
Bismillahir Rahmanir Raheem
PEMBANGUNAN negara yang pesat telah menyebabkan jumlah graduan yang lulus daripada pusat-pusat pengajian tinggi bertambah dari semasa ke semasa. Dan seperti kebiasaan, graduan-graduan muda ini memerlukan pekerjaan selepas menerima ijazah masing-masing.
Bagaimanapun cabaran yang dihadapi graduan-graduan muda ini ialah apabila mendapati peluang pekerjaan tidaklah semudah dahulu yang mana peluang pekerjaan telah sedia menanti mereka.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan bilangan universiti tempatan termasuk swasta yang semakin bertambah yang telah menyebabkan lambakan graduan muda tetapi dengan ruang pekerjaan yang terhad.
Sehubungan itu, Cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan kakitangan awam perlu diberi perhatian supaya ia tidak menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah pengangguran di kalangan graduan-graduan muda di negara ini.
Cadangan CUEPACS ini memerlukan kajian yang mendalam dan tidak perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera kerana ia akan membabitkan masa depan graduan-graduan muda yang penuh bersemangat untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Cuba bayangkan jika usia persaraan kakitangan awam dilanjutkan dari 56 tahun ke 60 tahun, ini bererti graduan-graduan muda memerlukan sekurang-kurangnya empat tahun lagi sebelum berpeluang untuk mengisi pekerjaan yang kosong di jabatan-jabatan kerajaan.



Komen Terbaru