“Maafkan mak Nas. Mak tak bermaksud nak kecilkan hati Nas. Tapi mak fikirkan demi kebaikan cu. Mak tak tahu berapa lama lagi akan hidup Nas.” Hajah Sapina bersuara berat. Dia bagai menelan pasir bila menuturkan kata kata itu di hadapan gadis itu.
“Tak apa mak. Nas faham. Mak hanya mahukan yang terbaik buat Hariz. Dan Nas bukan yang terbaik buat dia. Mak jangan lah risau. Insya’allah lepas ni mak takkan tengok muka Nas lagi.” perlahan dan penuh rasa dia menuturkan kata kata itu. Qarin Nasuha bagaikan terpukul bila kali pertama Hajah Sapina mengatakan hajat kedatangannya itu.
Dia faham, sebagai seorang ibu Hajah Sapina hanya mahukan yang terbaik buat anak kesayangannya itu. Dia mengerti, dia bukan pilihan yang baik buat Hariz Azhan.
Dengan keadaan dirinya yang cacat begitu, siapa yang mahukan dirinya? Hidupnya hanya akan menyusahkan semua orang. Dan dia tahu Hajah Sapina mahukan menantu yang mampu menjaga Hariz Azhan, bukan isteri yang perlu dijaga sepenuh masa.
Dan dirinya pula kini? Dia tersenyum sinis, bagai mentertawakan diri sendiri.
“Nas, mak…” terputus bicara Hajah Sapina saat itu bila dilihat wajah yang sedang menghamparkan sebuah senyuman penuh duka.
“Nas faham mak. Kita sama sama sayangkan Hariz. Kalau mak tak minta pun, Nas sendiri yang akan tarik diri. Hariz patut dapat seseorang yang beribu kali lebih baik dari Nas. Mak janganlah risau. Insya’allah, Riz akan dapat jodoh macam yang mak nak.” ujar Qarin Nasuha. Dia berlagak selamba masih mampu mengukirkan senyuman pada wanita tua itu.
Menahan air mata yang mahu gugur. Dia takkan menangis di depan wanita itu. Dulu dia pernah menumpang kasih ibu tua itu. Terlalu banyak budi Hajah Sapina yang ditelannya. Dia berhutang budi pada wanita itu. Dan kini tiba masanya untuk dia melunaskan segala hutang kasih sayang yang pernah diberikan wanita itu pada dirinya selama ini.
Qarin Nasuha nekad. Itulah keputusan yang diambil dan keputusan yang dirasakan terbaik bagi semua orang. Apa yang dilakukannya semata mata untuk kepentingan orang yang disayanginya.
Cinta? Perkataan itu terlalu menakjubkan. Terlalu menghairankan. Semata mata kerana cinta manusia sanggup melakukan apa saja. Demi kerana cinta ada yang sanggup menyeberangi lautan api, demi kerana cinta ada yang sanggup menggadaikan nyawa sendiri. Dan baginya hanya ini yang mampu dia lakukan demi sebuah cinta.
Hariz Azhan, lelaki itu terlalu baik baginya. Lelaki itu harus mendapat pasangan yang terbaik. Dan dirinya pula,dia terlalu kerdil. Terlalu jauh dari agama Allah. Dan kini menjadi insan kurang upaya. Cacat dan tidak berguna.
Dia akan hanya membebankan lelaki itu. Menyusahkan Hariz Azhan sepanjang hayatnya kelak.
“Adik?” Qayyum masuk ke dalam bilik Qarin Nasuha. Adiknya itu sedang mengemas kain baju. Memasukkan ke dalam beg pakaian.
Dia hanya mendiamkan diri. Tidak mampu untuk berbicara saat itu. Hanya tangannya lincah menyusun kain baju ke dalam beg pakaian. Separuh daripada barang barang miliknya sudah pun dihantar ke rumah baru mereka.
Dia perlu melalui situasi kehidupan baru. Segala yang ada di sini terlalu menyakitkan buat dirinya. Apa yang berlaku memberikan kesan yang terlalu mendalam di hati insan sekerdil dirinya. Hati wanitanya terlalu terluka dengan apa yang berlaku. Lantas dia mahu merubah suasana. Mahu menjalani kehidupan baru.
Jauh dari segala galanya. Segala yang ada terlalu menyakitkan buatnya. Qarin Nasuha nekad. Ini adalah keputusan yang harus dilakukannya. Segalanya harus dilakukan segera sebelum Hariz Azhan pulang dari Jepun bulan hadapan.
“Dik?” sekali lagi Qayyum memanggil Qarin Nausha bila adiknya itu mendiamkan diri. Dia melihat secebis wajah duka yang dipamerkan. Wajah itu terlalu menyedihkan hati kecilnya.
“Abang dah siap kemas barang abang?” hanya itu yang mampu ditanyakan saat itu. Dia berpura pura tidak mengerti. Cuba melarikan diri daripada semua pertanyaan yang bakal menambahkan luka di hatinya.
“Dah. Adik nak abang tolong ke?” soal Qayyum dia menghampiri kerusi roda adiknya itu. Mahu membantu Qarin Nasuha.
“Adik belum nak mati lagi abang! Takkanlah susun baju pun adik tak boleh nak buat!” tinggi suara Qarin Nasuha saat itu. Dia gagal mengawal dirinya. Kemarahan tiba tiba meledak pada abangnya itu. Segala duka yang terhimpun sejak dulu bagaikan muntah saat itu.
Dirinya dirasakan tidak berguna. Cacat dan hanya menyusahkan orang orang di sekelilingnya. Dulu dia boleh berdikari sendiri, tapi kini segalanya perlu mengharapkan bantuan orang lain. Dulu dia boleh melakukan hampir segala galanya sendiri tanpa bantuan sesiapa. Tapi kini dia jadi bagai anak kecil yang perlu diberikan tumpuan sepenuh masa. Perlu dilayani dan dipantau setiap saat agar tidak melakukan sebarang kesilapan.
Dia bukan budak kecil yang perlu dilayani begitu rupa. Dia bukan budak kecil yang perlu diperhatikan setiap saat.
Seketika dia sendiri seakan terkaku dengan tindakkannya itu. Dia memandang Qayyum yang berdiri di hadapannya. Perlahan lahan terasa ada air mata yang mengalir di pipi.
“Dik, jangan macam ni. Nangis lah dik. Adik akan rasa lega lepas ni.” pujuk Qayyum. Dia tunduk, berlutut di hadapan Qarin Nasuha. Menyeka air mata adiknya itu perlahan. Simpati dia melihat wajah itu.
“Maafkan adik bang. Adik tak bermaksud nak cakap macam tu pada abang.” pilu menikam hati kecilnya. Entah mengapa dia tidak mengerti, bagaimana dia boleh berkata sekasar itu pada abang yang terlalu baik padanya.
“Syhh… jangan cakap apa apa okey. Kan adik abang ni kuat.” Qayyum lantas memeluk adiknya itu. Hati lelakinya tersentuh melihat keadaan Qarin Nasuha. Dulu adiknya itu selalu tersenyum. Dan kini, lihatlah keadaanya. Pemurung dan mudah marah. Kemarahannya bagai tidak terjangkakan.
Bebanan perasaan yang ditanggungnya kini bagai menelan diri Qarin Nasuha sedikit demi sedikit.
“I’m so sorry, abang. Adik….” terputus bicaranya. Hanya esakkan yang terdengar. Dia memeluk erat tubuh abangnya. Menangis sepuas hati melepaskan perasaan yang sukar mahu digambarkan saat itu.
Apa yang berlalu menyebabkan dia bagai menjadi orang lain. Segalanya seakan kelam dan gelap. Dia bagai tidak melihat cahaya yang mampu menerangi kembali hidupnya.
Dia bagaikan orang buta yang kepatahan tongkat. Merayap tanpa sebarang hala tujuan dalam lorong gelap tanpa penghujung.
“Adik, tak kira bagaimana sekalipun dugaan yang datang. Biar sekuat mana sekalipun ujian yang kita tempuhi, adik mesti ingat satu perkara dik. Babah dan abang selalu di sisi adik. Selamanya. Selagi hayat dikandung badan. Tak ada siapa yang akan memisahkan adik daripada kami.” ujar Qayyum. Dia memeluk erat tubuh kecil itu, menyuntik semangat buat adik kesayangannya itu.
Qarin Nasuah menangis teresak esak di bahu abangnya itu. Kata kata yang dibisikkan menjadikan dia semakin sayu. Kasih sayang keluarga yang paling penting. Kasih sayang itu yang sering kali datang menyokong tiap kali dia dirundung kesusahan.
“Cu, jangan fikir bukan bukan. Nas tak salah.” tersentak Hariz Azhan bila disapa seseorang. Haji Kamil menepuk baru anak bujangnya yang bermenung sejak pulang seminggu lalu. Berat untuk dia memberitahu perkara sebenar kepada Hariz Azhan.
Dia dalam dilema, antara kasih pada isteri ataupun simpati pada anaknya itu. Hati tuanya turut tersentuh bila mengenangkan Qarin Nasuha. Gadis itu dilukai berkali kali. Namun jauh di lubuk hati dia tahu, Qarin Nasuha bukan selemah yang disangkakan. Gadis punya kekuatan yang jarang dimilik insan lain.
“Apa maksud ayah?” bulat mata Hariz Azhan mendengarkan kata kata ayahnya itu. Di pandangnya tepat ke wajah tua itu. Lelaki itu bagaikan cuba menyampaikan sesuatu padanya.
“Masuk dalam, pergi tanya mak kamu. Ayah nak ke kedai. Bincang elok elok dengan mak, cu. Ingat walau seburuk mana sekalipun dia tetap mak kamu.” lembut tutur kata Haji Kamil.
Hariz Azhan bingkas bangun, dia memandang wajah Haji Kamil, penuh tanda tanya. Cuba menyelami apa yang sedang cuba disampaikan bapanya itu.
“Masuklah.” Haji Kamil menepuk bahu Hariz Azhan. Menganggukkan kepala sebelum berlalu pergi.
“Mak, mana Qarin pergi? Mak tahu dia ke mana? Bagi tau cu. Mesti ada yang jadi masa cu tak ada kan. Ayah bagi tau mak jumpa Qarin. Apa mak cakapkan pada dia?” soal Hariz Azhan bagaikan orang sasau. Dia menghampiri Hajah Sapina yang sedang duduk melipat kain baju.
“Cu…” terputus bicara Hajah Sapina. Tiba tiba dia jadi takut untuk mengatakan hakikat sebenarnya. Apa nanti reaksi anak itu andai tahu dia yang membuat onar. Namun dia hanya mahukan yang terbaik buat anak bongsu kesayangannya itu. Salahkah tindakannya itu?
Ya, salah! Entah dari mana datang satu suara tegas bergema dalam dirinya.
“Bagi tau mak. Apa yang mak katakan pada Qarin sampai dia larikan diri dari cu.” ujar Hariz Azhan,dia memandang wajah tua di depan matanya itu. Meminta simpati ibu kandungnya.
“Mak minta maaf cu, mak tak bermaksud jahat. Mak cuma fikirkan kebaikkan cu.” perlahan Hajah Sapina menjawab, luruh air matanya memandang wajah saya di depan mata. Hati bertambah remuk bila terkenangkan wajah mulus Qarin Nasuha.
Entah bagaimana dia menjadi begitu kejam waktu itu. Entah bagaimana mampu untuk dia menyakiti hati gadis baik itu. Dia tidak tahu. Namun apa yang pasti dia dirundung seribu kekesalan waktu ini. Dia sendiri bagaikan tidak percaya dia yang menuturkan kata kata pahit pada Qarin Nasuha. Dia bagai mamai menurut hawa nafsunya sendiri.
Sedangkan bukannya dia tidak tahu betapa payahnya dugaan yang dilalui Qarin Nasuha. Gadis itu terlalu baik dan hanya kerana kekurangan sementara itu dia sanggup menambahkan kelukaan di sekeping hati itu.
“Mak, mak tau kan. Bagaimana susahnya kami nak bersama. Kenapa mak sanggup buat cu macam ni. Mak tak kesiankan kami ke mak? Qarin dah cukup menderita selama ni mak. Mak pulak buat dia macam ni.” perlahan bicara Hariz Azhan. Walau bagaimana marah sekali pun dia pada Hajah Sapina namun dia masih sedar di mana darjat ibunya itu.
Ibunya tetap wanita yang dulu bertarung nyawa melahirkannya. Bersengkang mata membesarkannya. Ditahan rasa marah rasukan iblis. Mengucap dan beristiqfar berkali kali. Cuba bersabar menghadapi situasi itu. Berkali kali diingatkan pada dirinya. Siapa wanita tua di hadapannya waktu itu.
“Maafkan mak, cu. Mak…” terputus kata katanya dek air mata yang menghalang. Dia menghampiri Hariz Azhan. Dipeluk anak bujang kesayangannya. Dia bagaikan baru tersedar dari mimpi. Baru tersedar apa yang dilakukannya bukannya demi kebaikan Hariz Azhan. Dia hanya menghancurkan hati anaknya itu.
“Sampai hati mak buat kami macam ni mak. Cu ingatkan mak tak macam orang lain. Tapi mak pun sama macam orang lain.” tajam kata kata Hariz Azhan. Dia menolak lembut tubuh ibunya. Bingkas dia bangun. Mahu melarikan diri dari rumah itu. Saat itu dia perlukan ketenangan.
Kehilangan Qarin Nasuha dan ditambah dengan sikap ibunya yang tidak pernah langsung dijangkakannya membuatkan hatinya cukup terluka.
Hariz Azhan termenung panjang. Dia kehilangan arah. Fikirannya buntu. Tidak tahu ke mana lagi harus dijejaki gadis kesayangannya itu. Sejak sebulan dia pulang dari Penang begitulah keadaannya.
Gundah gulana mengingatkan Qarin Nasuha yang entah ke mana membawa diri. Dia merenung remang petang yang indah menghiasi langit senja. Perlahan pandangannya diangkat kedada langit. Memandang lama, seolah olah sedang bebicara dengan Penciptanya.
Iman yang ada dalam dirinya sajalah yang mampu menyelamatkan dirinya dari terjerumus ke lembah kehampaan dan putus asa. Mengenangkan segala yang terjadi telah ditetapkan Ilahi dia mendapat sebuah kekuatan untuk meneruskan hidup dan menempuhi hari hari mendatang.
Biar selama mana sekalipun andai Qarin Nasuha telah ditetapkan buat dirinya dia yakin gadis itu akan kembali padanya. Selagi dia termampu untuk menanti kehadiran Qarin Nasuha selagi itu lah dia akan menanti kedatangan gadis itu kembali dalam hidupnya.
Lamunannya tersentak bila terdengar suara azan berkumandang. Waktu remang senja semakin tenggelam ditelan malam hari yang semakin menggelap.
Perlahan Hariz Azhan bangkit dari buaian yang pernah menciptakan memori dia dan Qarin Nasuha. Panggilan Ilahi telah menyeru dia menunaikan tanggungjawabnya. Lengan baju disinsing menuju ke paip air untuk mengambil wuduk, mahu menghambakan diri pada Yang Esa. Mengadu keluh kesah yang sarat dalam dirinya waktu itu.
Selesai mengambil wuduk terasa dirinya segar seketika. Dia terhenti bila terpandangkan Hajah Sapina yang memerhatikan dirinya sejak tadi. Hanya sebuah senyuman hambar yang mampu diberikan buat ibunya itu sebelum dia berlalu ke surau.
“Qarin, andai segala yang berlaku antara kita ditentukan Tuhan, saya yakin satu hari nanti, tak kira sejauh mana sekalipun awak pergi kita akan bertemu kembali. Saya tetap akan cari awak. Saya akan tetap tunggu awak hadir semula dalam hidup saya. Saya sayangkan awak, dan ia takkan berubah walaupun awak tiada lagi di sini.”
Hariz Azhan berbisik sendrian. Dia bagaikan mengangkat janji pada dirinya sendiri. Qarin Nasuha akan tetap dijejaki sampai bila bila. Biarpun dia harus menunggu bertahun tahun lamanya dia akan tunggu. Biarlah dia membujang sampai ketua, dia hanya mahukan Qarin Nasuha. Bukan yang lain.
Dia mengatur langkah menuju ke surau berhampiran. Mahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba kerdil milik Yang Abadi. Memohon simpati dan belas ihsan daripada Khaliq Yang Maha Suci. Andai jodoh ada antara dia dan gadis itu biarlah mereka ditemukan kembali tak kira bagaimana sekali pun keadaan Qarin Nasuha. Dia rela menerima apa juga kehadiran gadis itu.





