasan kampung di Kampung Sungai Kayu Ara. Nanti saya cerita lagi tau, sejarah tempat ini dalam hidup saya, di lain entri. Ini entri nak cerita pasal rumah kami duduk masa raya ni. Hehe...

Image
Hall di laluan antara apartment.

Berkarpet. Kedengaran muzik latar di speaker, lagu-lagu raya berkumandang dengan lembut, volume minimum, tidak kuat. Di dinding, ada banyak hasil seni tergantung sepanjang dinding laluan. Nak naik ke apartment, ada kad yang kena tap yang bawa kita ke tingkat kita saja, selain tingkat lobi, parking dan shopping mall. 

Image
Mesin penapis air

Ambil air minum di sini. Tiada diberi air mineral botol dalam bilik. Hotel ini mesra alam. Dia bagi jug kaca besar di setiap rumah untuk isi air minum sendiri. Lampu dan aircond dalam apartment pun, walaupun tak cabut kad kuasa di bilik itu, akan padam sendiri, bila tak ada orang dalam sekian waktu. Kalau keluar sekejap, power still on. Ada sekali kami keluar beraya, power off. 

Image
Ambil gambar sekolah saya dari cermin hujung hall.

Sekolah saya sudah berubah. Kantin sudah jadi 2 tingkat. Pokok besar banyak. Dulu, tak ada pokok antara blok. Kenangan bila tengok sekolah tempat saya belajar selama 5 tahun. Orang lain semua lepas PMR masuk asrama penuh, saya stay di sekolah ini, tak kemana. Huhu...

Image
Mesin kopi
Mesin kopi dalam apartment kakak yang dia baru jumpa di hari terakhir duduk. 😅 Katrij kopi (katrij ke, orang panggil? Macam printer pulak). Entah, yang kita letak di mesin untuk hasilkan kopi itu pun banyak. Aduhh... kalau tahu, dari hari pertama udah bancuh kopi, guna sampai habis. Walaupun cute, kena masukkan air di belakang. Kopi dia boleh tahan sedap. 

Image
Cafe tempat sarapan

Minta maaf, sebab sepanjang duduk sini, saya tak ada ambil gambar makanan waktu sarapan. Standard sarapan di hotel la ye, semua ada, seperti English breakfast, sarapan melayu macam nasi goreng, bihun, mee, bubur, bijirin, roti dan pastries, sama macam hotel-hotel lain. Alhamdulillah. Penginapan termasuk sarapan.

Image
Hari terakhir baru ambil gambar kenangan.

Apartment kakak, ambil extra bed, jadi sarapan untuk 6 orang. Hari pertama kakak kedua join, hari terakhir, kakak sulung yang turun. Sarapan turun juga, sebab sudah termasuk. Lepas sarapan bawah, naik atas rumah, makan lagi, lauk raya. Mana tak gendut.

Alhamdulillah. Di sinilah kami menginap dari 20-22 Mac 2026 yang lepas. Bapa kami pun tinggal di Rawang. Itu yang kami beraya di bandar. Senang nak tengok orang tua. Syukur Alhamdulillah. Somerset Damansara Uptown ini memang lokasi strategik, keliling ada banyak kedai kopi dan port makanan sedap. 

Baik. Jumpa lagi. 💗